October 31, 2015

Aspek Hissi Dan Inderawi Lebih Segera Mendapat Perhatian Dan Kesan Dakwah


BBB,  17 Muharram 1437 = 30 Oktober 2015 (Jumaat):


Di dalam menyampaikan  maklumat, penerangan dan dakwah, bahan-bahan yang zmudah dijamah, dirasa atau yang dapat disaksi dengan panca indera lebih mudah menarik pandangan dan perhatian khalayak dan mudah difahami mereka dan mungkin mudah mendapat penerimaan. Surah Al-Hijr (15) Makkiyyah, sebagaimana telah disebutkan diturun berdepan dengan masyarakat Jahiliyyah yang kebanyakan belum menerima Islam. Dari satu segi surah ini adalah merupakan dakwah kepada penduduk Makkah yang antaranya menggunakan metod maklumat dan bercerita tentang kaum-kaum yang derhaka, ingkar dan sumbang seperti cerita tentang Kaum Hijr, Al-Aykah dan Kaum Lut yang menerima balasan setimpal dengan kejahatan, keingkaran dan kejijikan perlakuan mereka. Salah satu cara lagi yang dapat memberi faham dan tindakan menerima atau meninggalkan sesuatu yang disuruh atau dilarang ialah dengan memberi contoh kaedah `Pandangan Wujud` yang dekat dan mudah bagi kefahaman mereka, iaitu dengan cara nelihat, mengalami dan menghayati.
Al-Qur`an menggunakan fenomena alam yang dapat dilihat, disaksi dan dibuktikan tanpa dapat menolaknya sebagai contoh Al-Qur`an menarik perhatian tentang kejadian cakerawala sebagai maksud daripada ayat Al-Qur`an:
``Dan demi sesungguhnya kami telah menjadikan di langit bintang-bintang (yang berbagai bentuk dan keadaan) serta kami hiasi langit itu bagi orang-orang yang melihatnya``. (15. 16).
Satu gambaran tentang fenomena bintang-bintang di langit yang tentu kelihatannya ialah pada waktu malam menarik indera pandangan mata (sebenarnya juga bagi minda) tentang bagaimana bintang-bintang berkenaan begitu banyak bertebar dan bertabur luas dan pada malam yang elok cuacanya kelihatan kerlipan bintang-bintang itu yang bersais besar dan kecil, berkedudukan jauh dan dekat bergemerlap menarik pandangan. Bagi yang mempunyai persediaan ilmu bintang (astronomi) tentulah ianya mempunyai kefahaman lebih mendalam. Diketahui misalnya kedudukan dan nama-nama sebahagian bintang-bintang, fungsinya bagi panduan dan pelayaran dan lebih luas lagi dapat dibicarakan cakerawala luas berdasarkan keilmuan astronomi. Allah memelihara dengan baik kedudukan secara lebih luas palanet-planet dan bintang-bintang yang masing-masing berada pada paksi masing-masing dan bergerak di atas orbit masing-masing tanpa berlaku sebarang kerosakan atau perlanggaran. Dengan kefahaman yang lebih luas dapat dimengerti dari pergerakan planet-planet dan bintang-bintang berlaku siang dan malam dan berlaku pertukaran musim yang memberi kemudahan bagi manusia berternak, bertani dan menjalankan kegiatan kehidupan.
Ini diteruskan dengan pemaparan `Pandangan Wujud` sebagai bukti yang bersifat inderawi (juga akli) sebagaimana ayat Al-Qur`an menyebut bermaksud:
``Dan di bumi kami bentangkanya dan kami pasakkannya dengan gunung ganang yang terdiri kukuh serta kami tumbuhkan padanya tiap-tiap sesuatu yang tertentu timbangannya``. (15.19).
Secara teratur, selepas menggambarkan fenomena alam cakerawala pada peringkat tinggi Allah menggambarkan pula secara seturut dan logik tentang fenomena alam pada peringkat bawah, iaitu bumi yang manusia huni. Diperlihatkan pandangan secara nyata bahawa permukaan bumi adalah terbentang luas yang dapat dilihat dari utara ke selatan dan dari barat ke timur. Pada permukaan dan pembentangan permukaan bumi yang diibarat sebagai `tikar raksaksa` di atas permukaan, maka untuk menjadikannya tetap, tidak bergerak dan tidak terlipat, maka dipaku pada  bahagian-bahagian penjuru dan di mana-mana yang sesuai dengan paku-paku gunung ganang dan bukit bukau agar permukaan menjadi tetap dan tidak digerakkan oleh pergerakan yang boleh berlaku dari bawah. Sesungguhnya pada permukaan bumi ini manusia yang berketurunan dari Adam dan Hawa itu yang selepas berkembang menduduki kawasan-kawasan yang di bahagi menurut kawasan dan kepentingan mereka, kawasan-kawasan yang dikenali sebagai negara, negeri, wilayah, bandar, kampung dan sebagainya. Maka di atas permukaan muka bumi dan kawasan masing-masing manusia berusaha bertani dan berladang dan menghasilkan tumbuh-tumbuhan yang sesuai dengan iklim dan hujan yang diturunkan dan saliran-saliran yang diadakan (sungai-sungai) menurut musim-musim dan kesesuaian dari segi keperluan bagi tumbuh-tumbuhan. Darinya terhasillah tumbuh-tumbuhan yang mengeluarkan buah-buahan yang dimakan dan juga diperdagangkan (pertukaran barang dengan tempat lain) bagi kepentingan kehidupan.
Ini bersesuaian dengan keterangan Al-Qur`an selanjutnya  seperti yang diumaksudkan:
``Dan Kami jadikan untuk kamu pada bumi ini segala keperluan hidup, juga kami jadikan makhluk-makhluk yang kamu bukanlah orang yang sebenarnya menyediakan rezekinya``. (15.20).
Bahkan Allah menerangkan secara lebih detail tentang proses penghasilan bahan-bahan pertanian bukan setakat tanam dan siramannya melalui hujan, tetapi Allah menyebutkan bermaksud:
``Dan kami hantarkan angin sebagai pembawa air  dan pemindahan benih (juga pendebungaan), maka dengan itu, Kami menurunkan air (hujan) dari langit dan kami berikan kamu minuman dan bukanlah kamu (berkuasa menurunkannya atau) menyimpannya``. (15. 22).
Begitu indah, menarik dan begitu detail Allah menerangkan tentang cakerawala, langit dan bumi dan proses kehidupan yang disediakan Allah pada permukaan bumi bagi kepentingan hidup manusia dan hidup-hidupan yang lain. Dengan penyediaan ini kehidupan manusia dan keperluan-keperluan, berlangsungnya hidupan pada permukaan bumi ini.
Dengan pembuktian nyata yang dibentangkan oleh Allah dan disaksi dan dihayati manusia secara langsung dan mereka juga melalui dan mengalami proses kehidupan ini,  apakah mereka mau menafikan kebenaran yang dibentangkan oleh Allah Subhanahu wa Ta`ala. ?
Ini adalah merupakan satu metod penerangan dan dakwah yang langsung dipaparkan oleh Allah dan menyentuh kehidupan manusia dan individu perseorangan. Seharusnya dengan keterangan dan huraian yang teratur, indah, menarik dan logik tidak dapat dinafikan oleh mereka yang mempunyai indera, hati nurani dan akal yang rasional. Apakah kaedah dakwah  yang lebih jelas dari keterangan dan huraian yang lebih jelas ini ?
Semoga dengan keterangan mereka beriman dan yang sudah beriman bertambah keimanan.

Sekian.




October 30, 2015

Penyedaran `Pandangan Wujud` Dalam Surah Al-Hijr: Metod Dakwah


BBB,  16 Muharram 1437 = 29 Oktober 2015 (Khamis):



Surah Al-Hijr yang mengandungi maklumat tentang Kaum Al-Hijr, Al-Aykah dan Kaum Lut serta kandungan-kandungan yang lain yang terkandung di dalam surah tersebut adalah wahyu bersifat makluman kepada Rasulullah s.a.w. yang disampaikan kepada masyarakat umat pada masanya. Cerita tentang ketiga-tiga kaum ini adalah `nadhir` - ingatan yang menggerunkan kepada mereka dan umat seluruh sebagai akibat dan balasan di atas perbuatan maksiat mereka. Mereka  sepatutnya tidak mengikut atau bersikap seperti mereka dan sepatutnya menerima dakwah keislaman. Mereka dan sesiapa juga sepatutnya tidak melakukan kemungkaran dan tidak menerima akibat dari perbuatan mungkar dan keji sebagaimana dilakukan kaum-kaum di atas.
Satu pendekatan di dalam penyampaian maklumat, ilmu dan dakwah yang dapat dicontohi dari kandungan Surah Al-Hijr ialah melalui pendekatan `Pandangan Wujud` sebagaimana yang telah dibina sebelum ini. `Pandangan Wujud` ini dapat dipecahkan kepada pecahan-pecahan berikut:
1)      Pandangan Wujud Kerohanian
2)      Pandangan Wujud Hissi (Inderawi)
3)      Pandangan Wujud Akli
4)      Pandangan Wujud Keilmuan
5)      Pandangan Wujud Sejarah (Maklumat)
(Antara pandangan-pandangan di atas ada yang bersifat bertindih – bermaksud boleh digunakan bagi lebih dari satu `Pandangan Wujud`).
`Pandangan Wujud` kerohanian ialah seperti mempercayai  Al-Qur`an.  Al-Qur`an sebagai Kalam Tuhan datangnya dari Yang Ghaib dan membicarakan antaranya persoalan-persoalan kerohanian dan yang ghaib. Berhubung dengan Al-Qur`an ini kata Muhammad Qutb:
``Al-Qur`an berbicara tentang soal ketuhanan kepada insan seluruhnya, tidak dari segi akal semata dan tidak dari segi wijdan semata. Al-Qur`an membicarakan keseluruhan persoalan.``
(Muhammad Qutb, Dirasat Qur`aniyyat, Dar Al-Shuruq,, Beirut-Al-Qahirah, 1400H./1980M: 32).
Mengimani kepada yang ghaib merupakan penegasan terawal (termasuk basmalah) dalam Surah Al-Baqarah yang bermaksud:
Dengan nama Allah Yang Bersifat Rahman lagi Rahim
Alif, lam, mim.
Kitab Al-Qur`an ini tidak ada sebarang syak padanya (tentang datang dari Allah dan tentang sempurnanya). Ia juga menjadi pertunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa.
Iaitu orang-orang yang beriman dengan perkara-perkara yang ghaib dan mendirikan solat serta membelanjakan sebahagian dari pada rezeki yang kami berikan kepada mereka.
Dan orang-orang yang beriman kepada Kitab Al-Qur`an yang diturunkan kepadamu (wahai Muhammad) dan kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu, serta mereka yang yakin akan adanya hari akhirat.
Mereka itulah yang tetap mendapat pertunjuk dari Tuhan mereka. Dan merekalah orang-orang berjaya (Al-Baqarah: 1-5).
Kepada masyarakat Jahiliyyah dan masyarakat awam, mungkin persoalan ketuhanan yang merupakan kepercayaan yang ghaib dan Al-Qur`an juga merupakan wahyu dari Tuhan yang ghaib kepada Nabi Muhammad s.a.w. dalam konteks zaman permulaan tidak mampu difahami oleh mereka, apalagi mereka masih kufur dan menolak Islam dan tidak timbul soal keimanan kepada mereka.
Tetapi dalam konteks zaman mereka, zaman Jahiliyyah, yang masyarakat mereka amat menyanjung tinggi terhadap bidang sastera dapat membuktikan bahawa Al-Qur`an bukan kalam manusia. Seorang penyair terkenal Arab zaman Jahiliyaah, iaitu Al-Walid bin al-Mughirah terpegun pertama kali mendengar ayat-ayat Al-Qur`an lantas terluah darinya ungkapan: `Kata-katanya indah menawan, bukan dari kata-kata insan, sesungguhnya ungkapannya tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya.`` (Muhammad Qutb: hlm. 56).
Dan keindahan dan kandungan Al-Qur`an juga membawa Sayyiduna Umar Ibn al-Khattab menerima Islam setelah mendengarnya secara mengintip mengenai pengajaran Al-Qur`an di rumah Al-Arqam bin Abi al-Arqam.
Dua bukti di atas cukup membuktikan keistimewaan Al-Qur`an dan bahawa Al-Qur`an bukannya ungkapan insan, tetapi datangnya dari Tuhan.
Al-Qur`an diwahyukan kepada Nabi Muhammad s.a.w. dari Allah yang ghaib, yang di dalamnya membicarakan tentang yang ghaib serta kerohanian dan juga al-syahadah.
Berhubung dengan aspek kerohanian, maka pada awal Surah Al-Hijr dibicarakan soal-soal ghaib dan kerohanian. Misalnya tentang konsep ajal  pada ayat bermaksud:
``Suatu umat itu tidak dapat mendahului tempoh yang telah ditentukan dan tidak pula mereka dapat mengundurkan (15: 5).
Maklumat tentang ajal tidak diketahui manusia melainkan Allah.
Persoalan berhubung dengan ghaib dan kerohanian ialah kepercayaan kepada malaikat yang menjadi salah satu rukun iman (15: 7-8)
Begitu juga rahsia dan khazanah maklumat selengkapnya adalah pada ilmu Allah yang tidak ada yang lain mengetahuinya melainkan Dia. Maksud ayat Al-Qur`an:
``Dan tidak ada sesuatu pun melainkan pada sisi kami sahaja perbendaharaannya.`` (15: 21`).
Demikianlah tentang hidupmati, segera dan lambat sesuatu tempoh dan persoalan mahsyar adalah di dalam ilmu Tuhan (15: 23-25). Begitu juga soal neraka (15.43) dan syurga (15.45), juga kiamat (15.85). Dengan kepercayaan antaranya kepada yang ghaib, apa lagi yang nyata sepatutnya membawa seseorang hamba itu taat dan patuh kepada Allah sebagaimana maksud ayat Al-Qur`an pada akhir Surah Al-Hijr bermaksud:
``Dan sembahlah Tuhanmu dengan penuh keyakinan.`` (15: 99).
Persoalan yang ghaib dan kerohanian menjadi persoalan dominan di dalam Islam. Aspek ini perlu disampaikan secara menarik, kefahaman mendalam dan bijaksana di dalam mendakwah dan menyampaikan pengajaran agar penyampaian dapat memberi kesan maksimum kepada khalayak yang didakwah atau yang disampaikan pengajaran.

Sekian.

October 29, 2015

Catatan Kedurhakaan Kaum Hijr, Al-Aykah Dan Kaum Lut: Peringatan


BBB, 15 Muharram 1437 = 28 Oktober 2015 (Rabu):



Surah Al-Hijr (15), diturunkan di Makkah 99 ayat.
Hampir tiada rasul dibangkitkan tidak menerima ujian dan penentangan dari kaum yang dibangkitkan ke tengahnya. Bahkan itulah antara fungsi rasul-rasul yang dibangkitkan bagi dakwah dan menyampaikan perutusan kepada mereka – memberi khabar gembira kepada mereka jika mereka beriman dan sebaliknya balasan siksa jika mereka kufur dan menentang.
Al-Hijr ialah nama satu tempat wadi (lembah) di antara Madinah dan Sham. Penduduknya dinamakan `Ashab al-Hijr`. Mereka adalah dari kaum `Thamud`. Mereka mendustakan Nabi Salih a.s. yang dibangkitkan di kalangan mereka.
Manakala `Al-Aykah, asalnya nama bagi pohon-pohon rimbun yang dahan-dahannya melampai dan menyentuh antara satu sama lain. Pohon-pohon ini tumbuh subur di perpantaian antara  Laut Merah dan Madyan. Mereka adalah kaum zaman Nabi Shuayb. Mereka bersifat zalim dan mendustakan Nabi Shuayb dan kufur terhadap Allah Yang Maha Tunggal.
Satu lagi kaum yang disebut di dalam Surah al-Hijr ini ialah Kaum Lut, iaitu penduduk yang terkenal dengan kejijikan amal seksual songsang mereka dan menentang dakwah Nabi Lut.
(Al-Zuhaily, Wahbah, Dar al-Fikr, Damshiq, Suriah, 1431H. 267).
Al-Qur`an menyebut tentang sifat-sifat keji dan durhaka mereka terhadap rasu-rasul yang dibangkitkan kepada mereka yang akibat dan implikasinya membawa kemusnahan kepada mereka. Kepada Rasulullah s.a.w. merupakan maklumat dan peringatan dalam dakwah baginda terhadap penduduk Makkah dengan menyebut kepada mereka tentang maklumat-maklumat yang sebelum itu tidak diketahui mereka. Dengan maklumat dan implikasi dari pendurhakaan dan kekufuran mereka terhadap dakwah yang disampaikan kepada mereka diharap memberi pengajaran terhadap penduduk Makkah dan maklumat juga bersesuaian dimaklum kepada semua untuk dijadikan contoh tauladan.
Nabi Salih anak Ubaid bin Jabir bin Thamud. Kaumnya bernama thamud nisbah kepada turunan Thamud tersebut. Keturunan lanjut bagi Thamud bin `Amir bin Iram bin Sam bin Nuh, iaitu keturunan Nabi Nuh a.s. Kaum Thamud tinggal di kawasan gunung-ganang dan bukit bukau antara Hijaz dan Sham, iaitu di sebelah tenggara bagi Madyan. Mereka menebuk batu-batu  dan gua di pergunungan dan perbukitan bagi menjadikannya kediaman mereka. (15.52). Sebagaimana kaum `Aad, demikian dengan penduduk Thamud mereka adalah penyembah berhala. Nabi Allah Salih menyeru mereka supaya menyembah Allah Tuhan sebenar yang selayak disembah. Firman Allah bermaksud:
``Kami telah mengutus kepada Thamud, seorang saudaranya bernama Salih, seraya berkata, ``Hai kaumku sembahlah Allah, tiada kamu berTuhan selain daripadaNya. Dia yang menjadikan kamu dan bumi serta memakmurkannya, sebab itu minta ampunlah kamu, serta bertaubat kepadaNya. Sesungguhnya Tuhan dekat, lagi memperkenankan doa.`` (Hud: 61).
Tetapi mereka menentang cadangan Nabi Salih yang dianggap cuba merubah budaya yang mereka amalkan selama ini (Hud: 62). Nabi Salih mengingatkan tentang nikmat akan dibalas jika mereka beriman, dan jika tidak tiada merugikan Nabi Salih, tetapi merugikan mereka (Hud: 63). Walaupun dakwah terus disampaikan oleh Nabi Salih, tetapi mereka tetap enggan (Al-Shu`ara`: 141-152). Mereka juga mengganggu unta yang dilarang mengganggunya bahkan menyembelihnya, menyebabkan mereka binasa diakibatkan oleh gempa. Demikianlah balasan dikenakan terhadap kaum Nabi Salih oleh kerana keangkuhan dan kesombongan mereka.
Adapun Ashab al-Aykah adalah kaum pada zaman Nabi Shuayb yang tinggal diperpantaian Laut Merah dan Madyan. Nabi Shuayb adalah berketurunan dari Nabi Lut dari sebelah anak perempuannya. Kaumnya disifatkan sejahat-jahat kaum, suka mengambil harta dengan jalan haram, menipu dari segi timbangan dan tukar menukar barangan. Nabi Shuayb berdakwah kepada mereka menurut jalan Allah, tetapi seruan Nabi Shuayb ini dijawab oleh pembesar-pembesar kaum, bahkan memberi amaran sebagaimana maksud ayat Al-Qur`an:
``Berkata pembesar-pembesar yang sombong di antara kaumnya, ``Demi kami akan mengeluarkan engkau wahai Shuayb bersama-sama orang beriman dengan engkau dari negeri kami atau kamu kembali kepada agama kami.`` (Al-A`raf: 89).
Dengan kesombongan itu Allah menurunkan bala ke atas mereka, sebagaimana kata ayat Al-Qur`an bermaksud:
``Tengah mereka berkata yang demikian itu, tiba-tiba datanglah gempa bumi yang hebat, maka matilah mereka itu semasa di dalam rumah dengan merengkok kerana tertimpa runtuhan rumah mereka. (Al-A`raf: 91). Nabi Shuayb kemudian telah berpindah bersama-sama pengikutnya ke tempat yang lain. (Al-A`raf: 93).  
Mereka berpindah ke negeri Al-Aykah. Di sini Nabi Shuayb berdepan dengan golongan peniaga yang menipu dari segi timbangan. Dakwah Nabi Shu`ayb tidak juga diterima, bahkan mereka menuduhnya sebagai tukang sihir dan menganggap Nabi Shuayb tidak lebih dari mereka dan menganggapnya sebagai dusta. (Alo-Shu`ra`: 176-186). Mereka diturunkan bala ke atas mereka.
Contoh umat yang derhaka lagi ialah umat Nabi Lut. Beliau adalah anak saudara lelaki bagi Nabi Ibrahim a.s. Beliau turut sama berhijrah bersama Nabi Ibrahim dari negeri Babil (Babylion) ke Sham. Nabi Lut diutus Allah ke negeri Sadum, iaitu satu negeri yang umatnya menderhaka kepada Allah. Budi pekerti mereka amat rendah dan hina. Lelaki-lelakinya tidak mau berkahwin dengan perempuan dan cenderung kepada sama sejenis. Nabi Lut mengingatkan kaumnya terhadap perbuatan keji dan terkutuk itu dengan firman Allah bermaksud:
``Kami utus nabi Lut, iaitu ketika ia berkata kepada kaumnya,``Sesungguhnya kamu memperbuat suatu yang keji (jahat) yang belum pernah diperbuat oleh seorang juga di antara isi alam ini. Sesungguhnya kamu bersetubuh dengan laki-laki dan menyamun di tengah jalan raya serta kamu memperbuat barang yang munkar (haram) di tempat perhimpunan kamu``. Maka tak ada jawaban kaumnya selain berkata, ``Datangkanlah siksaan Allah itu jika kamu benar.`` (Al-`Ankabut: 28-29).
Namun Nabi Lut masih berdoa kepada Allah agar menyelamatkan kaumnya dari perbuatan fasik itu.
Namun Nabi Lut diberitahu sebagai balasan terhadap kaumnya sebagaimana firman Allah bermaksud:
``Tatkala datang utusan kami (malaikat) kepada Ibrahim dengan membawa khabar suka akan beroleh anak, lalu malaikat itu berkata, ``Kami akan merosakkan negeri itu (Negeri Lut), kerana penduduknya orang-orang durhaka.`` (Al-`Ankabut: 31).
Hukuman yang dikenakan sebagaimana maksud Al-Qur`an:
``Tatkala datang perintah Kami, Kami jadikan yang tinggi menjadi rendah (tunggang balik) dan Kami jadikan batu dari tanah yang keras atasnya berturut-turut (menimbusi). Lagi diberi tanda pada sisi Tuhan engkau. Dan ia pula tidaklah jauh dari orang-orang zalim itu.``(Hud: 82-83).   
Demikianlah contoh-contoh balasan yang dikenakan terhadap mereka yang bertabiat buruk, zalim dan kufur sebagaimana terakam di dalam Surah Al-Hijr.

Sekian.                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                  

October 28, 2015

Dari Ibrahim A.S. Kepada Muhammad S.A.W. Takmilah Islam


BBB,  14 Muharram 1437 = 27  Oktober 2015 (Selasa):


Era penting ialah antara zaman Nabi Ibrahim a.s. kepada zaman Muhammad Rasulullah s.a.w.  Mengapa dikatakan bahawa era penting ialah kerana:
1)      Ibrahim diibaratkan ninda kepada kerasulan beberapa rasul penting yang kemudian dikenali sebagai agama seperti Yahudi, Kristian dan Islam.
2)      Cabaran terhadap aqidah tauhid yang bermula dari zaman Nabi Ibrahim sebagai agama Hanif
3)      Kemampuan memimpin dalam membina tamadun dan peradaban manusia.
Nabi Ibrahim adalah nabi dan Rasul Besar yang dari belahan turunannya melahirkan Nabi Ishaq, Ya`kub, Yusuf dan seterusnya melahirkan agama Yahudi yang dikuti dengan agama Kristian.
Persoalan dengan kaum Yahudi dan agamanya ialah persoalan `Sikap`. Dalam sejarah dilihat bahawa kaum Yahudi jika pun tidaklah begitu istimewa, tetapi banyak diberi pertolongan oleh Allah seperti melepas dari Fir`aun yang sejak dari kecil mau membunuhnya, kerana menurut ta`bir mimpi akan menggugat pemerintahan Fir`aun dan Musa terlepas (Al-Baqarah: 49).  Musa juga selamat melarikan diri dari Mesir kerana ada ancaman untuk membunuhnya. Beliau tiba ke Madyan. Dia menolong dua anak perempuan mendapatkan air dari perigi. Keduanya anak Nabi Shu`ayb. Musa bekerja menternak kambing dan bertani bersama keluarga Shuayb dan beliau menjadi menantu kepada Shuayyb dengan mengahwini salah seorang daripada anak Nabi Shu`ayb tersebut (Al-Qasas: 22-28). Musa dilantik menjadi Rasul dan berdakwah kepada agama Allah. Beliau ke Mesir bersama isterinya menentang sikap kufur Fir`aun yang mendakwa dirinya sebagai Tuhan. Di istana Raja Fir`un beliau mengalahkan tukang sihir Fir`aun (Taha: 57-73). Kemenangan Nabi Musa diimani oleh sebahagian pembesar-pembesar, menyebabkan Fir`aun merka. Pengikut-pengikut Musa telah dikejar tentera-tentera Fir`aun dan Musa dan pengikut-pengikut menyeberangi laut dan diikuti tentera-tentera Fir`aun yang kemudian tentera Firaun tenggelam dalam lautan (Al-Baqarah: 50).
Nabi Musa menumpukan tugasnya bersama saudaranya Harun mendakwah masyarakat kepada agama Allah.  Nabi Musa menerima wahyu di Bukit Tursina dan berdepan dengan kekufuran kaumnya yang angkuh yang menyembah patung anak lembu yang disesatkan oleh Samiri. Di Padang pasir kaum Musa bersikap angkuh dan tidak mau menurut perintah ke Baitul Maqdis. Mereka berada di padang pasir itu semala 40 tahun, namun Allah menyelamatkan mereka dari kelaparan dengan makanan `al-manna dan salwa`   (Al-Baqarah: 57). Mereka juga bersikap tidak bersyukur dengan makanan yang dikurniakan dengan memohon berbagai makanan yang lain. Sikap mereka dimurkai Allah (Al-Baqarah: 61). Bila mereka diberi peluang menangkap ikan, dan melarang dari bekerja pada hari Sabtu mereka juga melanggari larangan dan mendapat balasan siksaan dari Allah. Apabila mereka diminta menyembelih lembu bagi membuktikan siapa pembunuh bagi seorang yang mati, mereka juga berdolak dalik sehingga sukar mendapat lembu yang dimaksudkan (Al-Baqarah: 67-73).
Demikianlah sikap angkuh, kufur dan tidak bersyukur terhadap Allah yang banyak menolong mereka yang diperhambakan antaranya oleh raja Fir`aun,  umat Israil juga tidak mengikut dakwah yang dibawa Nabi Musa. Sikap ini terbawa-bawa oleh kaum Israil hingga kini yang bersikap angkuh bukan saja terhadap sesama turunan semitik, tetapi juga dalam hubungan antarabangsa. Mereka hingga kini bukan saja angkuh, tetapi juga kejam dan merampas tanah air negara jiran. Lantaran itu tiada kerjasama kebanyakan negara dengan Israil. Mereka berkuasa sebenarnya hasil dari konspirasi negara-negara besar bagi mewujudkan `suasana tidak stabil` di Asia Barat.
Berhubung dengan Nabi Isa, ialah lebih kepada persoalan aqidah. Nabi Isa anak Maryam bt. Imran yang dilahirkan tanpa bapa (lahir 622 sebelum Hijrah). Maryam dipelihara Nabi Zakaria sejak kecil. Setelah dewasa   Isa dibangkitkan menjadi Rasul dengan dokongan sahabat-sahabat yang dikenali sebagai Hawariyyun. Tetapi antara sahabat-sahabat Nabi Isa ini ada yang murtad bernama `Yahuza` dan terdapat pengikut-pengikutnya. Murid Nabi Isa yang murtad itulah yang mengepalai rancangan menangkap Nabi Isa untuk dibunuhnya. Tetapi orang munafik ini sebenarnya yang tertangkap. Pembunuhan tidak berlaku terhadap Nabi Isa, sebaliknya ianya diangkat Allah ke sisinya. Di dalam hal ini Allah berfirman bermaksud:
``Adapun orang-orang durhaka itu tidaklah mereka membunuh dan menyalib Isa, hanya orang yang diserupakan Allah dengan Isa a.s. lah yang tersalib.`` (Al-Nisa`: 157).  
Kedudukan Isa dan `peristiwa pembunuhan terhadapnya`  memberi implikasi serius terhadap aqidah yang membawa kepada pendapat Isa sebagai `Anak Tuhan` atau salah satu dari tiga uknum ketuhanan. Pegangan ini walaupun dihurai secara transendance tidak dapat diterima akal rasional.
Hikmat diutus Nabi Muhammad s.a.w. bagi menyempurkan aqidah tauhid, bahawa Allah Yang Tunggal hanya adalah Tuhan. Aqidah yang kukuh ini disempurnakan lagi dengan `Pandangan Wujud`  keislaman dari berbagai-bagai aspek. Islam disempurnakan dengan syariat dan nilai akhlak. Ianya agama universal dan tidak terhad kepada satu-satu kaum tertentu. Islam mentakmilahkan keseluruhan. Firman Allah bermaksud:
``Pada hari ini Aku sempurnakan agama kamu dan Aku lengkapkan nikmatku ke atas kamu dan Aku redakan Islam itu menjadi agama kamu.`` (Al-Ma`idah: 3).
Kesempurnaan Islam ini hendaklah dilengkapkan oleh umat dari segi tamadun dan peradaban yang dapat mengalah dan menundukkan musuh.

Sekian.                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                 

October 27, 2015

Dari Nabi Nuh Kepada Ibrahim Menentang Penyelewengan Dan Syirik


BBB,  13 Muharram 1437 = 26 Oktober 2015 (Isnin):



Era antara Nabi Adam hingga kepada Nabi Nuh adalah  era dalam mana umat dalam era tersebut berpegang teguh pada agama yang satu (Islam) (Al-Zuhaily, Wahbah, Al-Tafsir al-Wajiz, Dar al-Fikr, Damshiq, Suriah, 1431H: 34). Meurut Ibn Jarir yang meriwayatkan daripada Ibn Abbas menyatakan bahawa jarak antara Nabi Nuh dan Adam `alayhima al-salam adalah sepuluh generasi yang semuanya berpegang pada syariat Allah. Tetapi perlu diingat bahawa usia  manusia pada peringkat permulaan ini adalah lanjut. Misalnya Nabi Nuh sendiri berumur 950 tahun (Al-`Ankabut: 14). Sebelum daripada itu Nabi Idris adalah `kakek` bagi Nabi Nuh adalah seorang Nabi yang taat kepada Allah dan disifatkan sebagai Nabi yang Siddiq dan mempunyai martabat yang tinggi (Maryam:57).
Pada zaman Nabi Nuh mulai berlaku penyelewengan dari segi akidah dan syariat. Lantaran itu Allah membangkitkan Nabi Nuh. Ayat Al-Qur`an menyebut bermaksud:
``Sesungguhnya kami telah mengutuskan Nabi Nuh kepada kaumnya (dengan berfirman kepadanya), ``Berikanlah peringatan dan amaran kepada kaummu sebelum mereka didatangi azab yang tidak berperi sakitnya.`` (Nuh: 1). Sesungguhnya berikutnya Nuh telah berdakwah kepada mereka siang dan malam, supaya mereka beriman, tetapi kata Nuh sebagaimana ayat Al-Qur`an bermaksud:
``Maka seruanku itu tidak memberikan mereka (satu faedah pun), selain dari  menambahkan mereka melarikan diri (dari kebenaran).`` (Nuh: 6)
Begitulah keras hati dan jiwa umat Nabi Nuh, tiada yang menerima dakwah seruan Nabi Nuh, kecuali sedikit sahaja, walaupun diingatkan bahawa bala akan menimpa mereka. Bahkan mereka memandang rendah kepada Nabi Nuh sebagaimana kata ayat Al-Qur`an bermaksud:
``Maka berkatalah ketua-ketua yang kafir dari kaumnya, ``Kami tidak memandangmu (wahai Nuh), melainkan sebagai seorang manusia seperti kami, dan kami tidak nampak golongan yang mengikutmu, melainkan orang-orang kami yang miskin, hina lagi berfikiran singkat dan kami juga tidak memandang kamu mempunyai sebarang kelebihan (keistimewaan) yang mengatasi kami, bahkan kami menganggap kamu orang-orang pendusta.`` (Hud: 27).
Kedegilan dan keangkuhan mereka bakal mengalami ancaman bencana alam. Nabi Nuh diperintahkan untuk membina kapal bagi menyelamatkan diri dan pengikut-pengikut dari banjir. (Hud: 37-38). Pembinaan kapal oleh Nuh di tengah daratan dipersenda kaumnya, tetapi bila banjir besar berlaku dan Nabi Nuh mempelawakan mereka sama menaiki kapal, mereka enggan, termasuklah anaknya sendiri yang rela melarikan diri ke puncak bukit, tetapi mereka tidak dapat menyelamatkan diri mereka dari banjir besar itu, kecuali mereka yang bersama Nuh (Hud: 39-48).
Demikianlah kederhakaan umat Nabi Nuh mengundang bala yang merosakkan mereka yang menentangnya. Berikutnya umat kembali beriman kepada Allah dan berpegang kepada agama Islam. Tetapi di dalam pertukaran masa, antaranya zaman Nuh dengan Nabi Ibrahim, kembali umat menyeleweng dan kekufuran.
Pada zaman Nabi Hud, iaitu berketurunan dari Sam bin Nuh beliau diutus kepada kaumnya yang bernama `Aad suatu kaum yang bertempat di sebelah utara Hadramaut, Yaman. Mereka mampu membina benteng-benteng yang kukuh untuk pertanian, tetapi mereka adalah kalangan kuffar.Kengganan mereka beriman telah dibalakan dengan angin yang kuat selama tujuh malam lapan hari yang merosakkan mereka (Al-Haqqah: 6-8).
Adapun Nabi Saleh adalah anak `Ubaid bin Jabir bin Thamud dan nama kaumnya ialah Kaum Thamud yang dinisbahkan kepada Thamud berkenaan yang bertalian turunan kepada Thamud bin `Amir bin Iram bin Sam bin Nuh yang bererti Nabi Saleh adalah dari keturunan Nabi Nuh. (Hadiyah Salim, Qisas al-Anbiya` - Sejarah 25 Rasul, PT Al-Ma`arif, Bandung-Syarikat S. Abdul Majeed, Kuala Lumpur, 1988: 33).
Kaum Nabi Saleh dikatakan tinggal di pergunungan dan bukit bukau antara kawasan Hijaz dan Syam di sebelah tenggara bagi Madyan. Agama bagi penduduk ini adalah menyembah berhala. Nabi Saleh menyeru mereka menyembah Allah (Hud: 61). Kaum Thamud menjawab kepada Nabi Saleh sebagaimana maksud ayat Al-Qur`an:
``Hai Saleh ! Sesungguhnya engkau tempat harapan kami sebelum ini. Patutkah engkau melarang kami menyembah apa yang telah disembah oleh bapa-bapa kami ? Sesungguhnya kami dalam keraguan, tentang apa yang engkau serukan kepada kami itu dan kami menaruh curiga.`` (Hud: 62). Penerangan lanjut oleh Nabi Saleh tidak diterima sebagaimana yang berlaku kepada pengikut Nabi Hud. Bahkan mereka terus ingkar dan mendusta terhadap Nabi Saleh (Al-Shu`ara`: 141-152). Akhirnya mereka yang menderhaka ini ditimpa gempa secara mengejut yang mematikan mereka. Saki baki yang terselamat (120 orang) berpindah ke Hadramaut dan Makkah (Hadiyah Salim: 38-39).
Sebagaimana Nabi Saleh menghadapi umat yang angkuh dan kufur, maka demikianlah dihadapi oleh Nabi Ibrahim dengan masyarakat yang kufur menyembah berhala, termasuk ayahnya sendiri Aazar yang membuat patung-patung untuk disembah. Ibrahim berada dalam masa pemerintahan seorang raja yang zalim, iaitu Raja Namrud. Ibrahim sejak remaja berkesedaran tinggi. Dia mencari hakikat ketuhanan dan menyedari Allahlah Pencipta segala alam ini dan dia menumpukan kepatuhan kepada Allah yang mencipta langit dan bumi. Dia seorang yang Hanif dan tidak dari kalangan  orang musyrikin (Al-An`am: 79).
Ibrahim berdakwah kepada orang tua dan kaumnya menyeru mereka menyembah Allah. Ibrahim kemudian mengambil tindakan merosakkan berhala-berhala yang disembah kaumnya. Perbuatan ini sampai kepada pihak berkuasa dan beliau dipersoalkan tentang tindakan. Beliau meminta pihak berkenaan bertanya kepada berhala terbesar yang disangkut kapak yang dipecahkan dengannya. Ini memberi kesedaran terhadap penyembah-penyembah berhala tentang berhala yang mereka sembah tidak memberi erti apa-apa kepada mereka (Al-Anbiya` 51-67).
Meskipun peristiwa pemecahan berhala menyedarkan sebahagian daripada mereka, tetapi pihak Raja Namrud mengambil tindakan menghukum Ibrahim dengan membakarkannya ke dalam api menyala. Tetapi dengan izin Allah tidak terbakar dan Ibrahim dalam keadaan selamat (Al-Anbiya`: 69).
Berikut dari itu Nabi Ibrahim berdakwah terhadap bapa dan kaumnya menurut agama yang betul yang mematuhi perintah Allah yang disifatkan agama Hanif (Islam) (Maryam: 41-45). Namun ayah dan kaumnya tidak menyahut dakwahnya.
Berikut dari itu Ibrahim mengambil tindakan berhijrah dari kaumnya sebagaimana yang termaktub di dalam Al-Qur`an bermaksud:
``Manakala Nabi Ibrahim berpindah ke Tanah Suci (Baitul Maqdis), terpisah dari mereka dan berhala yang disembah mereka lain dari Allah, maka Kami anugerahkan kepadanya (keturunannya), iaitu Ishaq dan Ya`kub, keduanya kami jadikan Nabi (Maryam: 49).
Manakala dari belahan dari isterinya yang lain, iaitu Hajar melahirkan Ismail yang juga dilantik sebagai Nabi. Ibrahim berdakwah bagi menegakkan agama Hanif (Islam) di kalangan umat, bersih dari segi peyembahan hanya terhadap Allah, tidak seperti kaum sebelaum di bawah pemerintahan Raja Namrud. Dari mereka mempertalikan turunan mulia, bahkan kepadanya dinisbahkan oleh pengikut Yahudi, Kristian dan Islam. Ibrahim mempunyai zuriat keturunan yang penting sebagai nabi-nabi, dia ibarat ninda kepada turunannya.

Sekian.

October 26, 2015

Dari Moyang Adam Kepada Zaman Nuh, Pembaikan Oleh Ninda Ibrahim. Disempurnakan Oleh Muhammad S.A.W.


BBB,  12 Muharram 1437 = 12 Oktober 2015 (Ahad):


Dari zaman Moyang kita Adam a.s. sehingga Nabi Nuh a.s.
Tidak silap Nabi Adam mencintai Hawa yang dari belahan dirinya sendiri. Cuma apa yang dianggap kesalahan Adam-Hawa dihasut orang ketiga sehingga berlakunya episod hitam dengan memakann buah khuldi tegahan oleh moyang Adam dan Hawa sehingga terlempar keluar dari syurga - boleh disifatkan sebagai hikmah dari kesalahan. Bayangkan betapa jemunya Adam bersama Hawa berterusan dalam syurga, walau betapa indah dan nikmat nescaya akan bertukar jemu dan klisye tanpa ada mereka yang dapat menyertai dan sama menikmati bersama nikmat kesyurgaan itu. Bayangkan andaikata kita hidup berseorangan, bahkan berdua bersamaan dengan isteri akan merasa jemu dan bosan hidup secara berdua-duan sahaja, walaupun melempah dengan nikmat dan kekayaan. Apa maknanya nikmat dan kekayaan tak kehabisan, jika amat terhad digunakan dan sepatutnya sama dinikmati oleh yang lain yang  penyertaan dengan yang lain menambahkan rasa kebahagiaan.
Moyang Adam dan Hawa diturunkan di dunia bagi melebarluaskan lagi nikmat kurniaan Tuhan dengan melanjutkan nikmat-nikmat berkenaan kepada zuriat-zuriat dan keturunan-keturunan. Kurniaan hidup di dunia walaupun sementara adalah nikmat. Moyang Adam dan Hawa mau anak cucu turunan mereka mensyukuri nikmat sementara ini bagi menjambatani nikmat kekal disyurga sebagaimana telah dihayati dan dinikmati mereka berdua sebelumnya. Mereka berdua mau kebahagiaan yang telah mereka nikmati ini lebih bermakna dan lebih berbahagia bila dapat bersama menikmatinya bersama-sama turunannnya, bahkan moyang Adam dan Hawa berpendapat semakin nikmat bahagia itu dikecap bersama makin meningkat dan bertambah erti bahagia. Nikmat bersama keluarga turunan tidak sama lebih nikmatnya dari adanya bidadari, pengasuh dan pembantu-pembantu. Taman syurga tidak bererti tanpa taman keluarga !  Itulah rahsia misi moyang Adam dan Hawa diturunkan ke dunia.
Bayangkan, tanpa melihat kepada hikmat tersirat, bagaimana gusarnya moyang Adam dan Hawa  apabila mereka menyedari mereka telah melanggar peringatan dari Allah sebagaimana firman Allah bermaksud:
``Maka Kami berfirman, ``Wahai Adam ! Sesungguhnya (Iblis) itu musuh bagimu dan musuh bagi isterimu, oleh itu janganlah ia menyebabkan kamu berdua keluar dari syurga, kerana dengan demikian engkau (dan isterimu) akan menderita.`` (Taha: 117).
Sesungguhnya moyang kita Adam dan Hawa telah berjaya diwaswaskan oleh Iblis hingga mereka terperangkap di dalam tipu helah dan hasutan Iblis, sebagaimana firman Allah yang bermaksud:
``Setelah itu maka syaitan membisikkan (hasutan) kepadanya dengan berkata, ``Wahai Adam !  maukah aku tunjukkan kepadamu pohon yang menyebabkan hidup selama-lamanya dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap ?`` (Taha: 120).
Adam termakan kata Iblis dan terpedaya dan  mempercayai kata Iblis-syaitan dan bertindak melakukan larangan yang diperingatkan kepadanya sebelumnya sebagai firman Allah bermaksud:
``Kemudian mereka berdua memakan dari pohon itu, lalu terdedahlah kepada mereka berdua aurat masing-masing, dan mereka mulailah menutupnya dengan daun-daun dari syurga, dan dengan itu durhakalah Adam kepada Tuhan, lalu tersalah jalan.`` (Taha: 121), namun menurut Al-Qur`an sebagaimana maksud:
``Kemudian Tuhannya memilihnya (dengan diberi taufik untuk bertaubat) lalu Allah menerima taubatnya serta diberi pertunjuk.`` (Taha: 122).
Bayangkan kemuraman moyang kita Adam dan Hawa kerana menyedari kesalahan yang telah mereka berdua lakukan, walaupun diberi peluang bertaubat. Bayangkan pula bagaimana wajah algojo Iblis-syaitan yang angkuh dan bangga lantaran dapat memerangkap dan menipu moyang kita Adam dan Hawa yang dalam keadaan terpinga-pinga berikut dari melakukan kesalahan. Namun walaupun moyang kita Adam dan Hawa dimaaf dari kesalahan, tetapi mereka terpaksa dikehendaki meninggalkan syurga yang sudah tentu menjadikan kedukaan mereka bertambah. Arahan ini difahamkan dari ayat Al-Qur`an bermaksud:
``Allah berfirman, ``Turunlah kamu berdua dari (syurga) itu, bersama-sama, dalam keadaan setengah kamu menjadi musuh bagi setengahnya yang lain. Kemudian jika datang kepada kamu pertunjuk dari Ku, maka sesiapa yang mengikuti pertunjukku itu, nescaya ia tidak akan sesat dan ia pula tidak akan menderita azab sengsara.`` (Taha: 123).
Episod pengeluaran moyang kita Adam dan Hawa ini penuh dengan alegori dan makna yang berlapis  serta membawa maksud-maksud tersirat. Antara makna dari persoalan dan hikmat , mengapa moyang kita Adam dan Hawa perlu dikeluarkan dari syurga. Antara makna tersirat lagi ialah apa yang sebenar dan hakikat `Buah Khuldi`, mengapa watak algojo syaitan-iblis terus dibenar bermaharajalela sebagai watak antigonis dan perosak dan apakah implikasi dari perlambangan episod ini kepada generasi-generasi yang melanjutkan turunan dari moyang kita Adam dan Hawa.
Walau bagaimana dengan arahan moyang kita Adam dan Hawa keluar dari syurga bererti banyak pengalaman kontras dan berbagai ujian  yang akan berlaku dan bakal dihadapi oleh moyang kita Adam dan Hawa. Mulai dari masa itu mereka kehilangan nikmat syurga, bayangkan bagaimana bila mereka diturunkan di dunia – moyang kita berdua dikatakan diturunkan berlainan tempat (Dalam legenda rakyat Moyang kita Adam dikatakan turun menjejaki puncak gunung yang kini dikenali Adam`s Peak di Sri Lanka, kerana di atas batu pada puncak gunung itu terdapat bekas tapak kaki yang dikatakan bekas tapak kaki moyang kita Adam. Mungkin pada zaman pra-sejarah itu kepulauan Sri Lanka masih bercantum dengan benua India). Bayangkan betapa moyang kita Adam itu begitu sukar menghadapi persekitaran yang berlainan dari situasi di syurga. Dia terpaksa menempuhi hutan rimba dalam usaha mencari moyang kita Hawa yang di dalam cerita dikatakan diturunkan di Jeddah, lantaran Jeddah bererti `Moyang Perempuan` (Kuburannya juga dikatakan di Jeddah). Di dalam kesusahan dan kepenatan mencari moyang kita berdua akhirnya bertemu di Padang Arafah. Arafah sendiri bererti, tempat perkenalan – bermaksud tempat pertemuan.
Begitulah peristiwa yang ditempoh oleh moyang kita Adam dan Hawa setelah dikeluarkan dari syurga dan menghadapi situasi hidup baru. Moyang kita Adam dilantik dan diberi tugas sebagai `Khalifah Di Bumi Allah``, namun gugatan datang dari malaikat yang mempertikaikan tentang perlantikan moyang kita Adam sebagaimana dalam ayat Al-Qur`an bermaksud:
``Dan (ingatlah), ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat, ``Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang Khalifah di bumi. Mereka bertanya (tentang hikmah ketetapan Tuhan itu dengan berkata), ``Adakah Engkau (ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), pada hal kami sentiasa bertasbih dengan memuji dan mensucikanMu.`` Tuhan berfirman, ``Sesungguhnya aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya.`` (Al-Baqarah: 30).
Ternyata melalui ujian moyang kita Adam lebih berkelayakan dan lebih berilmu pengetahuan, bahkan lebih sesuai mengendali dan mentadbirkan perjalanan hidup didunia. (Al-Baqarah: 31-35).
Moyang kita Adam dan Hawa menjalani kehidupan dunia dan mendapat zuriat di dalam melanjutkan kehidupan dan pentadbiran di dunia. Dari Zaman moyang kita Adam dan turunan mereka adalah patuh dengan pegangan akidah keislaman dan tidak ada perselisihan, kecuali berlaku pembunuhan oleh Qabil terhadap Habil, lantaran perselisihan memilih pasangan. Keluarga moyang kita Adam dan Hawa dan turunan tetap di atas akidah Islam dan berterusan sehingga sepuluh generasi kemudian, iaitu hingga kepada zaman Nabi Nuh a.s.

Sekian.

October 25, 2015

Kalimah Tayyibah Dan Baldah Tayyibah


BBB, 11 Muharram 1437 = 24 Oktober 2015 (Sabtu):


Di dalam Surah Ibrahim terdapat ayat yang  menyebut tentang `Kalimah Tayyibah` dan lawan baginya, iaitu `Kalimah Khabithah`. Ayat tersebut bermaksud:
``Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad), bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu `Kalimah Yang Baik` adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (tunjangnya) tetap teguh dan puncak dahannya menjulang ke langit. Ia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya. Dan Allah membuat perbandingan-perbandingan itu untuk manusia supaya mereka beringat (mendapat pengajaran) - (14.24-25).
Di sebalik dari perbandingan pohon yang baik, maka Allah juga membuat perbandingan di sebaliknya bermaksud:
``Dan perbandingan `Kalimah Yang Jahat` (buruk) samalah seperti sebatang pokok yang tidak berguna yang mudah terbungkas akar-akarnya dari muka bumi. Tidak ada baginya tapak untuk tetap hidup. Allah menetapkan  (pendirian) orang-0rang beriman dengan kalimah yang tetap teguh dalam kehidupan dunia dan akhirat. Dan Allah menyesatkan orang-orang yang berlaku zalim (kepada diri mereka sendiri). Dan Allah Berkuasa melakukan apa yang dikehendakiNya.`` (14. 26-27).
Ahli tafsir memaksudkan bahawa  maksud `Kalimah Tayyibah` ialah `Kalimah al-Islam` ``La ilaha illa Allah` dan setiap apa yang menunjukkan kebenaran (haqq). Kebaikan (khayr) dan fadilah (kelebihan). Manakala `Kalimah Khabithah`, ialah `Kalimah Kufur` dan setiap yang mendorong kepada kejahatan dan kemudaratan. (Al-Zuhaily, Wahbah, Al-Tafsir al-Wajiz. Dar al-Fikr, Damsyiq, Suriah, 1431H. 259-260.) Juga: ( Abdullah Yusuf Ali, Al-Qur`anu`l-Karim, Jil. 3,  Terjemahan Dan Huraian Maksud oleh Muhammad `Uthman El-Muhammady, Dewan Bahasa dan Pusataka, Kuala Lumpur, 1993: 1186).
Kalimah Tayyibah dan juga bermaksud perkara-perkara yang baik sesuai diaplikasikan kepada negara yang baik (Baldah Tayyibah) yang pemerintahnya berusaha mewujudkan berbagai kebaikan bagi rakyatnya.
Di dalam Surah Ibrahim terdapat ungkapan doa Nabi Allah Ibrahim kepada Allah bermaksud:
``Dan (ingatkanlah), tatkala Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata, ``Wahai Tuhanku jadikanlah Negeri Makkah ini Negeri yang aman dan jauhkanlah daku dan anak-anakku dari perbuatan menyembah berhala.`` (14.35).
Di samping itu Nabi Allah Ibrahim juga memohon dari Allah agar tidak  menjadikan penghuninya dalam kesesatan, menjadikan mereka mendirikan solat, makmur dan melempah ruah dengan rezeki dan menjadikan Makkah destinasi yang terus dikunjungi (bagi beribadat) (14.36-37).
Kalimah Tayyibah yang bermaksud sebagai Kalimah al-Islam `Lailaha illa Allah` adalah prinsip utama bagi Negara yang diingini oleh Nabi Ibrahim, khususnya terhadap Makkah dan juga prinsip bernegara Nabi Muhammad Rasulullah s.a.w., iaitu Makkah dan juga Madinah yang kandungan Al-Qur`an adalah sebagai perlembagaannya.
Rangka bagi `Negara Islam` yang dido`akan oleh Nabi Ibarhim a.s. dan juga bagi Rasulullah s.a.w. sebagaimana prinsip dan bidang-bidang yang diberi tumpuan bagi negara Islam dapat dirajahkan sebagaimana berikut:
Lihat Rajah:
Dari rajah di atas dapat difahami bahawa, ``Kalimah Tayyibah` adalah prinsip bernegara. Negara yang rakyatnya berkeyakinan dengan Allah yang bersifat tauhid dan dengan sifat kesempurnaan. Ia adalah puncak pegangan dan keyakinan – juga keyakinan terhadap Rasulullah.
Negara yang mau ditegakkan ialah negara aman dan makmur (14.35 & 37). Juga diperkukuhkan ayat-ayat Al-Qur`an yang lain antaranya bermaksud:
``Baldah yang baik dan diampuni Tuhan (Saba`: 15). Juga Al-Balad al-Amin (Al-Tin: 3).
Rasulullah bukan semata sebagai Rasul dan menjadi perantaraan tetapi diri baginda, pimpinan, akhlak bahkan sabdaan Baginda menjadi contoh dan panduan terutama di dalam pentadbiran dan pemerintahan, khususnya di negara Madinah (semasa hayat Baginda).
Dalam pemerintahan antara aspek penting yang dipraktikkan mematuhi perintah Allah dengan berhukum dengan hukumannya sebagaimana firmanNya yang bermaksud:
``Siapa yang tidak berhukum dengan hukum Allah, maka mereka tergolong dari kalangan mereka yang zalim `` (Al-Ma`idah: 45).
Di dalam bernegara dan memerintah aspek keadilan amat ditekankan. Firman Allah bermaksud:
``Aku disuruh melakukan keadilan di kalangan kamu (Al-Shura: 50). Juga ayat bermaksud:
``Hendaklah berlaku adil, kerana ia lebih dekat dengan taqwa (Al-Ma`idah: 8).
Perlu memberi perhatian dari segi keamanan. Firman Allah bermaksud:
``Dan ini negeri yang aman (Makkah) – (Al-Tin:3).
Pemerintah pula berusaha menjadikan negara makmur. Maksud ayat Al-Qur`an:
``Dan negeri yang baik (tanahnya), tanamannya tumbuh (subur) dengan izin Allah (Al-A`raf: 58).
Negara pulu mementingkan ilmu bagi mendidik masyarakat supaya mereka tidak berada di dalam keadaan jahil. Firman Allah bermaksud:
``Allah mengangkat mereka yang beriman dan mereka yang diberi ilmu pengetahuan kepada darajat-darajat yang lebih tinggi``. (Al-Mujadalah: 11).
Juga memberi perhatian terhadap kebajikan masyarakat dengan menyediakan kemudahan seperti peluang pekerjaan seperti bertani untuk mendapat rezeki. Firman Allah bermaksud:
``Wahai manusia kenangkanlah nikmat Allah yang telah dikurniakan kepada kamu, tidak ada sama sekali yang menjadikan sesuatu selain daripada Allah. Ia memberi rezeki kepada kamu daripada langit dan bumi, tiada Tuhan melainkan Dia, maka mengapa kamu rela dipalingkan (dari menyembahNya ?).
Bagi sebuah negara perlu menyediakan pertahanan agar tidak dicerobohi musuh. Firman Allah bermaksud:
``Bersiapsiagalah dengan segala kemampuan kamu dari kekuatan (menentang musuh)`` – (Al-Anfal: 60).
Juga menjaga ekonomi negara agar negara tidak terjatuh ke dalam kemiskinan dan muflis. Firman Allah bermaksud:
``Yusuf berkata, ``Jadikanlah daku Pengurus Perbendaharaan hasil bumi (Mesir). Sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya.`` (Yusuf: 55).
Dan sebarang pemerintah hendaklah mementingkan perpaduan rakyat, agar tidak berlaku huruhara yang memasalahkan dari segi pemerintahan. Firman Allah bermaksud:
``Sesungguhnya orang Islam itu bersaudara, maka hendaklah berbuat baik antara saudara kamu (Al-Hujurat:10 ). Juga ayat bermaksud:
``Wahai manusia kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak supaya kamu berbaik-baik dan berkenalan (Al-Hujurat: 13).
Demikianlah dengan bidang-bidang yang lain yang diperlukan di dalam pentadbiran sesebuah negara.
Sebagai kesimpulan visi dan misi Nabi Allah Ibrahim yang inginkan (berdoa kepada Allah) Makkah menjadi negeri aman dan makmur dan terus diziarahi adalah tercapai, dan Rasulullah Muhammad s.a.w. meletakkan asas negara Madinah sebagai model negara Islam juga turut tercapai.

Sekian.

October 24, 2015

Kesan `Sirah Keluarga Ibrahim` Dalam Ibadat


BBB,  10 Muharram 1437 =  23 Oktober 2015 (Jumaat):


Menurut Wahbah al-Zuhaily dalam tafsirnya `Al-Tafsir al-Wajiz`, bahawa manusia kekal berpegang pada agama yang satu (Islam) dari zaman Nabi Adam hingga ke zaman Nabi Nuh a.s. Kemudian berlaku perpecahan sehingga memerlukan kebangkitan rasul-rasul bagi memperbetulkan perbalahan dan penyelewengan yang berlaku. (Al-Zuhaily, Wahbah, Al-Tafsir al-Wajiz, Dar al-Fikr, Damshiq, Suriah, 1431H. 34.).
Nabi Ibrahim (lebihkurang 2,000 Sebelum Masihi) yang dibangkitkan sejak lebih dari 4,000 tahun yang lepas adalah salah satu siri utama kebangkitan bagi membetulkan akidah umat yang terseleweng kepada syirik. Asas aqidah secara jelas (melalui Al-Qur`an) kita warisi hingga kini. Bukan setakat aqidah sahaja, tetapi Nabi Ibrahim adalah kerasulan utama selepas Adam yang memberi impak penting bagi Islam yang kita warisi, impak  ketara di dalam amalan ibadat yang kita amali. Sedarkah kita bahawa di dalam setiap solat yang kita dirikan, pada tahiyyat akhir kita bersalawat dan keberkatan ke atas keluarga Ibrahim sebagaimana kita bersalawat dan keberkatan ke atas keluarga Nabi Muhammad s.a.w. Sesungguhnya tidak ada kerasulan, selain dari Nabi Muhammad yang disertakan dalam ibadat seperti Nabi Ibrahim dan keluarganya. Jadi Ibrahim dan keluarganya begitu rapat bagi jiwa umat Islam sehingga dibawa di dalam ungkapan ibadat - solat.
Kedudukan Ibrahim dan keluarganya di dalam ibadat Islam adalah lebih besar dan ketara ialah di dalam ibadat `Haji`. Bahkan dapat dikatakan hampir seluruh praktikal amali dari amalan Haji adalah menjejajaki Sirah Keluarga Ibrahim. Sebagaimana dimaklumi dalam sirah, Nabi Ibrahim menempatkan isterinya Saydatuna Hajar dan anak mereka Ismail di sekitar Masjid al-Haram kini. Antara episod penting, ialah kisah Saydatuna Hajar dan anaknya berusaha secara berlari-lari mencari air yang akhirnya terpancar keluar  air dari rentakan kaki Ismail yang dikenali sebagai air Zam Zam yang hingga kini mengalir tiada putus-putus dan tidak kering-kering. Episod penting juga ialah pembinaan Baitullah oleh Nabi Ibrahim bersama anaknya Ismail yang kesan dari pembinaan itu ialah `Maqam Ibrahim` dan `Hijir Ismail` dan episod sirah paling penting berhubung dengan mimpi Ibrahim yang beliau diperintah menyembelih anaknya Ismail yang disayangi itu.
Kita dapati elemen sejarah memainkan peranan yang penting, sejarah berlatarkan tempat Makkah sebagai penempatan bagi keluarga Nabi Ibrahim dan kemudian Makkah dan Madinah sebagai latar dakwah Rasulullah s.a.w. menyebarkan agama Islam. Berhubung dengan penempatan keluarga Nabi Ibrahim di Makkah, Nabi Ibrahim mendoakan sebagaimana ayat Al-Qur`an di dalam Surah Ibrahim bermaksud:
``Dan ingatkanlah, tatkala Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata, ``Wahai Tuhanku ! Jadikanlah Negeri Makkah ini negeri yang aman dan jauhkanlah daku dan anakku dari perbuatan menyembah berhala.Wahai Tuhanku ! Berhala-berhala itu telah menyebabkan sesat banyak antara umat manusia, oleh itu sesiapa yang menurutku (dalam Islam yang menjadi peganganku), maka ia adalah dari golonganku, dan sesiapa yang menderhaka kepadaku (dengan menyalahi agamaku), maka sesungguhnya Engkau Amat Pengampun lagi Amat Mengasihani (kiranya ia insaf dan bertaubat). Wahai Tuhan Kami  Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari zuiriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Makkah), yang tidak ada tanam-tanaman padanya di sisi rumahmu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami ! (Mereka di tempatkan di situ), supaya mereka mendirikan solat (dan memakmurkannya dengan ibadat). Oleh itu jadikan hati sebahagian dari manusia tertarik gemar kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ) dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai-bagai jenis buah-buahan dan hasil tanam-tanaman. Semoga mereka bersyukur. (14. 35-37).
Elemen sejarah dan sirah Nabi Ibrahim dan keluarganya adalah menjadi sebahagian dari ibadat di dalam Islam, bahkan menjadi sebagai satu dari rukun Islam yang lima, iaitu menunaikan Haji.
Di dalam ibadat Haji terdapat amalan-amalan yang mirip kepada peristiwa sejarah dan sirah Nabi Allah Ibrahim dan keluarganya. Misalnya tawaf di Baitillah al-Haram yang dibina Nabi Ibrahim a.s. dan anaknya Nabi Ismail a.s. amalan sa`i antara Safa dan Marwah mirip, bahkan melambangkan larian Saydatuna Hajar dalam mencari air. Meminum air zam zam sebagai lambang kesyukuran di atas kurniaan air.  Dan wuquf di Arafah sebagai mengenangi tempat pertemuan kembali Nabi Adam dengan Saydatuna Hawa dan juga sebagai perlambangan bagi `Mahsyar Kecil`.
Manakala yang lain, apa yang didoakan oleh Nabi Ibrahim dikabulkan oleh Allah Ta`ala. Permohonan agar Makkah menjadi negeri yang aman, sesungguhnya Makkah, khususnya sekitar Tanah Haram adalah menjadi kawasan aman. Tradisi `menyembah berhala` yang bukan menjadi `tradisi ibadat` dalam Islam, tetapi dibawa dari kesesatan luar dapat dihapuskan, khususnya setelah dibangkitkan Nabi Muhammad s.a.w. Baitullah sesungguhnya menjadi pusat ibadat sebagai menunaikan Haji dan berterusan didirikan solat, bahkan ianya menjadsi Kiblat bagi solat yang didirikan oleh umat Islam diseluruh pelusuk dunia.
Doa Nabi Allah Ibrahim agar hati-hati umat (Islam) berterusan rindu dan mesra untuk mengunjunginya benar-benar menjadi kenyataan dalam mana Makkah dan Madinah terus-terusan dikunjungi oleh umat Islam bagi menunaikan Haji dan Umrah. Makkah, walaupun tidak mempunyai tumbuh-tumbuhan dan tidak subur untuk pertanian, tetapi tempat itu tidak kurang daripada berbagai-bagai keperluan makanan dan juga dari berbagai keperluan. Pusat ibadat itu juga menjadi tempat dipasarkan berbagai-bagai keperluan bukan saja bagi penduduk tempatan, tetapi juga bagi pengunjung-pengunjung yang berziarah pergi dan datang. Turut sama mengalami kemakmuran ialah Madinah al-Munawwarah yang menjadi bandar kembar dan pusat ibadat yang diziarahi oleh mereka yang menunaikan haji dan umrah. Sesungguhnya sambutan Idul Adhha setiap tahun oleh umat Islam, tidak lain dari iringan terhadap amalan haji bagi mereka yang menunaikan haji di Makkah dan turut menghidupkan sunnah berkorban sebagai lambang korban yang dilakukan oleh Nabi Allah Ibrahim a.s.
Dari apa yang dibincangkan, jelas bahawa Nabi Ibrahim yang darinya turun jurai turunan nabi-nabi, khususnya bagi Nabi Muhammad s.a.w. sangat rapat dari segi hubungan. Nabi Ibrahim puncak unggul dari segi turunan, aqidah yang ditegakkannya menjadi prinsip aqidah yang dipegang oleh umat Islam. Sejarah dan sirahnya menjadi bahagian dari amalan haji. Pengorbanan Nabi Ibrahim bersama anaknya Ismail menjadi contoh korban  dan sunat bagi yang tidak menunaikan haji turut sama berkorban. Kedudukan Nabi Ibrahim adalah paling istimewa bagi umat Islam. Nabi Ibrahim pengukuh aqidah keislaman dan terbawa di dalam ibadat solat dan haji.

Sekian.

October 23, 2015

Tradisi Aqidah Dari Zaman Nabi Ibrahim A.S.


BBB,  09 Muharram 1437 = 22 Oktober 2015 (Khamis):


Setiap rasul-rasul yang diutuskan kepada umat masing-masing adalah membawa agama Islam bermula dari Nabi Allah Adam a.s. sehinggalah kepada Nabi Muhammad s.a.w. Intisari terpenting dan tidak ada perbezaan antara mereka ialah mengenai `Aqidah Tauhid`. Sebagaimana telah dibicarakan Nabi Ibrahim adalah Rasul Unggul (Antara Rasul Ulu al-Azmi) yang bertalian darinya rasul-rasul termasuk Nabi Ishaq dan Nabi Ismail yang turunannya (Nabi Ismail) bertalian dan berkesinambungan hingga kepada Nabi Muhammad s.a.w. Di dalam Surah Ibrahim (14) ditegaskan kepada Nabi Muhammad s.a.w. bahawa peranan Baginda ialah membawa pegangan aqidah yang betul (Aqidah Tauhid) – Contoh lihat (Muhammad Al-Ghazali, `Aqidat al-Muslim, Dar al-Qalam, Damshiq-Beirut, 1403/1983: 235hlm.) yang dengannya dapat  mengeluarkan manusia dari kegelapan (syirik) kepada cahaya (aqidah Tauhid) sebagai jalan lurus (14.1 & 19 & 32). Dengannya tidak timbul keraguan bahawa Allah Yang Maha Esa Pencipta langit dan bumi (14.10).
Sebagai satu tafsiran `Kalimah Tayyibah` yang terdapat di dalam Surah Ibrahim ialah `Kalimah Tauhid` yang membandingkannya sebagai pokok yang baik dan subur yang berakar tunjang kukuh di bumi dan dahan-dahannya berkembang luas di langit dengan mengeluarkan buah berterusan kepada yang memakannya (14.24-25).
Sebagaimana Nabi Ibrahim unggul dari segi jalur keturunan, maka Baginda juga unggul dari pengukuhan dari tradisi aqidah tauhid. Nabi Ibrahim dilahir dan dibesarkan di tengah masyarakat syirik yang Raja yang memerintah pada zamannya ialah `Raja Namrud`, iaitu sekitar 2,000 tahun Sebelum Masihi. Bagi Ibrahim, sungguhpun masyarakat, bahkan ayahnya Aazar sebagai tukang membuat berhala, tetapi Ibrahim tidak terpengaruh dengan sikap dan amalan mereka, bahkan Baginda mempersoalakan  tindakan menyembah berhala yang ditukangi tangan sendiri.
Sejak Ibrahim meningkat remaja Ibrahim mencari-cari hakikat `Ketuhanan` yang sebenarnya. Ayat Al-Qur`an menggambarkan tentang pencarian Ibrahim bermaksud:
``Ketika hari telah malam, Ibrahim melihat bintang (planet), katanya ``Inikah Tuhanku ?``, tetapi setelah dilihat bintang terbenam, maka ia berkata, ``Aku tidak akan bertuhan kepada yang terbenam.`` Setelah itu ia melihat pula akan bulan purnama mengambang yang memancarkan cahayanya benderang, lalu ia berkata pula, ``Inikah Tuhanku ?`` Tetapi setelah bulan itu lenyap, maka hilang pulalah pendapatmya tentang  Tuhan dengan bulan, seraya ia berkata, ``Kalau Tuhan tidak menunjukkan, necaya aku dari kalangan mereka yang sesat.`` Pada waktu siang kelihatan pula cahaya matahari bercahaya, maka katanya, ``Ini Tuhanku, ini lebih besar.`` Tetapi apabila matahari juga hilang, ia berkata, wahai kaumku, ``Aku bersih dari perbuatan syirik kamu. Sesungguhnya aku mengarahkan wajahku mendepani kepada Pencipta langit dan bumi yang aku berkeadaan Hanif (Bersih) . Tidaklah aku dari kalangan mereka yang mengamalkan syirik.`` (Al-An`am: 76-79).
Jelas sejak zaman remaja Ibrahim mencar-cari hakikat Ketuhanan yang sebenarnya,
Dengan kesedaran itu, dia bertanya bapanya berhubung dengan berhala-berhala yang disembah. Bapanya menjawab ia sekadar mengikuti apa yang dipraktikkan oleh kaumnya. Ibrahim mengigatkan kepada kaumnya yang nenek moyang mereka adalah di dalam kedaan sesat yang nyata (Al-Anbiya`: 51-54).
Nabi Ibrahim yang menerima Perutusan dari Allah mendakwahkan kepada kaumnya apabila mereka tertanya-tanya apakah dia membawa perkara yang benar atau mereka dipermain-mainkan. Nabi Allah Ibrahim menerangkan kepada mereka.  Bahawa Tuhan sebenar Dialah Yang Menciptakan langit dan bumi  (Al-Anbiya`: 56).
Selepas daripada itu, semasa ketiadaan mereka, Ibrahim telah bertindak memusnahkan berhala-berhala yang disembahkan mereka  dan menggantungkan kapak yang digunakan pada berhala terbesar. Keadaan ini menggemparkan masyarakatnya, Ada antara mereka yang melihat perbuatan yang dilakukan oleh Ibrahim. Beliau ditanya tentang perbuatannya. Ibrahim menyuruh mereka bertanya terhadap berhala terbesar, kiranya `sebagai Tuhan` kalau dia dapat bercakap. Ibrahim mengingatkan mereka menzalimi diri mereka dengan perbuatan sia-sia mereka. Mereka tidak sepatutnya menyembah berhala, sekiranya mereka berakal (Al-Anbiya`: 57-67).
Dengan kesedaran yang timbul dalam dirinya dan dengan pengangkatan dirinya menjadi Rasul Nabi Ibrahim berusaha mendakwahkan bermula kepada bapanya agar tidak menyembah berhala yang disifatkan tidak berfaedah dan apa yang dibawa adalah kebenaran dan keilmuan yang merupakan jalan yang betul. Beliau mengingatkan bapanya tidak terjatuh ke dalam tipu daya syaitan dan beliau mau menyelamatkannya dari azab pada hari akhirat (Maryam: 41-45).
Nabi Ibrahim juga berdakwah ke tengah masyarakat, tetapi masyarakat yang tebal dengan budaya menyembah berhala telah sekian lama tidak mudah diubahkan. Sebaliknya dakwah Nabi Allah Ibrahim dianggap mengancam pegangan turun temurun masyarakat, lantaran itu baginda diperintah ditangkap bahkan dibakar di dalam apai bernyala. Namun sebelum perintah dijalankan Nabi Ibrahim berdakwah dan mengingatkan tentang perbuatan penyembahan mereka terhadap berhala yang tidak memberi manfaat dan tidak juga memberi mudarat yang sepatutnya mereka berfikir (Al-Anbiya`: 66-67).
Namun bila Ibrahim dibakar Allah menyelamatkannya dari bakaran dengan menyejukkan situasi semasa bakaran. (Al-Anbiya`: 68-69).
Jelas dari gambaran yang dipaparkan, kita dapati usaha menegakkan kalimah tauhid ketara dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s.    Ini adalah dari pengalaman pencariannyanya, pegalamannya dari melihat perbuatan kaumnya menyembah berhala yang disifatkan sebagai sia-sia. Serta keyakinannya tentang Hakikat Ketuhanan yang bersifat Pencipta, Berkuasa dan Mengetahui dan sifat-sifat sempurna yang lain. Asas tauhid yang didakwah oleh Nabi Ibrahim ini dikenali sebagai pegangan yang bersifat `Hanif` bagi muslim. Meskipun semua rasul dan nabi-nabi membawa aqidah tauhid yang sama dan tidak berubah dan tidak berbeza antara rasul-rasul dan nabi-nabi, tetapi didapati sumber dan pengolahan tentang aqidah tauhid ketara  berlaku bagi peringkat permulaan pada zaman Nabi Ibrahim. Komitmen baginda, tidak setakat bersifat mencari, menghayati, mendakwah dan berusaha mengubah sikap dan amalan kaumnya, tetapi komitmen tinggi Nabi Ibrahim, bahawa baginda mengalamai ancaman dari kaum yang didakwah dengan membakar dirinya ke dalam api yang benyala.
Apa yang kita pegangi dan amalkan kini dari segi pegangan aqidah tauhid adalah lanjutan dari wibawa besar Nabi Ibrahim yang akidah tauhid dari agama Hanif ini berlanjutan dan terus dikembangkan hingga kini.

Sekian.