August 31, 2012

Mengenangi Sambutan Perisytiharan Kemerdekaan 55 Tahun Silam

Sesayup ingatan menelusuri kenangan
Semasa menyambut pengisytiharan kemerdekaan
Aku anak muda lima belas tahun usia
Masih mentah dalam kefahaman
Ketika itu terhantar aku di Tanah Batu Bersurat
Begitu murni hasrat ninda
Yang aku sudah tidak beribu bapa
Maukan daku seorang teguh Iman-Islam
Meskipun berpeluang terpilih ke pertama SMK
Tetapi pengajian agama menjadi keutamaan

Lantas aku memondok di Kuala Berang
Mengaji kitab dan Sekolah Arab
Di bangunan kayu amat usang

Bekas Balai Polis di tepi Sungai Berang
31 Ogos 1957 aku di sini memulai pengajian
Menghayati saat pengisytiharan kemerdekaan.

Peristiwa pengisytiharan kemerdekaan itu
Disambut di Padang Pejabat Daerah Kuala Berang
Aku seorang dari pelajar Sekolah pilihan
Berbaris melihat naiknya Bendera Persekutuan
Dan turunnya `Union Jack` penjajahan
Ketika itu betapa kudus-keramat-semangatnya
Ungkapan Merdeka ! Merdeka ! Merdeka berulang
Sebagai rakaman kenangan – kami bergambar
Bersama sahabat kawan-kawan sepengajian
Berpakaian uniform putih bersongkok hitam
Hadapan pintu gerbang buluh didirikan
Berhias bendera Negeri dan Persekutuan
Sebagai kenangan manis kemerdekaan.













Mengenang 55 tahun kemerdekaan
Meskipun aku belum matang dari segi siasah
Namun kebebasan demokrasi lebih menyerlah
Para pemimpin ketika itu lebih bebas
Berucap di hadapan khalayak di padang luas
Aku masih ingat semangat demokrasi
Di Pekan Kecil Kuala Berang itu
Padang Tara berlatar bukit kecil
Adalah padang untuk pemimpin berceramah
Terpandang-pandang Dr. Burhanuddin Hilmi
Berceramah tentang ideologi politik Islam
Politik dunia dan falsafah kemerdekaan
Sedang Dato` Onn yang kehilangan sokongan di negeri sendiri
Meminggir diri ke Terengganu dengan perjuangan Parti Negara
Dengan orang kanan Gharib Rauf penceramah versatile
Mendapat tempat di Ladang Kuala Terengganu
Pernah sama berceramah di Kuala Berang
Menerangkan perinsip Parti Negaranya
Dengan gaya ceramahnya yang memikat
Mendapat tepukan gemuruh dari khalayak
Dan Tunku Abdul Rahman pemimpin gentleman
Bercuti dari tugas pemerintahan turun berkempen
Biar bercakap slow-slang Kedah penuh kejujuran
Pemimpin lain yang turut menghangat pentas politik
Ahmad Boestamam, Ishak Haji Muhammad dan seangkatan
Dianggap kiri kurang sambutan
Namun demokrasi mekar berkembang.













Semangat kemerdekaan benih demokrasi amalan
Terengganu pertama muncul membuat penyimpangan
Dari dominasi Perikatan (UMNO-MCA-MIC) 1959
Dari semangat Batu Bersurat dikuasai PAS
Mewarnai politik Negara yang terus bergelora
Yang kemerdekaan dan pengisian bukan milik siapa
Tapi adalah hak dan milik rakyat Malaysia.

Mengenangi peristiwa pengisytiharan kemerdekaan
Di tanah keramat di Kuala Berang
Mencetus semangat diriku dalam pelajaran
Memperbaiki diri dalam pengajian
Seiring antara agama dan akademik
Menjadikan aku seperti sekarang.

Shafie Abu Bakar,
Bandar Baru Bangi,
13 Syawal 1433
31 Ogos 2012

August 30, 2012

Menunggu Projek-Projek Cadangan Menjadi Kenyataan Di Bangi: Membangunkan Bulatan Ilmu, Bulatan Cempaka, Hutan Bandar Dan Dewan Konvensyen

MPKj, 11 Syawal 1433 = 29 Ogos 2012 (Rabu):

Mesyuarat Penuh MPKj hari ini dimaklumkan beberapa projek yang dirancangkan bagi Bandar Baru Bangi. Bahagian Landskap memaklumkan tentang cadangan membangunkan Bulatan Ilmu (Bulatan Bangi) ke UKM. Cadangan pertama adalah merekabentuk landskap `Bulatan Seribu Bambu`. Ianya berdasarkan konsep `mound dan island` yang dijangka kos keseluruhan projek ini adalah sebanyak RM395,500.00. Seingat Adun ini adalah idea YDP MPKj berseorangan. Perlu dibincang dan dikemukakan plan dan proposal susunatur apa yang dikatakan `Bulatan Seribu Bambu` itu, jangan jadi kelak selepas tidak terjaga sebagai `Hutan Buluh` menyakitkan mata. Yang kita cadangkan di Bulatan Ilmu itu didirikan arca `Bangi Bandar Ilmu` yang landscape taman berciri ilmu yang bersifat hijau dengan `Taman Seribu Bunga` berwarna warni yang sentiasa diberi perhatian dan penjagaan berterusan, bukan terbiar seperti bulatan-bulatan yang ada sekarang. Kita tak nampak jika hanya tanam buluh, maka kosnya begitu tinggi hingga RM395,500.00. Yang kita mau tekankan ianya sebagai `Taman Ilmu`. Bukan setakat bulatan, tetapi juga kelilingan. Kita harap cadangan bagi peningkatan taraf bulatan ini dibincangkan terlebih dahulu, agar benar-benar mencapai hasrat `Taman Ilmu` bagi Bangi Bandar Ilmu. Dengan peruntukan secara wajar. Kini sebahagian dari kawasan ini telah dirosakkan oleh bangunan yang tidak wajar didirikan yang sebelumnya kita bantah projek berkenaan, tetapi tidak dipeduli.

Cadangan kedua ialah melibatkan dua bulatan dengan penanaman pokok buluh di Bulatan Bangi di atas dan pembinaan papantanda nama `Bulatan Ilmu` dan bulatan kedua`Bulatan Cempaka` (dari bulatan ini menuju ke Tasik Cempaka) di Bandar Baru Bangi. Kos keseluruhan projek ini adalah sebanyak RM146,000.00. Bagi bulatan kedua tidak jelas dari segi imej yang mahu ditonjolkan. Sebaiknya bulatan ini memancarkan imej `Bandar Pentadbiran` kerana hampir keseluruhan bangunan pentadbiran, kecuali MPKj & Urusan Air semuanya berpindah dan berada di Bandar Baru Bangi. Jadi selain dari membawa nama Cempaka sebagai imej bunga bagi negeri Selangor, ianya perlu mencirikan imej Bandar Pentadbiran, sesuai dari bulatan ini menuju kepada berbagai-bagai pusat pentadbiran di samping komersil. Bagi mempastikan hasrat di atas dapat dicapai jangan hanya membuat pilihan dan tindakan perseorangan, perlu dibincangkan dengan melibatkan pakar-pakar di dalam landscape dan seni taman. Di dalam soal yang melibatkan seni, biarlah ianya ditangani oleh mereka yang berjiwa seni yang melakukan tugas dengan rasa seni dan penuh kecintaan, bukan sekadar menjalankan kerja `Makan Gaji` biasa.

Cadangan yang lain ialah pembangunan hutan Bandar di kawasan zon penampan Bandar Baru Bangi. Ianya adalah kesinambungan dari pembangunan penanaman pokok hutan (`trees bank`) di kawasan berkenaan yang telah dilaksanakan pada tahun 2007. Anggaran kos keseluruhan projek ini adalah sebanyak RM390,000.00. Apa yang dikatakan `Hutan Bandar` ini tidak jelas kedudukan dan di mana lokasinya yang sebenar. Jangan membuat sesuatu secara lebih kurang dengan perbelanjaan besar, tetapi hasilnya dipersoalkan. Kita meminta projek ini juga dibawa kepada perbincangan lebih teliti baik dari segi konsep yang kemudian dapat diterjemahkan kepada realiti serta berfaedah bagi kepentingan alam sekitar dan penggunaan penduduk. Bawa semua cadangan untuk diteliti terlebih dahulu. Ahli Majlis bersetuju untuk dilaksanakan projek ini secara berperingkat bergantung kepada peruntukan kewangan MPKj. Kita berharap cadangan dilaksanakan selepas melalui kajian secara teratur dan teliti yang kelak memberi faedah secara maksimum.

Sementara itu YDP MPKj memaklumkan terdapat perbincangan bersama pihak PKNS berkenaan cadangan pembinaan sebuah Dewan Konvensyen dan sebuah hotel di kawasan Tasik Cempaka. Apabila ditanya tentang kepastian pembinaan dan sama ada dewan tersebut di bawah pengurusan hotel atau sebaliknya.

Dato` YDP MPKj memaklumkan bahawa pembinaan dewan dan hotel adalah bersebelahan, namun laluan keluar masuk ke dewan dan hotel adalah berasingan. Beliau juga memaklumkan bahawa pihak hotel tidak terlibat dengan pengurusan dewan tersebut. Perlu diingat jumlah hotel di Bandar Baru Bangi dan sekitarnya sudah begitu banyak sebab itu mendirikan hotel sepatutnya tidak menjadi keutamaan dan wajar ditiadakan. Kita berharap cadangan membina Dewan Konvensyen ini tidak berada pada peringkat cadangan begitu amat lama, tetapi tindakan konkrit tidak diambil. Kawasan dtepi Tasik Cempaka pada asalnya begitu luas, tapi telah dimiliki oleh syarikat tertentu untuk dibina bangunan komersil, jangan sampai cadangan membina Dewan Konvensyen tergantung oleh kerana kehilangan tapak di tepi Tasik Cempaka berkenaan.

Berhubung dengan pembinaan Sekolah Agama 4 tingkat di Taman Kajang Raya ditimbulkan kemungkinan boleh mengakibatkan kesesakan lalulintas yang teruk selepas bangunan itu mula digunakan. Ditimbulkan adakah kajian dan cadangan serta bersyarat untuk pelebaran jalan lorong Kajang Raya 2 dan jalan masuk daripada lampu isyarat.

Setelah berbincang adalah dicadangkan pihak JKR melebarkan jalan Kajang Raya. Mesyuarat khas akan diadakan di antara JKR, MPKj dan Ahli Majlis untuk cadangan melebarkan jalan di Kajang Raya.

Sekian.

August 29, 2012

Suramnya Semangat Menyambut Ulangtahun Kemerdekaan Malaysia: Amaran Kepada BN !

BBB, 11 Syawal 1433 = 29 Ogos 2012 (Rabu):

Apakah masalahnya yang menjadikan suramnya semangat rakyat Malaysia bagi menyambut ulangtahun kemerdekaan ke 55 pada tahun ini? Sebagai bukti tiadanya keghairahan rakyat untuk mempamerkan bendera Malaysia sama ada di premis perniagaan, pejabat, rumah kediaman dan kenderaan. Banyak pihak membisu daripada memperkatakan tentang kemerdekaan tanahair tercinta selain dari media dikongkong kerajaan.



Kemerdekaan tanahair adalah hak dan milik rakyat semua tanpa mengira kaum, agama dan faham politik. Semangat kemerdekaan juga tidak mengira dari segi kedudukan sama ada berpangkat atau tidak, kaya atau miskin. Kemerdekaan juga memberi hak kepada setiap rakyat mengeluarkan pendapat, mendapat keadilan, ketelusan dan kebebasan maklumat. Masalah yang dihadapi, termasuklah suramnya sambutan rakyat terhadap ulangtahun kemerdekaan kali ke 55, bahawa BN kerajaan yang memerintah tidak menghormati konvensi prinsip, etika dan hak rakyat dalam sebuah Negara Merdeka. Lebih dari itu BN kerajaan yang memerintah dengan kekuasaannya bersifat mengongkong, memaksa, angkuh dan berpihak. Sikap BN ini dapat dilihat dari pemaksaan menggunakan slogan `Satu Malaysia`yang telah jemu jelak didengar tanpa mengira tempat dan masa. Lebih memuak dan memualkan lagi ditambah penggunaan `Janji Ditepati` sebagai tema menyambut ulangtahun kemerdekaan atau Hari Malaysia. Rhetoric klisye yang tidak memberi makna konkrik dan boleh dipersoalkan apakah semua janji dahulu, kini dan akan datang ditunaikan ? Sebagai contoh konvensi prinsip dan etika di atas saja sudah tidak dapat ditunaikan, apa lagi masalah kemiskinan, pengangguran, ancaman kedamaian dan sebagainya. Pihak yang bermain dengan slogan ini, khususnya Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan boleh disifatkan syok sendiri dari turun melihat kepada realiti.

Kita berpendapat rakyat hari ini amat celik dan cerdik dengan situasi dan keadaan semasa, biarpun mereka dituba dan dimabukkan dengan berbagai slogan, tetapi tahap sedar rakyat tetap pada tahap tinggi. Mereka menerima maklumat dari berbagai hala. Mereka melihat betapa angkuhnya pihak Kerajaan BN yang sejak pada awalnya membawa slogan politik `Satu Malaysia` dan `Janji Ditepati` ke dalam Sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan dan Hari Malaysia. Pembawaan slogan sedemikian dibantah, kerana dianggap mencampuradukkan antara politik dengan semangat menyambut ulangtahun kemerdekaan yang menjadi hak kepada semua. Oleh kerana mereka tidak memberi perhatian terhadap bantahan dan tetap meneruskannya, jadi oleh kerana pendapat, pandangan dan kritikan tidak didengar, maka sebagai reaksi balas terhadap yang berkuasa yang bersifat angkuh dan sombong maka tindakan menentangnya dilakukan dengan secara `Protes Senyap`.

Dalam kata lain apa yang rakyat tidak setuju ialah cara pendekatan dan pemaksaan yang dilakukan oleh BN yang tidak peka terhadap keselesaan hati dan minda rakyat Malaysia.

BN janganlah menuding jari dan menuduh pihak yang tidak menyetujuinya melakukan sabotaj menghalang rakyat dari menghadiri Sambutan Ulangtahun Kemerdekaan Malaysia. Pihak Kerajaan dan BN hendaklah memeriksa kesilapan diri dari menuduh pihak lain secara melulu.

Kita melihat kesilapan Kerajaan dan BN yang tidak mempedulikan pandangan rakyat menggagalkan niat Kerajaan BN mencurigakan yang mau menjadikan Sambutan Ulangtahun Kemerdekaan ke 55 sebagai platform kempen pilihanraya bagi BN yang dianggap menguntungkannya. Kita melihat protes senyap rakyat dengan tidak menyertai Sambutan Ulangtahun Kemerdekaan adalah sebagai permukaan atas dari berbagai-bagai lapisan ketidakpuasan hati rakyat terhadap BN. Ini adalah merupakan signal amaran terhadap BN !

Sekian.

August 28, 2012

Tuan Pegawai Daerah & Rombongan Mengunjungi Ketua Kampung Di Perkampungan

Sungai Ramal Luar, 09 Syawal 1433 = 27 Ogos 2012 (Isnin):

Pagi jam 10.00 hari ini Adun dijemput oleh Ketua Kampung Sungai Ramal Luar Tuan Haji Mohd Yusof bin Abdul Kadir ke rumahnya. Pada permulaan jemputan dijangka mungkin untuk aqiqah cucunya, tetapi jangkaan silap, Majlis diadakan untuk jamuan hariraya. Jangkaan, ia adalah jamuan yang bersifat keluarga dengan menjemput jiran tetangga. Sesampainya kami sememangnya pada masa itu beberapa orang kampung sibuk menyediakan persiapan untuk jamuan dan kami yang baru sampai dipersilakan mengambil tempat di kerusi-kerusi tersedia. Namun para hadirin jemputan diminta berehat dan bercakap-cakap terlebih dahulu.

Kami dimaklumkan Majlis menunggu ketibaan Pegawai Daerah Hulu Langat - Tamu istimewa bagi majlis yang diadakan pada hari ini. Dari penerangan Ketua Kampung Sungai Ramal Luar ini, bahawa bagi Hariraya Eidul Fitri pada tahun ini pihak Pejabat Daerah mengambil kesempatan untuk berkenalan dan memahami latar setempat bagi ketua-ketua kampung di bawah Pejabat Daerah Hulu Langat. Untuk hadir pada masa lain kurang sesuai dan Hari Raya Eidul Fitri ini adalah paling munasabah untuk dikunjungi.

Dengan kunjungan sedemikian secara tidak langsung pihak Pejabat Daerah dapat berkenalan dengan keluarga dan AJK dan pembantu-pembantu bagi Ketua Kampung. Walau bagaimana kunjungan tidak dapat dibuat kepada semua ketua kampung yang agak ramai dan masa pula terhad, sebab itu dipilih saja ketua-ketua kampung yang dikunjungi. Adun Bangi difahamkan untuk hari ini ada sekurang-kurangnya empat tempat dikunjungi pada tengahari ini. Bagi Dun Bangi dua tempat iaitu Kampung Bangi dan Kampung Sungai Ramal Luar, manakala dua tempat lagi di Hulu Langat ialah Taman Seroja, Batu 13 Hulu Langat dan Desa Nanding di Dusun Tua Hulu Langat.

Oleh kerana keempat-empat tempat ini jauh antara satu sama lain, maka rombongan dari Pejabat Daerah ini dipecah kepada dua. Satu diketuai oleh Tuan Pegawai Daerah sendiri iaitu Tuan Haris bin Kasim mengetuai pasukan ke Batu 13 Hulu Langat dan Desa Nanding di Hulu Langat, manakala satu pasukan lagi diketuai oleh Puan Norfaezah Binti Omar, Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan), Hulu Langat.

Adalah difahamkan kunjungan Pegawai Daerah bagi Dun Bangi bermula dengan kunjungan ke rumah Ketua Kampung, Kampung Bangi iaitu, Tuan Haji Zakaria Bujang. Kami di rumah Tuan Haji Mohd Yusof Ketua Kampung Sungai Ramal Luar adalah sedang menunggu kehadiran Puan Norfaezah dan rombongan yang terlebih dahulu ke Kampung Bangi di Pekan Bangi. Sementara ketibaan Puan Norfaezah dan rombongan kehadiran ke rumah Ketua Kampung Sungai Ramal ini semakin bertambah. Turut hadir ialah YB. Tuan Lee Kim Sin, Ahli Dewan Undangan Negeri Kajang, En Yusof Bachek Ahli MPKj Zon 21, Imam Masjid Sungai Ramal Luar Tuan Haji Yaacob bin Abdul Latiff, AJK-AJK Ketua Kampung dan AJK Masjid Sungai Ramal Luar dan penduduk setempat. Puan Norfaezah dan rombongan tiba jam 11.30. Mereka berjumlah lebih kurang 15 orang.

Majlis bermula dengan bacaan doa oleh Tuan Haji Yaacob, tanpa ucapan dan para jemputan dijemput menikmati hidangan yang menu utamanya ialah sate kajang dan nasi ayam di samping kuih-kuih raya dan buah-buahan. Walaupun majlis adalah sederhana, tetapi adalah meriah. Kehadiran tamu nampaknya berterusan. Menurut Tuan Haji Mohd Yusof, "Alang kepalang mengadakan sambutan hari raya, maka jemputan bukan setakat Pegawai Daerah dan rombongan, maka turut sama dijemput pemimpin setempat dan juga penduduk kampung di sekitar." Lantaran itu majlis nampaknya meriah.

Berikutan dari Puan Norfaezah dan rombongan memohon diri, maka Adun juga mengucap terima kasih kepada Ketua kampung Haji Mohd Yusof dan turut memohon diri jam 12.00 tengahari.

Sekian.

August 27, 2012

Hari Terbuka Eidul Fitri Dun Bangi & Parlimen Serdang: Persediaan

BBB, 08 Syawal 1433 = 26 Ogos 2012 (Ahad):

Hari Terbuka Dun Bangi & Kawasan Serdang:
Tarikh: 2 Sept. 2012
Masa: 12.00 – 3.00 Ptg.
Tempat: Kompleks Sukan, Seksyen 15, Bandar Baru Bangi


Mengadakan Hari Terbuka Dun Bangi Bersama Parlimen Serdang adalah acara tahunan. Bagi mengadakan Hari Terbuka pada peringkat Dun beserta dengan Parlimen perlu dirancang dengan rapi. Mesyuarat peringkat awal bagi mengadakan Hari Terbuka perlu diadakan lebih awal sebelum Ramadhan lagi. Wakil-wakil dari kawasan dan peringkat Parlimen dipanggil bagi persediaan berkenaan. Mesyuarat pada peringkat ini diadakan beberapa kali yang melibatkan penubuhan AJK, penempahan, pengurusan dan persediaan tempat, jumlah dijangka yang hadir, menu makanan dan yang bertanggungjawab menyediakan dan jumlah bajet yang dianggarkan. Bagi menjayakan Hari Terbuka ini jawatankuasa pelaksana dan jawatankuasa-jawatankuasa kecil lebih kerap bermesyuarat.

Satu aspek yang penting di dalam mengadakan Hari Terbuka ini ialah `Publisiti` yang melibatkan penyebaran maklumat kepada seluruh Dun serta Parlimen dan jemputan. Setelah keputusan tarikh dan tempat diambil, maka dari awal maklumat disebarkan melalui postar, banner dan blog. Surat-surat jemputan dicetak dengan banyak.untuk diedarkan.

Adalah menjadi pendekatan tradisi jemputan bersifat rakyat dilakukan menjelang tiba Hari Terbuka, iaitu dengan turun ke pasar-pasar malam dan pasar pagi bagi menyampaikan jemputan kepada rakyat. Turun ke pasar malam dan pasar pagi, oleh kerana tempat-tempat sedemikian dikunjungi ramai orang bagi mendapatkan keperluan harian, maka Adun dan Ahli Parlimen/Wakil dan lain-lain mengambil kesempatan turun dengan serampang berbagai-bagai mata. Antara tujuan ialah menyampaikan surat jemputan kepada orang ramai sebanyak mungkin, bertemu muka secara langsung dan berjabat tangan Selamat Hariraya kepada yang lelaki dan secara ucap sedemikian kepada yang perempuan semasa mengunjuk surat jemputan kepada mereka, berpeluang mengedarkan bahan-bahan tambahan disamping surat jemputan seperti memberi kepada mereka Akhbar Selangior Kini, Buletin Bangi, Risalah-Risalah Penerangan. Akhbar dan Buletin yang diedar secara percuma menarik mereka menerima surat-surat jemputan.

Demikianlah untuk jemputan secara turun padang kepada rakyat bagi Hari Terbuka 2 September (Ahad), maka petang Sabtu (25 Ogos), bagi kali pertama kami turun ke Pasar Malam Sabtu diiringi oleh saudara Azizi, Amir Othman, Harun, Fadzli, Abu Bakar dan beberapa yang lain di Pasar Malam. Sebut saja malam, tetapi kegiatan mulai dari petang ke malam. Dengan berdiri kiri kanan, kami mengunjukkan kepada yang datang Surat Jemputan ditambah yang lain dengan pemberian Selangor Kini, Buletin Bangi dan risalah-risalah yang lain. Pada petang ini kami dapat edarkan sebanyak 500 kad jemputan.

Seperti juga di Pasar Malam Sabtu, maka pada pagi Ahad, kami turun ke Pasar Basah, di Seksyen Satu, Bandar Baru Bangi dengan tujuan menyampaikan surat jemputan kepada pengunjung-pengunjung di samping risalah-risalah. Turun waktu pagi ini Adun Bangi, saudara Azizi dan saudara Amir Othman. Sebanyak 200 kad dan risalah serta akhbar dapat diedarkan dalam masa antara jam 9.00 pagi sehingga jam 10.30. Kami juga sempat minum teh di warung bersama orang ramai yang mengunjungi pasar pagi, Seksyen Satu, Bandar Baru Bangi.

Sekian.

August 26, 2012

Ziarah Ustazah Zubaidah Ketua Muslimat Pas Pertama Berada Dalam Keuzuran

Hospital Tengku Ampuan Rahimah Kelang, 06 Syawal 1433 = 24 Ogos 2012 (Jumaat):

Hajah Zubaidah bt. Ali (83) Ketua Muslimat Pas Pertama (1956-1960) sedang uzur dan beliau dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah sejak tiga hari yang lepas kerana sakit darah tinggi dan mengalami minor stroke. Berita sampai kepada Adun dan isteri bahawa Ustazah (panggilan mesra kami kepada Ustazah Zubaidah) bertanya tentang Adun dan isteri. Lantaran itu kami bercadang menziarahinya pada petang Khamis kelmarin, tetapi oleh kerana ada berlaku kematian di Kg. Sungai Tangkas dan menziarahinya rancangan ditangguhkan kepada hari ini.


Hubungan Adun dengan Ustazah, suami dan anak-anaknya sudah lama, bahkan isteri Adun Ustazah Mu`minah bt. Yusoff adalah murid kepada Ustazah yang pernah mengajarnya di Sekolah Khairiah, Gong Kapas di Kuala Terengganu. Apabila Adun mula berkhidmat sebagai Guru Agama Menengah Al-Ma`arif (sementara) di Kg. Raja Besut (1963), Ustazah Zubaidah adalah Pengetua. Lebih daripada itu seorang dari anak Ustazah Zubaidah Ustaz Fuad Ahmad Azam berkahwin dengan sepupu isteri Adun. Ini menyebabkan hubungan kami rapat dan berkekalan.


Ustazah Zubaidah mendapat pendidikan Islam di Bukit Tinggi, Sumatera, tempat yang banyak melahirkan pejuang-pejuang politik muslimat seperti Aishah Ghani, Ustazah Zubaidah Ali dan beberapa yang lain lagi. Ustazah Zubaidah berkahwin dengan Ustaz Ahmad Azam Hanafiah. Mereka bergiat dalam politik Pas sejak 1950an bermula di Perak. Ustazah Zubaidah memegang jawatan Ketua Muslimat Pas pertama mulai 1956 hingga 1960. Mereka berpindah ke Kuala Terengganu. Ustazah Zubaidah berkhidmat sebagai guru agama di Sekolah Agama Khairiah Gong Kapas, Kuala Terengganu. Ustaz Ahmad Azam di samping bergiat dalam politik membuka kedai buku dan menjual akhbar di kedai di pinggir Sekolah Khairiah.


Ustaz Ahmad Azam bertanding dalam pilihanraya 1959 di Kuala Terengganu atas tiket Pas. Pas memenangi pilihanraya dan pertama kali menguasai sebuah negeri, iaitu negeri Terengganu. Beliau dan Daud adalah calon Menteri Besar, tetapi oleh kerana beliau bukan kelahiran Terengganu, Daud Samad dipilih menjadi Menteri Besar Terengganu dengan beliau menjadi Timbalan Menteri Besar dan Exco (setelah 2 tahun memerintah Kerajaan Pas digulingkan dengan cara membeli undi oleh Umno. Ibrahim Fikri menjadi Menteri Besar). Selepas itu Ustazah Zubaidah dipindahkan ke Kg. Raja Besut dalam mana Adun pernah mengajar di sana dan Ustazah Zubaidah menjadi Pengetua. Selepas itu Ustazah Zubaidah dan suaminya dan keluarganya berpindah ke Kelang Selangor. Semasa menjadi pelajar di UKM dan kemudian menjadi tenaga Pengajar Adun sering pula bertemu dengan Ustazah Zubaidah dan Ustaz Ahmad Azam dalam seminar-seminar dan pertemuan-pertemuan ilmiah baik di universiti atau luar dari universiti yang kami hadiri dan sering pula berkunjung ke rumahnya di Taman Firdaus, Teluk Gadung, Kelang. Ustaz Ahmad Azam suami Ustazah Zubaidah meninggal dunia di Kelang pada tahun 2008. Adun menziarahinya semasa beliau uzur.


Adun bertolak dari Bangi ke Hospital jam 4.30 dan tiba sebelum jam 5.00 dan menziarah Ustazah Zubaidah yang ditempatkan di Tingkat 7. Ustazah Zubaidah dijaga dengan penuh kasih sayang oleh anak perempuannya Dr. Firdaus (Bekas Pensyarah UIAM) dan juga cucunya Fahmi seorang Pelajar Perubatan tahun akhir di Cyber Jaya dan kini buat praktikal di Hospital Serdang. Dr. Firdaus mempunyai anak-anak angkat. Pada masa kehadiran kami dua daripada anak angkatnya juga hadir seorang perempuan dan seorang pelajar Somalia yang sedang menuntut di sini. Dr. Firdaus sedang membuka perusahaannya sendiri. Kini beliau juga melindungi dua pelarian suami isteri dari Syria. Lelaki bekas businessman di Syria dan isterinya Bekas Pramugari Kuwait Airline yang kini baru melahirkan anak di Hospital Tengku Ampuan Rahimah.


Ustazah Zubaidah berada di dalam keadaan berbaring dan tidak dapat bangun. Menurut cucunya beliau juga di dalam keadaan demam. Beliau sedar kehadiran kami, walaupun tidak bercakap. Kami lebih bercakap dengan anaknya Dr. Firdaus dan cucunya Fahmi mengenai keadaan Ustazah. Bahkan bercakap juga cerita-cerita kami yang lepas, sejarah yang berhubung dengan Ustazah Zubaidah dan Ustaz Ahmad Azam. Tidak berapa lama dari ketibaan kami pihak nurse memberitahu untuk memindah Ustazah ke Bilik yang lebih selesa ke tingkat 6 (Tingkat 7 aircod. rosak dan bergilir kipas dengan pesakit yang lain.), bila ada kekosongan. Kami mengikuti perpindahan dan turut membawa barang-barang ke bawah. Sementara urusan pengemasan dibuat oleh nurse kami menunaikan solat Asar dan datang semula ke bilik perpindahan yang baru. Jam 7.00 petang kami memohon diri dengan dihantar oleh Fahmi cucu Ustazah Zubaidah. Kami diminta oleh anak menantu di Bukit Jelutung singgah berbuka puasa dan anak bungsu suami isteri dari Pantai Hill Bungsar yang baru pulang dari Kuala Terengganu datang sama membawa makanan yang dikirim dari Kuala Terengganu untuk kami. Tiba di Bangi jam 10.30 malam.

Sekian.

August 25, 2012

Meninjau Jalan-Jalan Rosak Dan Sesuai Dicadangkan Untuk Pembaikan

BBB, 07 Syawal 1433 = 25 Ogos 2012 (Sabtu):

Berikutan dari tambahan peruntukan bagi kawasan setiap Adun bagi membaiki jalan dan perparitan, maka melalui Ketua Kampong dan Ahli Majlis PBT dan tinjauan sendiri, maka Adun mengumpul maklumat jalan-jalan rosak di dalam kawasan DUN Bangi. Tinjauan dibuat sejak seminggu lepas. Tempat-tempat yang dimaklumi rosak, maka Adun bersama pengiring atau persendirian keluar membuat perhatian. Tinjauan dibuat mutakhirnya pada pagi ini. Maklumat ini perlu kepada penyegeraan, kerana permohonan perlu dihantar kepada Pejabat Daerah sebelum berakhirnya bulan Ogos 2012 ini. Walaupun tarikh akhir diberi maka penghantaran maklumat perlu dibuat lebih awal sedikit dari tarikh akhir berkenaan. Sementara itu sesiapa yang mendapati kerosakan jalan di tempat masing-masing yang perlu dibaiki, maka diminta segera menghubungi Adun bagi dipertimbang untuk dibaiki.

Setakat ini tempat ditinjau dan dimasuk dalam list bagi ditimbang untuk diperbaiki antaranya ialah:

  1. Sungai Tangkas

Dekat Terowong di bawah jalan keretapi yang melibatkan Lot 1065. Tempat ini sering rosak, kerana sering dilempahi banjir bila berlaku hujan. Juga jalan masuk pertama ke kiri selepas terowong (gambar).

Terdapat tebing runtuh di tepi Sungai Tangkas tidak jauh dari Balairaya. Kerosakan ini besar dan membahayakan. Ketua Kampong minta dipastikan papan tanda melarang kenderaan menggunakan jalan ini. Tugas membaiki tebing sungai dan jalan rosak ini adalah di bawah JPS..

  1. Kampong Bahagia Bangi

Hujung bagi jalan Aman yang didapati masih tidak berturap. Terdapat di dalamnya beberapa buah rumah. Perlu juga dibaiki mana-mana longkang di Kampong Bahagia yang rosak

  1. Bandar Bukit Mahkota

Menampal mana-mana jalan yang rosak, terutama Jalan Utama bagi kawasan Bukit Mahkota

  1. Bandar Seri Putera

Baiki jalan yang menghubung Impian Putera dengan Pekan Bangi, khususnya pada bahagian yang diistilahkan `No Man Land` - Kawasan Tak Bertuan`. Tiada agensi yang mau ambil tanggungjawab.

  1. Seksyan 7 Bandar Baru Bangi

Diminta diperbaiki kerosakan jalan utama bagi Seksyen ini

  1. Sungai Ramal Dalam
Menurap dan meratakan permukaan jalan dari Seksyen 8 hingga ke hadapan Masjid Al-Falah

Jalan antara masjid dan Sekolah susur ke kubur

Jalan Diamond

Jalan Nazir. Penduduk mengadu jalan ini dikorek dan diguna oleh lori besar, menyebabkan jalan pecah. Beliau berharap lori besar dilarang dari memasuki dan menggunakan jalan ini.

Menyambung penurapan jalan dari hadapan ABIM ke Desa Surada. Ada tempat paip pecah tidak dibaiki menyebabkan jalan yang baru dibaiki dan diturap rosak kembali. Baiki segera paip dipermukaan jalan yang pecah.

  1. Sungai Ramal Luar

Jalan Pintas, iaitu Jalan Setia ke Sungai Ramal Baru. Ramai menggunakan jalan ini sebagai jalan pintas. Pagar batu yang didirikan secara haram patut dirobohkan bagi meluaskan jalan agar dapat seleisih secara selesa.

Sebarang maklumat jalan untuk dibaiki hubungi Pejabat Adun dengan segera.

Sekian.

August 24, 2012

Sagu Hati Kepada Pemilik Rumah Rosak Dipukul Ribut

Sungai Ramal Luar, 26 Ramadhan 1433 = 15 Ogos 2012 (Rabu):

Kawasan Sungai Ramal Luar, khususnya di Kg. Paya dan Sungai Ramal Baru telah mengalami dua kali rebut yang merosakkan bangunan-bangunan rumah.

Kali pertama berlaku pada 01 Mei 2012. Sebanyak 20 rumah menjadi mangsa ribut dan 6 buah daripadanya dianggap teruk. Pada hari yang sama Adun turun bersama Ketua Kampong Tuan Haji Mohd Yusof Abdul Kadir dan beberapa yang lain dan memberi bantuan kepada pemilik-pemilik yang rumah mereka rosak teruk. Bantuan mengikut teruk kerosakan bagi 6 buah rumah. Bantuan dari paling teruk RM500/= dan yang paling kurang RM200. Manakala selebihnya yang lain sebanyak 14 buah rumah menunggu ganti rugi dari Pejabat Daerah Hulu Langat.

Ribut kali kedua berlaku pada 18 Julai 2012. Kerosakan berlaku kepada 14 buah rumah. Permohonan juga dibuat terhadap Pejabat Daerah Hulu Langat bagi membayar pampas an kerugian.

Permohonan ganti rugi diluluskan oleh Pejabat Daerah, walaupun tidak sebanyak mana jumlah pampasan. Hari ini pampasan bagi kedua-dua kerosakan disatukan dari segi penyampaian. Lebih kurang 50 orang dijemput hadir ke Majlis penyerahan pampasan dan pada masa yang sama Adun turun dengan bahan-bahan peruntukan dari Lajnah Kebajikan untuk diserahkan kepada mangsa-mangsa ribut, ibu tunggal dan mereka yang miskin. Turut dalam Majlis Penyampaian pampasan yang lebih bersifat sagu hati itu, selain dari Adun Bangi ialah Tuan Haji Mohd. Yusof Abdul Kadir Ketua Kampong, Tuan Haji Nik Pa Nik Leh Nazir Masjid Sungai Ramal Luar, saudara Fuad Ismail Setiausaha JKK dan Masjid dan beberapa yang lain.

Tuan Haji Mohd. Yusof Abdul Kadir dalam ucapan ringkasnya menerangkan tentang kedua-dua ribut yang merosakkan berpuluh-puluh rumah. Menurut beliau, walaupun jumlah yang diberi tak seberapa, iaiitu sebanyak RM150.00 seorang, tapi Adun menambahkan bantuan yang merupakan beras, keperluan dapur dan makanan.

Adun berucap dengan mengucap syukur kepada Allah, kerana kebanyakan mangsa yang mengalami kerosakan telah memperbaikinya. Bantuan yang tak seberapa diharap sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang dihadapi mangsa-mangsa. Adun juga menambah bantuan berupa barangan. Ini juga mencerminkan keprihatinan Kerajaan Negeri melalui Pejabat Daerah bagi membantu mangsa-mangsa, Beliau berharap mangsa-mangsa dapat menerima dengan rela. Banyak lagi bantuan dari kerajaan negeri baik bersifat langsung seperti air percuma, Skim Bantuan Warga Emas Skimsel dan Mimbar, dan berbagai kemudahan yang disediakan kepada rakyat negeri Selangor. Bantuan secara tidak langsung seperti pembaikan jalan-jalan, bantuan pendidikan, pinjaman tanpa faedah dan berbagai lagi.

Pada Majlis Penyampaian Sagu Hati bertempat di Baitul Imtiyaz, Sungai Ramal Baru di sini Lebih dari 50 beg plastic barangan dan bantuan kewangan disampaikan kepada mangsa-mangsa ribut dengan tambahan barangan kepada ibu tunggal, anak Yatim dan fakir miskin. Diharap dengan bantuan ini dapat melegakan mereka di dalam menyambut hariraya Eidul Fitri yang akan tiba beberapa hari lagi. Insya Allah. Pada akhirnya Adun mengucapkan ``Selamat Menjalani Ibadat Puasa dan Selamat Hariraya - Maaf Zahir Dan Batin.

Sekian.

August 23, 2012

Exodus Cinta

Di laut kewujudan
Kita digerak arus cinta
Magnet menarik ke semua hala
Menjelang hariraya
Berlaku exodus cinta
Tsunami melimpah bersama angin rindu
Bergerak kembali menemui yang tercinta
Dalam suasana kudus takbir bergema
Pada ayah-bonda dan keluarga
Pohon kemaafan mencium tangan
Berkat kehidupan dari redha mereka.

Selepas mendamparkan diri
Pada kasih sayang cinta keluarga
Sanak saudara teman sebaya
Tiba arus membalik diri
Meluncur kembali ke laut gelombang
Demikian perantau pulang
Setelah bersiap merakam manis kenangan
Dengan berat berlaku perpisahan
Kembali mengukur jalan perkembalian
Tidak lain dari tarikan arus cinta
Dengan profesyen membela keluarga
Lebih dari itu agama, bangsa Negara
Yang jihad kerananya manis tertinggi
Insya Allah ganjaran di sisi Ilahi.

Exodus cinta
Percikan Agungnya Pencipta
Yang mencetus nyalanya di dada
Menggerak kembali ke perdu cinta
Bukankah dengan tenaga cinta
Harmoninya gerak cakrawala
Dengan sumber cinta
Suburnya penerusan kehidupan
Dengan mesra cinta.


Shafie Abu Bakar,
Port Dickson-Bangi.
04 Syawal 1433
22 Ogos 2012.

August 22, 2012

Paling Jawa ! Paling Kaya ! Bijak Memandu Kereta Bos, Tapi Tak Pandai Pandu Keluarga !

(Anekdot):

Dalam satu mesyuarat Ahli Jawatankuasa yang membincangkan berbagai agenda, ahli terbawa berbincang kepada soal istilah yang berhubung dengan makanan asli yang boleh menjadi identiti negeri Selangor. Antara mereka ada yang menyebut seperti tempe dan Nasi Ambeng. Ada yang tidak setuju mengatakan tempe sebagai makanan identiti Selangor, demikian juga dengan Nasi Ambeng kerana kedua-duanya berasal dari budaya Jawa! Secara bergurau, seorang ahli menyebut, "Oleh kerana pencadang adalah berketurunan Jawa, maka dicadangkan istilah yang berasal dari Jawa". Tapi kata ahli yang tidak bersetuju itu,

"Kalau nak kira Jawa, saya adalah lebih dari Jawa. Selain dari mempunyai pertalian dari keturunan Jawa, saya juga tinggal di Kampung Jawa, Klang! Ertinya saya lebih Jawa dari Jawa. Tapi saya mahu mengelak dari sentimen Jawa". Semuanya ketawa.

Seorang AJK yang lain menyatakan pendapatnya, "Tinggal di Kampung Jawa tidak semestinya Jawa, macam saya bergelar "Orang Kaya-Kaya" sebagai orang Besar Daerah. Kalau nak kira, "Sayalah Orang Terkaya, maklumlah Orang Kaya!" Tapi sebenarnya tidaklah kaya! Semua juga ketawa. "Kita mesti mencari yang tepat dan benar-benar asli, tanpa dipengaruhi sentimen," tambahnya.

Akhirnya tiada keputusan yang diambil, sama ada nak dikatakan misalnya, "Lemang makanan identiti Selangor atau Sate, kerana semuanya ada asal usul dan boleh didakwa oleh banyak pihak. Bahkan ada yang secara bergurau menyatakan,

"Nanti kalau kita mendakwa makanan itu, ini makanan Selangor akan didakwa oleh pihak tertentu, misalnya lagu-lagu yang kita katakan asalnya dari Malaysia, didakwa oleh pihak Negara Jiran sebagai lagu berasal dari negerinya. Ini mencetuskan perbalahan. Perkara sedemikian sepatutnya tidak menimbulkan polimik. Semakin luas penggunaan semakin mencerminkan popularitinya dan harus dibanggakan, apa lagi jika ianya merupakan warisan milik bersama yang menandakan kita satu rumpun dan geografi.

Isu makanan asal itu ditutup tanpa pengakhiran dan keputusan.

Sekian.

Pandai Memandu Kereta, Tak Pandai Pandu Keluarga

Menjadi Wakil Rakyat, menerima aduan dan permohonan adalah menjadi perkara biasa. Bahkan kadang-kadang masalah keluarga juga menjadi bahan aduan. Wakil Rakyat kadang-kadang bertindak sebagai Hakim Mahkamah Syarie di dalam memberi nasihat dan kadang-kadang mencari penyelesaian.

Antara aduan yang diterima, seorang ibu beranak tiga datang membuat aduan, bahawa suaminya selama ini Pemandu van Syarikat bagi semua urusan Syarikat Bosnya. Menurutnya, "Walaupun suaminya bergaji kecil dan tak seberapa, keperluan keluarga cukup secara minima dan mereka sekeluarga hidup bahagia."

Atas amanah dan ketelitian Sang Suami driver van ini dinaikkan pangkat, menjadi driver bagi Bosnya dan diberi pakaian uniform yang menarik, sesuai beliau berada disamping Bosnya, bahkan bertindak sebagai pegawai bagi keselamatan Bosnya. Dengan kenaikan pangkatnya, bererti naik dari segi gajinya.

Aduan yang diterima dari isterinya, "Bahawa sejak suaminya memandu kereta besar dan mahal dan berpakaian handsome dan hebat, suaminya mengabaikan keluarga. Kata sang isteri, "Nafkah kami dan anak-anak tidak diberi secukupnya seperti dahulu." Bila ditanya, "Adakah suaminya mempunyai perempuan lain?" Jawab isteri, "Tidak pasti." Tambah isteri,

"Untuk menampung keperluan harian dan perbelanjaan anak ke Sekolah, saya terpaksa menjual nasi lemak pada sebelah pagi dan pisang goreng pada sebelah petang". Bila ditanya, "Adakah pernah buat aduan di Pejabat Kadhi?" Isteri menjawab, "Setakat ini belum lagi, harap Yang Berhormat dapat nasihat agar suaminya kembali menunaikan tanggungjawab."

Termenung Adun, bagaimana cara hendak menyelesaikan persoalan.

Setelah bertanya mengenai latar belakang suami dan mendapat no telefon sang suami, Adun mencadangkan agar Suami & Isteri datang menemui Adun dan Adun berjanji untuk menelefon Sang Suami pada masa yang sesuai.

Tarikh sesuai untuk datang dibincangkan dan berikutnya Adun menelefon Sang suami bertanya khabar. Adun meminta Sang suami bersama isterinya datang bersama pada tarikh yang ditentukan. Kami tak mahu Sang Suami Bijak memandu kereta Bos, tapi tak tahu pandu Isteri dan keluarga!"

Walau bagaimana pada tarikh yang ditentukan mereka tidak hadir dan Sang isteri juga tidak lagi datang membuat aduan! Mungkin sang suami kembali pandu keluarganya dalam keadaan yang normal. Itulah diharapkan. Insya Allah.

Sekian.

August 21, 2012

Hari Terbuka Y.A.B. Dato` Menteri Besar Selangor

Shah Alam, 01 Syawal 1433 = 19 Ogos 2012 (Ahad):

Memang dari awal lagi Adun Bangi berhasrat untuk menghadiri Hari Terbuka Eidul Fitri Dato` Menteri Besar Selangor yang diadakan pada hariraya pertama – hari ini di Pekarangan Dewan Negeri-Bangunan SSAAS, Shah Alam. Lantaran itu sesudah menunaikan Solat Sunat Hariraya Eidul Fitri di Masjid Al-Hasanah, Bandar Baru Bangi pada pagi ini Adun menghantar isteri dan anakanda pulang ke rumah bagi persediaan tamu hadir – terutama anak-cucu. Adapun Adun memandu berseorangan berbaju Melayu bersamping dan bersongkok ke Shah Alam.

Tiba di hadapan pagar, pengawal mengarah untuk meneruskan panduan ke sebelah kiri. Semua tempat di luar telah penuh dengan kenderaan yang datang. Tempat parking khas bagi Adun-Adun disekat dari memasuki, kerana khemah-khemah memenuhi ruang dari bangunan SSAAS ke Dewan Negeri, sampai ke belakang diarah lagi ke belakang bangunan dan akhir sekali turun ke bahagian parking paling bawah baru ada kekosongan.

Dari sini untuk kehadapan Dewan agak jauh, sudah tentu berpeluh dahulu berjalan baru tiba, mujur juga ada perkhidmatan bas yang membawa pengunjung ke hadapan Dewan. Adun naik dan menunggu sehingga bas penuh dengan pengunjung dan dibawa pemandu ke hadapan Dewan. Tiba dihadapan Dewan didapati penuh dengan pengunjung. Mereka sedang beratur memilih makanan, sedang di atas pentas juruacara mengendalikan pengumuman dan juga hiburan. Adun menyelinap di tengah orang ramai mencari tempat yang bersesuaian hingga terbawa ke bahagian VIP dan di sini dapat menemui seperti Y.B.Lee Kim Sin Adun Kajang, Y.B. Phlip Tan Choon Swee Adun Teluk Datuk, Kemudian hadir Y.B. Dr.Ahmad Yunus Exco Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan. Ketemu sama, S.S.Dato` Setia Haji Mohd Tamyes Bin Abdul Wahid, Mufti Kerajaan Negeri Selangor, Dato` Haji Mohd Jaafar Bin Atan Dato` Bandar Shah Alam. Adun berkesempatan duduk dan bercakap-cakap dengan pengunjungp-pengunjung kehormat. Menurut pengumuman yang dibuat bahawa Y.A.B. Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim Dato` Menteri Besar Selangor akan tiba jam 12.00 tengahari. Sementara ketibaan kami terus bercakap-cakap dan makan-makan. Adalah difahamkan Y.A.B Dato` Menteri Besar melakukan Kunjungan Hormat mengadap DYMM Sultan Selangor selepas menunaikan solat Eidul Fitri. Sementara itu Tuan Speaker Y.B. Dato` Chang Khim yang tiba menyambut tetamu dan membahagikan duit raya kepada anak-anak yang hadir.

Kehadiran Y.A.B. terus diiring ke lobi Bangunan Annex – Anjung Dewan Negeri. Beliau menemui warga-warga emas yang uzur dan OKU yang sengaja ditempatkan di lobi Anjung Dewan yang lebih selesa. Y.A.B. Dato` Menteri Besar turut sama diiringi oleh Isteri dan anak serta cucu yang ada masa didukung cucunya semasa menemui pengunjung-pngunjung dari kalangan warga emas dan OKU. Adun turut sama ke lobi Anjung Dewan dengan tujuan untuk sama mengambil gambar semasa Y.A.B. meraikan warga emas dan OKU berkenaan.

Kemudian barulah Y.A.B. keluar dari Bangunan Anjung Dewan dan ke bawah khemah dan menemui orang ramai yang berpusu-pusu datang. Suasana adalah amat meriah. Banyak pilihan makanan yang dihidangkan, termasuklah nasi beriani, mee, sate, karipap, buah-buahan dan berbagai lagi makanan. Jumlah mereka yang datang dari berbagai kaum mungkin meningkat kepada 40 ribu orang.

Daripada kehadiran mencerminkan Y.A.B. Dato` Menteri Besar adalah Menteri Besar yang berwibawa dan disayangi rakyat jelata, khususnya bagi rakyat negeri Selangor.

Sekian.

August 20, 2012

Melepaskan Dengan Doa Keselamatan Bagi Warga Bangi Yang Pulang

BBB, 28 Ramadhan 1433 = 17 Ogos 2012 (Jumaat):

Menjelang hariraya, jalan-jalanraya sesak dengan kenderaan, kerana sudah menjadi adat kebiasaan penghuni, lebih-lebih lagi perantau pulang ke kampong untuk berhariraya dengan ibu bapa, keluarga dan mereka yang dikasihi. Keadaan sedemikian tidak terkecuali dengan Bangi. Mereka yang telah lama menetap di Bangi apa lagi yang merantau ke sini sama ada mendalami ilmu pengetahuan atau mencari pekerjaan, menjelang tiba Syawal menggamit mereka pulang ke Kampong halaman menyebabkan Bangi selepas satu dua minggu Eidul Fitri menjadi sunyi.

Sebagai pernyataan `Prihatin` terhadap warga Bangi yang pulang AJK Adun diketuai Adun Bangi mengambil pendekatan melepas dan mengucapkan Selamat Pulang dan Hati-Hati DiJalan Raya kepada mereka di mana mereka bertolak. Pada peringkat awal kami mau melepaskan mereka di plaza tol Bangi dengan membekalkan kepada setiap dari kenderaan yang diucapkan `Selamat Jalan` dengan beg barangan yang terdiri dari risalah-risalah, minuman dan makanan. Bagi tujuan ini Muslimat/Niasa`beberapa hari menyediakan 1,000 beg ole-ole untuk dibekalkan kepada pemandu kenderaan yang keluar dari tol Bangi. Pada pagi hari ini berpuluh-puluh

petugas keluar ke Tol Bangi untuk mengucapkan `Selamat Jalan` kepada pemandu-pemandu kenderaan yang pulang. Edaran juga dilakukan di Tol Bandar Seri Putera. Barangan yang dibawa penuh dalam Hilux, ini tidak termasuk yang di bawa ke Tol Seri Putera. Tetapi oleh kerana masalah teknikal dan keselamatan kami tidak mendapat keizinan menggunakan laluan Tol Bangi.

Pada pagi ini juga diusahakan menemui Pengurus Hentian Bas di Jalan Reko, Bangi dan mendapat keizinan. Lantaran itu Adun dan beberapa pembantu terurtama saudara Amir Othman dan saudara Azizi ke Hentian Bas Jalan Reko. Adun dan pembantu-pembantu menyampaikan kepada mereka yang bertolak dari Hentian Bas di sini pada sebelah pagi beg ole-ole sambil mengucapkan kepada mereka Selamat Jalan sebelum bas-bas bertolak yang destinasinya ke Terengganu, Kelantan dan Kedah. Kebanyakan yang bertolak pulang dengan bas-bas di sini adalah dari kalangan anak-anak muda sama ada pelajar universiti atau mereka yang bekerja di sini. Oleh kerana banyak bas yang sudah bertolak, kami berkesempatan mengedarkan sebanyak lebih kurang 200 beg dan bercadang untuk datang lagi pada sebelah malam.

Pada sebelah malam ziarah melepas pulang penghuni Bangi selepas pulang bertarawih pada malam terakhir di sebuah Surau di Pinggir Bukit Mewah, berdekatan dengan Tol di situ. Kehadiran di Hentian Bas Kajang, Jalan Reko, Bangi pada malam ini dapat disifatkan sebagai tepat. Walaupun jam 10.00 malam, bas-bas perjalanan jarak jauh banyak yang masuk dan mereka menunggu untuk pulang sesudah menempah tiket sebelumnya memang ramai. Kalau mau diberi semua barangan yang dibawa tentu tidak cukup. Walau macam Adun bertiga dengan saudara Azizi dan saudara Amir Othman bertungkus lumus mengagihkan beg-beg cenderahi bagi mengucapkan selamat jalan bagi mereka yang mau bertolak.

Edaran di Perhentian Bas Jalan Reko ini mendapat sambutan anak-anak muda dan mereka menerima kunjungan kami dengan ceria. Sebagaimana sebelah pagi mereka yang bertolak pada malam ini menuju ke Kota Baharu, Kuala Terengganu dan Alor Star. Selain dari mengedarkan kepada mereka yang akan bertolak di luar bas, kami juga diberi peluang naik ke dalam bas dan menemui passangers dan membahagi-bahagikan beg sambil mengucapkan selamat jalan kepada mereka.

Urusan mengedarkan beg-beg cenderahati sambil mengucapkan Selamat Jalan & Selamat Hariraya – Maaf Zahir dan Batin siap pada jam 11.15 malam.

Sekian.

August 19, 2012

Eidul Fitri Dengan Syawal Mengganti Diri

… dan Syawal mengganti diri.
Bagi Ramadhan yang pergi
Dengan ole-ole istimewa
`EIDUL FITRI`
Sambutlah secara terbaik kehadiran
Allahu Akbar ! Allahu Akbar !
Allahu Akbar ! Wa Lillahil Hamd
Penuh syukur di atas kejayaan.
Menjalani ibadat sebulan Ramadhan.

Setelah kepada fitrah kembali
Kudus mesra cinta Ramadhan
Biarlah tersemat dihati
Sepanjang memandu diri
Di lebuh lempang menjalani.

Eidul Fitri mengunjungi
Panjangkanlah kemaafan
Lahiri batini dipohonkan
Semoga seluruh tahun perjalanan
Di dalam keredhaan Tuhan.

Shafie Abu Bakar,
Bandar Baru Bangi,
01 Syawal 1433
19 Ogos 2012.

August 18, 2012

Ramadhan Yang Datang Mula Berangkat Pulang

Ramadhan yang datang
Sarat dengan pakej sempurna tawaran
Sepurnama berlabuh di Teluk Rindu
Memesrai semua tanpa jemu
Membahagi-bahagikan kasih sayang
Menawarkan pahala bergandaan
Memberi ruang meraih kesempatan
Namun bagi mencecah taqwa itu
Lebih lagi Lailatul Qadar
Tidak semudah mampu dicapai
Lebih lagi bagi seorang hamba biasa
Ibadah puasanya tidak sunyi dari cela
Biarpun ditawar dengan ibadah tampungan
Sadaqah bantuan tadarus membaca Qur`an
Tarawih witir tahajud qiyamullail
Belum tentu bertaraf sempurna ganjaran
Cuma seikhlas doa mohon dikabulkan.

Ramadhan yang datang
Membawa mesra mengganda cinta
Hamba mendakapnya dengan amalan seharian
Basah bibir dengan tasbih tahmid takbir
Mengulangi mesra ayat-ayat firman
Salawat memuji Rasul Junjungan
Pada sahabat diberi sanjungan
Kudus mesra kasih cinta ditatang
Namun cinta hamba tidak seberapa
Berbanding dengan rahmat diterima
Namun mesra Ramadhan menambat kasih-sayang
Sebulan bersamaan bagai sejenak pertemuan.

Di penghujungan di senja terakhir itu
Azan yang digemakan dari surau berdekatan
Tidak segemersik petang-petang Ramadhan
Tiada lagi jamaah berbundung datang
Tiada lagi tamar dijamah permulaan
Tiada lagi takbir, tahmid salawat berulang
Mengiringi tarawih dan witir didirikan
Bahkan Kitab-Kitab Suci disusun rapi
rehal-rehal di tepian bertindihan
Tadarus turut dihentikan
Jamaah turut berkurangan.

Ramadhan yang datang
Mulai berangkat pulang
Membawa mesra bersama pergi
Meninggalkan kita dalam sepi
Merindui kehadirannya kembali
Mungkinkah diri bertemu lagi ?

Shafie Abu Bakar,
Bandar Baru Bangi,
29 Ramadhan 1433
18 Ogos 2012.

August 17, 2012

UCAPAN HARI RAYA DARI DR. SHAFIE


video

Hujung Ramadhan Tadarus-Khatam Al-Qur`an Dan Penghargaan

BBB, Surau Al-Kauthar, Seri Tanjung dan Ittifaqiyah 25-27 Ramadhan = 14-16 Ogos (Selasa-Khamis):
Semakin Ramadhan meningkat semakin bertambah dengan pengisian ibadat. Puasa, iftar berjamaah, solat fardu dan sunat tarawih diteruskan. Demikian dengan tadarus dan menggandakan sadakah. Namun sebahagian dari amalan-amalan ibadat ini memerlukan kerjasama secara jamaah. Misalnya penyediaan iftar di masjid-surau, menyediakan moreh, bertadarus dan penyampaian bantuan memerlukan tenaga pertolongan.
Demikianlah pada penghujung Ramadhan, disamping meneruskan amalan-amalan ibadat, bahkan menggandakan beberapa acara tambahan diadakan sesuai dengan penghujungan Ramadhan. Pada beberapa hari Ramadhan terakhir Adun berkunjung ke surau-surau terdapat majlis-majlis tambahan bagi merai dan menghargai tenaga kerja dan mereka yang memberi kerjasama terhadap program surau seperti bantuan kewangan, pertolongan dan sebagainya.
Pada petang 25 Ramadhan (Selasa) selepas beriftar dan solat Maghrib di Surau Al-Ikhlas, Seksyen 4 Tambahan Adun bersolat Isya` dan Tarawih di Surau Al-Kauthar, sebuah surau terbesar di Bangi dan giat dengan berbagai-bagai kegiatan. Pada malam ini selepas tarawih diadakan Majlis Khatam Qur`an. Anak-anak yang bertadarus sepanjang Ramadhan menjadi mereka yang berkhatam dan diraikan. Selepas acara berkhatam anak-anak berkenaan diberi penghargaan dengan cenderahati, sijil dan juga kewangan. Adun menjadi antara yang
menyampaikan penghargaan. Di samping itu, tenaga kerja yang bertungkus lumus semasa Ramdhan seperti menyediakan moreh setiap petang dan memberi tenaga berbagai-bagai aktiviti Ramadhan diberi penghargaan dengan cenderahati tidak seberapa, tetapi besar maknanya. Turut diberi penghargaan kepada kaum muslimat yang memberi tenaga bagi kegiatan Ramadhan. AJK Surau yang terdiri dari Tuan Haji Nazri (Pengerusi), Ustaz Ismail (setiausaha) dan Haji Zulkifli (Bendahari) sama menjayakan majlis.
Pada 26 Ramadhan pula Adun hadir berjamaah di Surau Seri Tanjung, Seksyen 7 BBB,
Selepas tarawih Jawatankuasa Surau yang diketuai saudara Mazlan dan Encik Amran dan Encik Azlam juga mengadakan Majlis Penghargaan terhadap mereka yang memberi kerjasama dan tenaga terhadap kegiatan Ramadhan. Hampir setiap jamaah yang hadir pada malam itu diberi cenderahati sehelai kain pelikat, manakala bagi kalangan muslimat yang hadir ialah kain batik untuk wanita.Bantuan kepada mereka yang susah juga diminta Adun sampaikan. Encik Mazlan juga membahagikan duit raya kepada anak-anak yang hadir sama ada lelaki atau perempuan. Kelihatan majlis begitu meriah sekali.

Pada malam 27 Ramadhan Adun hadir pula berjamaah di Surau Al-Ittifaqiah, iaitu sebuah surau yang baru disiapkan, iaitu dari kerjasama dan derma penduduk setempat yang perbelanjaan kurang dari satu juta, tetapi surau ini kelihatan begitu sempurna dan menarik. Pada malam ini surau Al-Ittifaqiah yang dipengerusikan oleh Ustaz Zaki dan AJK Ustaz Azman dan Ustaz Nasir mengadakan Majlis Penghargaan terhadap mereka yang banyak memberi tenaga dan kewangan terhadap surau ini.
Dalam ucapan ringkas Adun memuji komitment yang tinggi AJK dan penduduk sehingga dapat menyiapkan surau dalam tempoh setahun sahaja dan surai ini semakin makmur. Adun menyebut bahawa derma yang tuan-tuan puan-puan keluarkan terhadap surau memesrakan lagi tuan-tuan dan puan-puan terhadap surau. Dari titik peluh tuan-tuan dan puan-puan terbinanya surau ini. Adun berharap kemakmuran surau ini tidak saja berlaku dalam bulan Ramadhan, akan tetapi semangat dan madrasah Ramadhan membentuk kita menjadi manusia terbaik dan diredai Allah. Setiap Surau yang Adun hadir Adun sampaikan peruntukan Ramadhan sebanyak RM500/=.
Sekian..