August 9, 2016

TURATH TASAWUF AMAT LUAS BIDANG DAN HURAIAN


BBB, 05 Zulkaedah 1437 = 08 Ogos  2016 (Isnin):


Turath Tasawuf sebenarnya amat luas. Ianya  merangkumi:
1)      Sumber utama – asal dan dasar, iaitu Al-Qur`an dan Al-Hadith
2)      Rasulullah s.a.w. dan pembawaan Baginda
3)      Latar dan pembawaan Khulafa` al-Rashidin
4)      Para sahabat Rasulullah s.a.w. terutama yang membawa ciri ketasawufan
5)      Para tabi`in.
6)      Para zuhhad
7)      Kalangan sufi dan generasi
8)      Kitab-kitab  tasawuf
9)      Tulisan-tulisan terhadap tokoh, bidang-bidang  dan perkembangan tasawuf
10)   Penerokaan dan perluasan terhadap tasawuf.
Adalah di luar kemampuan, kalau kita mau mengkaji semua bidang yang tersebut di atas.
Sebagai pendekatan awal kita telah membicarakan sumber utama tasawuf yang tentunya tidak mendalam dan menyeluruh. Juga tentang Khulafa` al-Rashidin dan juga sebahagian daripada sahabat-sahabat yang tentu banyak lagi perlu dikaji dan diperluas.
Yang kita beri perhatian ialah tentang turath persuratan tasawuf peringkat awal. Itu pun baru tiga kitab dari dua orang tokoh, iaitu:
Kitab al-Zud wa Al-Raqa`iq oleh  `Abdullah bin Mubarak al-Maruzi (m. 181H.).
Kitab Al-Zuhd dan Kitab al-Wara` oleh al-Imam Ahmad bin Hanbal (m. 154-241H/780-855M.).
Kita akan memberi tumpuan pada persuratan tasawuf menurut kronologi yang dengan secara langsung mencerminkan tentang perkembangan tasawuf.
Tetapi pendekatan yang popular dan boleh bersifat menyeluruh ialah dengan mengkaji tokoh-tokoh yang wujud sepanjang perkembangan tasawuf.
Sebagaimana telah disebut pendekatan ini telah dilakukan  oleh Abu `Abdul Rahman al-Sulamiyy (412H.). Beliau telah menghimpun dan membahagi sejumlah  103 sufi dengan memecahkan mereka kepada 5 generasi dengan setiap generasi 20 orang kecuali generasi ke 5 hanya  23 orang. Masa kewujudan tokoh-tokoh sufi ini selepas dari meninggalnya `Abdullah al-Mubarak, iaitu dari tokoh Fudhail bin `Iyadh (m. 187H.) hingga kepada tarikh kematian seorang sufi dari generasi kelima, iaitu
Abu al-Qasim Ibrahim bin Muhammad al-Nasr Abadhi (m. 377H.)  dalam tempoh dua abad.  Adalah menarik dilihat bahawa selama satu abad selepas daripada kematian  Abdullah al-Mubarak, maka telah lahir tokoh-tokoh sufi terkenal (dua generasi menurut al-Sulamiyy berjumlah 40 orang). Mereka adalah dari kalangan tokoh-tokoh sufi terkenal yang antaranya dikaitkan dengan aliran-aliran tertentu.
Antara tokoh-tokoh sufi dalam masa seabad selepas kematian  Abdullah bin al-Mubarak (m. 181H.)  ialah Fudhayl bin `Iyadh (m.  187H.), Dhu al-Nun al-Misri (m. 245H.), Sari al-Saqati (m. 251H.), Al-Muhasibi (m. 243 H.),  Abu Yazid al-Bistami (m. 261H.), Sulaiman al-Darani (m. 215H.), Yahya bin Mu`adh al-Razi (m. 258H.), Abu Hafs al-Nisaburi (m. 270 H.),  Abu al-Qasim al-Junayd (m. 297H.) dan yang lain daripada mereka itu.
Dalam masa satu abad sekurang-kurangnya lahir tokoh-tokoh sufi sejumlah lebih kurang empat puluh orang (2 generasi). Sudah tentulah dalam masa  tersebut, lahir berbagai pendapat tentang kesufian, tetapi tidak semua mereka mengarang kitab tasawuf seperti `Abdullah al-Mubarak dan Al-Imam Ahmad bin Hanbal. Namun masing-masing ada mengeluarkan pendapat sama ada melalui pengajaran atau diungkap  dalam situasi-situasi khusus. Kata-kata mereka dicatat secara gaya Hadith. Dalam kata lain walaupun selepas dua abad dari zaman `Abdullah al-Mubarak tradisi persuratan Islam secara riwayat masih terus popular digunakan. Melalui ungkapan-ungkapan mereka bukan saja pendapat mereka tentang ketasaufan dapat dicatat, tetapi juga aliran di dalam ketasawufan dapat dikenal pasti. Misalnya Abu Yazid al-Bistami dikenali sebagai tokoh sufi falsafah. Antaranya kita memilih pandangannya tentang ketasawufan dari Tabaqat al-Sufiyyah oleh al-Sullami:
·          Ditanya Abu Yazid tentang darajah `al-`Arif`, maka katanya, ``Tiada di sana darajah, bahkan setinggi-tinggi faedah `al-`Arif` wujud apa yang dima`rufkannya.``
·         Berkata Abu Yazid, ``Al-`Abid  dia menyembahNya dengan hal, dan `Al-`Arif ialah yang sampai yang ia menyembahNya dalam hal.``
·         Ditanya Abu Yazid, ``Dengan apa yang dapat menolong kita beribadat  ? Jawabnya, ``Dengan Allah sekiranya engkau mengenaliNya.``
Maksud di atas agak berat dan perlu kepada penghuraian.
Kita mengambil pula dari kata-kata al-Junayd  (m. 297H.)  yang dia adalah dikira pendukung Sunni dan sealiran dengan al-Harith  al-Muhasibi (m. 243H.),  pendukung tasawuf Sunni.  Antara katanya:
·         Berkata al-Junayd: ``Waktu bila berlalu tidak mungkin didapat kembali, sebab itu mulia dan jagalah waktu.``
·         Aku mendengar Aba al-Hasan `Ali bin Muhammad al-Qazwini berkata, ``Aku mendengar Aba al-Tayyib al-Makki berkata, aku mendengar Aba Ja`afar al-Khuldi berkata, ``Aku mendengar  al-Junayd berkata, ``Pembukaan bagi setiap pintu kemuliaan memerlukan kesungguhan.``
·         Aku mendengar Ahmad berkata, ``Aku mendengar al-Junayd berkata, ``Siapa yang mendekati wali dari wali-wali Allah, menerima dan memuliakannya, maka dia dimuliakan oleh Allah sebagai tonggak penyaksian.``
Sesungguhnya bagi kata-kata sufi terdapat ketinggian makna dan keluhuran kandungan, tetapi tidak kurang pula dari kontroversi dari segi tafsiran yang membawa kepada takwilan, fahaman dan aliran, lantaran kata-kata mereka kadang-kadang membawa perlapisan makna dan bercabang,
Demikianlah dapat dipetik berbagai-bagai ungkapan dan pandangan dari berbagai-bagai sufi yang lain yang begitu ramai dan beragam, tetapi tidak dapat dimuatkan di sini. Memahami ungkapan mereka kadang-kadang memerlukan kefahaman  kaedah sastera yang bahasanya bercabang makna dan tafsiran, namun bahasa kesufian lebih rumit kerana ianya melibatkan  keilmuan dan akidah Islam.

Sekian.


No comments:

Post a Comment