January 31, 2010

Tahniah Dan Mohon Maaf

Impian Country Resort, Hulu Langat, 14 Safar = 30 Januari (Sabtu):

Hari ini ADUN Bangi mempunyai program yang ADUN berhasrat dan berjanji untuk menghadirinya, tetapi oleh kerana program berlanjutan menyebabkan ADUN membuat keputusan tidak menghadirinya dan memohon maaf.


Mulai jam 8.30 pagi ADUN berada di Impian Country Resort di atas bagi menyambut kehadiran YB Dato' Dr. Hassan Ali, Pesuruhjaya PAS Selangor yang juga Exco Hal Ehwal Islam dan Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam ke Program Retreat PAS Serdang. Inilah julung-julung kali Dato' Dr. Hassan menghadiri majlis rasmi selepas beliau diberi 'Peringatan Amaran' oleh Jawatankuasa Disiplin PAS Pusat berhubung dengan kes yang dihadapinya. Dr. Hassan kelihatan bersemangat dan dalam Ucapan Perasmiannya beliau menggesa PAS Serdang secara khusus dan PAS Negeri Selangor yang disifatkannya 'LEKA' agar bangkit menyusun strategi, mencergas dan memperkasakan PAS serta memperbaiki prestasi dalam pilihanraya akan datang. Majlis Perasmian yang nampaknya menarik minat YB Dato' Dr. Hassan ini berlanjutan sehingga jam 12.00 tengahari.

ADUN Bangi dihubungi oleh pihak Sekolah Agama Bandar Seri Putera bertanyakan program Majlis Perasmian Penutup Mesyuarat Agung Penubuhan PIBG Sekolah yang baru dibuka. ADUN memohon maaf, oleh kerana kelewatan masa dan jika berkejar ke Sekolah, tidak kesempatan. Walau bagaimana ADUN mengucapkan tahniah kepada Pengerusi PIBG dan jawatankuasa yang baru dilantik. Diharap dengan lantikan ini dapat membantu pihak sekolah memajukan Sekolah Agama Bandar Seri Putera.

Bagi program-program yang lain ADUN telah memberitahu, kemungkinan hadir jika berkesempatan, tetapi jangan terlampau mengharapkan. Maaf kepada En. Azlan Ketua Kampung Kampung Bahagia, Pekan Bangi, kerana ADUN tidak dapat hadir ke upacara menyampaikan geran pemilikan tanah yang telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri melalui Pejabat Tanah, Pejabat Daerah Hulu Langat. Tahniah kepada Kelompok pemohon yang berjaya mendapat lot-lot tanah di Kampung Bahagia bagi mereka mendirikan rumah masing-masing. Peristiwa ini ADUN menganggap amat penting, kerana ini adalah julung kali pada masa ADUN menjadi Wakil Rakyat dan ADUN terlibat di dalam usaha menyokong permohonan kelompok penduduk di sini dan diluluskan permohonan oleh Karajaan Pakatan Rakyat bagi penduduk lot-lot tanah bagi kawasan rumah di Kampung Bahagia ini. Majlis ini ADUN difahamkan disempurnakan oleh Ketua Timbalan-Timbalan Pegawai Daerah, Hulu Langat Tahniah.

Program yang juga ADUN tak dapat menghadiri, tetapi penting, ialah tidak dapat menghadiri bagi menyambut kehadiran YB Dr. Halimah Binti Ali Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Pembangunan Modal Insan yang juga ADUN Selat Kelang datang melawat ke Sekolah Agama Lepai, Bandar Baru Bangi. Pihak sekolah amat mengharap pertolongan dan bantuan bagi membina bangunan bertingkat sekolah tersebut bagi mengisi keperluan dan perkembangan sekolah. Kita berharap ada sesuatu tindakan yang diambil oleh YB Dr. Halimah dan pihak sekolah serta AJK pentadbirnya yang diketuai oleh Dr. Tajul Ariffin Noordin YDP Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi juga Ahli MPKj mendapat apa yang diharapkan. Insya Allah. Pada hari ini ADUN seharian berada di Impian Country Resort dari pagi ke malam kerana memenuhi agenda yang ADUN terlibat dan pulang jam 12.00 malam dan esok (hari ini) akan ke sana lagi selepas menghadiri program di Kajang Utama pagi ini.

Sekian.

January 30, 2010

Menambah Koleksi Perpustakaan Sekolah Kebangsaan Pekan Bangi

Pekan Bangi, 11 Safar 1431 = 27 Januari 2010 (Rabu):


Membekalkan buku atau kamus kepada murid-murid atau sekolah adalah salah satu cara mempromosikan Bangi Bandar Ilmu, atas dasar ini ADUN Bangi pernah membantu murid-murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Pekan Bangi ini dengan sejumlah kamus, maka pada hari ini juga ADUN Bangi memohon kepada Guru Besar Sekolah Kebangsaan Pekan Bangi untuk menghantar sejumlah kamus dan sejumlah buku-buku baru diterbitkan kepada Perpustakaan sekolah tersebut. Kunjungan ADUN ke sekolah tersebut dan pengiring-pengiring atas dasar ilmu. Pada kesempatan tersebut ADUN juga melawat bangunan lama sekolah itu sebagai bahan antic sekolah tersebut yang merupakan salah sebuah sekolah tertua di Hulu Langat. Bangunan lama ini didirikan pada tahun 1924. Dinding dan lantainya adalah daripada kayu, tetapi masih kukuh. Bangunan ini masih digunakan sebagai dewan perhimpunan. ADUN memuji pihak sekolah yang mengekalkan bangunan lama ini di samping bangunan-bangunan baru. Kekalkan bangunan tersebut sebagai bahan antic dan muzium sekolah untuk tatapan generasi. ADUN yang diiringi antaranya oleh Ketua Kampung Bangi Saudara Mohamed Marzuki Ibrahim dan beberapa yang lain memberitahu beliau adalah salah seorang murid tua sekolah tersebut dan sempat belajar di bangunan sekolah berkenaan. ADUN juga sempat meninjau Kelas Pra Sekolah yang terdapat di sekolah tersebut.


Terima kasih kepada Guru Besar Puan Zakiah Idris kerana sudi menerima koleksi kamus dan buku bagi perpustakaan sekolah tersebut.

Mesyuarat Agung Persatuan Peniaga Pasar Seksyen Satu BBB

Bangunan PKNS, 11 Safar 1431 = 27 Januari 2010 (Rabu):

Persatuan Peniaga Pasar di atas yang dirasmikan penubuhannya oleh ADUN Bangi pada 24.3.2008 bertempat di Pasar Bandar Baru Bangi, nampaknya berjalan lancar. Banyak kemajuan dan kebajikan bagi menjaga kepentingan peniaga telah dibuat. Pihak MPKj juga banyak mencurahkan pembangunan bagi menjadikan pasar lebih menarik. Pelanggan-pelanggan datang membeli makin bertambah terutama pada hari Sabtu dan Ahad.

~Pengerusi Persatuan, En. Zazali Mohd Yusop~

Setelah dua tahun ditubuhkan hari ini Persatuan mengadakan Mesyuarat Agung bagi kali kedua selepas penubuhan, kali ini mesyuarat bertempat di Dewan Cempaka Tingkat 4, Bangunan PKNS. ADUN Bangi sekali lagi dijemput untuk merasmikan Mesyuarat Agung bagi kali Kedua ini. Turut dijemput ialah Dr. Tajul Ariffin Noordin YDP Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi yang juga Ahli MPKj.


Dalam ucapan perasmiannya ADUN Bangi, bersyukur kepada Allah Persatuan yang ditubuh berjalan dengan baik. Kewangan dalam laporan Bendahari agak baik. Keahlian bertambah kepada 55 orang. Banyak kegiatan yang dilakukan bagi kepentingan ahli dan kemudahan bagi pembeli. ADUN mengingatkan peniaga-peniaga pasar di sini bukan bersendirian, tetapi menghadapi banyak saingan. Seperti dari pasar-pasar malam, kedai-kedai ikan dan sayuran dan lebih dari itu ialah pasar-pasar raya. Bagi menghadapi pertandingan daya tarikan perlu diadakan, seperti barang-barang yang ditawarkan hendaklah fresh dan segar, harga barang-barang hendaklah munasabah dan tidak terlampau tinggi. Kalau boleh menjadi tempat termurah dan jadi tempat rebutan pembeli-pembeli datang. Kebersihan hendaklah dijaga dan layanan kepada pembeli-pembeli perlu baik.


ADUN memberitahu beberapa projek telah dilaksanakan di Pasar Bangi, Seksyen Satu ini seperti pembaikan longkang keliling pasar, mewujudkan tempat buang sampah, melempa semen tempat yang selalu becak dan membolehkannya menjadi ruang peniaga. Dengan ini menambahkan peluang perniagaan. Untuk tahun 2010 beberapa pembaikan akan dibuat seperti memperbaiki landscape, membaiki tandas dan menurap jalan. Untuk mengelak jalan dari pecah sepatutnya lori dilarang dari masuk ke dalam. Dalam pemilihan Mesyuarat Agung ini, Pengerusi Persatuan, iaitu En. Zazali Mohd Yusop dapat mengekalkan jawatannya. Syabas ! Setiausaha yang dipilih ialah En. Mohd Yusri bin Junid dan Bendahari ialah Sdr. Zulkifli bin Mamat. Selamat menjalankan tugas.

January 29, 2010

`Tadarus Keliling` Dari Surau Ke Surau Di BBB

`Tadarus Keliling` Dari Surau Ke Surau Di BBB

Bandar Baru Bangi, 13 Safar – 29 Januari (Jumaat):

Satu keunikan Bandar Baru Bangi yang dikenali sebagai `Bangi Bandar Ilmu` yang mendukung niali-nilai Islam ialah kegiatan Tadarus Qur`an dari surau ke surau bersifat bulanan. Menurut Dr. Tajul Ariffin Noordin YDP Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi yang juga merupakan Ahli MPKj, ``Program tadarus keliling bulanan ini adalah merupakan idea bersama Persatuan Penduduk BBB dengan Persatuan Surau-Surau yang diketuai oleh Tuan Haji Ghazali Abbas yang juga pemimpin Surau An-Nur yang merupakan surau yang paling aktif dengan berbagai kegiatan dianjurkan oleh surau tersebut setiap minggu, bahkan setiap hari.``

Bila ditanya kepada Tuan Haji Ghazali, sejak bila aktiviti tadarus dimulakan, menurut beliau. ``Sejak lima tahun yang lalu.``.
Bila ditanya kepada Dr. Tajul Ariffin, ``Bagaimana idea ini tercetus ?``
``Kita mempunyai Persatuan Surau-Surau di Bandar Baru Bangi yang mempunyai 24 surau. Pengerusi dan Setiausaha sering bermesyuarat membincangkan aktiviti dan kepentingan surau dan Persatuan Surau-surau yang berindukkan Surau An-Nur sering mengadakan mesyuarat dengan Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi yang juga merupakan induk bagi persatuan-persatuan penduduk taman-taman. Dari situ timbul cadangan mengadakan tadarus dari surau-surau.``
``Apakah istimewanya Tadarus Dari Surau ke Surau itu ?`` Tanya ADUN kepada Haji Ghazali..
``Ialah membaca al-Qur`an itu baik dan dituntut, tapi di samping itu memupuk silaturrahim antara pimpinan surau-surau dan penduduk setempat di mana tadarus itu diadakan,`` Kata Haji Ghazali, ``Tanpa tadarus keliling kita tidak biasa dan mungkin tidak ziarah ke surau-surau lain. Macam hari ini saya pertama kali datang ke surau ini.``

Pada petang ini – Jumaat 29 Muharram 1431 bersamaan 15 Januari 2010 adalah tadarus mutakhir, iaitu diadakan di Surau Bangi Perdana Bandar Baru Bangi. Hadir bagi tadarus pada petang ini ADUN Bangi, Dr. Tajul Ariffin, Tuan Haji Ghazali, pengerusi-pengerusi surau-surau yang membawa bersama mereka jamaah surau masing-masing (sejumlah lima enam orang dari satu surau. Jika dibawa terlampau ramai mungkin tidak muat surau). Surau Bangi Perdana yang menjadi `Tuan Rumah` adalah dipengerusikan oleh Dr.Mohd Aderi Che Noh dan Imam utamanya ialah Tuan Haji Abdul Karim.
Bagaimana dengan perjalanan tadarus ?

Sebenarnya pada kebiasaannya keputusan untuk diadakan tadarus di sebuah surau pilihan dibuat keputusan pada tadarus di surau sebelumnya. Dari keputusan ini maklumat disebarkan melalui hebahan sembahyang Jumaat (Bagi surau yang dibenarkan mendirikan sembahyang Jumaat), melalui sembahyang jamaah di surau-surau, bahkan melalui hebahan surat tentang surau mana dipilih, tarikh dan masa. Kadangkala hebahan melalui poster dibuat.

Pada hari tadarus surau yang menjadi tuan rumah bersedia, termasuk minuman (biasanya air mineral bagi menyejukkan tekak mereka yang bertadarus) dan nasi sebagai jamuan selepas tadarus. Biasanya nasi kotak polistrin.

Petang tadarus pihak Surau an-Nur menghantar juz`-juz` Qur`an yang berasingan bagi setiap juz` (nipis), biasanya melebihi 5 salinan bagi setiap juz`.
Acara bertadarus bermula selepas sembahyang maghrib, biasanya dimulai dengan ucapan Pengerusi Surau mengalu-ngalukan hadirin ke surau, dikuti dengan ucapan oleh YDP Persatuan Penduduk. Bagi kali ini kebetulan ADUN hadir diminta ADUN menyampaikan sepatah dua kata. ADUN memuji kegiatan tadarus dan berharap kecintaan kita terhadap Qur`an lebih mendalam. Mungkin sekali sekala dapat diadakan konvensyen mengenai al-Qur`an dan pameran keilmuan yang berhubung dengan al-Qur`an. Kemudian diikuti dengan taklimat kaedah bertadarus, biasanya disampaikan oleh Tuan Haji Ghazali.

Kumpulan tadarus mestilah sebanyak 30 kumpulan, termasuk kumpulan perempuan di sebelah tabir (30 juz` mesti dikhatamkan). Sekurang-kurang bagi setiap kumpulan dua orang (bergilir membaca, biasanya satu halaman, seorang menyemak bergilir gilir hingga tamat satu juz`). Jika hadirin ramai yang datang katakana sampai melebihi 150 orang, bagi satu kumpulan lima orang atau lebih. Tadarus biasanya dimulai oleh Tuan Imam Surau dengan memulai dengan ummul kitab. Pembacaan biasanya dari selepas maghrib berterusan hingga jam 9.00 atau jika ada yang lambat tamat mungkin sampai jam 9.30. Bila sudah tamat 30 juz` dari 30 kumpulan, maka acara khatam Qur`an dijalankan oleh Imam dengan membaca ayat lazim dari Surah al-Dhuha hingga Surah al-Nas beramai-ramai dan kemudian diikuti dengan doa khatam Qur`an. Berikutnya salat Isya didirikan diikuti dengan jamuan kecil. Dalam masa jamuan ini interaksi hadirin berlaku. Kegiatan ini memberi manfaat yang mungkin ada orang yang tidak bertadarus di rumah secara banyak dan bersendirian, maka sekurang-kurangnya sebulan sekali bertadarus dengan agak banyak secara beramai-ramai, di samping menerima teguran dari segi bacaan dari kawan-kawan yang sama bertadarus. Kepentingan dari segi kemasyarakatan amat jelas, kerana dengan melalui tadarus dapat berkenalan dan merapatkan hubungan antara satu sama lain. Pada kali ini YDP Dr. Tajul Ariffin Noordin ditanya apakah kemungkinan pembaikan boleh dilakukan terhadap tadarus yang telah berjalan sejak lima tahun itu ?
Beliau menjawab kemungkinan pada masa hadapan kita adakan ceramah dari pakar bidang Islam atau al-Qur`an mengiringi tadarus, di samping mengadakan konvensyen dan pameran secara lebih besar sebagaimana dikatakan oleh YB, bagi meluaskan lagi kefahaman jamaah yang menghadiri tadarus tentang Islam dan Qur`an. Walau apapun `Tadarus Keliling` Dari Surau Ke Surau menjadi budaya ilmu dan Islam yang identik dengan Bandar Baru Bangi.

Sekian.

January 28, 2010

Kerjaya Kewartawanan Ada Glamour ?

KUIS, 09 Safar = 25 Januari (Isnin):

Menjadi pembaca atau penyampai berita di saluran tv yang wajah terpampang dan ditontoni khalayak seluruh dunia, demikian mengendalikan program-program siaran yang menampilkan wajah pengendali atau membaca berita dicorong-corong radio sehingga melalui suara dikenali dan terkenal tentulah menjadi idaman bagi mereka yang meminati bidang penyiaran. Mereka yang ditampilkan di media dari segi lelakinya kelihatan segak tampan bergaya dan yang perempuannya pula cantik dan menarik pula. Lantaran itu bidang penyiaran menjadi buruan bagi yang bercita-cita berkerjaya sedemikian yang statusnya mendekati bintang-bintang. Benarkah kerja kewartawanan penyiaran itu glamour atau adalah fatamorgana ?


Ada benarnya bidang Kewartawanan Penyiaran atau sekurang-kurangnya bekerja di dalam lapangan yang berkait dengan media menjadi rebutan. Sebagai bukti di pusat-pusat pengajian tinggi fakulti atau jabatan komunikasi yang menawarkan kursus berhubung dengan media dan kewartawanan adalah antara fakulti dan jabatan yang tinggi dengan permohonan. Kebiasaan permohonan melebihi jumlah pelajar yang diperlukan dan terpaksa ditolak. Sebagai contoh Kolej Universiti Islam Antarabangsa yang terletak di DUN Bangi, merupakan salah sebuah pengajian tinggi yang banyak terdapat di Bangi ini yang juga menawarkan Kursus Komunikasi dan Kewartawanan. Jabatan berkenaan juga merupakan jabatan yang popular di KUIS. Selain dari menghadiri kelas, tutorial dan praktikal, pelajar didedahkan dengan pengalaman mereka yang berada di dalam lapangan kerjaya bagi mendekatkan pelajar-pelajar kepada realiti kerjaya berkenaan.


Bagi tujuan berkenaan, maka pihak Jabatan Komunikasi KUIS dengan tenaga penggerak dan pelajar-pelajar menganjurkan forum Kewartawanan Siaran dengan ahli panel yang dijemput ialah En. Nazam Yusuf selaku Penolong Pengurus Editor Berita Bernama TV yang merupakan lulusan UITM dari School of Mass Communication –Majoring in Advertising dan panel kedua ialah Encik Ashwad Ismail, selaku Penyampai Berita dan Wartawan Penyiaran Astro Awani, berkelulusan Malaysia Institute of Integrative Media (MIM/Akademi TV3). Moderator forum ialah Puan Rahmatunnisa' Pensyarah Jabatan Komunikasi KUIS.

~En. Nazam Yusuf ketika membentangkan pengalamannya~

Pengalaman mereka berdua cukup membantu kepada pelajar yang hadir memenuhi dewan mengenai realiti kerjaya kewartawanan media. Menurut Sdr. Nazam apa yang dianggap glamour bila wajah keluar dikaca tv, bukan glamour, tetapi metos, realitinya merupakan satu exposure bersifat lime light. Kalau seorang itu menarik atau cantik, tetapi tidak mempunyai daya fikiran dan tidak fit, dia ibarat kembang bunga yang punya daya tarikan sementara dan kuncup. Pembaca berita lain dari wartawan penyiaran. Pembaca sebagai alat bagi menyampaikan maklumat. Manakala wartawan penyiaran adalah orang yang bergelumang dengan peristiwa dan maklumat. Tentulah wartawan penyiaran lebih intim dan menghayati akar umbi persoalan dan penyampaiannya penuh penghayatan dan hidup beserta dengan wajah dan body languagenya. Wartawan penyiaran kadang kala dituntut menghadapi kecekalan seperti berdepan dan melaporkan peristiwa banjir, tanah runtuh, gempa dan peperangan. Dalam keadaan cemas dan terdesak hidupnya turut sama dalam keadaan cemas, pakaian mungkin tak terurus, makan minum dan tidur tak tentu. Dia berada dan menurut rentak suasana. Ini antara tuntutan wartawan penyiaran yang pada hakikatnya kemanisan. Suasana sedemikian memberi impak dan sanjungan oleh khalayak yang menilai apakah dia wartawan penyiaran sebenar atau sebaliknya. Wartawan penyiaran juga menuntut keberanian bila berdepan dengan tokoh-tokoh besar diminta diinterview dan sebagainya dengan demikian memperlihatkan kewibawaan seorang wartawan atau sebaliknya.

~Encik Ashwad Ismail (Jambu) sedang menyampaikan slotnya~

Saudara panel kedua sebagai penyampai berita dan wartawan penyiaran mempunyai daya penarik dari segi ketampanan yang merupakan asset yang penting bagi penampilan di tengah khalayak dan di kaca TV. Menurut Saudara Ashwad, beliau sendiri semasa pergi membuat liputan tentang gempa di Padang sebulan yang lepas, beliau lebih dikenali dengan panggilan 'Jambu' dari namanya Ashwad. Reaksi pelajar dalam majlis terhadap beliau, terutamanya pelajar perempuan agak ketara dari segi respond terhadap beliau. Saudara Ashwad, dianggap mempunyai gaya penyampaian berita tersendiri dengan cara lebih relex dan beserta gerak dan body languagenya. Menurut Saudara Ashwad beliau menceburi bidang penyiaran kerana minat. Bila kita berminat kita seronok bekerja dan memberi tumpuan penuh. Beliau tak kisah tidak mendapat cuti pada hari-harikebesaran dan terpaksa bekerja dan tidak mengira masa jika diperlukan. Beliau mengingatkan bekerja sebagai Wartawan Penyiaran perlu menjaga, mengejar dan menepati masa atau dateline, terutama bila sesuatu berita hendak dikeluarkan. Di dalam hal ini kita perlu lebih kedepan dan tepat.

Apapun sebagaimana ADUN kemukakan dalam ucapan perasmian menjadi wartawan penyiaran menuntut kekuatan di dalam bidang keilmuan. Misalnya bila melaporkan persoalan budaya perlu memahami apa yang dikatakan budaya dan ciri-ciri yang diperkatakan. Bila melaporkan persoalan jenayah memerlukan kefahaman tentang undang-undang dan bila bercakap tentang agama, perlu memahami persoalan agama. Bidang penyiaran kewartawanan juga perlu mempunyai asas penyelidikan yang bersifat ilmiah agar apa yang dihasilkan di dalam penyelidikan benar dan mendalam. Laporan kewartawanan juga semestinya bersifat bertanggungjawab, tidak menyalahi fakta, tidak mengaibkan seseorang yang tidak bersalah dan tidak mengemukakan kenyataan yang salah, mengeliru dan tidak membawa kegelisahan kepada masyarakat.. Wartawan penyiaran mendapat dan melaporkan sesuatu maklumat melalui bahasa, sebab itu penguasaan bahasa yang menjadi medium penyampaian amat penting agar penyampaian dapat disampaikan dengan baik dan jelas. Penguasaan lebih dari satu bahasa amat penting bagi wartawan terutama bahasa Inggeris yang membolehkannya berkomunikasi dengan masyarakat luar dan setempat yang tidak memahami bahasa yang digunakan oleh wartawan. Bagi wartawan siaran selain dari minat dia juga sewajarnya seorang yang berbakat dan kreatif contoh dalam menggunakan bahasa dan penampilan sesuatu persoalan dan pengolahan. Sudah tentulah bagi meningkatkan ilmu pengetahuan seorang wartawan penyiaran sebagaimana bidang yang lain penambahan ilmu dan maklumat dengan pembacaan hendaklah dilakukan secara berterusan, begitu juga mempertingkatkan kemahiran dengan penulisan dan mempertingkatkan kualiti diri di dalam bidang penyiaran. Penyampai berita tidak seharusnya bersifat sebagai posman berita sehingga yang menerima tidak memberi perhatian kepada peyampai, tetapi kepada berita. Penyampai berita dan wartawan penyiaran seharusnya menguasai khalayak dengan penampilan dan berita.


Pelancaran PRADAS Di Bandar Baru Bangi

Seksyen 15, BBB. 7 Safar = 23 Januari (Sabtu):

~Antara hobi ahli PRADAS dipertunjukkan di Padang Sukan Bandar Baru Bangi~

Pelbagai hobi menjadi kesukaan individu melibatkan diri dengannya. Kerana minat mereka sanggup mengeluarkan perbelanjaan, menggunakan masa, tenaga dan minda. Demikianlah sekumpulan peminat bekerjasama di dalam kumpulan yang mereka namakan Peminat Radio Amatur Selangor (PRADAS). Kumpulan yang mendaftar dan mendapat kebenaran dari Suruhanjaya Multi Media ini (No. Daftar 0069-07- SEL.) menubuhkan persatuannya di Shah Alam pada tahun 2007. Kini berpindah operasinya di Seksyen 15 Bndar Baru Bangi. PRADAS diketuai Presidennya En. Fadzil bin Omar, Bekas Tentera. Beliau pernah berkhidmat sebagai Pegawai Komunikasi di ATM, Timbalan Presiden En. Rusli, Setiausaha En. Rudi dan Bendahari ialah Puan Rafidah. Sehingga kini keahlian PRADAS ialah seramai 1,400 ahli. Mereka terdiri dari berbagai profession dan latar belakang. PRADAS mempunyai peralatan radio yang movable bersifat 'two way communication' yang menggunakan 'four wheel drive'. Frequency radionya ialah 142.800 Mgh dengan callsign 9W3805 yang boleh cover ke utaranya boleh sampai ke Penang dan selatannya hingga ke Johor Bharu, ke timur pula hingga ke Lipis dan Jerantut Pahang, tetapi kapasitinya diperkecil dan dihadkan bagi mengelak gangguan terhadap penyiaran yang lain. Setiap individu mempunyai peralatan radio dan kod masing-masing.

~ADUN Bangi ketika mencuba penggunaan radio dalam kereta salah seorang peserta PRADAS~

Skop siaran mereka terhad kepada komunikasi sosial, kebajikan, membantu mereka yang dalam keadaan kecemasan seperti kebakaran, banjir, accident, tanah runtuh dan sebagainya. Mereka boleh dihubungi untuk mendapat bantuan. Komunikasi antara mereka ialah dengan menggunakan kod-kod yang diberi kepada individu ahli yang dikenali sebagai callsign itu. Pemancaran adalah 24 jam. Siaran tidak boleh digunakan bagi tujuan politik.

Hari ini PRADAS dan ahli-ahlinya berkumpul di tepi padang bersebelahan kedai berdekatan Kompleks Sukan, Seksyen 15 Bandar Baru Bangi dengan memasang khemah dan mempromosikan jualan peralatan komunikasi dan bahan-bahan yang dikeluarkan oleh persatuan bagi menambahkan dana persatuan seperti penjualan antena, baju persatuan, radio, bahan-bahan penerbitan dan sebagainya.

~Pengerusi PRADAS, Encik Fadzil ketika sedang berucap~

Dalam ucapan perasmian dan pelancaran ADUN menyifatkan hobi PRADAS adalah sebagai hobi yang bersifat scientific, Intellectual dan Kreatif. ADUN berharap dengan beroperasinya PRADAS dari Bandar Baru Bangi, PRADAS dapat memperkenal dan mempopularkan Bangi sebagai Bandar Ilmu dan menggalakkan pelancung ilmu ke Bandar Baru Bangi. ADUN berharap juga dapat menggunakan kemudahan PRADAS bagi membantu menyampaiakn maklumat mengenai kecemasan, kemalangan dan berbagai pertolongan yang perlu. Sebelumnya Encik Fadzil bin Omar sebagai Presiden PRADAS mengharapkan kerjasama dari ADUN di atas kerja-kerja kebajikan yang mereka tawarkan. PRADAS menurut En. Fadzil, walaupun sekarang mempunyai Pejabat atas ihsan ahli, tetapi beliau sedang mencari lokasi dan pejabat tetap.

~ADUN Bangi dalam ucapan perasmiannya~

Bagi upacara perasmian ADUN secara gimik menggunakan alat radio berkomunikasi dan berbual dengan seorang pengguna. ADUN sendiri diberi kod khusus dan diberi penghormatan mendaftar sebagai ahli. Selepas melancarkan gimik komunikasi dibawa melawat pejabat dan kemudian ke khemah-khemah jualan peralatan dan barangan.

~ADUN Bangi ketika melawat gerai-gerai pameran dan jualan~

January 27, 2010

Lebih 50 Tahun BN Memerintah,Berbanding PR 1 1/2 Tahun, Adakah SPR Membuat Penyiasatan Terhadap Peruntukan ADUN BN

Bangunan Annex, DUN Selangor, 10 Safar = 26 Januari (Selasa):

Sesi Pendengaran Awam Pertama Bagi Tahun 2010 – Peruntukan ADUN 2008/2009 bermula hari ini. Jawatankuasa yang lebih dikenali dengan SELCAT (Special Select Committee On Competence, Accountability And Transperancy) itu di Ketuai Speaker DUN Selangor YB Teng Chang Khim, Timbalan Speaker YB Haniza Binti Mohamed Talha, ADUN Bukit Antarabangsa YB Mohamed Azmin Bin Ali, ADUN Hulu Kelang YB Saari Bin Sungib dan ADUN Bukit Gasing YB Edward Lee Poh Lin.

~Dari kiri, Encik Nor Hisham bin Ahmad Dahlan dan Tuan Haji Zainal Abidin bin A'ala (Pegawai Daerah Hulu Selangor dan Hulu Langat)~

Untuk meneliti perbelanjaan peruntukan ADUN-ADUN 2008/2009 pihak SELCAT memanggil Pegawai-Pegawai Daerah yang bertanggungjawab mengurus peruntukan-peruntukan ADUN-ADUN di bawah Pejabat-Pejabat Daerah masing-masing. Untuk pendengaran hari ini dua Pegawai Daerah dan pembantu-pembantu masing-masing dari dua kawasan dipanggil, iaitu Pegawai Daerah Hulu Selangor Encik Nor Hisham bin Ahmad Dahlan dan Pegawai Daerah Hulu Langat Tuan Haji Zainal Abidin bin A'ala. Sebahagian hadirin adalah kalangan pemberita dari berbagai media.


Tanggapan yang dapat dibuat dari perjalanan perbelanjaan, bahawa pada masa Selangor di bawah pemerintahan BN dapat dikatakan bahawa, BN itu adalah Kerajaan dan Kerajaan itu adalah BN, sebab itu memperlihatkan perbelanjaan dilakukan secara sewenang-wenang, tidak membezakan antara Kerajaan yang memerintah dan parti. Peruntukan 2008, sebanyak RM500,000 dibelanjakan oleh ADUN-ADUN BN dalam tempoh 2 ½ bulan. Contoh bagi Dun Kuala Kubu daripada peruntukan RM500,000 dibelanjakan RM463,409.28 dalam tempoh 1 ½ bulan sahaja sebelum pilihanraya Mac 2008. Menurut En. Hisham duit interest hasil dari simpanan peruntukan tidak dimasukkan ke dalam akaun ADUN untuk digunakan bagi kepentingan rakyat, tapi diguna sebagai imbuhan pekerja.


Pihak ADUN Hulu Bernam misalnya mengeluarkan cek dari peruntukan kepada Wanita, Pemuda dan Puteri Umno. Lebih dari RM100,000 diperuntukkan kepada Umno-Mca. Di Kuala Kubu untuk perayaan Thaipusam bayaran dibuat atas nama 20 individu, bukan atas pengurusan kuil. Apabila ditanya tentang kewajaran perbelanjaan dilakukan oleh ADUN-ADUN BN menjelang pilihanraya. Beliau mengakui tidak wajar, kerana jika peruntukan setahun dibelanjakan dalam tiga bulan, maka tidak ada peruntukan bagi 9 bulan yang lain.

Walaubagaimana menurut E. Hisham, sebagai pegawai dan kakitangan kerajaan yang memerintah, walaupun kurang senang dengan apa yang berlaku, kami bersikap "sami'na wa ata'na", yakni patuh dengan apa yang dikehendaki oleh pemerintah, pada masa itu, iaitu BN. Menurut Encik Hisham, beliau dan besar kemungkinan pihak ADUN-ADUN BN berkeyakinan mereka akan kekal memerintah selepas pilihanraya Mac 2008, sebab itu mereka bertindak secara sewenang-wenang dan tidak berhati-hati dalam perbelanjaan. Ditimbulkan juga penyelewengan-penyelewengan yang terjadi diakibatkan juga oleh kerana keghairahan orang mengelilingi ADUN bagi mendapat habuan dari projek-projek dan kegiatan-kegiatan yang dilakukan.

Bila beliau dikemukakan oleh Panel SELCAT, tidakkah sikap pasif ini menyebabkan prestasi Kawasan Hulu Selangor mundur, sehingga tercorak dari segi kutipan hasil, menyebabkan Menteri Besar pada masa itu menghadiahkan penyapu kepada Encik Hisham sebagai Pegawai Daerah di Hulu Selangor pada masa itu ? Beliau mengaku beliaulah yang menerima penyapu sebagai Pegawai Daerah pada masa itu, tetapi beliau pada masa itu baru bertukar ke Kuala Selangor baru empat bulan. Kelemahan dari segi kutipan cukai adalah di bawah pentadbiran Pegawai Daerah sebelum daripada beliau. Beliau menyebut kutipan 2006, "Tahun Penyapu" adalah di bawah 40%, tetapi setahun selepas itu dan seterusnya semasa di bawah pentadbirannya cukai yang dipungut adalah melebihi 90% dan Hulu Selangor menerima Anugerah Prestasi Cemerlang dengan diberi hadiah RM100,000 kepada Daerah Hulu Selangor.

Sesi kedua ialah giliran Tuan Haji Zainal Abidin bin A`la dan pembantu-pembantu dijemput ke hadapan penal SELCAT. Tuan Haji Zainal Abidin menekankan perlunya kejujuran di dalam menjalankan tugas dan mengikut garis panduan pekeliling yang dikeluarkan oleh kerajaan. Menurut Tuan Haji Zainal Abidin, kalaupun ada kuasa, kenalah mengikuti garis panduan peraturan, itulah yang beliau cuba ikuti.

Pengeluaran kewangan di dalam masa singkat sebelum pilihanraya Mac 2008 juga berlaku di DUN-DUN Hulu Langat, termasuk bayaran kepada parti, jumlah-jumlah bayaran tinggi bagi individu dan bagi beberapa kegiatan. Berlaku bayaran luar biasa dianggap oleh Panel sebagai tidak mengikut peraturan. Tapi Tuan Haji Zainal Abidin menghujah, bahawa beliau bersetuju dari segi luar biasa, tapi kurang bersetuju sebagai tidak ikut aturan, kerana tidak ada peraturan khusus yang mengarah pengeluaran dalam jumlah tertentu dalam tempoh tertentu. Tuan Speaker nampaksanya bersetuju itu adalah kelemahan dari segi pekeliling yang tidak menyebut berhubung dengan perkara berkenaan.

Dalam konteks di atas, menurut Tuan Haji Zainal Abidin permohonan yang diterima oleh Pejabat perlu diselesaikan. Walau bagaimana semua setuju peruntukan digunakan bagi menghadapi pilihanraya. Menurut Tuan Speaker semua 56 DUN, kecuali satu sahaja, menggunakan 80% peruntukan sebelum pilihanraya. Walau bagaimana Tuan Haji Zainal Abidin bersetuju ada kelemahan-kelemahan pada kertas yang dikemukakan, misalnya tiada catatan nombor seturut yang memudahkan rujukan dan ada kesilapan angka dan typing error yang menurut beliau akan dibaiki. Beliau bersetuju pendekatan dan kaedah perbelanjaan di bawah Pakatan Rakyat lebih tersusun dan ini diperkemaskan lagi dengan Pekeliling 1/2010 yang baru dikeluarkan. Pendengaran Awam seterusnya boleh diikuti dari siaran secara langsung dari bangunan Annex bagi setiap Pendengaran Awam dijalankan.

Terima kasih.

January 26, 2010

Hari Kecemerlangan Pasti Selangor

Institut Pertanian Malaysia, 07 Safar = 23 Januari (Sabtu):



Acara tahunan bagi meraikan anak-anak cemerlang pada tahun ini diadakan di Puchong yang Pasti Puchong menjadi Tuan Rumah. Seramai 41 anak-anak cemerlang yang mewakili kawasan-kawasan (22 kawasan) dari seluruh negeri diiringi guru-guru dan ibu bapa mereka hadir memenuhi dewan Institut Pertanian Serdang.. Anak-anak ini merupakan anak-anak cemerlang yang dipilih melalui saringan pada peringkat pasti, cawangan, kawasan dan negeri, iaitu dipilih dari seluruh Pasti di Negeri Selangor yang kini berjumlah 225 pasti yang murid-murid semuanya berjumlah serama 13,000 murid yang dibimbing oleh 886 guru.


Mereka yang terpilih ini akan dipilih pula pada peringkat pusat sebagai anak-anak cemerlang pada pereingkat Pusat yang difaham akan diadakan pada minggu hadapan. Puchong pada kali ini memilih Munawarah bt. Mahadi mewakili tahun 5 dan Akmal bin Azman mewakili Tahun 6. Mereka berdua antara murid-murid cemerlang terpilih pada peringkat negeri. Hadir pada hari kecemerlangan ADUN Bangi yang dijemput merasmikan Hari Kecemerlangan berkenaan, Ustaz Hasbullah bin Mohd Ridzwan Ketua Pemuda Pas Selangor yang juga selaku Pengarah Pasti Negeri Selangor, Tuan Syed Ahmad Thani Tuan Hadi selaku Pengarah Sambutan, Puan Norhayati Abdul Razak selaku Ketua Majlis Guru-Guru Pasti, tamu-tamu jemputan, guru-guru dan ibu bapa yang memenuhi dewan sambutan.


Dalam ucapan perasmiannya ADUN Bangi memuji AJK sambutan yang diketuai Pengarahnya Tuan Syed Ahmad Thani Tuan Hadi yang berjaya mengadakan Majlis Hari Kecemerlangan Pasti pada hari itu dengan baik dan teratur. Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada guru-guru dan ibu bapa yang datang dari berbagai-bagai daerah Negeri Selangor kerana memberi galakan dan semangat kepada anak-anak. Beliau berharap mereka terus berbakti memupuk generasi umat dari peringkat semuda usia yang ditanam dengan nilai-nilai Islam bagi panduan hidup mereka pada masa hadapan. Beliau mengharap terutama kepada ibu bapa meneruskan penanaman nilai keislaman terhadap anak-anak pada peringkat-peringkat yang mereka akan lalui pada masa hadapan. Pilihlah pendidikan mereka seterus berpaksikan Islam. ADUN berharap mereka akan menjadi pelapis pimpinan Islam pada masa hadapan.


Manakala Ustaz Hasbullah bin Mohd Ridzwan selaku Pengarah Pasti Negeri Selangor dalam ucapan alu-aluannya memaklumkan kecemerlangan murid-murid adalah dinilai dari segi akademik, kokurikulum, kepimpinan dan sakhsiah Islam dalam program pendidikan Pasti. Penilaian ini secara tidak langsung juga menilai prestasi guru-guru dan sekolah yang diwakili anak-anak cemerlang. Pada tahun 2009 murid-murid menempuhi dua peperiksaan, pertengahan tahun pepereksaan di bawah Pasti negeri dan pada akhir tahun di bawah Pasti Pusat. Menurut UstazHasbullah pendidikan Pasti kini diterima sebagai pendidikan terbaik pada peringkat pra-sekolah. Dari bukti-bukti menunjukkan anak-anak yang melalui pendidikan Pasti pada kebiasaannya menjadi anak-anak yang maju dan terkehadapan apabila mereka menyambung pengajian pada peringkat sekolah rendah.


Berikut dari perasmian penyampaian sijil dan hadiah dilakukan oleh ADUN Bangi kepada anak-anak cemerlang yang berjubah akademik, manakala ibu bapa sebok merakamkan gambar saat gemilang dan bersejarah bagi anak-anak mereka. Acara bergambar beramai-ramai juga turut dilakukan.


Sekian.

January 25, 2010

Sambutan Ponggal Di Bangi Meriah

Kajang Utama - BBB, 08 Safar = 24 Januari (Ahad):


Lebih dari 700 orang telah menghadiri sambutan “Makkal Ponggal & Sukaneka 2010” anjuran bersama Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Bangi, MPKj dan Rukun Tetangga Kajang Utama. Mereka terdiri dari masyarakat berbilang kaum dari Bangi Lama, West Country, Bukit Mutiara dan Semenyih. Sambutan telah diadakan di padang awam bersebelahan Rukun Tetangga Kajang Utama. Berbagai acara telah diadakan seperti memasak ‘ponggal’, pecah takar, raja dan rani ponggal, mereka bentuk dan mewarna kain rentang “Tidak Kepada GST” dan menganyam ‘matei’.

ADUN Bangi, Dr. Shafie Abu Bakar amat berpuas hati dengan sambutan orang ramai terutama masyarakat sekeliling.

“Keistimewaan DUN Bangi ialah masyarakatnya yang berbilang kaum. Dan pada hari ini kita lihat sambutan ‘ponggal’ ini bukan sahaja disambut oleh orang India, bahkan orang Melayu dan orang Cina turut sama. Perpaduan antara kaum akan wujud jika kita saling menghormati dan saling memahami budaya semua kaum. Keterlibatan kita pada hari ini membuktikan bahawa kita tidak pernah meminggirkan mana-mana kaum dan ini adalah satu cara kita membalas kepercayaan mereka terhadap kerajaan Pakatan Rakyat. Kita secara berterusan akan membantu dan menghulurkan sumbangan yang diperlukan kepada mereka,” katanya ketika ditemui.

Antara tetamu kehormat yang turut hadir ialah ADUN Kota Damansara Dr. Nasir yang juga merupakan Presiden Parti Sosialis Malaysia (PSM). Turut dilihat bersama beliau ialah En. Aruchevlan, Setiausaha PSM yang juga ahli Majlis MPKj Zon 20.

Seorang peserta yang ditemubual En. Raj Mohan, 43 tahun berkata,”Inilah pertama kali kami merayakan sambutan ‘ponggal’ ini secara besar-besaran. Lebih bermakna lagi bila ada penyertaan kaum-kaum lain seperti orang Melayu dan Cina. Terima kasih kepada wakil rakyat sekarang yang lebih peka dan prihatin terhadap kaum lain berbanding wakil rakyat terdahulu.”

Beliau menyertai acara menganyam ‘matei’ iaitu pelepah daun kelapa berwarna hijau dibelah dua dan dianyam untuk dijadikan bidai pada sesuatu perayaan. Walaupun hanya mendapat tempat ketiga beliau amat berpuas hati kerana sebelum ini beliau hanya menyambut dikalangan ahli keluarga beliau sahaja.

En Abu Bakar, Pengarah Program yang ditemui sebaik sahaja sambutan selesai berasa amat bersyukur dengan dan berterima kasih kepada semua pihak-pihak yang terlibat.

“Saya amat-amat berterima kasih kepada pihak-pihak seperti Kelab Penyokong PAS Bangi, aktivis Parti Sosialis Malaysia, rakan-rakan dari Rukun Tetangga Kajang Utama dan yang paling utama penduduk Kajang Utama. Mereka memberikan komitmen yang begitu berharga kepada kami selaku penganjur. Saya berharap pada masa depan sambutan ini dapat diteruskan ditempat lain untuk memberi peluang pada penduduk tempatan berinteraksi antara satu sama lain. Selepas ini kita akan berbincang dengan wakil-wakil dari Kelab Penyokong PAS untuk merancang berbagai aktiviti ditempat mereka.”

January 24, 2010

Kaedah Mencegah Jenayah

Kajang Utama – BBB, 05 Safar = 21 Januari (Khamis):

Di bawah diperturunkan Kaedah-Kaedah Mencegah Jenayah

1. Dialog


Iaitu hasil dialog antara ACP Mohd Shakaruddin Ketua Polis Kajang dengan penduduk di Balai Rukun Tetangga Kajang Utama pada 20 Januari dan hasil dari dialog antara Tuan Haji Toha Abdullah Timbalan ACP Polis Kajang dan Encik Zubir Ketua Balai Polis Bandar Baru Bangi di Surau al-Umm, Bandar Baru Bangi pada 21 Januari.

2. Jenis-jenis jenayah

1) Pecah Rumah Mencuri
2) Pecah Kereta, curi kereta dan motor
3) Guna van, Pacuan 4 roda dan lori
4) Kes rogol
5) Kes ragut
6) Penagih dadah
7) Pencolekan

3. Pencuri

a) Indonesia Antaranya Geng Jambi, Geng Avanza dan lain-lain
b) Pencuri dari Costa Rica, Colombia, Arab Saudi, India, Pakistan, Bangladesh,
Iran, Afrika dan Eropah
c) Mencuri secara kumpulan, Ada macam suami isteri. Perempuan di luar & dua lelaki
masuk di dalam rumah
d) Datang buat survey, tempat, penghuni bekerja atau tidak
e) Datang waktu siang angkut barang, tatkala tiada penghuni rumah
f) Pencuri tempatan

4. Pencegahan

a) Kebanyakan kes kecurian berlaku pada waktu malam. Sebab itu pasang lampu waktu malam
b) Siang hari, walaupun penghuni ada dirumah, gate dan kediaman hendaklah dikunci. Kalau keluar, walaupun sekejap hendaklah dikunci.
c) Hendaklah kenal mengenal dengan jiran, bagi sama mendapat pertolongan dan elak dari penjahat tinggal di kawasan kita..
d) Kenderaan hendaklah berkunci, walaupun dalam pagar kawasan rumah
e) Jika perompak masuk, jangan lawan, kecuali jika jangkaan dapat menguasai mereka.
f) Jika disyaki ada pencuri cuba mencerobohi rumah, bunyikan alarm kereta dan hubungi jiran-jiran
g) Jika pulang ke kampong perlu beritahu jiran atau amanahkan kunci untuk diambil perhatian terhadap rumah.
h) Baca ayat Qur`an, khususnya Ayat Kursi bagi mencegah sihir dan ilmu hitam
i) Jangan membawa barang-barang kemas dan wang dalam beg galas yang menarik minat peragut
j) Awasi masa mengeluarkan wang dari ATM jangan sampai kod number didapati oleh penjenayah
k) Hati-hati bila keluarkan wang dengan jumlah yang banyak, jangan sampai diekori perompak atau membawa mereka merompak rumah pada malamnya
l) Jika kes kecurian menjadi-jadi dan tinggi perlu ada kawalan dan kerjasama dengan Rukun Tetangga dan Polis

5. Harapan pada Polis dan Penduduk

a) Memerlukan kekerapan rondaan dari Polis
b) Ada `Kotak Polis` yang mencatat kehadiran dan keadaan setempat bila membuat lawatan
c) Kalau ada yang mencurigakan, lapor pada Polis
d) Perlu senaraikan nama penduduk, maklumat diberi kepada Polis dan rumah-rumah dikawasan untuk dirujuk bagi tindakan diambil.
e) Simpan no telefon balai polis dan penduduk kawasan

6. Kes-Kes Di Bandar Baru Bangi

Menurut En. Zubir ketua Balai Polis Bandar Baru Bangi, kes-kes berlaku sepanjang 2009 adalah sebagaimana berikut:

10 kes curi motosikal
3 kes samun
15 kes pecah rumah
2 kes kecurian dalam rumah
2 kes curi kereta

Manakala bagi bulan ini (Januari – 20 hari)

2 pecah rumah
1 curi kereta.

Walau bagaimana angka-angka di atas boleh dipertikaikan, kerana di dapati dalam dua bulan lepas sahaja, di kawasan 1/3 berlaku sebanyak 20 kecurian. Ini bermakna ramai tidak melaporkan kejadian kepada polis, kerana ada yang berpendapat laporan-laporan yang dibuat sebelumnya tidak diambil tindakan dan tidak dapat diselesaikan. Mangsa-mangsa jenayah di Bandar Baru Bangi juga merasa cerewet, kerana laporan jenayah yang dibuat di Balai Polis Bandar Baru Bangi dikehendaki ke Balai Polis Kajang pula (dua kali kerja). Mengapa laporan tidak diterima di Balai Polis Bandar Baru Bangi sahaja. Jika tidak ada pegawai bahagian jenayah, mengapa pegawai berkenaan tidak diadakan di Bandar Baru Bangi ? Bukankah dengan cara ini memudahkan urusan dan menggalakkan mangsa membuat report kejadian jenayah ? Usaha meningkatkan keyakinan masyarakat perlu dilakukan. Laporan perlu dibuktikan dengan tindakan. Orang ramai perlu digalakkan bekerjasama dengan Polis dan membuat laporan sebarang kejadian jenayah.

Sekian.

January 23, 2010

Isu-Isu Dibangkitkan Penduduk Kajang Utama Di Dalam Dialog

Kajang Utama 04 Safar = 20 Januari (Rabu):


Kajang Utama: Satu Majlis Dialog diadakan pada jam 9.00 malam pada tarikh di atas bertempat di Balai Komuniti, Kajang Utama. Dialog adalah dianjurkan oleh Persatuan Penduduk antara penduduk dengan Ahli Parliman Serdang, ADUN Bangi, Pihak Polis, MPKj dan Pemaju Kajang Utama (MRCB). Hadir pada majlis itu YB Teo Nie Ching Ahli Parliman Serdang, Dr. Shafie Abu Bakar ADUN Bangi, ACP Mohd Shakaruddin Bin Che Mud, Ketua Polis Kajang, Ustaz Shafie Ngah Ahli MPKj, Wakil-Wakil dari MPKj dan Wakil-Wakil dari MRCB, Ketua Rukun Tetangga En. Ibrahim Martibi dan orang ramai dari kalangan penduduk setempat.


Antara isu yang dibangkitkan:

1. Terowong ke Kajang Utama (SILK):

Terowong tidak diberi priority oleh Kerajaan Pusat. Tidak dimasukkan di dalam Rancangan Malaysia kesepuluh. Bersetuju untuk menghantar memorandum ke Parlimen bagi menyegerakan pembinaan. Kalau boleh dalam RMK 10 juga. Walau macam mana ada satu projek perumahan oleh Metro berdekatan dengan Kajang Utama. Dalam pelan pembangunan melibatkan pembinaan Flyover dari Kajang Utama melalui traffic light sekarang ke Bandar Baru Bangi. Jalan dan Fly over ini akan dibina secara bersama antara Metro dan Syarikat Regal Form selaku pemaju-pemaju perumahan. Kita akan berunding dengan syarikat-syarikat berkenaan bagi mempercepatkan binaan dan juga bagi mempastikan kepentingan dan kebajikan penduduk terbela.



2. Sekolah Agama Rakyat

Sekolah agama yang ada sekarang hendaklah diteruskan. Kita akan meneruskan permohonan agar tanah lapang yang selama ini kita memohon akan terus dipohon. Di samping di dalam tapak pembangunan perumahan baru oleh Metro, kita akan memohon tanah reserve untuk sekolah swasta diperuntukkan bagi sekolah agama.

3. Dewan Orang Ramai

Oleh kerana tapak bagi dewan sudah ada, kita menuntut MPKj membina dewan berkenaan. Wakil MPKj diharap memberi perhatian dan memberi keutamaan.


4. Padang Bola

Oleh kerana tapak juga sudah ada kita mengharapkan pihak MRCB dapat menyempurnakan tapak ini sebagai padang bola bagi kegunaan penduduk, khususnya dari kalangan belia.

5. Klinik Kesihatan

Kuasa di bawah Kerajaan Pusat. Kita harap Ahli Parlimen YB Sdri Teo Nie Ching dapat membawanya ke Parlimen pada sidang-sidang akan datang.


Isu-Isu berkait dengan MRCB dan MPKj

1. Jalan tidak diturap

20 tahun usia Kajang Utama. Jalan belum diserah kepada MPKj. Pihak MRCB belum menurap jalan utama dan jalan taman. Harap Pemaju dan MPKj berunding bagi menurapkan jalan-jalan yang rosak.

2. Status Tanah Lapang

Tanah yang digezet sebagai tanah lapang, tidak boleh digunakan untuk tujuan yang lain.

3. Alat-alat Permainan di Taman-Taman Permainan

Harap pihak MRCB menggantikan yang rosak dan memperbaiki yang boleh diperbaiki.

4. Lampu tidak berfungsi

Sebelum dialog ini pihak berkenaan telah membaiki lampu-lampu yang rosak. Tapi jika ada lagi yang masih belum bernyala. Kemukakan aduan. Boleh melalui Ahli MPKj kawasan.

Isu-Isu Berhubung Dengan Keselamatan

(Akan dibincangkan dalam ruang yang lain secara berasingan)

Isu-Isu lain

1. Banjir Di hadapan Sekolah

Harap pihak Pemaju/MPKj dapat atasi banjir yang kerap berlaku dihadapan sekolah apabila hujan.

2. Premis Kedai Kosong

Boleh diguna oleh NGO atau Polis, kerana sewanya agak murah.

3. Pokok Besar
Diharap pihak Pemaju/MPKj dapat menghantar khidmat memotong pokok-pokok yang besar, khususnya yang melindungi cahaya lampu jalan

January 22, 2010

Merasmikan Portal e-Fardhu `Ain Masjid al-Munawwarah

Seksyen 27, Shah Alam, 6 Safar = 22 Januari (Jumaat)


ADUN Bangi selaku Pembantu Exco Hal Ehwal Islam dan Adat-Adat Melayu memuji AKJ Masjid al-Munawwarah yang diketuai Nazirnya – Ustaz Muhayat kerana bersifat pro-aktif menggunakan kemudahan komunikasi moden portal e-mail dan sms sebagai saluran maklumat yang dapat dimanfaatkan oleh seluruh ahli jamaah Masjid al-Munawwarah. Dr. Shafie dijemput khas bagi merasmikan portal berkenaan. Menurut Dr. Shafie, "Masjid al-Munawwarah mungkin antara masjid terawal yang menggunakan kemudahan seperti Portal e-Fardhu Ain di Selangor."


Menurut Dr. Shafie, "Melalui maklumat langsung dan berterusan para jamaah dapat mengetahui dan mengikuti program yang dianjurkan oleh Masjid dan mengikuiti pengisian dan pengajaran. Dengan kemudahan ini memberi ruang kepada para jamaah meningkatkan ilmu pengetahuan di samping mengikuti program-program yang lain." Dr. Shafie berpendapat para jemaah patut bersyukur kepada Allah atas inisiatif yang diusahakan oleh AJK.


ADUN difahamkan pihak masjid sebelum pelancaran telah mendaftar 90% dari ahli kariah dan no. handset mereka. Sambutan amat menggalakkan. Lebih dari 1,000 ahli didaftarkan. Melalui penggunaan portal ini dapat mempercepatkan maklumat, mengurangkan kos dan tenaga. ADUN difahamkan oleh Haji Ghazali yang mengurus dan merangkakan khidmat portal untuk menyampaikan maklumat mengenai satu program di masjid, katakan mengenai ceramah, memakan perbelanjaan 9 sen bagi setiap orang. Ini bagi satu 'blast' untuk satu maklumat kepada semua ahli, memakan peruntukan RM90.00 (untuk 1,000 orang). Ini bererti pelancaran derma perlu dilakukan bagi menghantar maklumat-maklumat.

Tuan Nazir, Ustaz Muhayat di dalam ucapan alu-aluannya sebelum perasmian dilakukan oleh Pembantu Exco Agama berkata, "Melalui Portal e-Fardhu Ain, masjid masuk kepada fasa baru di dalam berdakwah dan menyebarkan pengajaran Islam, iaitu melalui Maya." Menurutnya, "Ini adalah cara terbaik dan sesuai dengan perkembangan IT yang menyeluruh dan global". Menurutnya, "Menggunakan portal memerlukan dana, maka pada hari ini juga dilancarkan Tabung Dana bagi kelangsungan portal," katanya.


Pada hari ini tuan Khatib dan Imam Masjid al-Munawwarah, Ustaz Marshidi menyampaikan khutbah bertajuk 'Kepentingan Ilmu Dalam Masyarakat Moden' sesuai dengan pelancaran Portal.


Sekian.

Taman Melor Berhasrat Mendirikan Masjid

BBB, 6 Safar = 22 Januari (Jumaat):



Taman Seri Melor mempunyai sebuah surau kecil yang diberi nama Surau al-Muhajirin Surau ini berjalan dengan baik di bawah kepimpinan Pengerusinya Tuan Haji Abdul Aziz bin Abu Bakar. Berbagai-bagai kegiatan diadakan seperti pengajaran, pengajian, bimbingan anak-anak, sambutan hari-hari perayaan Islam dan sebagainya. Pendeknya kebanyakan kegiatan penduduk yang 90% beragama Islam adalah berpusat di surau ini. Hubungan dengan Persatuan Penduduk di bawah Pengerusinya Tuan Haji Hashim bin Haji Rahim juga amat baik. Dengan pertambahan penduduk, maka surau yang didirikan sejak 1997 berikut dari Taman Seri Melor mulai diduduki (1995) ini dirasakan agak sempit. Usaha bagi pembesaran telah dirancang. Perkara ini pernah disampaikan kepada ADUN pada pertengahan tahun 2009, memandangkan tapak surau merupakan tanah yang sempit dan belum digezatkan, ADUN pernah mencadangkan agar dipohon tapak tetap ditepi tasik berdekatan sebagai tapak masjid yang memungkinkannya menjadi 'Masjid Terapung' di Bandar Baru Bangi. Idea ini nampaknya diterima oleh Jawatankuasa dan mereka bekerja ke arah menjayakan hasrat murni berkenaan.


~Para AJK Surau meninjau kawasan cadangan pembinaan Masjid~


Kawasan tasik dan tanah sekelilingnya seluas 13.4 ekar adalah merupakan tanah bekas lombong milik kerajaan berkedudukan bersebelahan Taman Seri Melor dan berdekatan dengan kelompok rumah-rumah pangsa di Seksyen 7, manakala banyak lagi bangunan tinggi dalam pembinaan. Pihak AJK Surau dan Persatuan Penduduk telah membuat survey dan mendapati bagi tapak masjid diperlukan ialasebanyak 5 ekar, selebihnya untuk keperluan rekreasi. Di atas tapak ini kelak bukan saja didirikan masjid, tetapi lengkap dengan rumah Imam, rumah Bilal dan rumah Siak, dewan kuliah dan seminar, kelas pengajian/tuisyen, perpustakaan, bilik mandi jenazah, tempat memasak bahkan melibatkan tempat riadah seperti jimnasium, gelanggang takraw/badminton dan permainan lain, juga tempat komersil seperti kedai komputer, kedai serbaguna, kedai gunting dan kios makanan. Masjid ini kelak akan diguna bukan saja oleh penduiduk Taman Seri Melor, tetapi juga, Taman Seri Intan, Seksyen 7 dan 8, Empat Tambahan, West Country dan Kajang Mewah yang melibatkan puluhan ribu penduduk. Buat masa ini kegiatan ibadat dan agama di kawasan berkenaan ditampung oleh beberapa surau. Sebuah surau di Seksyen 7, iaitu Surau al-Islah di Kajang Mewah diberi keizinan mendirikan sembahyang Jumaat. Tempat ini tidak kecukupan ruang, walaupun penambahan demi penambahan ruang dibuat.


Dalam masa enam bulan terlantik jawatankuasa pembinaan masjid yang dipengerusiksn oleh Tuan Haji Mohamad Nasir Jusoh dan disetiausahakan oleh Sdr. Yem bin Parmin.Jawatankuasa telah berusaha membuat survey, plan layout, landscaping, mengenal pastibentuk bangunan mirip kepada yang jangka didirikan. Bahkan dalam masa tersebut Jawatankuasa menemui mereka yang berpotensi dapat membantu membiayai kos bangunan yang dijangka memerlukan peruntukan lebih dari RM10 juta,. Pembinaan tertaklik pada kelulusan tapak dari jabatan-jabatan berkenaan dan keizinan dari JAIS diperolehi.


~Pemandangan tasik bersebelahan kawasan cadangan pembinaan~


Penerusan dari usaha dan persediaan di atas, maka pada jam 2.30 petang hari Jumaat 29 Muharram 1431 bersamaan 15 Januari 2010 diadakan pertemuan di Surau al-Muhajirin Taman Melor bagi memberi penerangan dan melihat tapak bagi bakal masjid yang diusaha untuk didirikan. Yang hadir pada petang ini ialah ADUN Bangi, Dato` Ir. Mohd Ghazali bin Osman, Bekas Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia bersama sahabatnya Tuan Ir. Jailani yang Dato` Ir.Mohd Ghazali dijangka menjadi penyumbang dana kewangan, Ustaz Shafie Ngah ahli MPKj, Encik Yusof Bachik Ahli MPKj, di samping Tuan Haji Abdul Aziz Pngerusi Surau, Tuan Haji Hashim Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Seri Melor dan Tuan Haji Mohamad Nasir Jusoh Pengerusi Pembangunan Masjid, ahli-ahli jawatankuasa dan ahli jamaah surau. Ucapan ringkas di dalam pertemuan itu Haji Mohamad Nasir menyatakan hasrat mendirikan masjid hasil dari usaha untuk membesarka surau. Beliau berterima kasih kepada semua pihak terutama kepada Dermawan Dato' Ir. Mohd Ghazali. Hadirin dimaklumkan sebelum ini beberapa buah masjid telah didirikan dari derma Dermawan Dato' Ir. Mohd Ghazali.


ADUN Bangi dalam ucapan ringkas memuji Jawatankuasa yang bekerja keras bagi menjayakan masjid. Beliau berharap masjid benar-benar akan menjadi kenyataan. Beliau bersedia membantu menyegerakan usaha yang memerlukan kelulusan dari pihak-pihak pentadbiran. ADUN berharap dengan tapak dan lokasi yang indah, perlu diberi perhatian dari segi estetika, khususnya dari segi seni bina Islam, biarlah menarik dari segi bangunan, landscaping dan sekitaran. Beliau berharap masjid ini akan menjadi land mark dan salah satu tempat yang menjadi daya tarikan pengujung ke Bandar Bangi. Masjid juga melengkapkan konsep Bangi Bandar Ilmu. Beliau percaya masjid yang bakal mempunyai taman indah tidak akan menjadi lokasi maksiat dengan adanya masjid dan kegiatan-kegiatan agama.



Yang Berhagia Ir. Dato' Ghazali, menceritakan bahawa AJK bersungguh-sungguh datang ke rumahnya membincangkan soal mendirikan masjid ini. "Atas kesungguhan itu saya datang ini," katanya. Beliau berharap usaha mendapat keizinan menggunakan tapak hendaklah segera dilakukan, termasuklah survey dan plan. Setelah keperluan dapat, kita jangka akan membinanya secara berperingkat. Tentulah bangunan masjid perlu diutamakan bagi fasa pertama. Masjid dijangka boleh menampung antara 4,000 hingga 5,000 orang. Ruangnya boleh ditambah bagi keperluan akan datang. Fasa yang lebih kemudian baru kita tumpu kepada pembinaan dewan kuliah, dewan serbaguna seperti untuk majlis perkahwinan, perayaan dan berbagai-bagai kegiatan yang lain. Yang Berbahagia Ir. Dato` Mohd Ghazali nampaknya memberi perhatian, minat dan komitmen yang tinggi bagi membina masjid ini. Apa yang perlu pihak jawatankuasa perlu segera berusaha mendapat kelulusan tanah, kelulusan JAIS dan kelulusan dari berbagai-bagai jabatan yang berkaitan. Pada kebiasaan tempat-tempat dan taman-taman lain mempunyai tapak pembinaan, tetapi tak ada dana, sukar mencari dana dan peruntukan, sebaliknya bagi AJK Masjid ini, dana ada, tetapi kelulusan tapak belum dapat. Diharap usaha kea rah ini segera dilakukan.


Selepas majlis ringkas, ADUN, Ybhg. Dato' Ir. Mohd Ghazali, Ir. Jailani, Pengerusi Surau, Pengerusi Persatuan Penduduk dan AJK di bawa meninjau kawasan tasik yang bakal menjadi tapak masjid itu. Lokasinya memang menarik dan akan lebih lagi menarik bila didirikan masjid dan disempurnakan lagi dengan landscaping dan taman yang menarik. Kita doakan insya Allah masjid yang diidam-idamkan ini insya Allah menjadi kenyataan.


~Cadangan pelan masjid untuk didirikan~


Sekian.