February 5, 2008

Ceramah Isu-isu Semasa



Turun Harga Minyak, Malaysia Tak Akan Bankrup

PEJABAT PAS SERDANG- Rabu, 7 Muharram 1429=16 Januari 2008, Saudara Ir. Khalid Samad, Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor menyelar Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mendakwa jika Malaysia turunkan harga minyak, Negara akan menjadi bankrupt. Sebaliknya, beliau mendakwa kerajaan Malaysia tidak prihatin dengan nasib rakyat yang menderita dengan kenaikan harga barang.


Beliau yang baru pulang dari Asia Barat turut memberikan contoh tentang keprihatinan Negara Asia Barat yang mengeluarkan minyak seperti Malaysia, tidak menaikkan harga minyak dalam negeri. Perbezaan harga minyak dapat dilihat seprti berkut;

Negara Pengeluar Minyak Harga (per liter)
Bahrain 0.80 sen
Saudi Arabia 0.40 sen
Malaysia RM 1.92 sen

Dalam masa yang sama, Malaysia sudahpun merancang untuk menaikkan lagi harga minyak. Beliau juga menyelar kerajaan Malaysia yang bersifat dengki dengan negeri Kelantan dengan cara menutup gas yang dikeluarkan dari perut laut yang jaraknya hanya beberapa puluh kilometer dari Bachok, Kelantan, kerana tidak mahu melihat rakyat dan negeri Kelantan maju. Kerajaan Malaysia menaikkan gas tersebut di kawasan negera Thailand dan menyalurkannya dari negeri Siam ke negeri Kedah. Tindakan kerajaan Malaysia boleh diibaratkan sebagai ‘kera dihutan disusui, anak dipangkuan dibiar kelaparan’.

Beliau menggesa rakyat hari ini jangan takut untuk membawa perubahan dengan menukar pemerintahan yang ada kepada pemerintahan Barisan Alternatif.

Iktibar Dari Hijrah




BANDAR BARU BANGI- Rabu, 7 Muharram 1429=16 Januari 2008, Ustaz Nasrudin Hasan Tantawi menggesa umat Islam ambil iktibar dari peristiwa Hijratul Rasul S.A.W dari Makkah ke Madinah dengan menjadikannya sebagai katalis bagi meningkatkan martabat umat Islam kepada kemajuan sebagaimana yang pernah dicapai dahulu sesuai dengan firman ALLAH yang menyatakan bahawa umat Islam sebaik-baik umat yang dikeluarkan kepada manusia yang menyuruh berbuat baik dan melarang dari melakukan kejahatan.

Menurut Ustaz Nasrudin yang menyampaikan ceramahnya di Pejabat PAS Serdang, bala yang banyak berlaku di Negara kita seperti gejala rasuah, masalah moral, kenaikan harga barang dan penyelewengan dalam perjalanan undang-undang adalah akibat dari tidak memberi perhatian kepada nilai akhlak, berleluasa maksiat, ketidakadilan dari segi pengagihan ekonomi Negara, pembaziran, penyalahgunaan kuasa dan undang-undang.

Beliau menyelar kerajaan yang menjadikan Hijrah sebagai perayaan bagi menobatkan tokoh Maal Hijrah tahunan, tetapi tidak berusaha menegakkan Islam. Beliau turut mengatakan bahawa kerajaan Malaysia telah banyak meniru kerajaan negeri Kelantan seperti cuti dua hari seminggu, menambah cuti bagi ibu-ibu bersalin dan cuti bagi suami. Beliau menganjurkan agar kerajaan Malaysia lebih banyak mengambil contoh negeri Kelantan yang memerintah secara Islam yang menjadikan Kelantan sebagai negeri kebajikan seperti mewujudkan Skim Gadaian ar-Rahn, Enakmen Kawalan Hiburan (1998), Bantuan Armalah, Skim Takaful Armalah, Skim Takaful Kifalah, Program Batuan Kesihatan Rakyat, rumah Dhuafat dan sebagainya. Beliau mengecam pimpinan kerajaan Selangor di bawah Khir Toyo sebagai “Menteri Penayapu” yang memalukan pegawai-pegawainya sendiri.




Negara Dilanda Musibah

Pejabat Pas Serdang: 7 Muharram 1429= 16 Januari 2008 YDP Pas Serdang Dr. Shafie Abu Bakar menyatakan awal Tahun Baru Masihi dan Hijrah memuncaknya musibah Negara dengan skandal seks Chua Soi Lek, bekas Naib Presiden MCA dan bekas Menteri Kesihatan. Skandal seks Chua yang berlaku di sebuah hotel di Batu Pahat, Johor telah menggegarkan politik tanahair dan menyebabkan Chua meletakkan semua jawatan dalam parti dan kerajaan. Tetapi cukupkah dengan perletakan jawatan sahaja sedangkan Chua sendiri mengakui, skandal yang berlaku padanya turut berlaku di kalangan ahli-ahli politik BN yang lain. Di manakah maruah politik Barisan Nasional ? Kita berharap banyak lagi skendal yang tersembunyi akan terdedah.

Sementara itu, menurut YDP Negara juga digegarkan dengan kes kebobrokan perundangan Negara yang dikenali ‘Kes Lingam-Fairuz’. Begitu sekali murahnya maruah kehakiman Negara. Perjawatan boleh ditawar menawar.

Krisis kehakiman Negara bukan suatu perkara baru, malah ianya sudahpun bermula dengan pemecatan secara kontroversi pada tahun1988 terhadap Tun Salleh Abas Bekas Ketua Hakim Negara bersama Datuk George Seah dan Tan Sri Wan Sulaiman, kes Datuk Seri Anuar Ibrahim, kes Suwandi & Azman, kes Hindraf dan perundangan Negara terus dilanda kontroversial. Jika perundangan negara boleh diperkotakkatikkan, ke mana lagi dapat rakyat mengharapkan keadilan dan pembelaan ?

PAS, Rehlah & Kebajikan


Rehlah Meningkatkan Semangat dan Jihad

SERDANG- 1 Muharram1429=10 Januari 2008, Jemaah PAS Serdang telah mengadakan Rehlah Meningkatkan Semangat dan Jihad di sebuah kawasan Rekreasi di Serdang. Sebanyak 50 keluarga dengan suami-isteri dan anak-anak masing-masing berjumlah lebihkurang 150 orang hadir mulai jam 8.00 pagi. Majlis diatur oleh pihak Lajnah Pentadbiran dan Organisasi diketuai oleh Tn Hj. Hasan Ali dan dibantu oleh En. Zakry. Pertemuan meningkatkan semangat dan jihad ini diisi dengan senaman dan taaruf.

YDP PAS Serdang menyampaikan amanat sempena dengan tahun Hijrah 2009. Beliau meminta ahli-ahli menghayati semangat hijrah dengan memperkuatkan azam dan tekad bagi berjihad di jalan ALLAH serta memohon pertolongan dan kemenangan dari ALLAH. Rehlah berlangsung sehingga jam 1.00 tengah hari dan berakhir dengan bai`ah antara ahli dan pimpinan.



Lawatan ke Rumah Bekas Ketua Muslimat Bukit Mahkota

IPOH- 3 Muharram1429=12 Januari 2008, Rombongan muslimat PAS Serdang diketuai Pn. Zuryati Yassin, Ketua Muslimat Serdang dan disertai Pn. Zaitun Abd Latiff Ketua MTD Muslimat Serdang dan Pn. Musliza Mustaffa ditemani suami masing-masing telah melawat Ustazah Aida.

Bekas Ketua Muslimat Bukit Mahkota, Serdang itu yang terlantar sakit akibat penyakit kencing manis. Beliau telah menerima rawatan di Hospital Manjung, Perak. Lawatan muslimat selain bertanya khabar dan rasa simpati, turut menyampaikan derma untuk meringankan beban yang dialami.