November 30, 2010

Lawatan Menemui Keluarga - Karam Di Lautan Dungun: Keajaiban, Syukur Allah Menyelamatkan

Bandar Bukit Mahkota, Bangi 20 Zulkaedah = 27 November (Sabtu):


Selama 16 jam karam di laut pada 6 &7 November (Sabtu-Ahad) 2010- Sejauh 16 nautika antara Pulau Tinggul dan daratan Terengganu di musim tengkujuh, 16 orang antaranya anak Mohd Daniel (4 tahun) dan ibunya yang mengandung empat bulan dapat diselamatkan adalah satu keajaiban dan Pertolongan serta kasih sayang dari Allah.


Hobi – itulah dapat dikatakan, mendorong 16 di atas yang kebanyakan datang dari Kuala Lumpur sempena cuti Deepavali bersambung dengan hari minggu ke Dungun untuk menyelam dan menikmati keindahan khazanah laut dengan batu karang dan hidupan marin di sekitar Pulau Tinggul, Dungun. Bapa Mohd Danial Aiman – Encik Mohd. Zulkifli bin Mat Daud (33) dan ibu Daniel yang sedang mengandung Puan Noraini Sosilawati Sarigar Binti Sufian (30) tiba di Dungun dan menginap di rumah tumpangan di situ. Pada pagi Sabtu En. Zulkifli dan keluarga bersama kumpulan 16 bertolak ke Pulau Tinggul tanpa masalah. Keseluruhan mereka adalah Melayu, kecuali seorang iaitu Che Loo Kit Song Cina dan tujuh daripada mereka perempuan selain dari Puan Noraini ialah Ayud Aida Sulaiman (34), Salmah Mohd Kasim, Dr. Anis Shafina Mahfudz (29), Dr. Noraminah Abdullah (29) dan dua lagi dikenali dengan Maria dan Aida. Yang lain-lain ialah Zulfadly Yahya Jurumudi berpengalaman, Muhamad Aman, Azhar Ahmad, Mazli Abdul Malik dan Mohd Azharini Mohd Amin, Mereka semua memakai baju jacket keselamatan. Drama yang mereka depani apabila mereka bertolak pulang ke darat pada petang Sabtu – mereka tidak bermalam di pulau, walaupun ada tempat penginapan. Dalam perjalanan balik boat yang mereka naiki kemasukan air dan mengalami masalah enjin menyebabkan terbalik dan mereka terjun sebelum boat hanyut. Bermula dari sini drama menghadapi gelombang ombak berlaku. Atas nasihat kalangan mereka yang memang professional dari segi latihan di laut seperti Jurumudi Zulfadly Yahya yang sebelas tahun berpengalaman di laut dan kini mengemudi bot jenis D-Guardian Katamaran dan beberapa yang lain. Di kalangan mereka ada dua doktor. Mereka bertindak berkumpul secara bulatan dan sama menjaga anak kecil semalaman hingga pagi. Banyak ancaman yang dialami sebelum mereka diselamatkan oleh Polis Marin pada keesokan hari. Drama yang dihadapi mereka menjadi berita menarik oleh semua akhbar pada hari Isnin (8 November) yang kebanyakan memberi ruang muka hadapan akhbar-akhbar.

Dari kalangan 16 orang yang mengalami drama boat terbalik di laut Dungun itu ialah satu keluarga dari DUN Bangi, iaitu keluarga En. Mohd. Zulkifli bin Mat Daud dengan isterinya Puan Nuraini yang sedang mengandung. Mereka tinggal di Bukit Mahkota. Sejak berita tersebar, pihak Adun membuat hubungan untuk menziarah bagi pernyataan syukur, tetapi sehinggalah 27 November pihak Adun dimaklumi, keluarga Encik Zulkifli baru mempunyai masa untuk menerima kami sebagai tamu.

Pada petang 27 November (Sabtu) Adun pergi dengan satu rombongan lebih kurang sepuluh orang. Antara mereka saudara Mazwan Johar Ahli MPKj, Tuan Haji Rushdi Ketua Lajnah Kebajikan ,Tuan Haji Nik Pa bin Nik Leh Ketua Lajnah Perpaduan suami isteri, saudara Mohd. Fazli Daud Setiausaha, Tuan Haji Hasan Basari, dari Lajnah Kebajikan, saudara Aidil Ketua Pas Cawangan Bukit Mahkota dan beberapa lagi. Kami diterima baik oleh En. Zulkifli dan keluarga. Secara kebetulan bapa mertua dan ibu mertua En. Zulkifli (Ibu dan bapa Pn. Noraini) ada bersama. Jadi mereka berenam cucu menerima kami. Dari pertemuan itu kami dapat tahu puan Noraini adalah satu-satunya anak kepada bapanya En Supian bin Abdullah dan ibunya.

Menurut Encik Supian, mereka sering datang ke rumah anak menantunya dalam rangka tugasnya sebagai kontrektor di Johor-Kuala Lumpur-Pahang, termasuk sebelum anak menantunya ke Terengganu. Sebelum kejadian, mereka berdua bertolak ke Johor dan membawa bersama cucu perempuan adik Danial sama ke Johor. Dalam perjalanan ke Johor En. Supian menghubungi anak menantu dan mendapat tahu mereka mau ke Terengganu. Encik Supian tidak bersetuju mereka ke Terengganu – khususnya ke pulau pada musim tengkujuh, apa lagi membawa anak kecil dan isteri yang sedang mengandung (bagi mereka ini bukan kali pertama). Tapi walau bagaimana mereka pergi juga.

Semasa boat pulang ke daratan pada petang Sabtu En. Supian masih dapat berhubungan dengan anak-menantunya, termasuk dalam boat yang enjinnya kedengaran dalam handphone, tetapi tiba-tiba terputus dan tak dapat menghubungi. Alamat buruk dijangka Encik Supian. Keluarga lain dihubungi. Beliau yang baru menempah Hotel di Segamat untuk bermalam bertiga cucu yang sedang demam dan telah diperiksa doktor pada petang itu, membatalkan tempahan, tetapi terpaksa membayar sebahagian, bergegas bertolak ke Terengganu untuk mempastikan nasib anak-menantu dan cucunya.

Kehadiran kami dihidang dengan kuih dan minuman, tetapi kami tak hirau sangat dengan kuih dan minuman, tetapi asyik bertanya cerita dramatis yang menarik. En. Zulkifli, isteri, kedua-dua anaknya (seorang perempuan), bapa dan mertuanya mesra melayan kami dan sama bercerita. Menurut En. Zulkifli, semasa boat bertolak ke tanah daratan – ke Dungun, beliau sudah merasa was-waswas antara mau pulang ke daratan atau bermalam di Pulau, kerana ombak musim tengkujuh yang agak kuat, tetapi pemandu boat berpendapat, tidak bahaya. Jadi beliau sekeluarga buat keputusan sama pulang ke daratan ke Dungun. Walau bagaimana setelah bertolak sebelah petang dari pulau ombak kuat di luar dari kebiasaan. Akhirnya disedari air mulai masuk ke dalam boat. Enjin boat mulai meragam dan tidak mampu mencanggah gelombang ombak dan engine terhenti. Apabila tanda-tanda boat mau tenggelam mereka semua diarah terjun ke laut dengan baju jacket keselamatan masing-masing. Menurut En. Zulkifli, isterinya yang kurang mahir berenang pada mulanya enggan terjun, tapi akhirnya sama terjun. Berdasarkan kepakaran dan kemahiran yang ada pada mereka yang memang biasa menyelam scuba dan sebagainya mereka dapat mengawal keadaan, mereka berkumpul dalam bulatan dengan keselamatan anak kecil – Mohd Daniel diberi keutamaan. Bagi En. Zulkifli oleh kerana memangku dan mengapung anaknya terlalu lama, beliau keletihan dan sekali sekala bergilir dipangku oleh kawan-kawan yang lain. Pada satu ketika beliau mengalami penik, melihat mulut anaknya berbuih dan senyap. Beliau berusaha menyedarkannya. Kebimbangan berkurang apabila anaknya bercakap perlahan yang dia nak tidur. Setelah tengah malam di tengah gelombang, hatinya menjadi sayu, apabila anaknya minta susu kerana kelaparan. Beliau terpaksa memujuk anaknya untuk menunggu dengan berbagai helah dan alasan. Bila hujan turun beliau meminta anaknya menganga mulut dan meminum air hujan. Dalam masa terapung dilautan menurut En. Zulkifli, ada kapal lalu yang dijangka datang untuk menyelamat, tapi tidak menyedari kami meminta pertolongan dan terus pergi. Pada sebelah pagi ada helikopter berlegar datang untuk menyelamatkan, tetapi isyarat dari kami tidak dilihat.

Semasa sama terapung beliau menceritakan ada setengah daripada mereka yang telah berputus asa dan ada yang memohon maaf antara mereka dan menjangka ajal mereka mungkin tiba. Satu ketika En. Loo begitu keciwa dan terpisah dari kumpulan kerana hilang harapan, tetapi mereka sempat ditarik bersama kumpulan. Walau bagaimana sebahagian besar dari mereka tetap optimis berdoa dan mengjangka pertolongan bakal tiba, bila-bila masa.

Demikianlah lebih kurang jam 10.00 pagi Ahad, terdengar bunyi enjin boat merin datang untuk menyelamat, walau bagaimana kedudukan kami yang berkeliling masih tidak dapat dilihat. Entah bagaimana En. Loo yang sebelum ini begitu keciwa, tetapi kelihatan bertenaga kembali membuka baju kesematan dan melambung tinggi ke atas. Al-Hamdulillah dari lambungan itu dapat dilihat oleh pasukan merin dan datang mendekati kumpulan bagi menyelamatkan. Bila boat mendekati yang terawal diselamatkan ialah anak kecil Daniel. Walau bagaimana oleh kerana terlampau letih mereka tidak mampu memanjat ke tepian boat, sebaliknya naik dan ditarik melalui lonjakan ombak. Beliau dan yang lain tidak mampu berjalan kerana krem dan terpaksa merangkak di dalam boat. Al-Hamdulillah semua mereka selamat, kecuali ada yang luka-luka kecil kena gigitan obor-obor laut. Mereka didaratkan ke Pangkalan Merin di Kemaman dan dibawa ke Hospital Kemaman di tengah-tengah kerumunan manusia yang mau tau nasib mereka – terutama oleh pemberita-pemberita.

Soal jawab kami dengan En. Zulkifli disertai bapa mertuanya Encik Supian sambil dicelah juga oleh Puan Noraini dan ibu mertuanya sekali sekala. Kami rasa bagai menonton drama yang trajis dan memilukan. Bahkan sekali sekala turut menyeka air mata yang mengalir, lebih-lebih lagi menatap wajah Daniel yang petah mencelah dan turut bercakap. Encik Supian yang menambah cerita sambil membelek keretan-keratan akhbar difailkan mengenai tragedi menimpa anak tunggal dan cucu kesayangannya.

Asyik mendengar cerita, kami tersedar bahawa masa menghampiri jam 7.00 petang.

Sebelum tiba waktu maghrib, sekali lagi kami mengucapkan terima kasih kepada keluarga En. Zulkifli yang sudah menerima rombongan secara mesra dan bercerita. Kami bergurau, ``Kalau di Barat drama real life ini boleh dijual dan boleh dibuku dan difilmkan``. Adun berharap ianya dapat dicatat dan didokumenkan untuk kegunaan sebagai bahan penyelidikan, panduan dan kreatif.``

Sebelum berpisah kami sampaikan sedikit buah tangan dan cendera hati, tanda ingatan dan kesyukuran kepada Allah di atas keselamatan keluarga En. Zulkifli.

Sekian.

Keratan dari akhbar-akhbar tempatan.


November 29, 2010

Khatan Perdana & Pelancaran SSRC Di Surada Juga Khatan Perdana Di Bukit Mahkota

Bangi, 22 Zulhijah = 28 November 2010 (Ahad):

Pagi ini Adun Bangi mempunyai dua jemputan berkhatan di musim persekolahan bercuti ini. 9.30 pagi berada di Surada. Acara di sini mempunyai beberapa tahap. Bermula dari sembahyang Subuh dan berakhir jam 5.00 petang dengan bersukan. Ketibaan Adun di sini diiring oleh Mejer (B) Abdul Halim Pengerusi Penduduk dan Saudara Shukor Atan Pengerusi Surau Al-Mujahidin ke anjung surau dengan ibu bapa dan anak-anak, khususnya yang akan berkhatan memenuhi anjung surau. Majlis di sini adalah Majlis Perasmian Berkhatan dan Perasmian Penubuhan Surada Sport Recreation Club (SSRC).

Majlis dipengerusikan oleh saudara Rusli Jusoh yang menjemput pertama berucap ialah Saudara Shukor Atan yang berterima kasih di atas sambutan yang diberikan oleh ibu bapa bagi anak-anak yang berkhatan dan penduduk yang datang memeriahkan perasmian. Beliau memaklumkan jumlah anak-anak yang berkhatan adalah seramai 23 orang. Tempat berkhatan ialah di Dewan Orang Ramai yang bersebelahan dengan surau. Beliau juga berterima kasih di atas kerjasama yang diberikan oleh Az-Zahrah Islamic Medical Centre Bandar Baru Bangi. Mejer (B) Abdul Halim memaklumkan tentang penubuhan Kelab Sukan Dan Rekreasi Surada bertujuan untuk menghimpun anak-anak muda ke dalam satu badan yang dinamakan dengan SSRC. Melalui badan ini anak-anak dilatih dan bergiat di dalam sukan, pendidikan dan rekreasi. Dengan ini mereka tidak terabai dan terdedah kepada gejala sosial yang boleh merosakkan. Sebaliknya mereka berada di bawah bimbingan dan kegiatan yang memanfaatkan.

Adun Bangi mengucap terima kasih di atas jemputan dan bersyukur dapat bersama kegiatan Majlis Berkhatan Perdana yang mendapat sambutan yang amat baik dari ibu bapa. Beliau sukacita melihat surau di samping Dewan Orang Ramai berdekatan menjadi tempat berbagai-bagai kegiatan penduduk. Menurutnya penduduk di Surada memang rapat dan bersatu padu dan selalu memberi kerjasama kepada sebarang kegiatan yang dianjur oleh surau dan Persatuan Penduduk. Beliau tertarik dengan penubuhan SSRC dan sedia bekerjasama di dalam sebarang kegiatan yang dianjurkan. Adun Bangi merasmikan Majjlis Khatan Perdana dan SSRC yang diikuti dengan pemotongan ikatan baner tentang SSRC dan penyampaian cenderahati kepada anak-anak yang berkhatan.


Berikutnya semua pihak keluar dari surau ke medan di mana anak-anak berkhatan diiringi pasukan berkompang naik ke lori untuk diarak keliling kawasan perumahan yang dilepaskan oleh Adun. Selepas berkeliling mereka kembali ke surau untuk dimandikan secara menyembur dan memancut air paip kepada anak-anak yang berkhatan secara berkumpulan. Berikutnya Adun melawat tempat berkhatan di Dewan Orang Ramai disambut oleh doktor, jururawat dan pembantu-pembantu yang akan menjalankan perkhatanan.

Selepas dari menghadiri Majlis Berkhatan Perdana dan Pelancaran SSRC di Taman Desa Surada, Adun bergegas ke Bandar Bukit Mahkota. Adun disambut oleh Saudara Aidil Ketua Pas Cawangan, AJK, Ibu Bapa dan anak-anak,khususnya yang bakal berkhatan Acara di sini berlainan dari Desa Surada. Di sini Adun berucap ringkas dan berterima kasih di atas usaha Pas Cawangan Bukit Mahkota yang berjaya mengadakan Majlis Berkhatan Perdana dengan Majlis Perasmian diadakan di Pasti Ar-Rayhan di sini. Adun difahamkan seramai 25 peserta berkhatan mengambil bahagian. Bagi mengurangkan cost doktor tidak dipanggil keluar ke Pasti, sebaliknya anak-anak yang mengambil bahagian berkhatan dibawa ke klinik secara berpasukan. Proses penghantaran memakan masa berhari-hari. Anak-anak yang berkhatan dihantar secara kumpulan sama ada hari ini, esok dan seterusnya. Di dalam Majlis ini Adun diminta menyampaikan hadiah dan cenderahati kepada anak-anak yang mengambilbahagian berkhatan. Berikutnya Adun turut mengiringi pasukan pertama yang akan berkhatan, iaitu menuju ke Klinik Amal di Bandar Seri Putera. Adun bersama acara khatan peserta pertama dan setelah selesai Adun memohon diri.

Sekian.

November 28, 2010

Budaya Reproduksi Di Dalam Kehidupan Meneruskan Generasi Berterusan

BBB, 20 Zulhijah = 27 November (Sabtu):

Bagi meneruskan kelangsungan generasi, kaum, bangsa bahkan umat manusia memerlukan proses reproduksi di dalam kehidupan manusia itu sendiri. Bagi mengawal sistem reproduksi ini supaya tidak kacau dan rosak, perlu ada aturan dan mekanisme yang dapat mengatur, mengawal dan meneruskan sistem reproduksi ini supaya tidak berlaku pertentangan dan kerosakan di dalam aturan agar dapat dijaga misalnya keturunan, kekeluargaan, kemasyarakatan dan kelangsungan secara teratur dan bersih.


Sistem reproduksi ini dikawal oleh antaranya agama, adat, budaya dan undang-undang. Agama Islam umpamanya mengatur proses reproduksi melalui undang-undang munakahat, adat memperkukuhkan agama `Adat Bersendikan Agama`, manakala budaya meningkatkan hukum agama dan adat dan undang-undang dengan amalan-amalan yang memperindahkannya selagi tidak bercanggah dengan nilai-nilai agama. Contoh adat meminang, jemputan kahwin dan penerimaan masyarakat terhadap pasangan yang baru mendirikan rumah tangga. Proses kelangsungan dengan aturan, nilai, hukum agama, adat perundangan dan budaya ini berlaku dari kelahiran dengan melakukan tahniq membawa kepada berkhatan, perkahwinan dan kematian. Ini merupakan proses penerusan dari generasi ke generasi hingga kini dan masa akan datang.


Hari ini dan sebelum Adun Bangi menghadiri jemputan-jemputan yang melibatkan proses reproduksi. Jam 1.00 Adun Bangi berada di sebuah taman perumahan berdekatan Taman Tasik Semenyih, iaitu menghadiri Majlis Tahniq bagi cucu sulung saudara Tuan Haji Abdul bin Abdul Karim yang juga cucu sulung bagi besannya iaitu Encik Ahmad Zaini. Cucu mereka diberi nama Haziq Hilmi Bin Mohd Hafiz. Sebelum majlis kami bersembahyang zohor di Surau berdekatan dengan rumah Saudara Haji Abdul. Majlis sebenarnya berlangsung secara ringkas. Selepas bersembahyang kami beredar ke rumah Tuan Haji Abdul dengan memulai majlis dengan doa, bertahniq, bersalawat dan marhaban dan menggunting rambut bayi yang ditahniq dan diakhiri dengan jamuan. Kami sebenarnya menghadiri bukan saja Majlis Tahniq, tetapi juga `secara bergurau` kami kata, menghadiri Majlis Selamat mengangkat Tuan Haji Abdul dan Encik Ahmad Zaini bersama isteri masing-masing dengan pangkat `Dato` secara rasmi dan pangkat ini tidak dapat ditarik oleh sesiapa.


Kami kemudian bergerak ke jemputan Majlis Walimatul Urus yang merupakan rentetan proses reproduksi generasi bertempat di Dewan Majlis Perbandaran Kajang. Di sini Tuan Haji Ngah Mamud mengadakan jamuan sempena perkahwinan anak mereka Norfaezah dengan pasangannya Norazman bin Mat Ali. Di samping berkesempatan bercakap-cakap dengan Tuan Haji Ngah Mahmud, Adun berkesempatan bergambar dengan pasangan mempelai sebelum memohon diri. Dari sini bergerak pula ke jemputan kahwin anak Tuan Hadie Bin Darris beralamat di No. 58 Jalan 8/27 Bandar Baru Bangi. Adun berkesempatan hadir bersama isteri dan berkesempatan bergambar dengan kedua-dua pengantin Siti Sarah Sinnui Binti Hadie bersama suaminya Muhd. Burhanuddin Bin Yusoh. Adun berusaha untuk menghadiri dua lagi majlis perkahwinan pada hari ini, tetapi mampu berkesempatan hadir hanya tiga jemputan sahaja.


Sesungguhnya majlis-majlis yang melibatkan proses reproduksi seperti di atas, bukan setakat mematuhi nilai agama, tetapi membentuk keindahan budaya di dalam masyarakat yang mengikat kasih sayang, menghubungkan kekeluargaan, tetapi mengukuhkan aturan keagamaan, nilai dan adat yang seharusnya dijaga oleh masyarakat bagi melangsungkan rantaian generasi yang diharapkan mereka menjalani hidup secara bahagia di dalam meneruskan kesinambungan generasi.

Sekian.

November 27, 2010

Mesyuarat Bagi Mengadakan Gotong Royong Perdana Basmi Denggi

Surau Al-Kauthar, 18 Zulhijah = 25 November (Khamis):


Meningkatnya kes denggi di Hulu Langat dengan 13 kematian tahun ini – tempat kedua selepas PJ dengan 16 kematian, meningkatnya kebimbangan ancaman berkenaan berterusan. Pihak Berkuasa Kesihatan Daerah Hulu Langat diwakili Encik Nahrawi dan Cik Norazlin datang ke Pejabat Adun pada Jumaat 19 November, Jam 3-00 petang berbincang bagi mengambil tindakan bersama membasmi wabak denggi di Hulu Langat, khususnya di Bangi. Kami diberitahu antara lokasi tertinggi dengan kes denggi di BBB ialah kawasan 4/5 (15 kes), kawasan 4/7 (20 kes) dan 4/6 (8 kes) dan beberapa kawasan yang lain dengan kes masing-masing. Kami mengambil keputusan bagi mengadakan mesyuarat dengan pihak-pihak berkenaan pada Khamis malam ini - 25 November.


Hadir pada malam ini antaranya ialah pegawai-pegawai dari Jabatan Kesihatan Daerah Hulu Langat iaitu Dr. Zanariah, Encik Nahrawi dan Cik Norazlin, Wakil dari MPKj Zon 23 Ustaz Shafie Ngah, Tuan Haji Nazri Pengerusi Surau al-Kauthar, Dato` Abdul Karim Pengerusi Persatuan Penduduk 4/8, En. Abu Bakar Alias AJK Infrastruktur Adun Bangi, Tuan Haji Ahmad Sufie Munasir AJK Alam Sekitar dan Kesihatan Adun Bangi, Wakil dari Alam Flora dan beberapa yang lain yang jumlahnya lebih kurang 20 orang.


Adun Bangi yang mempengerusikan mesyuarat pada malam itu berterima kasih kepada semua yang memberi respond dan hadir jemputan yang menandakan semua pihak prihatin dan mengambil serius dengan bertambahnya kes denggi di BBB. Menurutnya kita akan membincangkan tentang cadangan untuk mengadakan gotong royong dan mengharapkan semua yang hadir mengambil bahagian memberi cadangan bernas bagi diambil tindakan. Sebelum perbincangan diteruskan, Adun menjemput pegawai dari Pejabat Kesihatan memberi taklimat mengenai denggi di Hulu Langat. Taklimat disampaikan oleh Cik Norazlin dengan dibantu oleh Dr. Zanariah dan En. Nahrawi. Dari cadangan-cadangan yang diterima mesyuarat bersetuju untuk mengadakan gotong royong Perdana pada Ahad 5 Disember 2010 dengan memberi tumpuan kepada tempat-tempat kes utama denggi, iaitu 4/5, 4/6, 4/7, 4/8, termasuk perumahan Sri Ayu dan Jubli Perak.


Persetujuan diambil, Jabatan Kesihatan akan turun dengan kakitangannya lebih kurang 10 orang dengan membawa postar-postar berkenaan denggi, contoh-contoh bahan-bahan denggi dan abet yang diguna dalam air bagi mencegah perkembangan larva nyamuk eidis. Pihak MPKj dan Alam Flora diminta menyediakan tenaga pekerja, lori, beg plastic hitam dan alat pembesar suara, AJK Adun menyediakan khemah, air minuman dan makanan untuk peserta dijangka antara 250 hingga 300 orang. Pengerusi Surau Al-Kauthar akan menghebohkan gotong royong kepada jamaah pada hari jumaat untuk keluar menyertai gotong royong. Begitu juga Surau Al_ikhwan diminta maklumkan kepada jamaah. Demikian ketua-ketua Persatuan Penduduk kawasan-kawasan yang menjadi tumpuan gotong royong dan Kontrektor Rumah Pangsa Seri Ayu dikehendaki memberitahu anak buah masing-masing untuk keluar bergotong royong mulai pagi Ahad 5 Disember 2010 sebagaimana dipersetujui. Pada hari Sabtu sebelum hari gotong royong pihak Jabatan Kesihatan akan membuat semburan fogging. Pihak penduduk diminta memberi kerjasama. Peserta yang datang pada pagi hari Ahad 5 Disemberperlu membawa peralatan masing-masing seperti pisau, sabit, gerap, saki, mesin rumput dan apa-apa alat bagi pembersihan yang difikirkan sesuai,


Antara agenda pada pagi itu ialah:

7.00 pagi - Berhimpun

7.30 pagi - Makan pagi – Minuman air mineral disedia berterusan

8.00 pagi - Berbaris dan menerima taklimat

8.15 pagi - Pelancaran

8.30 pagi - Turun padang

12.00 T.H - Berhimpun kembali

12-15 T.H - Penilaian penemuan dan keberhasilan.

12.30 T.H- Bersurai.


Terima kasih.

November 26, 2010

Adun Bangi Sampaikan Peruntukan Dari Kerajaan Selangor

Pekan Bangi, 18 Zulhijah = 25 November (Khamis):

Adun Bangi pada malam ini ke Pekan Bangi bagi menyampaikan peruntukan dari pihak Kerajaan negeri kepada Persatuan Penganut Maha Siti Vinayagar bagi kerja-kerja penyelenggaraan di Kuil Sri Maha Siti Vinayagar Pekan Bangi. Jumlah peruntukan yang diluluskan oleh Exco Y.B. Dr Xavier adalah sebanyak RM10,000.

Permohonan yang dibuat oleh Persatuan adalah melalui Surat bertarikh 01.08.2010. Menurut surat berkenaan permohonan bagi tujuan kerja-kerja penyelenggaraan, termasuklah membaiki bumbung kuil. Menurut surat itu, bumbung yang sedia ada mengalami kerosakan dan air hujan masuk ke dalam kuil, ketika hujan. Ini mengganggu para penganut agama Hindu melaksanakan upacara sembahyang. Permohonan yang dibuat adalah sejumlah RM30,000, tetapi diluluskan sebanyak RM10,000.


Sementara itu pihak Persatuan berkenaan, melalui suratnya bertarikh 20 Ogos 2010 juga memohon peruntukan dari Adun Bangi sebanyak RM3,000. Menurut surat itu:
``Permohonan bertujuan untuk membeli alat-alat memasak untuk Kuil Sri Maha Siti Vinayagar. Menurut surat itu lagi,
``Peralatan ini termasuklah periuk-periuk besar, kuali dan lain-lain lagi.`` Sebagai pemimpin kepada semua kaum, dan peruntukan juga dari negeri untuk semua rakyat, maka permohonan ini diluluskan oleh Adun Bangi sejumlah RM500/=.

Kedua-dua cek berkenaan Adun Bangi sampaikan pada malam ini. Cek diterima oleh Ketua Kuil Encik Nadarajah. Turut hadir bersama Adun saudara Abu Bakar Alias, saudara Azizi Adnan Omar, saudara Ari Krishnan Ketua Kelab Penyokong Serdang, En. Rengasamy Timbalan Ketua, Cik Vellisamy Setiausaha dan peserta-peserta kuil.


Adun Bangi dalam ucapan ringkas memaklumkan tentang keperihatinan kerajaan Selangor kepada semua rakyat dan memberi peruntukan kepada semua agama. Kerajaan negeri juga memberi perhatian terhadap warga mas, memberi bantuan kepada pelajar dan memberi subsidi air percuma. Beliau berharap orang-orang India terus menyokong pemerintah sekarang. Encik Nadarajah sebagai Ketua Kuil mengucapkan terima kasih kepada Adun kerana membawa bantuan dari kerajaan. Beliau berharap dengan bantuan diterima dapat digunakan bagi memperbaiki kuil yang agak uzur yang dibina sejak 35 tahun yang lalu, iaitu sejak estate di Bangi Lama dibuka.

Sekian.

November 25, 2010

Di Mana-Mana Manifestasi Keindahan


Halakan wajahmu
Dengan mata senimu pandang
Di mana-mana ada keindahan
Pada khusyuknya hamba
Taat setia pada Tuhan
Mesra dalam kata
Khusyuk dalam jiwa
Khuduk pada gerak anggota.

Keindahan pada yang dikasihi
Biar wajah dikedut usia
Biar fizikal dimamah masa
Segala detik peristiwa berlalu
Segala harapan dituju
Menjadi antik keseluruhan
Memaku kejap kasih sayang
Melebihi gunung intan
Demi kesetiaan.

Keindahan pada gubahan kata
Bersulam dengan keindahan idea
Dari pujangga tak bernama
Tersimpan dalam khazanah bahasa
Menjadikannya panduan
Tak lekang dek zaman
Tak hilang dek perubahan.

Keindahan pada wajah asli bumi
Dengan warna-warni kehijauan
Kocak air di sungai jernih berlari
Debur ombak ke dada pantai
Bukit bukau pasak memagar
Perubahan dan pertukaran
Antara siang dan malam
Menghidup dan mematikan
Menjunjung Kebesaran.

Keindahan pada gulatan hidup
Anak manusia mendepani cabaran
Menghulur mereka tangan bimbingan
Kepada yang mabuk tanpa pegangan
Pada yang rakus tanpa keinsafan
Agar kembali melihat sinar
Menekuni di jalan pulang.

Halakan ke mana pandangan
Ke atas langit bercakrawala
Keliling semua berlegar
Manifestasi kepatuhan
Mencerminkan Wajah Kesempurnaan
Keagungan, Kebesaran dan Keindahan.

Shafie Abu Bakar,

Bandar Baru Bangi,
17 Zulhijah 1431
24 November 2010.

November 24, 2010

Menghormati Masyarakat India: Sambutan Luar Dugaan !

Bukit Mewah: 14 Zulhiujah = 21 November (Ahad):


Bagi menghormati masyarakat India, sempena dengan perayaan Deepavali, maka pihak Adun Bangi dan Ahli Parlimen Serdang mengadakan Majlis Meraikan mereka bertempat di Dewan Orang Ramai Bukit Mewah mulai jam 2.30 petang. Kaum-kaum lain dari kalangan orang Melayu dan Cina juga turut dijemput hadir.

Adalah di luar dugaan sambutan diberi dan kami mengucapkan terima kasih terutama kepada kaum India yang datang membanjiri ruang Dewan Orang Ramai. Kami menyediakan kerusi sejumlah 400 buah, tetapi yang hadir menghampiri jumlah satu ribu orang. Antara pemimpin-pemimpin yang hadir selain dari Adun Bangi, ialah Y.B. Teo Nie Ching Ahli Parlimen Serdang, Saudara Hari Krishnan Ketua Kelab Penyokoing Pas Serdang, Mr. Vasata Kumaran dan Isteri, Tuan Haji Mohd. Yusof, Sdr. Guna, Dr. Subramanium, dan penduduk setempat dari berbagai kaum. Agenda pertemuan ialah ucapan-ucapan dari pemimpin-pemimpin, pertunjukan budaya dari pemuda-pemuda dan anak-anak dari kaum India, Menyampaikan bantuan kepada warga mas dan mereka yang daif, menyampaikan duit raya kepada anak-anak, jamuan dan ziarah warga mas.

Adun Bangi yang dijemput berucap paling awal melahirkan kegembiraan dan terima kasih di atas kehadiran penduduk begitu ramai, terutrama dari kalangan kaum India. Turut datang meraikan dari kalangan orang Cina dan Melayu. Menurut Adun, Sambutan perayaan Adun adakan seperti Raya Idul Fitri bagi Orang Melayu, Sambutan Tahun Baru Cina bagi orang Cina dan Sambutan Raya bagi Orang India seperti hari ini. Adun juga mengadakan sambutan kebudayaan Ponggal bagi orang India yang digilirkan dari West Country, ke Pekan Bangi dan Kajang Utama. Adun juga memaklumkan kepada penduduk yang hadir tentang prehatinnya Kerajaan Negeri Selangor yang memberi air percuma yang diguna setakat 20 kubik meter. Kerajaan memberi pinjaman kecil bagi pengusaha-pengusaha kecil, memberi bantuan kepada warga mas, memberi hadiah kepada pelajar masuk universiti dan menyediakan pinjaman untuk mereka dan banyak lagi kemudahan-kemudahan yang disediakan bagi rakyat Selangor. Adun berharap sokongan terus diberikan kepada kerajaan dan pemimpin sekarang supaya banyak lagi kemudahan dapat disediakan kepada rakyat Selangor pada masa akan datang.

Y.B. Saudari Teo Nie Ching dalam ucapannya menambah lagi, bahawa Kerajaan Negeri Selangor menyediakan satu lagi skim kemudahan kepada wanita-wanita melebihi umur 40 tahun ke atas mendapat pemeriksaan percuma bagi mengesan kemungkinan adanya kenser payu dara. Sekarang ini ada klinik khas di Kepong. Kepada yang mau ke sana disediakan kenderaan secara kumpulan. 30% kenser merupakan penyakit dialami orang perempuan. Beliau juga menyebut tentang perjalanan Parlimen yang sedang berlangsung dan beliau akan terus membawa masalah-masalah rakyat di sana.


Saudara Ari Krishna sebagai Ketua Kelab Penyokong Pas Serdang turut berucap dan berterima kasih kepada semua pihak yang menjayakan pertemuan pada hari ini. Selepas ini jamuan rakyat disediakan. Pihak AJK memohon maaf jika kekurangan makanan, kerana kehadiran luar dugaan. Semasa jamuan berlangsung seorang anak perempuan kaum India mempersembahkan seni gerak tari dan senaman dari pemuda-pemuda termasuk silamban.

Berikut dari itu Adun Bangi dan Ahli Parlimen Serdang menyampaikan bantuan kepada mereka yang daif dan warga mas yang terdiri dari barangan dan kewangan. Jumlah mereka lebih kurang 50 orang. Kemudian diikuti dengan penyampaian duit raya kepada anak-anak melebihi 100 orang, bahkan sampul kewangan kehabisan berbanding dengan anak-anak yang hadir. Majlis berakhir lebih kurang jam 4.00 petang.

Adapun Adun selepas itu melawat seorang warga mas perempuan yang baru kematian suami, mengucap takziah dan menyampaikan wang bantuan Skim Warga Emas.

Terima kasih.

November 23, 2010

Gotong Royong Rakyat Basmi Denggi Di Taman Jasmin

Taman Jasmin, Kajang, 14 Zulhijah = 21 November (Ahad):


Denggi adalah penyakit merbahaya yang boleh membawa maut dalam beberapa hari disebabkan oleh kerosakan organ, jika tidak dirawat segera. Korban denggi tahun ini meningkat ke 125 berbanding tahun lepas 77 kematian. Meningkat 60%. Jumlah kes denggi tahun lalu 36,135. Pada tahun ini meningkat kepada 42,659 kes (sehingga 18 November), meningkat 18% (BH, Isnin 22 Nov., 2010:2).


Selangor adalah negeri tertinggi dengan kes denggi. Hulu Langat naik turun dari segi kedudukan – bertukar ganti pertama atau kedua dengan PJ. Terakhir lebih dari 30 kes berlaku di Hulu Langat, melibatkan beberapa kematian. Kes kematian terakhir berlaku melibatkan seorang jurutera lelaki berumur 47 tahun dari Bukit Mewah, Kajang menjadi korban terbaru demam denggi di Hulu Langat seminggu lalu. Jurutera tersebut mati pada 9 November lalu akibat komplikasi kegagalan organ selepas dijangkiti pada 28 Oktober lalu.


Pemeriksaan dibuat di kawasan kediaman mangsa terhadap 42 premis, didapati ada tempat pembiakan nyamuk aedes, selain dari tempat kerja mangsa di tapak pembinaan perumahan.


Atas kesedaran perlunya pembersihan, AJK Adun dengan kerjasama Ahli MPKj Zon 14 saudara Chandra Mohan dan penduduk setempat yang diketua Persatuan Penduduk Encik Najib, kami memilih Taman Jasmin untuk diadakan gotong royong bagi membasmikan denggi. Taman Jasmin adalah bersempadan dengan Bukit Mewah tempat kematian Jurutera di atas. Tumpuan gotong royong ialah perumahan dan Taman Permainan yang tidak terpelihara kebersihannya. Turut memberi kerjasama bagi gotong royong ini ialah Jabatan Kesihatan Hulu Langat yang diketuai En. Rusli dan Cik Ela Sabrina, Pihak MPKj, Alam Flora dan lebih kurang 50 orang penduduk setempat dari berbagai kaum . Pelbagai alatan disediakan dari dua buah lori MPKj, dua mesen pemotong rumput, chainsaw pemotong pokok, sabit besar dan kecil, pisau dan sabit.


Majlis permulaan ialah alu-aluan dari Ketua Penduduk Encik Najib, diikuti penerangan oleh Pegawai Kesihatan En. Rusli. Adun Bangi dalam ucapan perasmian berterima kasih kepada semua pihak kerana mengambil bahagian, terutama penduiduk setempat dari berbagai kaum Melayu, Cina dan India. Adun menekankan `Bangi Bersih` adalah menjadi slogan bagi DUN Bangi. Adalah memalukan jika hakikatnya Bangi tidak bersih. Beliau menarik perhatian tentang akibat denggi yang boleh membawa maut. Beberapa penduduk kawasan yang diadakan operasi bersih, pernah mengalami denggi, akibat takungan air di dalam bekas rumah jiran yang tidak diberi perhatian dari segi kebersihan. Beliau berharap amalan kebersihan hendaklah menjadi budaya hidup, bukan setakat gotong royong sahaja. Ambil masa setiap hari, lebih-lebih lagi pada hari minggu membersih dalam dan kawasan rumah. Jika masing-masing bersih rumah dan kawasan masing-masing sebahagian dari masalah kebersihan dapat diatasi. Beliau bergembira di samping bergotong royong dapat berkenalan dan mengeratkan kasih sayang dan kemesraan.


Pada pagi ini Adun memerhatiakn, setiap orang benar-benar bekerja. Pegawai kesihatan memeriksa dari rumah ke rumah tempat-tempat kemungkinan adanya nyamuk aedis. Manakala peserta gotong royong menebas dan membersih kawasan padang yang tidak terjaga. Ada yang memotong pokok, ada yang memotong rumput dan lalang dengan mesin-mesin, ada yang menebas dengan sabit-sabit yang dibawa dan sebahagian mengangkut bahan yang di potong dan dibersih ke tepi jalan dan diangkut lori. Kerja berterusan dari jam 10.00 hingga jam 1.00 tengahari. Antara penemuan ialah beribu-ribu nyamuk dan larva aedes dalam tangku air yang dibuang ditepi bukit tempat yang dibersih. Dua tangki air yang dibuang ini digolek ke tepi jalan untuk diangkut dan dilupuskan. Kami merasa lega, walaupun letih melihat kawasan dapat dibersihkan. Minuman dan makanan disediakan.


Sebelum berpisah bahan bukti dari nyamuk aedes dihimpun di bawah teduhan di padang dan Cik Elia Sabrina menerangkan tentang aedes dan denggi. Menurutnya ada empat tahap denggi, iaitu: Den 1, Den 2, Den 3 dan Den 4. Tahap satu memberi kesan mulai digigit nyamuk hingga 14 hari selepas digigit. Jika dia immune, dia mungkin kelak kena pada tahap dua lebih teruk, begitulah seterusnya yang boleh membawa maut. Plate normal bagi seseorang ialah 150. Denggi level di bawah 100. Tahap kritikal di bawah 20. Tanda demam denggi tekanan darah rendah, pening, muntah dan cirit-birit.



Sementara itu sambil bergotong royong Adun sempat membuat lawatan ke dua rumah warga mas di kawasan gotong royong, bertanya khabar dan menyampaikan sedikit cendera hati.


Hari ini Adun lihat semua pihak bekerja bersungguh-sungguh. Kesan dari gotong-royong amat ketara. Semak di padang ketara bersih dan dapat memusnahkan sarang denggi utama, tangki yang menjadi tempat membiak aedes dapat kami keluarkan untuk dilupuskan.


Adun sangat berpuashati gotong royong pada kali ini. Terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan Gotong Royong Rakyat di Taman Jasmin.


Terima kasih.