November 30, 2014

Pantang Larang Masyarakat Bugis Di Selangor


BBB, 6 Safar 1436 = 29 November  2014 (Sabtu):
Masyarakat Bugis di Selangor adalah merupakan pecahan dari masyarakat Melayu di negeri tersebut sebagaimana adanya  masyarakat Jawa, Banjar, Minang, Mandiling dan sebagainya. Namun masyarakat Bugis di Selangor mempunyai sejarah tersendiri dan menarik. Orang Bugis berasal dari kepulauan Sulawesi. Sebagai `Bangsa Pelaut-Pedagang` , maka bukti-bukti kehadiran orang-orang Bugis ke Tanah Melayu sejak zaman Melaka lagi.
Menurut Pembentang Kertaskerja Tuan Haji Zainuddin Bin Leman dari Persatuan Melayu Bugis Selangor yang dibentang pada hari pertama Seminar Pantang Larang Masyarakat Di Selangor (25 November 2014) berjudul `Pantang Larang Masyarakat Bugis Di Selangor` bahawa mobilisasi terbesar orang-orang Bugis keluar dari tanah asal mereka bila berlaku Perang Makassar (1666-1669), menyebabkan diaspora Bugis tersebar di Borneo, Jawa, Sumatera , Semenanjung Tanah Melayu, Riau dan beberapa kawasan yang lain. Legenda tentang lima Opu Daeng  Bersaudara  begitu terkenal. Mereka  terlibat di dalam pergolakan politik dan pentadbiran di Johor, Melaka, Linggi, Selangor, Perak, Terengganu dan Kedah.


Keterlibatan mereka di dalam politik pentadbiran Negeri Selangor ialah dengan perlantikan seorang anak Raja Bugis yang bernama Arung Passarai yang menjadi Yamtuan negeri Selangor yang pertama pada tahun 1700. Tetapi Dinasti turunan Bugis yang memerintah negeri Selangor ialah bermula dari Raja Lumu iaitu putera Daeng Chelak dilantik menjadi menjadi Raja Selangor pada tahun 1742, seterusnya ditabalkan oleh Sultan Perak pada tahun 1766 menjadi Sultan Selangor yang pertama dengan gelaran Sultan Salahuddin. Sehingga kini seramai 9 orang sultan dari dinasti Bugis memerintah negeri Selangor. Pusat-pusat pemerintahan bermula dari Kuala Selangor ke Kuala Langat, ke Kelang dan kini Shah Alam.
Daripada jumlah rakyat negeri Selangor seramai 5.4 juta orang, menurut kertaskerja Tuan Haji Zainuddin, terdapat hampir 200,000 orang keturunan Bugis di Selangor. Kesedaran etnik dan kemegahan mereka sebagai turunan Bugis membawa kalangan mereka menubuhkan persatuan-persatuan seperti Persatuan Melayu-Bugis Selangor (PMBS), Persatuan Kesenian Maccahaya Citra Ugik Selangor (CITRA UGIK), Persatuan Anak-Anak Bugis Malaysia dan Persatuan Zuriat Almarhum Raja Abdullah (PEZARA). Sebagai mewarisi keberanian dan kepahlawanan Bugis turut ditubuh persatuan-persatuan silat seperti Pengurusan Seni Silat Harimau Berantai Sang Penaklok, Persatuan Seni Silat Cemara Bugis, Persatuan Seni Silat Sendeng dan Perguruan Belia Mancak.
Orang Bugis sebagai Bangsa Pelaut dan Peadagang mempunyai `Kapal  Dagang` bagi memuatkan bahan-bahan dagang terutama bahan-bahan rempah yang dikenali sebagai `Kapal Bugis`.  Kapal Bugis mempunyai tanda `Rehal` pada haluan sebagai pemecah angin dan juga sebagai sempena baik `Rehal` sebagai tempat letak Kitab Suci Al-Qur`an. Lambang rehal ini bukan saja menjadi lambang pemecah angin di dalam pelayaran, tetapi juga menjadi tunjuk langit pada bangunan-bangunan berciri Bugis. Ini diterima sebagai identity Bugis. Lambang sedemikian digunakan bagi `Tunjuk Langit` bagi bangunan Muzium Sultan Alam Shah dan juga bangunan Majlis Bandaraya Shah Alam. Tunjuk Langit berkenaan sebagai lambing kebaikan dan keberkatan. Pahlawan Bugis juga mempunyai pasukan-pasukan perahu-perahu penyerang dengan berbagai alat senjata  yang menggerunkan musuh lantaran keberanian mereka.
Bagi rumah Bugis sebagaimana terdapat di Permatang Pasir di Kuala Selangor, mempunyai rumah ibu beratap dan berbumbung  berbetuk V terbalik dan mempunyai  selasar untuk menerima tetamu yang hadir. Tapi bahagian tangga tidak dibuat dibahagian tengah selasar untuk mengelak dari dipandang terus ke tengah rumah, tetapi tangga adalah pada bahagian sisi. Apabila tamu masuk, dia tidak terus terpandang bahagian tengah rumah. Bagi rumah Bugis mempunyai tiang dan tinggi bawah rumah sekadar boleh berdiri di bawah untuk tempat kegiatan bekerja dan simpan barang-barang, Juga untuk mengelak dari banjir jika dikawasan lembah dan juga untuk keselamatan dari binatang buas. Bagi rumah Bugis seperti di Permatang Pasir, Kuala Selangor terdapat `loteng` bahagian atas, untuk tempat bersembunyi dan keselamatan, khususnya  anak-anak perempuan. Rumah Bugis berkenaan mempunyai banyak lubang udara dari tebar layar, ukiran-ukiran flora dangeometrik  bersifat tebuk tembus yang membolehkan udara keluar masuk.  Jedela-jendela juga mempunyai bilah yang boleh dibuka dan ditutup untuk keluar masuk udara dan mendapat cahaya.


Pantang larang yang di dalam bahasa Bugis disebut `Pappaseng (Petua Leluhur) yang merupakan sebahagian dari `Pang`adweing `Adat Istiadat` yang antaranya mempunyai Konsep Siri` dan pesse yang bermaksud malu dan harga diri. Di dalam sesuatu keputusan melibatkan maruah diambil, maka ianya akan dipertahankan sebagai maruah diri dan tidak dibiarkan berlaku `Malu dan hilangnya maruah diri. Ungkapan yang berkait dengan kuatnya azam dan semangat dan alam miritim Bugis dapat dihayati dari kata-kata,``Sekali  layar berkembang, pantang haluan kembali mengarah ke pantai. `` Dengan Siri Orang Bugis perkasa di dalam pelayaran, perkasa menentang penjajahan dan berwibawa di dalam menjalankan pemerintahan di mana mereka mendapat kekuasaan. Kental dengan pegangan Islam dan Kebal mendapat ujian sebagaimana dialami oleh Sheikh Yusof Makasar yang mempertahankan Tanah Bugis-Makasar dari penjajahan Belanda, biarpun akhirnya beliau diasingkan ke Selatan Afrika dan meninggal di sana. Disamping ada yang mendapat ujian ada pula yang Berjaya seperti Berjaya memerintah dan menghasilkan budaya ilmu dan persuratan di Riau dan Berjaya mengasaskan kesultanan dari turunan Bugis di Selangor.
Budaya Bugis diwarisi melalui hasil-hasil persuratan. Antara yang tertua dikenali dengan kitab `Lontara Kutika`  kitab lama yang mengandungai adat dan pantang larang dan juga firasat  yang merupakan petua  untuk melakukan sesuatu aktiviti seperti untuk mendirikan rumah, bila masa perkahwinan yang baik,aqiqah anak yang baru lahir, masa yang baik untuk merantau, petua untuk membeli barang, kenderaan dan emas, memulai pertanian, masa terbaik menemui orang penting dan masa memulakan perdagangan. Kutika yang merupakan firasat itu  masih berpengaruh di dalam masyarakat Bugis dan juga orang Melayu.
Sungguhpun orang Bugis mempunyai bahasa Bugisnya, tetapi Bugislah juga yang memperkembangkan bahasa Melayu, sebagaimana di Riau lahir ramai tokoh-tokoh bahasa dan ulama yang mengarang kitab-kitab sejarah dan puisi antara yang terkenal ialah Raja Ali Haji yang karya terkenalnya ialah Tuhfat Al-Nafis yang di dalamnya juga banyak elemen budaya, firasat dan sejarah Bugis sendiri. Bahasa Melayu yang kita warisi adalah dari bahasa Johor-Riau yang dianggap bahasa Melayu standard berbanding dengan  berbagai dielek bahasa Melayu dari berbagai negeri dan daerah di Tanah Melayu dan Nusantara.

Sekian.

November 29, 2014

Pantang Larang Sosio-Budaya Masyarakat Melayu Di Selangor


BBB, 5 Safar 1436 = 28 November 2014 (Jumaat):
Kertas ini dibentangkan oleh YBhg. Prof. Dato` Dr. Yaacob Harun dari Universiti Malaya sebagai kertas pertama selepas Ucaputama dalam Seminar Pantang Larang Masyarakat Di Selangor anjuran Perbadanan Adat Melayu & Warisan Negeri Selangor di Muzium Sultan Alam Shah, Shah Alam pada  Selasa  2 Safar 1436 = 25 November 2014. Menurut Prof. Yaacob, sungguhpun pantang larang berfokus kepada Negeri Selangor sebenarnya  pantang larang berkenaan  mencerminkan pantang orang Melayu di Malaysia oleh kerana pantang larang ini tersebar luas, lagi pula menurutnya Selangor yang mempunyai penduduk 5.4 juta orang (statistic  2010) adalah dihuni oleh penduduk dari berbagai negeri di Malaysia yang mempunyai ciri budaya tidak begitu berbeza. Oleh itu pantang larang yang dikaitkan dengan Selangor pada umumnya merupakan pantang larang  orang Melayu di negeri-negeri lain di Malaysia. Dari segi antropologi dan sosiologi pantang larang dikenali sebagai `taboo`


Menurut Prof. Yaacob, pantang larang atau taboo ialah, ``Satu manifestasi pandangan alam atau weltanschauung/worldview sesuatu masyarakat, dan world view itu pula dilihat dari aspek-aspek kepercayaan, pengetahuan, falsafah, dan system nilai dan norma. Perkara-perkara ini diterjemahkan atau dizahirkan dalam bentuk amalan (pantang larang) anggota masyarakat tersebut dalam berbagai bidang kehidupan`` (hlm. 3).
Dengan melihat bahawa orang Melayu di Selangor seluruhnya beragama Islam – Menurut takrifan perkara 160(2) Perlembagaan, maka  pada dasarnya orang Melayu tidak bertindak dan melakukan sesuatu yang bertentang dengan ajaran Islam. Mereka tidak melanggar prinsip akidah dan hukum  syarak dari segi hukum wajib, haram makruh,  sunat dan harus.
Pembentang meletakkan beberapa contoh dari segi kategori haram:
a)      Dari segi ekonomi haram melakukan riba, judi dan mencuri
b)      Dari segi politik haram melakukan penyalahgunaan kuasa, pecah amanah dan rasuah
c)       Permakanan haram memakan daging khinzir, anjing dan meminum minumana keras
d)      Pakaian seperti mendedahkan aurat dan melanggar batas jantina
e)      Pergaulan seperti sumbang muhram dan bersekedudukan (tanpa kahwin).
Orang Melayu menurut pembentang masih lagi mengamalkan berbagai pantang larang sebagai warisan  seperti kepercayaan pada supernatural,  hantu, semangat, penunggu, toyol  dan pelesit. Ini tercermin dari pantang larang berikut:
a)      Jangan makan waktu senja nanti semangat padi hilang
b)      Jangan ketawa waktu maghrib, nanti hantu datang
c)       Jangan kencing berdiri, nanti punggung dijamah hantu
d)      Jangan tidur selepas  makan, nanti ditindih hantu, dan
e)      Jangan mengambil batu atau benda ganjil di hutan, takut berpenunggu.
Antara larangan berkisar pada  factor alam seperti:
a)      Jangan tidur di atas pokok nanti di makan langsuir
b)      Jangan potong kuku waktu malam nanti pendek umur.
Ada bertujuan untuk mengelak dari musibah, contoh:
a)      Jangan menyapu nasi pada waktu malam, nanti pendek rezeki
b)      Jangan berjalan jauh pada hari Rabu akhir bulan nanti mendapat kecelakaan.
Antara larangan ada yang dituju khusus seperti kepada ibu mengandung:
a)      Jangan mencederakan binatang, nanti anak yang dilahirkan menjadi cacat
b)      Jangan makan sotong nanti anak yang lahir tercerai tali perut
c)       Jangan memaku dan memahat, nanti anak terbelah bibir.
Antara larangan ditujukan kepada perempuan seperti:
a)      Jangan bagun lewat nanti sukar mendapat jodoh
b)      Jangan menyanyi di dapur nanti mendapat jodoh dengan orang tua
c)       Jangan makan bertindih pinggan nanti jadi madu orang.
Ada pantang larang ditujukan kepada anak-anak seperti
a)      Jangan keluar di waktu senja nanti disorok hantu
b)      Jangan angkat kaki waktu meniarap nanti emak mati
c)       Jangan gigit kain nanti gigi berulat
d)      Jangan panjat tiang nanti terbantut pembesaran
e)      Jangan makan berlunjur nanti  jadi pemalas
Pantang larang pada dasarnya mempunyai fungsi pendidikan kepada golongan tertentu. Kalau dilarang secara langsung mungkin tidak dipatuhi, tetapi bila disertai dengan akibat dan ancaman menimbulkan gerun  dan takut menyebabkan mereka yang ditujukan larangan meninggalkan larangan, kerana takut menerima akibat dan balasan. Walau bagaimana sebahagiandari pantang larang sudah  tidak releven dan tidak diterima sebagai logic dan menganggapnya sebagai warisan kepercayaan masyarakat tradisi semata-mata.


Kesimpulan pantang larang adalah merupakan mekanisme pendidikan pada zaman tradisi. Larangan meningkat kepada kepercayaan, lantaran itu dipatuhi. Sebahagian dari larangan masih releven, tetapi sebahagian tidak lagi sesuai. Walau bagaimana pantang larang mencerminkan kehidupan sosio-budaya masyarakat tradisi yang menarik untuk dikaji.

Sekian.

November 28, 2014

Tiang Seri Takmilah Adalah Nilai


BBB, 04 Safar 1435 = 27 November 2014 (Khamis):


Selama lebih 20 tahun sejak Takmilah diperkenalkan di Port Dickson di dalam Seminar Teori  Sastera (29-31 Oktober 1992) yang dianjurkan oleh DBP Penulis membinanya sebagai Teori Sastera Islam – tanpa melibatkan teori berkenaan kepada bidang-bidang yang lain. Teori ini mengalami pengembangan apabila Penulis dijemput membentangkan kertaskerja mengenai Teori Takmilah di Universiti Pendidikan Sultan Idris Tanjung Malim pada  Khamis 27 Mac 2014 = 25 Jamadil Awal 1435 dengan Penulis membentang kertaskerja berjudul, ``Perluasan Teori Takmilah``. Kertaskerja-kertaskerja yang dibentangkan pada hari itu dibukukan dan diterbitkan (2014) dengan diberi judul berdasarkan judul kertaskerja Penulis, iaitu ``Teori Takmilah: Perluasan Dan Penafsiran. Penyelenggaraan dan penerbitan buku diusahakan oleh Prof. Madya Dr. Abdul Halim Ali Pensyarah di UPSI yang juga  Pengerusi Persatuan Penulis Budiman Malaysia.
Perluasan Teori Takmilah di dalam pembentangan Penulis di dalam seminar tersebut ialah kepada:
1)      Bidang Khat (Kaligrafi termasuk Persuratan)
2)      Senibina  Masjid  (juga sebarang bangunan)
3)      Seni Suara Dan Lagu (Muzik)
4)      Permuziuman (Termasuk yang melibatkan Sejarah)
(Teori Takmilah Perluasan & Penafsiran, (Selenggaraan Abdul Halim Ali), Persatuan Suluh Budiman Malaysia, Tanjung Malim, 2014: 22-36).
Berikut dari seminar itu Penulis telah meluaskan lagi kepada bidang-bidang yang releven hingga berjumlah sepuluh bidang. Bidang-bidang tambahan ialah:
1)    Estetika Al-Qur`an (Puncak piawaian Estetika Islam)
2)  Seni Taman (Landscaping – termasuk Susun Bandar)
3) Perfileman  (Termasuk Drama dan seumpamanya)
4) Seni Kraf (Anyaman, tenunan, tembikar dan sebagainya)
5). Permuziuman (Melibatkan Pensejarahan)
6)  Seni Lukis, Grafik Dan Animasi
(Boleh menerima pertambahan sekiranya releven)
Dari segi pembinaan dan peningkatan kualiti karya ke tahap-tahap ke Takmilah  adalah melibatkan aspek-aspek  berikut:
Lihat Rajah  (1):
                                 Takmilah:


           Khalayak          Karya           Pengkarya
Pengkarya menghasilkan karya dengan Pengkarya mempunyai tahap kelilmuan dan Nilai yang tinggi mutunya yang meningkat ke Tahap Takmilah. Dengan ketinggian mutu karya atau penghasilan dia mampu meningkatkan khalayak bergerak meningkat kepada puncak Takmilah. Dari segi idealnya Pengkarya, karya dan khalayak Berjaya ditingkatkan kepada Takmilah.
Dengan nilai bagaimanakah mampu Penghasil meningkatkan  karya dan penghasilan ke puncak Takmilah ?  Ia adalah  bergandingan tiga elemen sebagaimana di dalam rajah (II) di bawah:
                      Takmilah


 Akli                 Nilai                 Rohani
Nilai akli penting di dalam setiap karya yang membayangkan  karya  dihasilkan secara sedar, bijaksana dan berwawasan yang diperindah dengan seni yang fungsional dan tidak lagha dan tak terarah. Nilai akli, seni ini menjadi lebih tinggi bila sama ditingkatkan dengan nilai rohani. Contoh seni bina masjid, khat dan sastera sendiri.
Adapun nilai-nilai yang menjadi `Tiang Seri` menegak ke atas, ke Takmilah adalah melalui nilai-nilai yang bersesuaian dengan bidang-bidang. Nilai mungkin lebih dari satu bagi satu bidang. Contoh:
1)      Nilai  Keindahan    bagi bidang sastera, seni bina, khat dan sebagainya
2)      Nilai Kebenaran    bagi bidang Permuziuman dan Sejarah
3)      Nilai Keadilan bagi Pensejarahan Dan Persuratan
4)      Nilai Kemanusiaan bagi Sastera, Seni Suara, Seni Lukis, Lagu dan Perfileman
5)      Nilai Kepurbaan  bagi Muzium, Sejarah, Seni Kraf
Aspek-aspek nilai di atas adalah mengambil tempat tiang seri Estetika yang mana keindahan,kebenaran, keadilan, kemanusiaan dan kepurbaan adalah melibatkan nilai subjektif yang  merupakan  pengalaman dalaman bagi manusia yang kualitinya tidak dapat diukur secara kuantitatif.
Takmilah melibatkan banyak bidang yang melalui titian seni estetika, keindahan, kebenaran, keadilan, kemanusiaan, sejarah dan kepurbaan membicarakan ruang lingkup yang melibatkan perjalanan tamadun dan peradaban. Teori ini sama dapat membina tTamadun Dan Peradaban yang berjalan menurut skema nilai yang betul, tetapi melalui penilaian dan piawaian teori juga boleh digunakan bagi mengkritik perjalanan yang bercanggah dengan nilai-nilai positif agar hala tujunya tidak menyimpang dari  matlamat membina tamadun dan peradaban.

Sekian.

November 27, 2014

Menghadiri Seminar Pantang Larang Masyarakat Di Selangor


Shah Alam, 03 Safar 1436 = 26 November 2014 (Rabu):
Sejak semalam Selasa 25 November 2014 hingga hari ini dua hari berturut-turut  pihak pihak Perbadanan Adat Melayu Dan Warisan Negeri Selangor menganjurkan  Seminar Pantang Larang Masyarakat di Selangor bertempat  di Muzium Alam Shah, Shah Alam sebagai siri Sambutan 25 Tahun Muzium Sultan Alam Shah di sini. Tema yang dipilih bagi kali ini ialah ``Pantang Larang Masyarakat Di Selangor``. Penulis dijemput hadir sebagai Pengerusi bagi satu Sesi.
Bagi mencerminkan Selangor mempunyai penduduk berbagai kaum, maka pantang larang bagi kaum-kaum utama di negeri ini diperkatakan, iaitu melibatkan  Kaum Melayu, Bugis, Jawa, Banjar, Cina, India, Sikh,  Orang Asal dan Pantang Larang Dari Perspektif Islam. Bagi tujuan ini, maka 10 buah kertaskerja dibentangkan (termasuk kertas Ucaputama).


Majlis bermula pada pagi Selasa  itu dirasmikan oleh Pengerusi PADAT YB. Dr. Ahmad Yunus Bin Hairi  Exco Merangkat Pengerusi Hal Ehwal Islam dan Kampung Melayu Tradisional.
Dalam ucapan Perasmiannya YB Dr. Ahmad berharap kajian tentang pantang larang masyarakat di Selangor ini dapat memberi  kefahamana tentang pantang larang dan menyumbang kea rah menghormati budaya antara kaum dan menjaga dari menyentuh sensitivity kaum-kaum di Negeri Selangor. Pemahaman tentang pantang larang yang merupakan aspek kepercayaan dan budaya masyarakat di Selangor ini diharap dapat mengharmoni  masyarakat hasil dari hormat menghormati antara kaum. Menurut beliau pantang larang kaum-kaum di Selangor masih menjadi pegangan, walau bagaimana, mana-mana pantang larang yang  asalnya bertujuan untuk pendidikan itu, ada antaranya sudah tidak sesuai dan ianya dilihat sebagai warisan budaya kaum semata-mata yang dihormati dan tidak semestinya diamali. YB Dr. Ahmad menyarankan agar kertaskerja-kertaskerja  yang dihasilkan dapat diterbitkan sebagai panduan dan warisan.


Dr. Ahmad mengucapkan terima kasih terutama kepada pembentang-pembengtang yang sudi membentangkan kertaskerja masing-masing. Beliau juga mengucapkan syabas kepada AJK Seminar yang bertungkus lumus bagi menjayakan seminar. Puan Azlinda bt. Azman  Ketua Pegawai Eksekutif PADAT menyatakan di dalam buku acara bahawa Pantang Larang adalah merupakan pendekatan pendidikan masyarakat   terutama anak-anak dan generasi muda agar dapat dikawal perilakuan mereka.
Selepas Perasmian, seminar bermula dengan Ucaputama disampaikan oleh Prof. Datuk Dr. Zainal Bin Kling dengan  judul Ucaputama beliau ialah:
Tafsiran Pantang Larang Dan Petua.
Menurut  Prof. Zainal, ``Pantang dan larang serta petua adalah bidang kebudayaan yang amat berkait dengan penelitian seluruh aspek nilai, norma dan adat yang menjadi bahagian dari asas keteraturan ssistem kemasyarakatan, yang menjurus kepada falsafah sosial mesyarakat dan bangsa, sebagai kerangka masyarakat yang menyatu-padukan, utuh, tratur dan tenteram.``
Menurut  Pengucaputama itu, `Pantang larang  dan petua melibatkan sistem nilai, norma dan moral yang puncak penentuan adalah agama. Tambah beliau,


``Pantang larang dan petua dapat difahami sebagai suatu unsur yang berperanan untuk mengatur serta mengawal perilaku anggota masyarakat di dalam melaksanakan pelbagai peranan mereka apakala berada pada pelbagai kedudukan atau status yang diiktiraf.` Pelaku diberi iktiraf, sebaliknya – gagal mematuhinya ditegur atau lebih keras dihukum.``
Menurut pengucaputama, ``Pantang larang bertujuan untuk keselamatan dari segala jenis ancaman sama ada bersifat nyata dan ghaib yang menjadi sebahagian dari kepercayaan yang juga membentuk norma dan taboo masyarakat. Pantang larang pada tahap tinggi, ialah terhadap raja dan pembesar yang pada tahap ini  merupakan undang-undang dan hukum yang merupakan hukum adat  atau kanun seperti Hukum Kanun Melaka dan Undang-Undang Laut Melaka.``
Manakala Petua menurutnya, `` Menerbitkan pelbagai aturan, pantang dan larang untuk mengatur dan menyusun perilaku anggota masyarakat supaya mengikuti asas dan jalan yang betul dan benar dan mengelakkan pelbagai risiko serta bahaya yang mungkin membawa musibah dan kecelakaan seperti kemalangan, penyakit, kelukaan ataupun juga ancaman terhadap kesihatan.``  Daripada pantang dan larang membentuk nilai  etika dan moral masyarakat yang menjadi ukuran, batas  dan piawaian nilai masyarakat.


Pengucaputama membawa  contoh pantang larang seperti di dalam hutan,  jika sesat dihutan, jangan tidur di tepi sungai, nanti di makan hantu. Pantang larang kanak-kanak seperti dilarang duduk di atas bantal, nanti punggung  terkena bisul. Pantang larang di sungai – Jika Nampak air berpusar, jangan hampiri, alamat buaya bergerak atau mengiring. Pantang larang ketika duduk – Tak boleh duduk  atas tangga ketika maghrib, nanti dirasuk hantu. Pantang larang ketika makan – Bila isteri  makan, pinggan tak boleh diletak atas riba, nanti suami diambil orang, Pantang ke atas lelaki – Dilarang intai orang mandi nanti mata ketumbit. Larangan ke atas perempuan – Dilarang menyisir didapur nanti kahwin orang tua.
Di belakang dari larangan-larangan berkenaan ada nilai pendidikan agar masyarakat berkelakuan baik dan menghendar diri dari  ancaman bahaya dan kerosakan.
Pantang larang dan petua di atas merupakan aturan yang diwarisi secara lisan dalam masyarakat yang belum tahu menulis dan membaca, tapi kini persepsi terhadap pantang larang dan petua berkenaan sudah berubah, walaupun ada sebahagian masih releven. Ianya dilihat lebih sebagai  waris budaya dari nilai tradisi.

Sekain.                        

November 26, 2014

Al-Qur`an Piawaian Tertinggi Sumber Islam


BBB, 03 Safar 1436 = 26 November 2014 (Rabu):
Al-Qur`an adalah contoh piawaian tertinggi bagi Teori Takmilah. Al-Qur`an adalah Kalam Allah yang paling sempurna. Kesempurnaan boleh dilihat dari berbagai-bagai segi. Contoh:
1)      Kesempurnaan sebagai sumber akidah
2)      Kesempurnaan dari segi sumber hukum  dan perundangan
3)      Kesempurnaan dari segi Bahasa dan Balaghahnya  (sastera)
4)      Kesempurnaan dari segi kejadian manusia
5)      Kesempurnaan dari segi keilmuan sains dan alam
6)      Kesempurnaan dari segi maklumat astronomi dan cakrawala
7)      Kesempurnaan dari segi bidang kerohanian
8)      Kesempurnaan dari segi maklumat keakhiratan
9)      Kesempurnaan nilai dan akhlak
10)   Kesempurnaan dari segi hidup  kekeluargaan


Dan boleh ditambah lagi dengan bidang-bidang yang releven’
Dilihat dari segi Takmilah memang dituntut di dalam perjalanan kualitinya meningkat ke a rah kesempurnaan  tertinggi . Tetapi pada hakikatnya tahap-tahap kesempurnaan berkenaan tidak pernah sampai ke tahap maksimumnya. Ini adalah kerana ada kelemahan-kelemahan menghalang sampai kepada tahap maksimum. Kelemahan-kelemahan berkenaan boleh dilihat seperti di bawah.
1)       Al-Qur`an adalah lengkap. Untuk memahaminya perlu didalami, walaupun kita tidak mungkin memahami sedalam ke hakikatnya. Pendalaman melalui ilmu perjalanan Takmilah yang juga tidak mungkin sampai ke tahap maksimum. `Al-Qur`an  qad Nuzila wa lakin la yazal yatanazzal` bermaksud ` Al-Qur`an sememangnya telah diturunkan, tetapi  pengolahan dan penafsiran berkembang`. Jadi maksud  kefahaman dan keilmuan makin berkembang di dalam menuju Takmilah, namun  di dalam perjalanan tiada titik akhir ke Takmilah.
2)      Kelemahan yang ada pada diri seseorang sama ada kelemahan akal fikiran  - ilmu dan kerohanian untuk mengikuti dan memahami bidang berkenaan.
3)      Sifat ilmu makin berkembang, bukan saja bagi bidang keilmuan khusus berkenaan, tetapi turut sama ilmu-ilmu bantu yang dapat membantu kefahaman ilmu khusus berkenaan. Ini meluaskan ilmu dan jurang bagi Takmilah
4)      Keilmuan tidak lengkap hanya dengan kefahaman, tetapi memerlukan keterlibatan dan penghayatan yang mendekatkan diri bagi memahami tahap kebenaran
5)      Ada halangan luar yang di luar dan tak berkenaan dengan bidang seperti kufur dan tidak menerima kebenaran
Dan mungkin boleh ditambah dengan kelemahan-kelemahan yang lain yang menghalang Takmilah bagi sesuatu bidang berkenaan.
Sebagai contoh kita ambil bidang akidah sebagai bidang utama disebut di atas. Rujuk saja kepada Surah Al-Ikhlas bagi ayat pertama bermaksud:
``Katakanlah Dia Adalah Allah yang Tunggal.`
Soal ini melibatkan falsafah dan Hakikat Tauhid. Huraian dibuat dari segi akidah, misalnya  menurut Ash`ari-Maturidi  bahawa Tunggal atau Esa Allah tidak berjirim dan berjisim dan tidak tersusun sama ada dari kam muttasil atau munfasil. Ia Tunggal dengan dirinya. Ketunggalan didekati dengan  sains logic seperti kata Muhammad Abduh:
``Di antara sifat yang wajib juga bagiNya adalah sifat Esa. Esa dalam Zat, dalam sifat, dalam wujud dan dalam perbuatan. Adapun Esa dalam Zat bahawa Zait itu tidak menerima tarkib (tidak tersusun dari berbagai unsur), baik di luar maupun di dalam akal sendiri. Tentang Esa (Ke-Esaan, Tunggal) dalam sifatNya, ialah bahawa tidak ada yang menyamaiNya dalam sifat-sifat yang tetap bagiNya di antara yang maujud ini.  Adapun mengenai Esa (Ke Esaan, Tunggal) dalam wujud dan perbuatan, maksudnya  ialah ZatNya sendiri yang wajib wujud (ada) dan Ia sendirilah (tanpa campur tangan orang lain) untuk mengadakan segala apa yang mungkin ada ini.``
(Muhammad Abduh, Risalah Tauhid, Bulan Bintang, Jakarta, 1979: 74-75).
Sedang di sana ada yang tidak gemar membahas tentang keesaan Tuhan dengan logic-rasional, tetapi lebih mesra mendekatinya secara intuisi cinta  seperti  ditanya kepada Al-Junaid tentang tauhid,katanya:


``Adalah hamba lintasan dihadapan kekuasaan Allah, berlari di atasnya larian tadbirNya pada larian hukum kudratNya di dalam gelombang laut tauhidNya dengan fana` dirinya dari sebarang dakwaan…``
Dan katanya lagi: ``Tauhid ialah keluar dari garis kesempitan zaman kepada keluasan fana sarmadaniyyah.``
(Abu Nasr Al-Sarraj Al-Tusi, Al-Luma`, Dar al-Kutub al-Hadithah, Misr wa Maktabat al-Muthanna, Baghdad, 1380/1960: 49).
Bayangkan kedalaman lautan Tauhid yang tak dapat dijangkau dan tak terselam dan makin halus perjalanan yang tidak mungkin sampai yang boleh diibaratkan sebagai terbakar dalam kerinduan dan perjalanan.
Bayangkan keluasan-keluasan yang lain yang memang diteroka dan terus diteroka hingga sampai di mana dan belum sampai ke mana baik dari segi hakikat hukum, rahsia jamal, latif, rahman, rahim, ra`uf, ihsan dari segi seni, jiwa dan rohani dan berbagai-bagai lagi yang terus menjadi cabaran dari segi Takmilah untuk diterokai dan dihayati. Kita tunduk mendepani firman Allah bermaksud:
``Katakanlah (wahai Muhammad), kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan.`` (Al-Kahfi: 109).
Kita sebenarnya menyusuri pantai ilmu yang hanya mampu memetik butiran-butiran kecil daripadanya di dalam menuju  kerahsiaan yng juga perjalananTakmilah.

Sekian.

November 25, 2014

Masjid Al-Umm Terima Sumbangan Sempena Bank Rakyat Lancar Pembukaan Rakyat Excess Dan Ar-Rahnu Exchange Di Cawangan UKM Bangi


Kampus UKM,  01 Safar 1436 = 24 November 2014 (Isnin):
Dalam majlis sederhana Bank Rakyat Bangi  pagi ini melancarkan  Pembukaan Rakyat Excess  dan Ar-Rahnu  Exchange di Cawangan UKM pagi ini. Pelancaran dan perasmian dilakukan oleh En. Fauzi Mamat Naib Presiden Bank Rakyat Malaysia. Turut hadir ialah En. Azman Ali Othman, Vice President Region 1 (Selangor), En. Husin bin Mahadi Pengurus Cawangan Bank Rakyat Bangi, Puan Rosilina bt. Haji Abdul Rahman Pengurus Cawangan Serdang Raya,. En. Nasron Timbalan Pengarah Cawangan. Jemputan dari Masjid Al-Umm Dr. Haji Shafie Abu Bakar (Pengerusi Induk) Tuan Haji Ishak bin Arshad (Pengerusi Teknikal), Tuan Haji Suib Maulud (Setiausaha) dan Haji Mohd.  Ghazali Abbas (AJK). Turut sama hadir ialah Cikkgu Muzammil dari Sekolah Kebangsaan Sungai Merab Luar. Jemputan yang hadir juga ialah En.Azman Kamaruddin Ketua Balai Polis Bandar Baru Bangi, pegawai-pegawai jabatan Ibu Pejabat dan Cawangan-Cawangan, pelanggan-pelanggan  dan bakal-bakal pelanggan.


Sebelum perasmian majlis Penulis bercakap dengan En. Fauzi Mamat Naib Presiden, menurutnya,  kini Bank Rakyat mempunyai 145 cawangan di seluruh Malaysia dengan Pengerusinya ialah Dato` Dr. Mat Nor Nawi.  Di Bangi menurutnya, ``Cawangan utamanya ialah di Seksyen 8, Bandar Baru Bangi – Berseberang Jalan dengan Bangunan PKNS, Seksyen 9 Bandar Baru Bangi. Cawangan di Bangunan Koperasi di UKM ini sungguhpun lebih awal dibuka adalah menjadi mini cawangan  bagi Cawangan di Bandar Baru Bangi dengan tenaga kerja di sini adalah seramai 7 orang yang mengurus bagi Rakyat Excess dan Ar-Rahnu Exchaange Bangi. Kini En. Husin bin Mahadi adalah Pengurus Cawangan Bandar Baru Bangi dan beliau juga mengetuai cawangan bagi Mini Cawangan di Bangunan Koperasi UKM di sini. En. Nasrun Timbalan Pengurus Cawangan berharap pihak Masjid Al-Umm menggalakkan para jamaah masjid membuka akaun di mana-mana cawangan di Bandar Baru Bangi. Mereka boleh berurusan  untuk ar-Rahnu dan urusan perbankan biasa.
Menurut En. Azman Ali bin Othman Bank Rakyat menjalankan operasinya secara koperasi. Tapi menurutnya,


``Keahlian secara koperasi telah ditutup kerana sahamnya telah penuh, tetapi tidak ada halangan untuk berurus sebagai bank biasa yang sepenuhnya menurut Islamic  system.
Penulis juga turut menyatakan minat untuk menubuhkan Koperasi Masjid sebagaimana dilakukan oleh Masjid Al-Hasanah, walau bagaimana keputusan akan diambil setelah  menilai berbagai sudut dan kesesuaian dari segi pembangunan masjid. Jika ada persetujuan mungkin kami akan rungdingkan melalui Bank Rakyat di sini.
Selepas bercakap secara tidak formal dengan Encik Fauzi Mamat Naib Presiden Bank Rakyat, En. Azman Ali bin Othman Ketua Wilayah 1 (Selangor), En. Husin bin Mahadi Pengurus Cawangan Bangi dan En. Nasrun Timbalan Pengurus Cawangan, majlis rasmi dan secara ringkas bertempat di bawah khemah, tempat parkir, tepi Bangunan Koperasi UKM itu bermula dengan saudara Pengerusi Majlis menjemput Ustaz Mohd. Saghir Haji Sufian daripada Ibu Pejabat Bank Rakyat Kuala Lumpur membaca doa. Kemudian  En. Fauzi bin Mamat  Naib Presiden dijemput ke hadapan diiringi Pegawai-Pegawai Kanan untuk menyampaikan sumbangan – Tanpa sebarang ucapan terlebih dahulu.
Penulis selaku Pengerusi Pembinaan Dan Pengimarahan Masjid Al-Umm dijemput ke hadapan untuk menerima sumbangan cek yang telah dikreditkan ke Bank bernilai RM10,000/= secara akad dan penerimaan, kerana penerimaan adalah merupakan sebahagian daripada Zakat Tahunan yang dikeluarkan oleh Bank Rakyat.


Berikut dari penerimaan oleh Penulis Pengerusi menjemput Cikgu Muzammil dari Sekolah Kebangsaan Sungai Merab Luar menerima satu set computer sumbangan Bank Rakyat terhadap sekolah berkenaan.


Selepas menerima sumbangan Penulis bersama En. Fauzi Mamat dan pegawai-pegawai Bank dan jemputan bergerak ke Cawangan Mini Bank Rakyat di bawah – kanan bagi Bangunan Koperasi UNIKEB. Upacara ialah dengan memotong reben di pintu masuk ke Bank tersebut oleh En. Fauzi Mamat.


Bank Rakyat Cawangan Bangi ini (kini Mini) tidaklah terasing dari Penulis, kerana sekali sekala Penulis datang membuat urusan di sini, tapi mutakhir agak lama tidak datang dan menyedari Bank berkenaan membuka cawangannya di Seksyen 8, Bandar Baru Bangi dan di sini menjadi mini cawangan beberapa minggu lepas. Ada perubahan ketara susunhias dalaman Cawangan Mini di UKM ini.


Menurut En. Husin bin Mahadi Pengurus Cawangan Bangi, ``Dulu kami guna dua tingkat, sekarang hanya satu tingkat Lot 1.01 bawah sebelah bagi urusan Ar.Rahnu dan sebelah lagi untuk Rakyat Excess dengan tenaga serama 7 orang – termasuk urusan Islamic Bank biasa.``. Apabila ditanya mengapa dua tempat berurusan di Bangi tidak seperti Bank Muamalat yang memindahkan sepenuhnya urusan Perbankan Muamalat dari sini ke Seksyen 9 Bandar Baru Bangi ?. Beliau menjawab, ``Pelanggan di UKM berjumlah 10,000 tidak boleh kita abaikan, sebab itu kami kekalkan perkhidmatan di sini dengan skala kecil dan Cawangan Baru di Seksyen 8 Bandar Baru Bangi sebagai Ibu Pejabat di Bangi.
Kami yang menyertai upacara Pelancaran dan Perasmian diperkenalkan kepada kakitangan di Cawangan Bank Rakyat Mini dan memahami dari penerangan yang diberi tentang operasi yang berjalan di Cawangan tersebut.
Selepas menyertai Majlis Perasmian dan Pelancaran pegawai-pegawai dan tetamu jemputan kembali ke khemah menikmati jamuan dan meneruskan percakapan hingga hampir jam 10.00 bila masing-masing memohon diri.

Sekian.

November 24, 2014

Al-Qur`an Kitab Tuhan Pemilik Sekalian Alam


BBB, 30 Muharram 1436 = 23 November 2014 (Ahad):
Menyebut Al-Qur`an, sebenarnya tidak perlu dikaitkan dengan pengenalan yang lain, lantaran ianya begitu makruf sebagai Kitab Suci Islam yang dapat dimanfaat bukan saja oleh orang Islam, tetapi juga oleh alam seluruhnya – termasuk bagi yang bukan Islam. Namun al-Qur`an sendiri menisbahkan dirinya sebagai  Qur`an Mubin (Al-Hijr: 1), Al-Qur`an Al-Azim (Al-Hijr: 87), Al-Qur`an Al-Hakim (Yasin: 2), Al-Qur`an Al-Majid (Qaf: 1),Qur`an Karim (Al-Waqi`ah: 77) Qur`an Majid (Al-Buruj: 21), Qur`an Arabiyyan  (Taha: 113 & Al-Zumar: 28 & Fussilat: 3 & Al-Shura: 7 & Al-Zukhruf: 3).
Al-Qur`an  yang terhimpun di dalam 114 surah itu, menurut perhitungan yang umum menurut Hamka di dalam Tafsirnya berjudul Tafsir Al-Azhar ialah berjumlah 6,236 ayat. Bermula turun dengan ayat Surah Al-`Alaq  - Iqra` (Al-`Alaq: 1 – 5) dan berakhir dengan ayat (Al-Ma`idah: 3) yang diturunkan pada Hajjatul Wada`.


(Hamka, Tafsir Al-Azhar, Jil. 1, Pustaka Nasional PTE Ltd. Singapura, 2001: 7)
Penisbahan juga dibuat menurut bidang yang menjadi tumpuan pengkaji secara releven . Misalnya Qur`an Kitab Perlambagaan Umat Islam bagi yang mengkaji dan cenderung melihat dari segi perlembagaan dan memangnya wujud ayat-ayat yang menyebut aspek-aspek perlembagaan khusus. Ada yang mengkaji tentang pertunjukan-pertunjukan dari Al-Qur`an dan menyebutnya sebagai Kitab Hidayah (Al-Baqarah: 2), bahkan bagi yang meminati mengkaji tentang bahasa dan sastera milihatnya sebagai sumber bahasa dan sastera, bahkan ianya sumber bagi semua bidang ilmu. Kata Abdul Rahman Jalaluddin bin Abi Bakr al-Sayuti al-Shafie (m.991H.) di dalam kitabnya berjudul `Al-Itqan fi `Ulum Al-Qur`an:
``Dan Kitab kita Al-Qur`an Dia adalah tempat sumber ilmu pengetahuan dan membuak dengannya, daerah matahari ilmu dan tempat naiknya, Allah Ta`ala melahirkan darinya ilmu bagi setiap suatu dan ternyata padanya pertunjukan dan panduan, maka engkau lihat setiap bidang pelajaran didapat daripadanya dan kepadanya menjadi pegangan.``
(Jalaluddin Abdul Rahman Al-Sayuti, Al-Itqan fi `Ulum Al-Qur`an, Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, Beirut, Lubnan, 1424=2003: 9).
Al-Qur`an adalah sumber segala ilmu pengetahuan. Ada yang membandingkan ianya sebagai `Alam Kecil` yang mengandungi di dalamnya maklumat segala alam  sebagai`Alam Besar`.  Setiap bidang yang dikaji boleh didapat daripadanya. Kata Jalaluddin al-Sayuti lagi:
``Para fuqaha` menmgambil istinbat daripadanya hukum-hukum, dikeluarkankan daripadanya hukum halal dan haram, pakar bahasa membina daripadanya kaedah-kaedah i`rabnya, dirujuk kepadanya  bagi diketahui salah bahasa dari benarnya, pakar bidang Bayan mendapat pertunjukan daripadanya  tentang keelokan susunan kalam, mengambil iktibar daripadanya  kaedah-kaedah balaghah dan jenis kalam, padanya  kisah-kisah dan berita-berita yang memberi  ingatan kepada mereka yang bermata hati. Padanya nasihat dan tamsil ibarat kepada yang mempunyai fikiran dan mengambil iktibar dan ilmu berbagai yang tidak diketahui had batasnya, kecuali oleh yang pakar  di dalam bidangnya.``
(Jalaluddin Abdul Rahman Al-Sayut, 1424/2003: 9).
Lantaran Al-Qur`an menjadi sumber  keislaman dan  ilmu pengetahuan, maka Saidina `Uthman bin Affah r.a. meriwayatkan daripada Nabi s.a.w bersabda bermaksud:
``Sebaik-baik kamu ialah orang yang belajar Qur`an dan mengajarkannya.``
(Ibn Kathir Al-Hafiz, Kitab Fada`il Al-Qur`an, Dar al-Qiblat al-Thaqafah al-Islamiyyah, Jeddah, 1408/1988: 104).


Al-Qur`an adalah disifatkan sebagai Mu`jizat Utama bagi Rasulullah s.a.w. baik dari segi kepelbagaian  ilmunya, bahkan dari bahasa dan sasteranya. Menurut catatan Hamka.
``Maka menjadi kepercayaanlah bagi seluruh bangsa Arab, selama 14 abad hingga sekarang bahawa mereka tidak sanggup menyusun lagi kata lain untuk menandingi balaghah dan fasahah Al-Qur`an. Kelemahan meniru itu bukan kerana dilarang, bahkan ditantang supaya dicuba. Maka Al-Qur`an itu sendirilah yang mengelukan lidah dan tangan orang buat menirunya. …
Seorang Ahli Bahasa yang besar, Sasterawan Terkemuka di zaman Nabi iaitu Al-Walid bin Al-Mughirah seketika diminta oleh Abu Jahal (musuh Islam), bagaimana kesannya tentang susunkata Al-Qur`an itu telah menyatakan, ``Demi Allah tidak ada di kalangan kita yang sepintar saya menilai syair-syair yang mengenai Rajaznya dan Kadhibnya. Demi Allah apa yang diucapkan oleh Muhammad itu tidak dapat diserupakan dengan sembarang syairpun. Demi Allah kata-katanya ini manis didengar, indah diucapkan, puncaknya menimbulkan buah, dasarnya memancarkan kesuburan. Perkataannnya selalu di atas dan tidak dapat diatasi, dan yang dibawahnya  mesti hancur dibuatnya.``
(Hamka, Tafsir Al-Azhar, 2001: 14).
Al-Qur`an adalah Kalam Tuhan sekalian alam yang membicarakan kesegalaan. Darinya bidang-bidang keilmuan Islam lahir dan terus menjadi kajian,keindahannya terus digali dan menjadi sumber sastera dan bahasa  daripadanya juga menjadi sumber bagi kajian ilmu-ilmu sains moden dan berapa pula dari pengkaji-pengkaji yang menerima Islam kerana mendepani kebenaran Al-Qur`an. Al-Qur`an adalah Kalam Tuhan Rahmat kepada sekalian Alam.

Sekian.

November 23, 2014

Firman Sebagai Perlembagaan Dan Nilai Tertinggi Dan Hiraki Kata Wibawa


BBB,  29 Muharram 1436 = 22 November 2014 (Sabtu):
Topik di atas, khususnya istilah `Firman`  boleh bermaksud:
`Sesuatu Yang Abadi  Dari Yang Maha Tertinggi`,
`Sesuatu Yang Terakam Dan Tidak Boleh Menerima Perubahan`,
`Hukum Dan Nilai Diterimapakai Dan Tidak Dipersoal`.
`Menjadi  elemen undang-undang`.


Di dalam hal ini dapat dilihat kekayaan bahasa Melayu – jika di dalam bahasa `Arab `qala` bermaksud `berkata` dinisbah kepada  Allah, Rasul dan sebagainya, tetapi istilah `berkata` ada hiraki  dan berlainan sebutan di dalam bahasa Melayu.
Firman   untuk   Allah
Sabda    untuk  Rasul
Titah     untuk   Raja
Berkata untuk  Orang biasa
Kata-kata dari pihak tertinggi dihormati dan membawa erti sebagai  aturan dan undang-undang. Dan perundangan tertinggi yang dibukukan dikenali sebagai `Perlembagaan` dipandang tinggi sebagai dari pihak Berwibawa dan Pemerintah.
Tulisan di bawah lebih mengarah kepada `Sastera Undang-Undang` sebagai lanjutan kepada yang telah diperbincangkan sebelum ini. `Sastera` dimaksudkan kepada tulisan yang terhasil yang mempunyai nilai undang-undang, aturan, tatanegara, tatasusila, penampilan kegemilangan yang lepas dari segi tatanegara, tamadun,  peradaban dan warisan yang dijunjung dan dikagumi  oleh masyarakat.
Menyebut `Firman` segera tanggapan kita kepada `Al-Qur`an Al-Karim`.  Firman adalah istilah yang merujuk kepada keyakinan tauhid bahawa Allah berfirman ke pada Rasulnya, Nabi Muhammad s.a.w. dan kalamNya yang terhimpun dikenali dengan `Al-Qur`an`. Terrdapat `Kalam Suci` yang lain yang diturunkan kepada Rasul-Rasul seperti Kitab Suci Taurat, Zabur dan Injil.
Firman seperti Kitab Suci Al-Qur`an diyakini sebagai  `Kalam Qadim` yang  disampaikan kepada Rasulullah melalui perantaraan Jibra`il a.s. yang menjadi panduan bagi umat Islam - panduan hidup mati bagi umat Islam.


Firman sebagai satu yang dipandang tinggi, dihormati dan tidak boleh diubah dan ditukar ganti. Antaranya  bersifat undang-undang yang dijadikan panduan, pegangan dan rujukan. Sebagai contoh undang-undang kekeluargaan, harta pusaka, halal-haram,  pemerintahan dan sebagainya.Kata-kata yang tertinggi  selain dari Al-Qur`an diterima sebagai hukum dan panduan seperti Sabda Nabi, Titah Sultan,  Nobat Luak dan sebagainya.
Sebagai contoh undang-undang adat yang  menjadi panduan masyarakat tradisi di Negeri Sembilan dipandang suci, dipelihara, dihafal dan menjadi panduan hukum kemasyarakatan yang terkenal dengan Adat Perpatih.
Adat orang diturut
Di mana bumi dipijak
Di situ langit dijunjung
Masuk kandang kerbau menguak
Masuk kandang kambing mengembik
Bagaimana adat di tempat semenda
Dipakailah
Lain lubuk lain ikannya
Lain padang lain belalangnya
Alur sama diturut
Jalan sama ditempuh
Adat sama dipakai
Lembaga sama dituang
Meniru pada yang ada
Meneladan pada yang sudah.
(Nordin Selat, Sistem Sosial Adat Perpatih, Utusan Melayu (M) Bhd. Kuala Lumpur, 1976: 14).
Perlembagaan Malaysia (1963) yang berasaskan  Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan Malaya Merdeka 1957 diterima sebagai Perlembagaan Malaysia yang dikaitkan kepatuhan Kepada DYMM Seri Paduka  Yang Dipertuan Agung Kuasa Tertinggi Negara yang dijunjung dan dipatuhi. (The Constitution of Malaysia, Malaysia Publications  Ltd., Singapore, 1964: 1 – 31).
Demikian  dijunjung tinggi dan dihormati apa yang dikaitkan dengan undang-undang atau bahagian dari undang-undang seperti yang dikenali dengan Kanun Jenayah Syariah atau Anekmen Tatacara Jenayah Syariah di Bawah Raja-Raja Melayu atau langsung di bawah Kebawah DYMM Sei Paduka Yang Di Pertuan Agung (Bagi Negeri-Negeri Melayu Tak Beraja).
Perundangan yang terakam di dalam tulisan atau sebelumnya di dalam ungkapan seperti  Teromba  dipandang Suci dan dipatuhi sama ada di dalam acara formal atau tidak formal.
`Penghormatan, ketaatan dan perlaksanaan sesuatu yang bersifat undang-undang adalah dijunjung tinggi sebagai percikan dari wibawa   Firman. Bahkan di dalam ungkapan lama di dalam teks-teks lama Raja dan pemerintahan yang  seharusnya dipatuhi  digambarkan sebagai:
Zillullah fi al-Alam (Bayangan Allah di Alam). Bermaksud menerima amanah menjalankan kekuasaan Allah di Alam.    

Sekian.

November 22, 2014

Piawaian Terhadap Prinsip-Prinsip Utama Takmilah


BBB,  28 Muharram 1435 = 21 November 2014 (Jumaat):
Takmilah adalah toeri  bagi  karya dan penilaian menurut piawaian Idealis  Islam seperti  peringkat Kamal yang merujuk kepada sifat Allah dan Kamil sifat Rasulullah  yang seharusnya pengkarya  dengan karyanya bergerak ke arah nilai tertinggi  seperti menanggapi sifat Rahman dan Rahim Allah membentuk jiwa mesra  hamba menerima Rahmat Dan Rahim dariNya, juga seperti beruswah kepada Rasulullah dalam segala tindak dan perbuatan. Menanggapi  Jamal Sifat Allah dan Ahsan merujuk kepada Rasulullah juga Al-Qur`an berciri Seni Kudus sebagai rujukan nilai estetika dan keilmuan  bagi karya   menjadi contoh, walaupun tidak mungkin tercapa ke tahap-tahap tertinggi tersebut. Di bawah daripada prinsip-prinsip ini begitu luas skop dan ruanglingkup untuk dihayati yang menjadi bahan maklumat dan dapat diperturunkan sebagai bahan yang dihayati dan dicatat. Memahami sifat Kamal Allah menanggapi tentang ketunggalanNya dan kedalaman falsafah tauhid dan keabadian sifat-sifat yang lain. Memahami tentang kekuasaanNya dapat menanggapi tentang ciptaanNya yang bersifat ghaib dan syahadah.  Segalanya dapat dibaca dengan mata lahir dan mata akal. SuruhanNya agar kita membaca membuka ruang yang luas untuk memahami segala kejadian hingga kepada diri di tengah makhluk ini. Juga memahami kehidupan dan perjuangan serta pergulatan. Ke mana manusia dibawa arus kehidupan dan ke mana seharusnya mereka mendapat bimbingan dan bagaimana menghadapi masa depan yang mendepani berbagai ujian hidup. Memahami tabiat dan watak manusia sebagai pelakun hidup yang seharusnya bermatlamat. Seharusnya pandangan kesegalaan  berasaskan prinsip dan panduan. Pendeknya begitu banyak perkara untuk diperkata. Tetapi semuanya tidak terseleweng jika berdasarkan prinsip dan pegangan panduan. Kesan positif dari segi keilmuan dan estetika  seharusnya  dapat  memberi  impak positif pada khalayak secara berprinsip dan terbimbing agar semuanya terselaras dan terarah kepada yang diredai.


Takmilah adalah merupakan perjalanan kualiti dilalui oleh pengkarya yang melalui ciri estetika dapat mencapai nilai estetika tertinggi. Satu aspek yang menjadi kombinasi penting bagi Takmilah yang biasanya meningkat secara serentak ialah elemen akli atau ilmu yang  harus dimiliki oleh pengkarya dan penghasil yang dapat mencerap kewujudan sebagaimana diperkatakan di atas dan  dari segi perjalanan kualitinya meningkatkan daya seni serentak dan kombinasi dengan daya ilmu bagi  menghasilkan karya  yang tinggi mutunya. Maksud keilmuan di sini juga  ialah keilmuan bantu kepada aspek kreatif. Ilmu sedemikian adalah luas dan berbagai-bagai. Misalnya penguasaan ilmu-ilmu agama, katakan seperti tafsir, Hadith, syariah dan akidah tentulah membantu pengkarya memahami Islam lebih mendalam, keilmuan-keilmuan alamiah pula  memberi  kesan maklumat kepada karyanya. Keilmuan juga dimaksudkan kepada keilmuan yang berhubung dengan bidang kreatif. Katakan jika dia menulis puisi. dia mesti menguasai kaedah-kaedah berpuisi secara mendalam dan cara mengungkapkannya. Begitu juga dengan kaedah-kaedah penulisan prosa kreatif. Demikianlah  dengan  seni arkitek, tentu tidak dapat dihasilkan hasil arkitektur tanpa pengajian dan jiwa seni arkitek berkenaan. Demikianlah dengan bidang-bidang seni yang lain.
 Semua saluran peningkatan adalah bersifat perjalanan kualiti. Misalnya melalui jalan estetika yang jalan harus dilalui dalam peningkatan ialah sifat estetik yang bersifat alami kepada estetika rohani , menyentuh rasa ihsan, ahsan hingga menyentuh wilayah Jamal, manakala bagi pengkarya dia seharusnya miningkatkan diri kepada pandangan yang melihat tentang takamul, akmal, Kamil dan Kamal, manakala dari aspek minda seharusnya meningkatkan keilmuan dalam Islam yang diterima dari Junjungan Rasulullah s.a.w. yang diterima dari Allah antaranya melalui Al-Qur`an.
Objek yang penting dari karya dan penghasilan ialah `Khalayak`. Khalayak melalui karya dan penghasilan diajak sama meniti perjalanan kualiti yang dapat meningkatkan diri kepada nilai-nilai tinggi yang terhimpun secara ideal pada karya bersifat Takmilah.
Dalam peningkatan bagi individu dan karya  mendidik khalayak yang secara tidak langsung membantu masyarakat dan Negara  dalam membangunkan tamadun  Negara dan peradabannya.  Pendekatan yang menekankan peradaban dan tamadun adalah merupakah wadah bagi membina Negara yang disifatkan di dalam Al-Qur`n:
Al-Balad Al-Amin (Al-tin: 3)  yang diperluaskan lagi dengan gambaran Baldah Tayyibah wa Rabbun Ghafur (Saba`: 15).
Takmilah sebenarnya boleh diaplikasi bagi penilaian terhadap segala karya dan hasil yang  bersifat kreatif dan mempunyai  nilai ilmu dan seni. Contoh:
1)      Penulisan kreatif seperti puisi , cerpen, novel, hikayat dan cetera.
2)      Seni bina seperti rumah dan masjid
3)      Tulisan  seperti khat dan kaligrafi Cina
4)      Penghasilan bersifat  persuratan. Contoh perlembagaan dan histriografi
5)      Hasil kerja tangan yang bersifat kraft, tenunan dan anyaman
6)      Seni suara seperti tilawah Al-Qur`an, salawat al-Rasul, nasyid, marhaban dan sebagainya.
7)      Sesuatu yang bernilai purba dan berdaya estetik dan permuziuman
8)      Seni lukis dan animasi
9)      Senilakun, filem dan drama
10)   Seni taman dan hias.
Bagi setiap bidang mempunyai kaedah keilmuan dan pendekatan dari segi kreatif dan penilaian.
Takmilah adalah mekanisme yang  menyalur pengkarya ke nilai Islam, iaitu melalui ilmu-amal dapat meningkatkan diri kepada menghayati  estetika yang bersifat Islam hingga minda dan jiwanya tepu dengan  nilai dan seni keislaman. Dengan ketinggian ilmu dan kehalusan seni dapat membentuk jiwa berkesedaran tinggi dari segi tamadun dan peradaban. Para seniman muslim secara tidak langsung sama membina tamadun,  peradaban  dan kemanusiaan.

Sekian.

November 21, 2014

Apabila Ada Kawasan Dan Kependudukan Ada Kepimpinan: Penghasilan Aturan


BBB, 27 Muharram 1436 = 20 November 2014 (Khamis):
Dalam satu kawasan yang terhad keluasannya dengan jumlah penduduk yang juga terhad  dengan masyarakat yang homogenus sifatnya  pada zaman tradisi yang mungkin dikenali dengan desa, kampung dan sebagainya, maka kependudukan sedemikian memerlukan kepimpinan bagi  mengatur  aturan, keperluan-keperluan masyarakat dan mengatasi permasalahan-permasalahan seperti penyakit, kemiskinan dan pengagihan sumber pendapatan. Kepimpinan dalam masyarakat tradisi sedemikian dikenali seperti Tok Batin, Ketua Kampung, buapuk, Luak dan sebagainya.
Dalam masyarakat tradisi sedemikian, ditambah dengan adanya kepercayaan agama Islam, maka ianya memerlukan kepada institusi-institusi asas yang dapat membantu pemimpin setempat yang kita pilih dari segi istilah sebagai `Ketua Kampung` bagi semua jenis ketua kepimpinan tradisi. Bagi membantu pentadbiran, maka ada di sana. Imam. Bomoh, Bidan, Bilal, Siak, Guru,  Pendekar, Hulubalang, Laskar dan rakyat (penduduk banyak).


Ketua Kampung adalah mengetuai segala bidang kemasyarakatan , mengawasai segala keperluan dan memberi  perhatian terhadap kebajikan mereka. Misalnya Ketua Kampung mengendalikan pentadbiran keseluruhan masalah kampung. Misalnya membuka tanah ladang,  mengatur masa bertani,  kerjasama di dalam mendirikan rumah (gotong royong), menerima berbagai aduan dari anakbuah penduduk dan sebagainya, imam adalah mengepalai upacara-upacara keagamaan, urusan kematian, kenduri kendara dan sebagainya. Bomoh adalah mengendalikan pesakit-pesakit dan usaha menyembuhkan, Bidan pula menguruskan kelahiran anak-anak, siak membantu urusan masjid dan surau, guru bertanggungjawab mendidik anak-anak kariah membaca dan menulis juga mengaji dan keperluan-keperluan keilmuan agama dan kehidupan. Pendekar ialah ibarat pasukan pertahanan, begitu juga dengan hulubalang ibarat tentera bagi menjamin keselamatan, termasuklah juga laskar dan rakyat jelata ialah orang ramai yang biasanya menurut perintah.
Kepimpinan yang berwibawa menarik kampung-kampung  atau kawasan-kawasan yang lain mengetuainya dan menjadikan kawasannya lebih luas yang mungkin menjadikannya pimpinan peringkat daerah yang lebih besar, tetapi kebiasaan ia menjadi sebahagian dari bahagian pemerintahan yang lebih berkuasa yang sebagaimana kini dikenali sebagai negeri. Pemimpin yang Berjaya pada peringkat tinggi ini, bukan saja terkenal kerana  kewibawaan, tetapi juga mempunyai kekuatan pertahanan seperti pendekar, hulubalang dan laskar yang dapat mempertahan dan menggerunkan musuh. Dari pemimpin sedemikian akan timbul cerita-cerita metos dan legenda  berkenaan pemimpin-pemimpin berkenaan yang menjadikannya lebih dipandang suci lagi dihormati.
Tidak jarang pula berlaku di dalam sejarah, bahawa pemimpin tempatan menjemput pemimpin luar dari tempatan yang mempunyai wibawa dan turunan terkenal dari segi prmerintahan datang secara jemputan  ke kawasan pemerintah tertentu dan dilantik menjadi pemerintah yang diwar-warkan sebagai  tokoh yang mempunyai keturunan baik-baik lagi berwibawa dan dihormati. Tidak jarang pula penguasaan dan pembesaran kawasan berlaku akibat dari perbalahan dan pertentangan misalnya akibat dari kepentingan ekonomi  dan strategis yang membawa kepada pertikaian bersenjata  dengan berperang  dan penguasaan.


Kewibawaan kepimpinan juga berlaku, di samping kekuatan ialah bijaksana dari segi kepimpinan dan keilmuan. Kalau pada peringkat kampung dan luak pemimpin pandai memimpin dan mampu mengungkapkan ungkapan Teromba yang menggariskan panduan pentadbiran aturan, adat, cara hidup bermasyarakat yang memntingkan gotong royong, maka pada peringkat yang lebih tinggi yang berada pada tahap negeri, pemimpin misalnya terdidik dengan ilmu dan mementingkan ilmu, maka pemerintahannya dikeliling dan dibantu serta nasihat oleh ulama-ulama dan para cendekia, termasuk pemimpin itu sendiri menjadi seorang pemerintah yang alim yang turut belajar dan  mengajar ilmu, bahkan ada pemimpin yang mengarang peratuaran pemerintah, bahkan dikarang  kitab-kitab yang menjadi  panduan di dalam pemerintahan. Dia juga menekankan kepentingan pelajaran kepada rakyat dan memberi  kemudahan dan galakan-galakan kepada rakyat belajar. Selain daripada itu kalangan ulama yang membimbing pemerintah  turut mengarang kitab-kitab panduan pemerintahan dan kitab-kitab pengajian di dalam berbagai-bagai bidang.
Dengan wibawa pemerintah yang mementingkan ilmu, dia sendiri berilmu dan menggalakkan orang ramai mempelajari ilmu dan terhasil karangan-karangan panduan pemerintahan sama ada oleh pemerintah atau ulama-ulama yang membantunya dan ulama-ulama berkenaan menghasilkan kitab-kitab pengajian yang dipelajari bukan saja bersifat setempat, tetapi diguna di luar, maka pemerintah sedemikian menjadi  masyhur dan menjadi sebuatan dalam sejarah dan warisan keilmuan yang ditinggalkan terus digunakan dan abadi di dalam kenangan.

Sekian.

November 20, 2014

Dari Minda Dan Jiwa Peraturan Berkembang Kepada Adat Dan Adab: Takmilah


BBB, 26 Muharram 1436 = 19 November 2014 (Rabu):
Berguru pada alam berdasarkan pada pengalaman manusia  membina kehidupan berkeluarga , berjiran tetangga  dan  berkampung-desa. Berdasarkan pada pengalaman tercipta aturan, adat dan adab dalam kehidupan. Aturan yang menjadi adat dan adab sebagai panduan ini diungkap, dihafal, bahkan digubah dalam bahasa yang indah agar mudah diingatkan dan senang dijadikan panduan. Contoh pantun betapa tinggi dipandang tentang adat dan adab  yang menjadi aturan:
Anak Cina brtimbang madat,


    Dari Makasar langsung ke Deli;
Hidup di dunia biar beradat,
    Bahasa tidak berjual beli.
                       (Sekalung Budi, Seuntai Bahasa, DBP, Kuala Lumpur, 1990: 37).
Betapa adat dipegang dan menjadi panduan sebagai perlembagaan hidup dapat difahami dari ungkapan adat (teromba) berikut:
Adat tidak lapuk dek hujan
Tak lekang dek panas
Tak kuning dek kunyit
Tak lemak dek santan
Tak haus dek masa
Kok dibasuh berhabis air
Kok dikikis berhabis besi
Hukum lembut bak air
Adat putih bak kapas
Ibu adat muafakat
Bapak adat benar
Usang-usang diperbaharui
Lapuk-lapuk dikajangi
Yang panjang dikerat
Yang pendek disambung
Yang bocor ditampal
Yang tirus dibetulkan
Yang lapuk disokong
Jatuh dari langit sama-sama kita tampung
Memusat dari bumi sama-sama kita pijakkan
Alah adat tegak dek muafakat.
            (Mohd Rosli Saludin, Teromba Sebagai Wahana Komunikasi Adat Melayu Tradisional, Karisma Publications Sdn. Bhd. , Shah Alam, 2010: 80-81).
Nilai adat bertambah  kukuh dengan nilai-nilai Islam:
Pada adat membilangkan yang buruk
Menimbulkan yang baik
Pada syara`  menyuruh berbuat baik
Meninggalkan berbuat jahat.

Seterusnya hasil dari pengaruh Islam terhadap adat diungkapkan
Adat bersendi hukum
Hukum bersendi Kitabullah
Syara`  mengata, adat menurut
Adat sama dipakai
Lembaga sama dituang
         (Rusli Saludin, 2010: 121).
Penerangan dan pengungkapan terutama yang bersifat puisi mencerminkan kebijaksanaan masyarakat tradisi yang mencetuskan  nilai-nilai hidup dan peraturan – adat dan lembaga tadbiran yang mencerminkan undang-undang yang dipakai di dalam kehidupan beradat dan keindahan adab. Nilai-nilai ini dipertingkatkan lagi dengan nilai-nilai Islam pada zaman tradisi tersebut.
Apa yang dipaparkan di atas juga adalah contoh yang baik bagi Teori Takmilah yang mencerminkan kebijaksanaan tokoh atau pimpinan masyarakat yang mencetuskan fikiran dan kehalusan jiwa  tentang aturan-aturan adat dan niali-nilai Islam. Persoalan-persoalan ini diungkapkan melalui bentuk-bentuk puisi  yang indah dari segi kendungan dan ungkapan melalui  pantun dan teromba. Terhimpun di dalam ungkapan takmilah dari segi pengungkap, persoalan yang diungkap dan medium yang diungkap, iaitu melalui pantun dan teromba. Ungkapan berkenaan member impak yang baik kepada khalayak, tentang ketinggian fikiran, nilai adat dan adab dan kehalusan rasa yang membawa unsur  kreativiti dan nilai estetika yang tinggi. Elemen-rlemen  kebijaksanaan pengungkap. Kandungan ungkapan, bentuk ungkapan dan kesan kepada khalayak dari kesatuan elemen berkenaan memuncak estetika perutusan dengan kesan penerimaan.

Sekian.

November 19, 2014

Dinamika Undang-Undang, Menuju Kewajaran-Keadilan: Proses Takmilah


BBB, 25 Muharram 1436 = 18 November 2014 (Selasa):
Satu ciri Teori Takmilah, bahawa ianya mempunyai dinamika yang memberi  ruang bagi peningkatan kualiti, jika di dalam penulisan menggerakkan penulis meningkatkan dirinya dengan ilmu pengetahuan dan pengalaman, ianya juga memberi  ruang yang paling penting mempertingkatkan jiwa dan rasa dari segi kreativiti, pengucapan dan karya sehingga meningkatkan karya  sebagai sebuah karya yang tinggi mutunya sebagai hasil karya kreatif dan sebagai sebuah hasil yang bermutu tinggi, maka ianya memberi kesan kepada pembaca dan khalayak yang menghayati karya berkenaan.
Ciri ini nampaknya berlaku juga kepada bidang perundangan yang walaupun sudah ada kanun atau enakmen yang telah tersedia sebagai panduan berhujah bagi peguam dan menghukum bagi hakim, tetapi proses Takmilah adalah berlaku. Proses Takmilah ini berlaku di dalam hujah peguam mencari fakta-fakta yang tepat dan jitu bagi memenangi  kes anak guamnya, hakim pula meneliti tentang hujah peguam pihak pembela dan peguam pihak mahkamah (kerajaan) agar keputusan yang diambil adalah tepat. Proses Takmilah juga disediakan, walaupun keputusan telah dijatuhkan, maka masih ada proses Takmilah dari segi undang-undang, iaitu melalui rayuan daripada Mahkamah Rendah, Kepada Mahkamah Tengah, Tinggi, Agung dan Persekutuan. Peguam dalam konteks Takmilah mungkin lebih dari seorang dan hakim pula mungkin beberapa orang di dalam membuat keputusan. Takmilah berlaku pada bidang kes, kepada peguam, kepada perundangan, kepada hakim dan kepada diri anak guam. Takmilah adalah proses menuju kepada peringkat ketepatan, kebenaran, keadilan dan keindahan begitu juga dengan proses berguam melalui tahap-tahap , proses-proses dan tingkat-tingkat yang diusaha dengan kemahiran, kepakaran dan keilmuan yang dapat membuktikan kejelasan persoalan dan ketepatan hukuman.


Sebenarnya proses penghakiman juga adalah proses Takmilah. Sebagai contoh kita petik dari isu yang baru berlaku berhubung dengan peruntukan di dalam Kanun Jenyah Syariah Majlis Agama Islam Negeri Sembilan  (1992) yang di dalam peruntukan Seksyen 66 Enakmen MAINS adalah menjadi kesalahan lelaki memakai pakaian wanita atau berlagak sebagai wanita di tempat awam. Pihak yang melakukannya dan  jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman denda RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-dua sekali.
Kes berkenaan berlaku ke atas tiga orang juru mekap pengantin, iaitu Muhamad Juzaili Muhamad Khamis (26), Syukor Jani (28) dan Wan Fairol bin Wan Ismail (30). Mereka telah membuat rayuan akibat dari hukuman dari Mahkamah Syariah Negeri Sembilan itu kepada Mahkamah Rayuan Persekutuan dan pada 11 November 2014 Mahkamah Rayuan Persekutuan membatalkan keputusan Mahkamah MAINS dengan alas an Seksyen  66 Enakmen Jenayah Syariah MAINS 1992 itu bercanggah  dengan perlembagaan Persekutuan, iaitu bercanggah dengan perkara 5 (1) Kebebasan diri , 8 (1) Kesamarataan, 8 (2) Diskriminasi, 9 (2) Kebebasan Bergerak dan 10 (1) Kebebasan Bercakap dan Bersuara.


Keputusan berkenaan mengundang implikasi-implikasi seperti membuka peluang bagi berkahwin sejenis, kecelaruan dari segi identiti kepada individu yang transgender dan juga kepada masyarakat, ada yang mengambil kesempatan sebagai peluang melakukan jenayah. Mereka yang seumpama ini mengelirukan orang yang benar-benar bersifat khunsa musykil. Penelitian hukum sepatutnya adalah kepada mereka untuk diberi keadilan.
Keputusan dibuat  oleh tiga Hakim yang dipengerusikan oleh Hakim Datuk Mohd. Hishamudin bin Mohd Yunus ini mencetuskan rasa tidak senang di kalangan pemimpin-pemimpin agama  seperti  Datuk Jamil Khir Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang antaranya JAKIM di bawah Kementeriannya, Profesor Emeritus Datuk Dr. Mahmood Zuhdi  Tokoh Akademik, Beberapa Mufti menyokong MAINS agar membuat rayuan seperti  Syeikh Ahmad Faisol Omar (Kedah), Tan Sri Harussani (Perak) dan Datuk Seri Abdul Rahman Othman (Pahang). Mereka menyokong MAINS untuk membuat rayuan. Manakala Tun Dr. Mahathir mau agar fatwa disemak kembali.
Berhubung dengan keputusan Mahkamah Rayuan Persekutuan ada yang berpendapat bahawa pihak Mahkamah Persekutuan  menceroboh Mahkamah Syariah yang sebenarnya diberi peruntukan  hak menggubal undang-undang sy ariah dan pihak Persekutuan tidak dibenar mengganggu keputusan Mahkamah Syariah. Pihak MAINs akan membuat rayuan terhadap kes ini.
Dari segi Takmilah proses menghakimi kes ini, rayuan, penghakiman kembali dan berbagai proses yang dilalui adalah merupakan Takmilah dalam menuju kepada ketepatan hukuman dan keadilan serta menjadi rujukan kepada kes-kes yang seumpamanya pada masa akan datang.

Sekian.