December 31, 2016

HAJI MELIBATKAN FIZIKAL, MINDA DAN ROHANI


BBB,  30  Rabi`ul Awwal  1438H. = 30 Disember 2016 (Juma`at):
Haji  selalu disebutkan, bahawa ianya ibadat yang banyak melibatkan  fizikal contohnya bertawaf, sa`i, wuquf di Arafah, bergerak ke Muzdalifah,  bermalam di Mina dan  melontar jamrah, tetapi sebenarnya menunaikan haji selain dari melakukan rukun, wajib dan sunat haji, terlibat sama perkara-perkara yang tidak disebut, tetapi hadir di dalam diri yang sebenarnya lebih mnelengkapkan amalan haji, iaitu perkara yang melibatkan  minda dan rohani. Walaupun keduanya bukan berkait dengan rukun dan wajib, tetapi kefahaman dan kemanisan haji dapat dirasa dan ianya tidak hanya bersifat pergerakan fizikal semata-mata.
Permulaan tiba di Makkah, walaupun bukan masuk kepada amalan haji, seseorang yang baru tiba sama ada bersendirian atau dengan mutawwuf, berseorangan atau berkumpulan seorang itu dibawa untuk melakukan tawaf qudum (Selamat Datang). Pertama sekali seorang itu mula dengan berdepan ka`bah (baitullah). Bagi yang berdepan secara fizikal di hadapan mata kepala, tentulah merasa terpesona, kagum, khusyu` , tawadhu` dan mungkin gemuruh dan gementar di dalam dada melihat, bahawa ini fizikal sebenarnya yang selama ini menjadi arah bagi solat. Berbagai perasaan dan pengalaman yang dirasa adalah cerminan jiwa yang datang untuk bertawaf di ka`bah tersebut. Ertinya elemen hati-rohani menjadi sebahagian dari dalaman diri,apalagi ditambah dengan bacaan-bacaan sunat dilakukan.
Aspek minda turut sama  bergerak di dalam fikiran, bahawa itulah bentuk ka`bah sebenarnya yang sebenarnya amat mudah dari segi binaan yang seakan-akan empat persegi sedikit memanjang dan tinggi  setinggi bangunan biasa. Memandangnya mengingatkan apa yang difirmankan Allah tentanng pembinaan ka`bah yang dilakukan oleh Nabi Allah Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail `alaihima al-salam bermaksud:
``Dan (ingatlah)  ketika Nabi Allah Ibrahim bersama-sama dengan anaknya Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) baitullah (ka`bah)  sambil keduanya berdo`a, ``Wahai Tuhan kami terimalah daripada kami (amal kami). Sesungguhnya Engkaulah yang Amat Mendengar, lagi Amat Mengetahui.`` (Al-Baqarah: 127).
Sesungguhnya binaannya amat simple – biasa dari segi bentuk dan adalah bentuk asas bagi bangunan untuk lindungan. Sesungguhnya adalah binaan tertua yang diketahui. Adalah menjadi warisan binaan manusia  dan peradaban. Bekas bagi membina ka`bah disebut Allah Ta`ala dengan firmanNya  bermaksud:
``Di situ ada tanda-tanda  keterangan yang nyata (yang menunjukkan  kemuliaannya, di antaranya ialah), maqam (tempat berdiri) Nabi Ibrahim yang mempunyai kesan tapak kakinya semasa membina ka`bah itu). Dan siapa yang masuk ke dalamnya aman tenteramlah dia. Dan Allah mewajibkan manusia  mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi baitullah, iaitu siapa yang mampu dan berkuasa sampai kepadanya. Dan siapa yang kufur (inkar akan kewajipan ibadat haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) daripada sekalin makhluk.`` (Ali `Imran: 97).
Nabi Ibrahim sesungguhnya telah memilih tempat yang strategik bagi penempatan keluarganya,  (Saydatina Hajar dan anaknya Ismail), khususnya selepas mendapati sumber air yang dikenali dengan air zam-zam – bahan yang amat penting di tengah kawasan padang pasir yang tidak ada tumbuhan itu. Ini membawa penghuni-penghuni datang sama ke tempat berkenaan, antaranya dari suku Jurhum yang dari perempuan keturunanm suku ini dikahwini Nabi Ismail yang merupakan darinya melahirkan turunan `Arab.
Dengan kewujudan mata air sumber kehidupan utama itu menjadikan Makkah tempat persinggahan dan menjadi pusat pertemuan dan perniagaan bagi peniaga-peniaga dari Sham singgah dalam perjalanan bagi perniagaan ke Yaman dan mesir dan sebaliknya juga dari Mesir ke Palesin, Sham dan juga ke yaman dan sebaliknya, bahkan menjadi tempat jaringan pertemuan yang penting di Semenanjung Arab dan sekitarannya.
Sesungguhnya do`a Nabi Ibrahim dikabulkan Allah. Do`a Baginda sebagaimana firman Allah bermaksud:
``Dan (ingatlah), ketika Nabi Ibrahim (berdo`a) dengan berkata, ``Wahai Tuhanku, jadikanlah (negeri Makkah) ini, negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki dari berbagai-bagai jenis tumbuhan kepada penduduknya, iaitu orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat.` (Al-Baqarah: 126).
Dengan do`a Nabi Allah Ibrahim diterima Allah dan Makkah menjadi ma`mur.
Sesungguhnya Nabi Allah Ibrahim yang membawa agama Hanif  dan menyeru kepada ketauhidan Allah itu tidak mau Makkah dikotori dengan perbuatan syirik. Do`a Nabi Allah Ibrahim ini dirakam Allah Subhanahu wa Ta`ala dengan firmanNya bermaksud:
`Dan (ingatlah), tatkala Nabi Ibrahim berdo`a dengan berkata, ``Wahai Tuhanku ! Jadikanlah negeri Makkah ini, negeri yang aman dan jauhkanlah daku dan anak-anakku dari perbuatan menyembah berhala.`` (Ibrahim: 35).
Jadi ka`bah yang merupakan bangunan tertua dan didirikan pula oleh Nabi Ibrahim yang menjadi moyang kepada beberapa Nabi, yang membawa agama Hanif, adalah sesuai menjadi kiblat yang merupakan arah solat bagi umat, sebagai penyatu tujuan, mengukuh akidan dan menyatukan ummah.
Sesungguhnya apa yang dibicarakan melibatkan aspek fizikal dan antara sejarah tertua manusia yang buktinya dapat disaksikan dengan mata kepala sendiri, berdepan kedudukan bagi mereka yang hadir untuk haji, umrah dan tawaf semata. Serentak dengan itu tergerak minda kita memahami secara rasional tentang sejarah keagamaan tauhid yang bermula dengan Nabi Adam a.s. moyang bagi turunan manusia dan diteruskan oleh Nabi  Ibrahim a.s. dan dari Nabi Ibrahim diteruskan kepada Nabi Muhammad s.a.w. Sebagai pusat kegiatan ibadah berpusat di ka` bah adalah sesuai ianya diperintah oleh Allah mengadap kepadanya bila bersolat, selepas sebelumnya mengadap  ke baitul Maqdis.
Sebagaimana  apa yang dipaparkan ianya tidak saja melibatkan aspek amali dan perbuatan serta akli, tetapi lebih-lebih lagi melibatkan aspek rohani. Bahkan aspek ini lebih kukuh, lantaran kesesuaian pegangan akidah dari Nabi Allah Ibrahim dapat diwarisi hingga kini. Pertalian ini merupakan pertalian kerohanian yang suci. Ziarah dan amalan ibadat yang dilakukan di sini adalah sesuatu yang quddus yang kequddusan ini terus hidup sertai bertalian dan berkesinambungan  hingga ke Nabi Muhammad s.a.w dan berterusan hingga kita kini dan bereterusan akan datang.

Sekian.

December 30, 2016

UJIAN MENUNAIKAN HAJI - PENGALAMAN DAN KESUKARAN LEPAS


BBB, 29 Rabi`ul-Awwal  1438H.= 29 Disember 2015M. (Khamis):
Ungkapan  di atas ditimbulkan bagi memperlihatkan betapa banyaknya ujian rohani dialami oleh yang menunaikan haji pada masa lepas dan menunjukkan betapa rapatnya amalan-amalan haji dengan jiwa  ketasawufan.  Firman Allah bermaksud:
``Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa  yang mampu dan berkuasa  sampai kepadanya.`` (Ali `Imran: 97).
Dan firman Allah lagi bermaksud:
``Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan  ibadat haji, nescaya mereka akan datang (ke rumah Tuhan)mu dengan berjalan kaki dan dengan berkenderakan berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.`` (Al-Hajj:  27).
Dengan ayat yang mewajibkan haji dan ayat seruan bagi menunaikan haji  di atas memperlihatkan keyakinan dan kesetiaan umat Islam menjawab seruan bagi menunaikan haji, baik bagi mereka yang senang (berada), betapa lagi yang susah dari petani yang bekerja di sawah ladang, buruh di berbagai sektor pekerjaan  dan sebagainya. Mereka berjimat cermat menghimpun duit  melalui simpanan dan dengan penuh setia dan  rindu menunggu giliran bagi mendapat  peluang  menunaikan fardhu haji. Sebelum giliran tiba  mereka dengan penuh setia dan mesra menyertai kursus-kursus bimbingan haji, bagi memahami dan mempastikan bahawa amalan haji yang bakal dilakukan dapat dilakukan  sesempurna yang mungkin, maklum sajalah bahawa bagi kebanyakan mereka inilah peluang pertama dan mungkin terakhir  bagi menunaikan haji.  Jiwa apakah sedemikian ? Tidak lain dari keluhuran  iman dan kerohanian. Dengan penuh setia, mesra dan cinta , rela mencari dan menghimpun harta, sanggup berjimat dan taat bagi persediaan  bagi menunaikan haji. Bila peluang mendapat giliran betapa suka, mesra dan syukur kerana  berpeluang menunaikan haji. Berita mendapat peluang menunaikan haji heboh diberitakan sekampung. Gembira diterima bukan diri yang mendapat tawaran sahaja, bahkan keluarga, sanak saudara dan penduduk setempat. Untuk mengisi peluang seterusnya dan peluang tidak mau dipersia-sia   ditambah usaha menghadiri kursus dan berbagai-bagai  pengajian tambahan sebagai usaha agar amalan haji kelak dapat dilakukan dengan sebaik dan sesempuna mungkin.
Inilah  gambaran jiwa, hati-rohani yang ta`at, setia, mesra,terharu,  cinta, kudus terhadap Allah ianya tidak lain dari gambaran elemen-elemen tasawuf yang memenuhi jiwa  yang bakal  menunaikan haji.
Tiba masa bertolak bagi menunaikan haji, ayat Al-Qur`an yang dipetik di atas benar-benar mencerminkan suasana kudus gambaran mereka yang bergerak dari kediaman, tempat, kampung halaman dan berbagai nama sebagai tempat bertolak.
Gambaran  ayat Al-Qur`an di atas betapa keyakinan dan kecekalan umat, bahawa antara mereka ada yang berjalan kaki secara kumpulan atau berseorangan bagi yang lebih dekat,  bahawa mereka sanggup berjalan kaki, walaupun susah dan sukar misalnya merentasi padang pasir dan bukit bukau di samping membawa barang-barang bekalan untuk haji. Gambaran antara mereka menunggang unta-unta kurus begitu indah dan estetik. Terbayang bahawa mereka yang menunggang unta ini berada di bawah lindungan di atas belakang  unta bergerak dari negeri-negeri yang jauh secara berkafilah dengan unta-unta bertalian bergerak menuju ke destanasi, iaitu Makkah al-Mukarramah dengan merentas padang pasir dan bukit bukau bahkan gunung batu yang kering kontang yang memerlukan azam, kecekalan dan kesungguhan yang tinggi dalam merentasi kawasan yang kering kontang itu. Bagi mereka kepentingan diri, jiwa raga dan bekalan dipertaruhkan dengan penyerahan dan tawakkal kepada Allah sepenuhnya. Ada yang berjaya menghadapi ujian dan dapat sampai ke Makkah al-Mukarrah setelah antaranya berbulan-bulan dalam perjalanan. Dan jangan lupa sebahagian lagi, khususnya yang tidak biasa mengalami perjalanan digurun pasir dan bukit-bukit batu kepanasan menemui ajal dalam perjalanan dan mereka penuh redha, lantaran dengan niat suci dipasang sejak awal lagi.
Apa yang digambarkan oleh ayat Al-Qur`an di atas, juga dialami oleh jama`ah haji dari negara kita sejak zaman awal bagi mereka yang dapat menunaikan haji hinggalah kepada tahun-tahun 1950an – zaman sebelum kemerdekaan tanah air. Bagi sebahagian daripada kita masih ingat, bahawa untuk menunaikan haji pada tahun-tahun hingga tahun-tahun 1950an tidaklah mudah menunaikan haji.  Mereka terpaksa melalui jalan darat untuk ke pelabuhan Pulau Pinang, Singapura dan kemudian pelabuhan Kelang bagi menaiki kapal laut berminggu-minggu dan kemudian menunggang unta. Perjalanan memakan masa berbulan-bulan untuk sampai ke Tanah Suci. Tidak ramai yang berkemampuan  menunaikan haji, bukan saja dari segi kewangan dan bekalan, tetapi kekuatan fizikal melalui jalan darat, laut dan kenderaan berunta, sebelum wujudnya kenderaan bermotor bagi merentasi padang pasir ke Makkah dan juga ke Madinah. Pemergian bagi menunaikan haji pada masa itu dianggap antara hidup dan mati. Lantaran itu berkesempatan menunaikan haji adalah peritiwa bersejarah bukan saja bagi penunai haji, tetapi juga bagi keluarga, kampung dan masyarakat setempat. Untuk bertolak dari rumah yang dianggap antara hidup-mati, bakal haji diberi kehormatan tinggi diziarah keluarga dan masyarakat jauh dan dekat dan dilepaskan  pemergian dengan tangis anak-anak dan keluarga dan masyarakat sama. Perjalanan adalah merupakan pengalaman kudus yang diiringi tangis dan do`a, lantaran itu pada masa itu mereka sukar untuk menerima berita bagi yang dilepaskan dengan kasih sayang itu. Berita diterima mungkin sekali sekala dan tidak jarang berita kematian diperjalanan yang antaranya berkubur di lautan atau di padang pasir dalam perjalanan pergi atau pulang. Begitulah cekal jiwa mereka yang terpilih menunaikan kewajipan rukun Islam kelima itu, pada masa lepas.
Walau bagaimana, bukan tidak ada ujian kecekalan dan kesusahan bagi yang menunaikan haji pada zaman moden ini. Misalnya walaupun ada kewangan, ada kenderaan yang canggih dengan kapal terbang yang perjalanan terus ke tanah suci, halangan dan ujian yang memnghalang mereka yang berhasrat menunaikan haji, ialah koata yang dikenakan, oleh kerana ramai yang hendak menunaikan haji dari berbagai negara dan kemampuan Makkah menerima tetamu. Selain daripada itu ialah ujian kesihatan dan kemampuan dari segi fizikal. Namun begitu menunaikan haji pada masa ini tidak sesukar masa silam. Tapi semuanya bertujuan menyahut seruan haji dengan penuh setia dan keikhlasan.
Apa yang digambarkan tidak lain dari keazaman jiwa bagi menyahut seruan suci yang jiwa pula penuh rindu bagi menjalani perjalanan kudus yang menjadi dambaan jiwa sebelum dapat menunaikannya.

Sekian.

December 29, 2016

ZAKAT PELUANG BAGI YANG BERADA MENDEKATI YANG MAHA ESA


BBB, 28 Rabi`ul-Awwal 1438H. = 28 Disember 2016 (Rabu):
Dikatakan di dalam tasawuf bahawa jalan menuju Allah adalah banyak, termasuklah melakukan  berbagai kebajikan, antaranya ialah sadaqah. Bersadaqah adalah sunat, tetapi ada sadaqah yang diwajibkan bagi mereka yang berkelayakan, iaitu dinamakan `Zakat. Firman Allah bermaksud:
``Sesungguhnya sadaqah-sadaqah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang faqir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang menguruskannya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hati mereka, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan diri mereka, dan orang-orang yang berhutang, dan (untuk dibelanjakan)  pada jalan Allah, dan orang-orang yang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Amat Mengetahui, lagi Amat Bijaksana.`` (Al-Taubah: 60).
Dengan kewajipan bersadaqah, sebenarnya Allah memberi peluang bagi mereka yang berkelayakan membuat kebajikan dan mendekati Allah. Sebagaimana dikatakan ketasawufan bukan untuk kalangan mereka yang faqir dan miskin semata-mata, tetapi peluang bagi semua lapisan masyarakat Islam sama ada dia berada atau miskin, berkedudukan dan orang biasa, pemimpin atau rakyat biasa dan sebagainya. Syaratnya dia orang yang patuh dengan perintah  Allah, berusaha memembersih diri bagi mendekati Allah seperti  menjalankan pekerjaan secara jujur dan mendapat rezeki yang halal. Dalam kata  yang  lain orang kaya berhak berjiwa sufi, demikian dengan pemimpin, tentera, peniaga, pegawai kerajaan, boroh, peladang dan kalangan orang biasa yang jujur dan bersih jiwa.
Zakat melibatkan kewajipan dari pihak tertinggi (Allah),
Pengusaha/pemilik harta yang layak dizakatkan
Harta  yang mau dizakatkan
Pihak pengurusan, iaitu amil dan pihak pemerintah
Pihak penerima zakat yang berkelayakan.
Zakat mempunyai hubungan rapat dengan tasawuf, jika tasawuf antara maksudnya ialah pembersihan, maka zakat juga bermakna membersih, tumbuh, subur (harta dan jiwa pengeluar zakat). Firman Allah bermaksud:
``Ambillah (sebahagian) daripada harta mereka  menjadi sadaqah, supaya dengannya engkau membersihkan mereka  (dari dosa), dan mensucikan mereka dari akhlak yang buruk), dan do`kanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya do`amu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan  (ingatlah) Allah Amat mendengar  lagi Amat Mengetahui.`` (Al-Taubah: 103).
Jadi dengan kewajipan berzakat memberi peluang bagi pengeluar zakat membersihkan diri (bererti juga) bertasawuf bagi dirinya dan membersihkan hartanya yang  insya Allah akan  subur dan berkembang dengan usahanya yang jujur.
Pada pihak yang lain dengan ihsan dan kebajikan pihak yang mengeluarkan zakat memberi faedah kepada yang menerima zakat, sebagai masyarakat yang kurang berada, maka dengan bantuan zakat dapat meringankan beban kemiskinan yang ditanggung. Jika yang menerima zakat menerima skim-skim tertentu , maka ianya dapat berdikari dan menumbuhkan zakat yang diterima dan memberi faedah kepada dirinya dan mereka yang lain. (Ini sebagai contoh bererti subur dan berkembang).
Pihak pengurusan yang menerima penghasilan zakat, jika mempunyai inisiatif dan berdaya kreatif adalah berperanan memperekembangkan harta zakat kepada yang membawa kepada pertumbuhan zakat dan peningkatan sumber rezeki penerimanya.
Kita maklum kini berbagai program dan skim zakat diwujudkan bagi kepentingan  zakat, penerima zakat dan institusi-institusi zakat.
Zakat misalnya dilaburkan secara halal bagi menambahkan dapatan dan lebih banyak peruntukan zakat dapat dimanfaatkan oleh yang berhak.
Menambahkan aset zakat dan umat  memperkukuhkan ekonomi mereka (Sebagai contoh Tabung Haji yang dimanfaatkan dari simpanan bakal-bakal  Haji}. Demikian dengan `Tabung Zakat` umpamanya.
Dengannya dapat diwujudkan insitusi-institusi perusahaan, ladang dan aset-aset lain yang dapat memberi pekerjaan dan faedah yang dapat diterima oleh yang layak  menerima zakat.
Menaja Institusi-institusi pendidikan sebagaimana harta waqafyang dapat mendirikan pengajian-pengajian tinggi yang memberi  peluang kepada semua pihak dapat  menyambung pengajian.
Memberi bantuan kepada pelajar-pelajar yang berkelayakan untung menyambung pengajian tinggi di dalam dan luar negara bagi kepentingan keilmuan dan mengangkat martabat umat di dalam bidang keilmuan. Selain daripada itu dapat diperuntukkan dari mana-mana bidang asnaf yang sesuai untuk penyelidikan bagi bidang yang memberi faedah kepada umat. Selain daripada itu bantuan dapat diberi kepada sekolah-sekolah  agama pada peringkat rendah dan menengah dan juga kepada pelajar-pelajar yang layak menerima.
Sebagai rumusan zakat dapat diolah  secara kreatif dan innovatif  bagi kepentingan umat selagi ianya tidak bercanggah dari tujuan dan falsafah zakat. Sebenarnya zakat satu bidang yang berpotensi tinggi yang dapat mengangkat martabat umat terutama dari segi ekonomi, pendidikan, bahkan industri, perusahaan dan pertanian. Ia sama berpotensi dari segi waqaf, caruman haji, bank zakat sesuai dengan perkembangan  bidang-bidang ekonomi Islam yang semasa  seperti takaful. Bank Islam, al-Rahnu dan sebagainya.
Sebagai rumusan seterusnya  kekayaan tidak menghalang  pemiliknya  berjiwa tasawuf, jika ianya dapat dijalan dengan jujur, bahkan lebih memberi faedah bagi kepentingan umat. Orang berada sebenarnya sama berhak  mempunyai jiwa ketasawufan, bahkan dengan keberadaan ia lebih banyak dapat menolong orang ramai, iaitu  dengan cara kreatif dan inovatif dapat mewujudkan berbagai-bagai bidang dan peluang eknomi kepada masyarakat. Zakat tak kurang potensinya, bahkan lebih dari wakaf,  caruman haji dan sebagainya.
Berharta tidak mengurangkan peluang bertasawuf dan  mendapat pahala seperti melalui berzakat dan dengan zakat banyak ruang yang dapat dikembangkan bagi memartabatkan ekonomi umat.

Sekian.

December 28, 2016

PUASA: PEMBERSIHAN ROHANI, MEMUPUK KEIHSANAN DAN KEINSANAN


BBB, 27 Rabi`ul Awwal 1438H. =  27 Disember 201`6 (Selasa):
Sebagaimana solat begitu rapat dengan tasawuf, maka demikianlah dengan puasa tidak kurang kentalnya  di dalam memupuk kerohanian. Puasa juga ketara mengandungi elemen-elemen ketaswufan dari segi meneguhkan  rohani, mengawal dan mendidik anggota fizikal, galakan terhadap meningkatkan pengibadatan dan menganjurkan banyak membuat kebajikan dan memupuk rasa ihsan dan kemanusiaan.
Dalam tasawuf antara jalan-jalan bagi memperbaiki diri di dalam menuju Allah disebut antaranya zuhud, taubah, faqr, sabar dan taqwa –dan banyak lagi. Elemen-elemen yang dianjurkan di dalam tasawuf ini adalah terdapat di dalam berpuasa. Di dalam puasa memang dianjurkan agar mengawal diri dan zuhud terhadap kemewahan yang memang seorang berkemampuan, dengan demikian orang yang sentiasa di dalam kesenangan dapat merasa betapa mereka yang di dalam kesusahan dan tidak kecukupan, nescaya membawa diri kepada keinsafan. Demikian dapat dirasa betapa pedihnya orang-orang faqir yang memang faqr terhadap berbagai-bagai keperluan. Dengan demikian dia dapat memahami betapa dia faqr terhadap Allah dan zuhud  dan bertaubat di atas keangkuhan dan kesombongan terhadap Allah  selama ini.  Lebih dari itu diharap dapat difahami  zuhud dan faqr tidak pada tahap material sahaja, tetapi meningkat kepada yang bersifat kejiwaan terhadap Yang Maha Kuasa dan Maha Kaya. Seterusnya mejadikan  seseorang itu benar-benar  memahami konsep faqr. Firman Allah bermaksud:
``Wahai manusia,, kamu adalah orang-orang faqir (memerlukan) kepada Allah, sedang Allah Dialah Yang Amat Kaya Lagi Maha Terpuji.`` (Fatir:  15).
Puasa juga mendidik diri menjadi sabar, ikhlas dan bertaqwa. Firman Allah bermaksud:
``Wahai orang-orang  yang beriman, difardhukan ke atas kamu berpuasa sebagaimana difardhukan ke atas orang-orang yang dahulu daripada kamu. Semoga kamu bertaqwa.`` (Al-Baqarah:  183).
Antara pengajaran tasawuf ialah menjaga dan mengawal diri dari tabiat buruk seperti tamak dan rakus misalnya  tamak dan rakus terhadap makanan, maka dengan berpuasa mengajar diri menahan nafsu syahwat, termasuk makan minum. Juga mengawal anggota diri seperti mata, telinga, mulut dan perut dari sifat-sifat keji  sebagaimana maksud Hadith yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik daripada Rasulullah s.a.w. Baginda bersabda bermaksud:
``Puasa adalah perisai`` (al-Arba`in al-Nawawiyyah).
Dari segi ibadat, maka seluruh  bulan Ramadhan adalah merupakan bulan ibadat, bahkan pada bulan ini diturunkan Al-Qur`an sebagaimana firman Allah yang bermaksud:
``Bulan  Ramadhan yang diturunkan padanya Al-Qur`an yang menjadi pertunjuk bagi sekalian manusia.`` (Al-Baqarah: 185).
Di dalam bulan Ramadhan disediakan berbagai-bagai peluang ibadat untuk diambil kesempatan  bagi mereka yang mau melakukan ibadat sebanyak-banyak yang dapat. Sudah tentulah sebulan bulan Ramadhan sendiri adalah bulan bagi mengerjakan puasa, sebagaimana  Hadith:
Daripada Abi Hurairah r.a. daripada Nabi s.a.w bersabda, bermaksud: ``Siapa yang berpuasa bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan ihtisab diampun baginya apa yang telah berlalu dari dosanya dan siapa yang mendirikan lalatul qadar dengan penuh keimanan dan ihtisab  diampun baginya apa yang telah berlalu daripada dosanya.``
Selain dari berpuasa  peluang terbuka bagi membaca Al-Qur`an sebanyak mungkin, mendirikan ibadat bagi mendapat laylatul qadar, bertahajjud, bersolat tarawih, berwitir dan pelbagai solat dapat didirikan dan beri`tikaf di masjid. Termasuk dikira sebagai ibadat dan mendapat pahala ialah bersegera berbuka dan menta`khirkan sahur.   Ibadat dapat ditambah dengan berzikir, bertasbih, bertahmid dan bersolawat
Bulan Ramadhan juga adalah dikira sebagai bulan kebajikan yang diganda Allah bagi mereka yang membuat kebajikan. Termasuk amalan kebajikan ialah dengan banyak bersodaqah kepada faqir miskin, memberi derma bagi perkara-perkara kebajikan seperti mendirikan masjid, membantu institusi-institusi pengajian  Islam yang memerlukan, membantu mangsa mereka yang tertindas. Pada bulan Ramadhan juga digalakkan mensedekahkan makanan bagi mereka yang berbuka puasa, sama ada di masjid-surau dan juga kepada jiran tetangga.
Puasa dari satu segi dilihat dapat meningkatkan rasa keihsanan dan keinsanan. Sebenarnya puasa sebagaimana dicari-cari dalam kesufian jalan membersih diri dan kaedah-kaedah bagi mendekati Allah, sudah tersedia di dalam ibadat puasa dan juga solat sebagaimana telah disebutkan.  Diilihat dari segi fizikal dan rohani puasa adalah pendekatan yang efektif di dalam membersih diri yang dari segi fizikal diakui oleh bidang perubatan satu cara mengurangkan berat badan dan mengurangkan kandungan beracun di dalam perut yang dapat menghindarkan berbagai penyakit. Dari segi rohani puasa dengan secara keinsafan dan ihtisab menginsafkan diri dan rohani dan menimbulkan sifat keihsanan yang membuka jalan mendekati diri dengan Allah Ta`ala, khususnya apabila diisi pada bulan tersebut dengan berbagai-bagai ibadat sebagaimana telah disebutkan. Pendekatan diri kepada Allah ialah dengan berbagai-bagai ibadat yang ditawarkan di dalam bulan itu. Tiada ibadat-ibadat yang lain seumpama puasa dan solat yang lebih dapat mendekatkan  diri kepada Allah.
Dari segi kemanusiaan  puasa dapat memupuk diri dengan keinsafan. Misalnya menyedari bahawa sebahagian daripada penduduk dunia tidak kecukupan makanan, menginsafi penderitaan mereka yang terusir dari tanahair mereka kerana konflik  politik dan kemanusiaan dan kehidupan mereka di dalam keadaan daif, khususnya  penderitaan yang dihadapi umat Islam seperti yang berlaku kepada penduduk Rohingya, Palestin, Syria, Iraq, Yaman, Kemboja juga di tempat-tempat yang berlaku mala petaka alam seperti di Aceh, Filipina dan tempat-tempat yang lain yang berlaku mala petaka. Dengan kesedaran keinsanan menimbulkan rasa ihsan yang menggerak diri membantu dan menghulur derma kepada mereka yang malang berkenaan.
Puasa adalah ibadat yang penting. Pada bulan ini ditawarkan berbagai-bagai ibadat bagi mendapat pahala berganda yang tidak ada seumpamanya pada bulan-bulan yang lain, dengan secara berpuasa dapat memupuk keihsanan dan keinsanan.

Sekian.

December 27, 2016

SOLAT MUNAJAT ROHANI TERTINGGI


BBB, 26 Rabi`ul Awwal 1438H. =  26 Disember 2016 Isnin):
Contoh terbaik bagi melihat hubungan yang rapat antara tasawuf dengan ibadat yang terletak di bawah bidang fiqh, ialah `Solat`. Ibadat solat disifatkan sebagai `tiang agama`, rukun Islam yang utama dan difardhukan dengan penuh kemuliaan melalui Mi`raj Rasulullah s.a.w.
Dan solat sebagai firman Allah bermaksud:
``Adalah solat  difardhukan ke atas orang mu`minin menurut ketentuan waktu-waktu.`` (Al-Nisa`: 103).
Solat dari segi lughah ialah `al-Do`a``  dan dari segi istilah shara` ialah perkataan-perkataan, perbuatan-perbuatan yang khusus yang pembukaannya dengan takbir dan diakhiri dengan salam.
Pada solat terhimpun kepatuhan praktikal fizikal melalui gerak badan dari qiyam, rukuk, i`tidal, sujud, duduk  antara dua sujud, sujud dan duduk sebelum salam. Melalui solat terungkap kata-kata pembesaran – takbir, bacaan iftitah, bacaan fatihah yang terkandsung di dalamnya pujian kepada  Tuhan pemilik alam bersifat Rahman dan Rahim, pemilik hari  akhirat. Pengakuan penyembahan terhadapNya . Permohonan agar ditunjuk ke jalan lurus,  jalan mereka yang menerima ni`mat dan bukan jalan  dimurkai dan sesat, serta bacaan tasbih, tahmid, do`a, tashahhud dan tahiyyat.
Pada solat tertumpu kalbu-rohani terhadap Yang Tertinggi  dengan niat keikhlasan, konsentrasi dalaman tertinggi dengan penuh khusyu`, tawadhu`, khauf, taqwa dan mahabbah.
Kombinasi semua elemen di dalam solat ia adalah merupakan mi`raj rohani tertinggi. Berdepan  terhadap Rabbul Jalil secara fizikal dan rohani, berdialog secara rohani melalui bacaan Umm al-Kitab,  penyerahan secara total jiwa  raga terhadap Yang Tertinggi. Pujian dan pemohonan, penyaksian dan solawat terhadap Junjungan.
 Di dalam solat  ibadat yang paling khudhu`, khusyu`, tawadhu`, tulus dan ta`abbud seharusnya  terumus di dalam solat selaku mi`raj rohani segala rumusan ketasawufan yang seharusnya berada di dalam jiwa dengan elemen-elemen zuhud, taubah, sabar, faqr, khauf, taqwa, syukur, tawakkal,, redha, yaqin dzikr, uns, al-qurb, dan al-Mahabbah. Sesungguhnya tiada tempat yang lebih kudus, mulia dan murni selain dari solat dan seharusnya terumus padanya segala elemen kerohanian , juga amalan dan ungkapan di dalam munajat dan solat terhadap Allah Ta`ala.
Solat sesungguhnya amat tinggi  kesan, juga  dari segi ketasawufan.
Allah s.n.w. berfirman bermaksud:
``Sesungguhnya solat mencegah dari perkara yang keji dan munkar.`` (al-`Ankabut: 45).
Manakala Hadith diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. berkata, aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud:
``Apa pendapat kamu apabila berhampir pintu rumah seorang daripada kamu ada sungai yang dia mandi padanya  setiap hari lima kali. Apa pendapat kamu adakah yang demikian masih kekal kotoran ?  Maka kata mereka itu,  Tidak kekal daripada kotoran sedikitpun. Berrsabda Baginda, demikianlah bandingan solat lima waktu menghilangkan Allah dengannya segala kotoran.``
Solat adalah mendidik jiwa kepada penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah, sebagaimana firman Allah bermaksud:
``Katakanlah, bahawa solatku dan ibadatku (nusuki) dan hidupku dan matiku adalah bagi Allah Tuhan Pemilik alam. `` (al-An`am: 162)
Dan bersolat hendaklah  meningkatkan jiwa kepada taraf kekhusyukan, seperti firman Allah bermaksud:
``Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan kesabaran dan mengerjakan solat dan sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk.`` (Al-Baqarah: 45).
Sesungguhnya yang bersolat dengan khusyuk dia mencapai kejayaan dan tujuan solat. Firman Allah bermaksud:
``Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman yang mereka itu di dalam solat mereka bersifat khusyu`.`` (Al-Mu`minun: 1-2).
Sesungguhnya  solat adalah mi`raj rohani tertinggi, terhimpun padanya niat dan keikhlasan, perbuatan, perkataan dari tahmid, tasbih, zikir, tilawah Al-Qur`an, do`a yang dilakukan dengan penuh khusyu` dan ta`abbudiyyah. Solat adalah perantaraan yang paling dekat dengan diri bagi mendekati Allah, ia tidak saja dengan melakukan yang fardhu, tetapi dapat dilakukan yang sunat. Ia dapat dilakukan pada siang atau malam. Ianya adalah tambatan hati dan jiwa berterusan dengan Allah.
Dengan bersolat, kita adalah bersama-sama makhluk yang lain sama bertasbih memuji  Allah, sebagaimana firman Allah bermaksud:
``Maka bertasbih kepada Allah sama ada pada waktu malam atau waktu subuh. Dan kepadanya memuji apa yang di langit dan di bumi, sama ada waktu petang atau pada waktu zohor.`` (Al-Rum: 17-18).
Solat mengeratkan hubungan kekeluargaan, dengan mendidik mereka bersolat, maka kesan daripada kepatuhan kepada Tuhan menjadikan  mereka keluarga yang baik dan patuh kepada keluarga dan insya Allah keluarga hidup dalam aman damai.
Solat  tidak hanya dilakukan secara perseorangan dan keluarga, tetapi digalakkan dengan berjama`ah yang dengan berjama`ah banyak hikmahnya. Antaranya mengeratkan hubungan dengan masyarakat dan dapat mengikuti aktiviti kebajikan mengiringi berjama`ah seperti mengikuti pengajian dan berbagai kegiatan yang sesuai dilakukan.
Solat mi`raj rohani kepada Ilahi, kepatuhan yang bersifat ta`abbudiyyah tidak saja menghubungkan jiwa dengan Hakikat Tertinggi, tetapi  juga mengeratkan hubungan dengan keluarga dan masyarakat yang menjadi antara faktor mengharmonikan antara mereka dan dengan alam juga.

Sekian.

December 26, 2016

IBADAT ADALAH SEBAHAGIAN DARIPADA TASAWUF


BBB, 25 Rabi`ul- Awwal 1438H. = 25  Disember 2016 (Ahad):
Biarpun tajuk-tajuk yang berhubung dengan ibadat seperti di dalam kitab-kitab fiqh tidak menjadi judul bagi kitab-kitab tasawuf –(Al-Sarraj menyebut adab-adab), tetapi ibadat contohnya `solat` dan ibadat-ibadat yang lain adalah merupakan sebahagian dari tasawuf, bahkan tanpa ibadat tiada tasawuf. Ini menunjukkan betapa  rapatnya hubungan antara ibadat dan tasawuf. Bahkan konsep `membersih` bagi tasawuf sama digunakan bagi ibadat seperti solat, zakat, bahkan haji.
Bagi menunaikan sebarang solat fardhu, maka dia antaranya perlu bersih dari segi akidah, iaitu antara syaratnya ialah Islam, selain daripada baligh dan berakal. Dan sebelum mendirikan solat dia mestilah bertaharah. Maksud taharah sebagaimana kata Shaykh Muhammad Arshad al-Banjari di dalam kitabnya yang berjudul, Sabil al-Muhtadin,
``Taharah pada lughah itu, ertinya suci dan bersih daripada segala daki, samada daki itu hissi seperti segala najis atau ma`nawi seperti segala `aib. Adapun taharah pada shara`, maka ikhtilaf  segala `ulama` pada menta`rifkandia, maka yang tersebut di dalam Tuhfah Shaykh Ibn Hajar dan Nihayah Shaykh Ramli, bahawasanya taharah pada shara` disebutkan dia atas dua perkara.
Pertama,  hilang tegah yang jadi ia daripada hadath dan najis.
Dan yang kedua, ertinya  perbuatan yang diwadha`kan ia bagi memberi faidah  akan harus sembahyang yang ia setengah daripada atharnya seperti tayammum, maka bahawasanya ia memberi faidah akan harus sembahyang yang ia setengah daripada atharnya.
Maka atas yang kedua inilah menta`rifkan Imam Nawawi akan taharah pada shara` itu dengan katanya, ``Bahawasanya taharah itu, iaitu mengangkatkan hadath atau menghilangkan najis atau barang yang pada makna keduanya atau barang yang atas rupa keduanya.
Dan kata Shaykh Muhammad Arshad al-Banjari lagi,
``Miftah sembahyang itu taharah dan lagi taharah itu satu syarat daripada syarat sembahyang.``
Demikian penekanan terhadap bersuci:
Menurut kitab al-Fiqh al-Manhaji yang diterjemah oleh Dr. Zulkifli Mohammad al-Bakri, bahawa  Hikmat Persyariatan bersuci, sebahagian daripadanya ialah:
Pertama:  Bersuci adalah tuntutan fitrah
Kedua:  Memelihara kemuliaan dan kehebatan individu muslim
Ketiga:  Memelihara kesihatan
Keempat:  Berdiri menghadap Allah s.n.w. dalam keadaan suci dan bersih.
Kepentingan kebersihan dari segi lahiri ini diberi huraian secara detail bahawa: Hendaklah dikenalpasti akan air yang menjadi alat membersih yang utama. Misalnya  ada air yang dinamakan `air mutlaq`yang tiada makruh memakai dia, ada air mutlaq yang makruh memakaidia, air musta`mal dan air mutanajjis.
Adapun air mutlaq itu seperti air hujan, air embun, air laut, air sungai, air telaga dan air sumur. Manakala air mutlaq yang makruh memakai dia, iaitu air yang sangat hangat, air yang sangat sejuk, air yang terjemur yang kesemuanya bertujuan bagi menjaga kesihatan. Manakala air yang musta`mal, iaitu air yang sudah terpakai pada taharah yang tiada dapat tiada padanya.
Dan antara keperluan  menyucikan ialah dibicarakan kaedah menghilangkan najis, membersih akibat dari qadha` hajat yang mempunyai  adab dan aturan dan kaedah-kaedah menyucikannya.
Konsep membersih daripada hadath kecil,  ialah dengan mengambil wudhu` yang mempunyai kaedah dan aturan-aturan –termasuk syarat-syarat, sunat-sunat mengambil wudhu`. Selain dari keperluan mengangkat hadath kecil, ialah juga keperluan mengangkat hadath besar dengan sebab berjunub, berhaidh dan nifas. Iaitu  perlu kepada mandi atau dinamakan mengangkat hadath besar – termasuk memandikan mayat. Di samping wajib mandi ada sunat-sunat bagi mandi berkenaan. Selain dari penggunaan air ada kaedah yang dikenali dengan tayammum yang ada syarat-syaratnya,wajib dan sunatnya.
Demikianlah untuk mendirikan solat yang wajib, betapa perlu kepada kebersihan dari segi akidah, bersih dari hadath dan keperluan kepada alat-alat untuk bersih dan aturan yang dibicarakan dengan detail. Selepas  keperluan-keperluan semuanya itu  dipenuhi, baharulah dapat mendirikan solat. Bahawa untuk berdepan Allah Ta`ala bagi menunaikan solat perlu kepada kebersihan akidah dan juga kebersihan dari hadath kecil dan besar.
Konsep kebersihan juga amat ditekankan dari segi pendekatan tasawuf. Keperluan kepada kebersihan di atas, adalah keperluan bagi praktik kesufian dan amalan-amalan bagi ibadat solat, tetapi satu dimensi yang ditekan bahkan difokuskan ialah pembersihan dalaman diri bagi yang mau mengamalkan kesufian.
Sebagaimana pernah dibincangkan dari aspek kesufian, bahawa diri tidak terlepas dari dosa dan kesalahan yang menyebabkan diri sebenarnya tidak bersih. Bagi pembersihan seorang itu mestilah mematuhi segala kewajipan fardhu yang mesti ditunaikan dan disertai dengan taubat dari dosa-dosa yang dilakukan. Menjalani tasawuf  hendaklah melalui pembelajaran, praktik amalan dan pembawaan diri.  Bermaksud seorang tidak boleh bertasawuf dengan secara sendiri tanpa mempelajarinya dari guru yang berkelayakan dan dalam praktik amalan ini sebenarnya tidak lari dari melakuklan amalan-amalan ibadat fardhu dan sunat, sentiasa dengan Al-Qur`an dan Al-Hadith serta `ulama`,  di samping menjalani didikan diri dengan pembersihan dan peningkatan kualiti diri dengan tariq-tariq kepada Allah yang antaranya dikenali dengan maqam-maqam dan ahwal. Maksud pembawaan, ialah perwatakan diri yang memasuki alam kesufian akan terbentuk watak dirinya sebagai sufi, seperti berakhlak dengan akhlak yang mulia dan tinggi dan meningkatkan kualiti diri mendekati Ilahi. Sebagaimana dia senang dengan pembawaan diri, dia juga hendaklah disenangi oleh yang mengelilinginya. Misalnya dia berwatak tenang yang menenangkan kelilingannya.
Apa yang hendak ditekankan bahawa praktik sufi sebahagian besarnya ialah ibadat. Ini menunjukkan bahawa kesufian tidak terpisah dari keilmuan yang berhubung dengan fiqh dan syari`at. Diulang kembali ungkapan al-Imam Malik r.h.a. berkata:
``Siapa bertasawuf dan tidak berfiqh boleh membawa kepada zindiq,
Siapa berfiqh dan tidak bertasawuf boleh membawa kepada fasiq,
Dan siapa yang menghimpun antara keduanya, maka dia mencapai tahqiq.``

Sekian.

December 25, 2016

FIQH DALAM TABAQAT TARBIAH ROHANIAH


BBB, 24 Rabi`ul-Awwal 1438H. = 24 Disember 2016 (Sabtu):
Kita  masih membicarakan fiqh sebagai dimensi tasawuf, iaitu dengan pergi lebih jauh, bahawa fiqh adalah merupakan tabaqat dari tabaqat-tabaqat tarbiah rohaniah yang menghasilkan tasawuf. Bahawa pada manusia ada pengalaman, akal dan hati-rohani. Pada peringkat awal manusia hidup dan berdasarkan pengalaman dia memahami hidup dan keperluan bagi kehidupan.  Ini dapat dikatakan sebagai tabaqah alamiah yang memerlukan masa yang  panjang yang dilalui oleh manusia sebelum mereka mencapai tamadun dengan perutusan kerasulan dan kenabian.
Diringkaskan pembicaraan, bahawa manusia menyedari akan perlunya kepada aturan-aturan dan kehidupan  adalah terdiri dari aturan-aturan. Dilihat alam berada di dalam aturan dari siang malam, ada surut pasang,  sejuk panas, kehidupan dan kematian, kesenangan dan kesusahan. Dari aturan lahiri difikir ada  pengatur   yang mengatur semua aturan berkenaan hinggalah membawa kepada pemikiran tentang kejadian alam dan Pencipta alam dan kejadian.  Ini diperkukuh dengan   penyampaian maklumat berkenaan oleh  rasul dan nabi.
 Kerasulan membawa maklumat, bahawa apa yang difikir tentang pengatur itu, maka  Dialah Pencipta, Tuhan, Allah dan nama-nama yang lain bagi ketuhanan.
Demikian pengenalan membawa kepada kepercayaan kepada Pengatur yang dikenali sebagai Tuhan yang menjadi pegangan atau lebih khusus sebagaimana akidah.
Akidah menjadi tonggak dan titik utama bagi tasawuf. Lantaran melalui pendekatan akidah ianya memberi ruang kepada bidang tasawuf, khususnya bagi sufi menanggapi tentang ketuhanan. Peringkat akidah ini kita namakan sebagai tabaqat aqliyyah. Akidah mempunyai pendekatan yang tersendiri yang disusun dengan cara teratur  dan rasional. Bermula dengan hukum akal dan melaluinya mengenal Allah Ta`ala melalui asma`, sifat dan af`alnya dan juga mengenai rukun-rukun iman yang lain. Jadi melalui akidah terserlah kenyataan tentang hakikat kewujudan yang ada Pencipta dan yang kena cipta. Melalui tabaqat ini bergerak sama elemen tasawuf, bahawa melalui pengenalan Allah dapat dihayati keagungan, kekuasaan, keagungan, kesempurnaan dan keindahanNya. Tasawuf pada peringkat ini berbaur elemen akal dan elemen kerohanian.
Tabaqat ketiga kita namakan tabaqat amali, bermaksud, manusia menyedari bahawa kejadian sebagaimana telah dibincangkan adalah terdiri dari aturan-aturan. Aturan bagi cakerawala, langit dan bumi, aturan dan pertukaran siang dan malam,  aturan untuk survival perlu bekerja, bahkan mesti menyesuai dan mengikuti aturan-aturan. Namun ada yang tidak memahami dan tidak dapat mengikuti peratuan-peraturan alamiah yang patut dipatuhi dan selamat.
Tabaqat ketiga dikenali dengan hukum fiqhiyyah dan amaliyyah yang dikenali dengan ibadat, muamalat, munakahat, jinayah, jihad, mungkin dapat ditambah dengan aturan komunikasi dan akhlak. Tiap-tiap satu adalah merupakan aturan yang tersusun yang dapat diikuti dengan baik. Di samping itu diperkenalkan  aspek-aspek  bersifat negatif dan ditegah dari melakukannya.
Pada tahap tabaqat amali lahiri ini, sebenarnya menjadi panduan dan asas bagi kesufian. Sebagai contoh jika tidak dikenali dan amali dari tabaqat amali ini seperti solat dan puasa, bagaimana sufi dapat mengasaskan ibadatnya kepada Allah. Sebenarnya melalui asas ibadat yang amali ini dapat ditimba aspek-aspek tasawuf. Daripada solat misalnya dapat dihayati aspek khusyu`,  ikhlas, tanma`ninah, khauf, al-qurb, al-mahabbah dan sebagainya.
Di luar daripada ibadat-ibadat wajib, di sana banyak lagi aspek-aspek yang dikira  sebagai ibadat yang termasuk dibawah tabaqat fiqhiyyah seperti  aturan-aturan mu`amalat yang disusun dengan indah. Praktik muamalah yang merupakan hubungan antara manusia, misalnya dari segi urusniaga yang baik, kehidupan berjiran yang baik, peraturan-peraturan sosial yang baik memberi ruang kepada setiap orang Islam menikmati kehidupan yang baik dan mempunyai hubungan yang baik dengan masyarakat, , bersifat tolong menolong dan membantu antara satu sama lain. Tabaqat yang lebih merupakan hubungan horizontal ini juga memberi ruang kepada peningkatan peribadi dan kerohanian seseorang.
Tabaqat keempat ialah lebih bersifat  perkembalian ke dalam diri, iaitu penekanan bagi pembersihan diri dalam mendekati Ilahi, iaitu tahap yang dikenali dengan tasawuf. Sebenarnya apa yang didekati di dalam tasawuf tidak lain dari kembali menyusun aspek-aspek kerohanian secara teratur yang infra-strukturnya sudah ada di dalam akidah Islam, shari`atnya (fiqh) dan akhlaknya. Contoh penyusunan sebagaimana yang diatur oleh al-Sarraj dengan pendekatan maqam dan hal dan tambahan-tambahan yang lain. Peningkatan dari segi kebersihan yang tentulah bersama dengan amalan-amalan kerohanian tersebut tidak lain dari meningkatkan kualiti kerohanian seseorang itu, dalam kata lain memperbaiki dan mendekati diri dengan Allah Subhanahu wa Ta`ala.
Dan tabaqah terakhir ialah tabaqah pendekatan dengan Allah dari segi dapat dikatakan, ibadat, kecintaan dan juga disebut ma`rifat. Kedekatan disebutkan adalah dari segi kualiti dan maknawi dan tidak mungkin berlaku dari segi realiti alami.
Dari kesemua tabaqat di atas (lima – alamiah, akidah (akliyyah), fiqh (hukmiyyah-amaliyyah), tasawuf dan ma`rifat memperlihatkan dua dasar penting di dalam perjalanan kualiti diri, iaitu akidah yang menjadi tunjang utama yang menumbuh dan menyuburkan yang lain. Dan fiqh atau aturan shari`at itu sendiri yang berasaskan segala aturan-aturan yang menjadi panduan amalan. Dari amalan inilah sebenarnya menumbuhkan cabang-cabang indah dari segi amalan yang merupakan bunga dan buah, iaitu sebagai bandingan dengan keilmuan tasawuf dan kerohanian hasil dari pertumbuhan perdu tauhid yang tumbuh dengan amalan-amalan yang amalan-amalan ini pula mempunyai berbagai taraf dan kualiti yang dapat dicapai oleh setiap individu berkenaan. Dapatlah difahamkan bahawa kepentingan tauhid sebagai tabaqat utama, dan fiqh sebagai tabaqah praktik memberi sumbangan yang penting kepada pembinaan tasawuf yang bukan bersifat bersendirian, tetapi adalah bersifat penyempurnaan.
Tasawuf tidak sendirian, ia adalah berpaksikan kepada tauhid dan merupakan  pancaran yang ditimba dari amalan, aturan dari shari`at dan akhlak. Ia merupakan bunga dan buah dari segi  tarbiah.

Sekian.

December 24, 2016

DIMENSI TASAWUF DALAM FIQH


BBB,  23 Rabi`ul-Awwal 1438H. = 23 Disember  2016M. (Juma`at):
Hubungan tasawuf dengan akidah begitu rapat. Di dalam tasawuf dibicarakan konsep tauhid, pertembungan pendapat di dalam ilmu tauhid, bahkan ilmu al-Kalam turut dikaitkan di dalam  pembicaraan  tasawuf seperti pendapat Mu`tazilah, Ahlu al-Sunnah dan sebagainya, bahkan topik-topik yang sama di dalam akidah dibicarakan juga menurut perspektif tasawuf contoh seperti persoalan apa itu tauhid, sifat, tentang Al-Qur`an, al-kalam, al-ru`yah, qadha`, qadar, jabar, aslah, wa`ad, wa`id, shafa`ah dan sebagainya. Pembicaraan bukan saja kerana persoalan-persoalan ini berkaitan dengan  ilmu tasawuf dan tasawuf setengahnya mempunyai pendekatan tersendiri, tetapi adalah kerana dilihat kesempunaan tasawuf adalah bergantung pada kesempurnaan akidah.
Sebagaimana tasawuf mempunyai kaitan dengan akidah, demikian juga tasawuf mempunyai hubungan yang rapat dengan fiqh, walaupun perkaitan perhubungan antara keduanya tidak sebanyak diperkatakan sebagaimana perkaitan dan pembicaraan antara ilmu tasawuf dan akidah. Namun sudah tentu difahami bahawa kesempurnaan tasawuf juga adalah bergantung pada kesempurnaan  amalan-amalan berhubung dengan bidang fiqh. Soalan jelas berhubung dengan perkaitan dan kesempurnaan tasawuf, ``Adakah betul seorang bertasawuf dengan tidak bersolat atau tidak sempurna solat ?` Tentulah jawab, tidak bertasawuf seseorang yang tidak bersoalat. Demikian dengan ibadat-ibadat wajib yang lain seperti, puasa, zakat dan haji.
Kesedaran tentang perlunya kepada ibadat yang sempurna ini telah dibicarakan di dalam pendekatan tasawuf oleh Abu Nasr al-Sarraj al-Tusi di dalam karangan tasawuf terkenalnya `Al-Luma`` itu.
Di dalam kitabnya ini beliau memberi ruang yang panjang membeicarakan persoalan yang berhubung dengan ibadat. Tetapi pendekatannya tidaklah secara kitab fiqh, tetapi beliau membicarakan tentang ibadat dari aspek adab-adab bagi meningkatkan ibadat-ibadat, iaitu:
Adab wudhu`  dan t*aharat, adab di dalam solat, adab berzakat dan bersadaqah, berpuasa  dan adab di dalam mengerjakan haji. Al-Sarraj dapatlah dikatakan pemula yang membicarakan aspek-aspek ibadat di dalam ilmu fiqh sebagai pendekatan yang menintegrasikan kesempurnaan ilmu tasawuf. Pendekatan yang sedemikian dilakukan oleh Abu Talib al-Makki (m. 386H.) dengan karangannya yang berjudul Qut al-Qulub (Makanan Hati). Abu Talib mengambil pendekatan yang lebih jelas dengan mengintegrasikan kitab tasawufnya dengan ilmu akidah dan fiqh.  Pendekatan ini seolah-olah membuka jalan kepada Al-Imam al-Ghazali (m. 505H./1111M.) melengkapkan pendekatan integrasi keilmuan tasawuf dengan kitabnya yang berjudul Ihya` `Ulum al-Din. Di dalam kitab Ihya` `Ulum al-Din ini beliau mengambil pendekatan integrated, bahawa tasawuf sunni adalah kombinasi antara tasawuf, akidah, fiqh dan akhlak, iaitu dengan mengkombinasikan pendekatan yang telah dibuat sebelumnya oleh Al-Muhasibi (m. 243H.) dengan kitab Al-Ri`ayat li Huquq Allah yang menerokai pendekatan akhlak, Al-Sarraj (m. 378H.) dengan penerokaan berhubung dengan bidang tasawuf  dan aspek maqam dan hal, al-Kalabadzi dengan aspek-aspek tauhid dan perbezaan pendekatan tasawuf dengan pendekatan Sunni dan bermula dari Al-Sarraj membicarakan sama aspek fiqh – ibadat dan dibawa sama oleh Abu Talib  al-Makki di dalam Qut al-Qulub yang melengkapkan pendekatanya dengan akidah dan fiqh. Dan semuanya ini dilengkapkan oleh Al-Ghazali di dalam karyanya Ihya` `Ulum al-Din.
Mengapa dilihat ada dimensi tasawuf di dalam ilmu fiqh dan keperluannya  kepada ilmu tasawuf.
Ada beberapa faktor penting:
1.       Pemurnian lahir dan batin
Tasawuf ialah keilmuan  yang menekankan kebersihan batin yang berkait dengan pembersihan nafsu, hati dan rohani. Sedangkan ibadat-ibadat dari segi syara` adalah penekanan pada aspek amalan dan luaran. Kesempurnaan dalaman bergantung pada kebersihan dan kesempurnaan luaran Tiada tasawuf tanpa  fiqh.
2.       Tanpa gandingan boleh membawa kepada penyelewengan
Al-Imam Malik menyebut tentang perlunya gandingan antara ilmu tasawuf dan fiqh dengan katanya bermaksud:
``Siapa bertasawuf dan tidak berfiqh boleh membawa kepada zindiq dan
Siapa berfiqh dan tidak bertasawuf boleh membawa kepada fasiq, dan
Siapa yang menghimpun antara keduanya, maka dia mencapai tahqiq.
3.       Pengukuhan Ilmu tiga serangkai
Bermaksud ilmu tiga serangkai ini ialah ilmu yang berhubung dengan Islam – termasuk fiqh, keilmuan yang berhubung dengan keimanam (rukun iman) dan berhubung dengan ihsan. Sebagaimana Hadith diriwayatkan oleh `umar bahawa Rasulullah s.a.w. ditanya oleh Jibril, tentang Islam, iman dan ihsan yang mencerminkan kepentingan ketiga-ketiga aspek iaitu rukun  Islam, rukun iman dan ihsan merupakan keperluan yang bersifat integrated.
4.       Elemen tasawuf di dalam ayat-berhubung dengan ibadat:
Di dalam ayat-ayat Al-Qur`an, meskipun berhubung dengan bidang fiqh, misalnya berhubung dengan ibadat, tetapi membawa bersamanya elemen tasawuf. Contoh ayat bermaksud:
``Sesungguhnya  bersolat itu mencegah dari perkara keji dan mungkar.`` (Al-`Ankabut: 45)
Dan ayat bermaksud:
``Wahai orang-orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.`` (Al-Baqarah: 183).
Hasil dari solat mencegah perkara keji dan puasa memupuk taqwa. Ianya  adalah antara fokus dan kesan bertasawuf.
5.       Kesan dari ibadat
Kesan dari ibadat  membentuk seseorang berjiwa bersih, jujur dan bertanggungjawab. Ianya adalah merupakan elemen tasawuf.
Dapat ditambah lagi kepentingan dan kesan ibadat di dalam pembinaan jiwa ketasawufan. Pendek kata hubungan antara bidang tasawuf dan fiqh amat rapat, hingga dapat dikatakan bahawa tiada tasawuf tanpa berfiqh dan ibadat.

Sekian.

December 23, 2016

MA`RIFAT AL-HAQQ DAN HAQIQAT


BBB, 22 Rabi`ul Awwal 1438H. = 22 Disember 2016M. (Khamis):
Persoalan ma`rifat dan ilmu sesungguhnya pernah dibicarakan sebelum ini, namun dibawa kembali bagi melihat, khususnya dari perspektif Al-Kalabadzi. Ma`rifat sebagaimana kita telah bicarakan ialah ilmu  khusus dari segi kerohanian, manakala ilmu ialah merujuk kepada semua bidang, khususnya segala yang berhubung dengan maklumat alamiah.
Al-Kalabadzi merujuk pendapat bahawa ma`rifat ada dua bidang, iaitu ma`rifat al-Haqq dan ma`rifat Haqiqat. Adapun  ma`rifat al-Haqq, ialah mengithbatkan tentang tauhid (keesaan)  Allah Ta`ala sebagaimana ternyata daripada sifat-sifatNya.
Persoalan tauhid ini dibicarakan oleh Al-Kalabadzi selepas membicarakan tentang ma`rifat yang menurutnya rukun tauhid ada tujuh iaitu:
Mengesakan yang qidam daripada yang baharu
Mentanzihkan yang Qadim daripada perkara baharu kepadaNya
Meninggalkan penyamaan antara sifat
Menghilangkan `illah daripada Al-Rububiyyah
Mengijlalkan yang Haqq daripada berkait dengan qudrat yang baharu terhadapNya
MembersihkanNya daripada  tamyiz dan ta`ammul
Dan membersihkanNya daripada qiyas.
Maksud  tauhid bahawa  engkau mengifradkan ketauhidanNya.
Pendek kata Tauhid al-Haqq ialah Ma`rifat al-Haqq, iaitu mentauhidkan Allah yang Dia adalah bersifatr dengan sifat Kesempurnaan.
Adapun bahagian kedua, iaitu Ma`rifat Haqiqat.
Ma`rifat Haqiqat adalah tiada jalan kepadaNya, lantaran tertegah Allah al-Samad dan Haqiqat Rububiyyah daripada diliputi. Lantaran firman Allah bermaksud:
``Dan tidak meliputi dengannya keilmuan.`` (Taha: 110).
Walau bagaimana kerahsiaan tentang ma`rifat dan keilmuan  adalah mistri bagi manusia, dan tiada batas dan watas bagi mereka meneroka dan mencari. Namun walaupun ternyata ada kemajuan di dalam penerokaan ilmu  yang mengkagumkan dan ada kemesraan dan kekudusan di dalam mendambakan ma`rifat, semuanya terhad dan amat sedikit yang didapat, sebagaimana firman Allah yang bermaksud:
``Dan tidaklah kami memberi kepada kamu daripada ilmu, melainkan sedikit.`` (Al-Isra`: 85).
Ma`rifat yang diusahakan ialah oleh yang dinamakan `Al-Arif` yang disifatkan oleh Al-Junayd tatkala ditanya tentang al-`arif, maka jawapannya secara kiasan:
``Warna air adalah warna bejananya.``
Ya`ni adalah ia pada setiap hal dengan apa yang aula, maka berubah ahwalnya, lantaran itu dipanggilkan dia sebagai `Anak zamannya`.
Demikian disoal Dzu al-Nun al-Misri tentang `arif, maka katanya, ``Adalah dia di sini dan berlalu.``
Maksudnya, engkau tidak melihatnya  dalam dua waktu dengan hal yang satu, kerana  berlalunya  akan yang lain.
Ada yang mengatakan, ``Al-`Arif ialah yang  menggunakan kesungguhannya kepada tujuan bagi Allah, dan mentahqiqkan dengan apa yang dari Allah, dan sah perkembaliannya  daripada sesuatu kepada Allah. Sebagaimana firman Allah Ta`ala bermaksud:
``Engkau melihat mata-mata mereka lempah mengalir air mata lantaran mereka mengenal daripada Yang Haqq.`` (Al-Ma`idah: 83).
Daripada huraian-huraian di atas, ma`rifat adalah merujuk kepada aspek kerohanian yang walaupun kemampuan `arif adalah terhad tetapi mereka adalah pendamba-pendamba berterusan yang meneroka batas-batas kerahsiaan dengan penuh kerinduan, bahawa mereka  penyaksi rahsia tentang kebesaran Allah dengan membesarkan haqNya, mengijlalkan  qudratNya yang lemah  untuk diibaratkan`
Maka disoal Al-Junayd daripada ma`rifat, maka katanya:
``Dia adalah perulangan kerahsiaan di antara membesarkan Yang Haqq daripada liputan dan menijlalNya dari dapatan.
Maka ditanya lagi Al-Junayd  tentang ma`rifat, maka katanya, ``Bahawa engkau mengetahui bahawa apa yang  ditasawwur di dalam kalbu engkau, maka Al-Haqq adalah bersalahan daripada itu.``
Al-Junayd juga  mengatakan bahawa, ``Ma`rifat adalah penyaksian lintasan dengan akibat kejadian. Tiada pembaziran bagi arif dengan keberlaluan dan tiada taqsir.``
Al-Kalabadzi telah membicarakan tentang tauhid secara terhad dengan bahasa minda, iaitu rasional, tetapi tumpuan pembicaraan ialah terhadap persoalan hakikat yang menurut Al-Kalabadzi adalah persoalan yang tidak mungkin dicapai oleh manusia, baik secara minda dan hati-rohani, tetapi bidang inilah sebagai fokus pembicaraan dengan pendekatan-pendekatan perjalanan kualiti yang antaranya dikenali dengan maqam dan hal atau dikenali sebagai  `turuq ila Allah` dengan bahasa rohani. Pada dasarnya  penerokaan trerhadap ilmu menggerakkan manusia maju, walaupun terhad dan penerokaan terhadap haqiqat, walaupun di luar kemampuan, tetapi kerinduan dan pembaikan diri meningkatkan kualiti keinsanan itu sendiri berdepan dengan Yang Abadi.

Sekian.

December 22, 2016

ISTILAH-ISTILAH KONTROVERSI: PEMBATASAN KENENARAN DAN NILAI


BBB, 21 Rabi`ul-Awwal 1438H. = 21 Disember 2016 (Rabu):
Situasi keilmuan adalah semestinya di dalam sifat sedar dan dibicarakan secara rasional, dapat difahami secara rasional dan dipegang dan diyakini secara rasional. Contoh bagi bidang keislaman ialah ilmu akidah dan persoalan-persoalan fiqh.
Di luar dari rasional, baik bagi keilmuan umum dan keilmuan  agama ada elemen-elemen yang dipengaruhi oleh elemen-elemen subjektif  seperti emosi, hati dan rohani. Untuk lebih faham kita lihat bidang-bidang yang bersifat umum. Sebagai contoh bidang seni seperti nyanyian adalah disertai dengan elemen emosi dan  seni kalbu  yang menjadikannya indah dan bermutu termasuk bagi nasyid. Contoh pada peringkat seni yang lebih tinggi yang padanya elemen seni yang bersifat kudus seperti penulisan khat, seni bina masjid. Dengan khat yang bermutu atau seni bina masjid yang indah  mencetuskan rasa indah, kagum dan kudus membawa hati-nurani meningkat kepada pengalaman  kalbu yang meninggi yang kita dapat sebutkan sebagai estetika  murni. Pada peringkat darajat yang lebih tinggi melalui rohani turut disertai oleh elemem yang kita katakan `seni rohani`. Contoh rasa khusyuk, ta`abbudiyyah, khudhu`, rasa fana` adalah pancaran rohani yang disertai seni rohani yang suci yang menjadi mekanisme mendekati Ilahi. Contoh kekhusyukan di dalam solat, puasa, tilawah al-Qur`an, haji, munajat, do`a dan berbagai-bagai lagi amalan-amalan kerohanian yang membawa diri mendekati ilahi.
Perlu diingat bahawa sama ada merasa keluhuran dengan keilmuan, keindahan dan kekaguman dengan seni, kekudusan dan kemesraan di dalam ibadat seharusnya di dalam suasana sedar dan rasional yang nilai akliah dan hukum adalah berjalan terhadap nilai sama ada baik atau sebaliknya dari segi amalan. Ianya merupakan pancaran nilai perabadan rohaniah yang meningkatkan tahap nilai dan kerohaniah amalan.
Rasional adalah batas yang menjadi perkiraan amalan. Perlu diingat di luar dari batas rasional di atas ada batas irrasional yang tidak berlaku pada ilmu, tetapi boleh berlaku pada emosi, hati dan rohani yang dapat diistilahkan sebagai abnormal dan extreem. Sebagai contoh dengan emosi  yang kemabukan rasa boleh membawa diri hanyut, jika tidak terkawal. Cinta dari kalbu yang membuak dengan mesra juga hanyut keluar dari adab dan akhlak  dan termasuk ke wilayah dosa, bahkan dari segi kerohanian, khususnya  boleh tiba pada peringkat diistilah sebagai `al-sakar` (mabuk) diluar kawalan. Di dalam hal ini ada aspek-aspek khusus yang dibicarakan oleh al-Kalabadzi, termasuk juga oleh Al-Sarraj.
Menurut Al-Kalabadzi al-sakar ialah gambaran bahawa seorang itu hilang dari kemampuan membezakan sesuatu. Lawan bagi istilah ini ialah al-S*ahwu, iaitu sedar. Di dalam keadaan sedemikian  boleh membawa seorang sufi  mengungkapkan sesuatu yang bersifat kontroversi dan bercanggah dengan nilai rohani, shariat dan akidah. Pengistilahan yang berdekatan dengan al-sakar dan al-s*ahwu, ialah, ghaib dan hadir, juga   di dalam keadaan hiyam (termangu) dan hayjan (goncang), jama` dan tafriqah, tajalli (mukashafah) dan al-istitar (terlindung), bahkan keadaan fana` dan baqa`. Ungkapan-ungkapan yang terpancar dari mereka yang di dalam keadaan sedemikian dapat berlaku di dalam bidang seni puisi.  Misalnya seperti yang diungkapkan oleh  Ibn `Arabi, Al-Jili, Hamzah Fansuri, Shamsuddin al-Sumatrani dan lain-lain lagi. Yang menjadi lebih kontroversi lantaran mereka berpegang kepada falsafah yang bercanggah dengan Islam seperti wahdatul wujud bagi Ibn `Arabi, Al-Jili, Hamzah Fansuri dan  Shamsuddin al-Sumatrani, Al-Ittihad seperti oleh Al-Bistami, Hulul pada Al-Hallaj  dan lain-lain lagi
Ciri-ciri kemabukan rasa sedemikian antara maksud yang ditujukan oleh Al-Qur`an terhadap penyair-penyair yang disifatkan membawa elemen-elemen jahilah. Ayat  Al-Qur`an di dalam Surah al-Shu`ara` bermaksud:
``Dan ahli-ahli syair itu diturut oleh golongan yang sesat – tidak berketentuan hala. Tidakkah engkau melihat bahawa mereka merayau-rayau tidak  berketentuan hala dalam tiap-tiap jurang lembah (khayal dan angan-anagn kosong). Dan bahawa mereka memperkatakan apa yang mereka tidak melakukannya. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal salih (dari kalangan ahli-ahli syair itu) dan mereka pula mengingati Allah banyak-banyak, serta mereka membela diri sesudah mereka dianyayai. Dan (ingatlah) orang-orang yang melakukan sebarang kezaliman, akan mengetahui kelak, ke tempat mereka akan kembali.`` (Al-Shu`ara`:  224-227).
Sebagaimana berlaku di kalangan para penyair yang hanyut dengan perasaan, maka sedemikian juga boleh berlaku bagi kalangan sufi yang mengungkapkan ungkapan-ungkapan dan juga puisi-puisi secara di luar sedar. Sudah tentu ada dari ungkapan-ungkapan yang baik, tetapi sebahagian ungkapan yang bercanggah dari kebenaran. Terutama bagi kalangan yang berpegang dengan falsafah yang tidak selari dengan Islam. Sebagai contoh antara ungkapan Ibn `Arabi yang berfaham wahdat al-wujud, Al-Hallaj yang berfaham hulu dan sebagainya.  Ungkapan-ungkapan mereka yang di luar sedar dan berfaham bercanggah dengan fahaman murni Islam ini menjadi kontroversi.  Walau bagaimana rasional akal dan kebenaran akidah yang murni Islam adalah menjadi faktor nilai antara benar dan salah, antara boleh dibenar dan tidak dibenarkan, bagi menjaga kemurnian akidah  dan kemurnian Islam.
Persoalan kebebasan berkarya memang berlaku sejak dulu hingga kini di dalam bidang-bidang terutama seni –  seperti  di dalam bidang nyanyian, penulisan  prosa dan puisi, fesyen seperti pakaian. Namun kebebasan hendaklah dikawal oleh kebenaran dan nilai, jika tidak ianya menimbulkan penentangan. Contoh penentangan dari segi kebenaran seperti berlaku antara pegangan Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah menentang aliran-aliran kontroversi sepeti Mu`tazilah, Qadariyyah, Jabariyyah, Shi`ah dan sebagainya. Begitu juga dari segi nilai seperti ketidaksenangan terhadap ungkapan-ungkapan yang bercanggah dengan nilai dan pegangan Islam murni seperti aspek-aspek kontroversi di dalam tasawuf seperti yang membawa faham wahdat al-wujud, hulul, ittihad dan sebagainya.
Kebenaran dan rasional perlulah menjadi batas penentu bagi mengelak berlakunya kontroversi di dalam keilmuan termasuklah juga tasawuf.

Sekian.

December 21, 2016

PERSOALAN AL-GHALABAH (TERSILAP=TERLANJUR)


BBB, 20 Rabi`ul Awwal  1438H. =  20 Disember 2016 (Selasa):
Di dalam membicarakan tentang ahwal ini, Al-Kalabadzi menampilkan  persoalan `Al-Ghalabah`, sebagai salah satu aspek al-ahwal. Rujukan dibuat terhadap beberapa kitab yang lain, termasuk `Al-Luma` yang menyediakan  bahagian khas  kemusykilan  tentang istilah-istilah kesufian , namun istilah ini bukanlah menjadi kebiasaan di dalam kitab-kitab tasawuf biasa. Tiada pembicaraan diberikan terhadap istilah ini oleh  Al-Sarraj.
Al-Ghalabah makna biasa ialah `kalah`,  `tersalah`, `tewas` ,  terlanjur` atau juga silap. Istilah ghalabah yang perbuatannya (fi`il madhi – ghalabat)  dapat difahami daripda ayat  Al-Qur`an bermaksud:
``Berapa banyak (yang pernah terjadi)  golongan yang sedikit berjaya nenewaskan  (ghalabat) golongan yang banyak dengan izin Allah dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang yang sabar.`` (Al-Baqarah: 249).
Atau ayat-ayat bermaksud:
``Orang-orang Rum telah dikalahkan. Di negeri yang dekat sekali. Dan mereka sesudah kekalahannya itu akan mengalahkan  lawannya dalam masa tidak sampai sepuluh tahun. Kepada pentadbiran Allah jua terpulang segala urusan.`` (Al-Rum: 2-4).
Membaca kandungan dan huraian tentang istilah al-ghalabah di dalam al-Ta`arruf  al-Kalabadzi, ia adalah berhubung dengan peristiwa-peristiwa biasa, bukannya berhubung dengan konsep tasawuf yang tinggi. Peristiwa biasa ini berlaku dan selepas disedari menimbulkan keinsafan. Justeri bagi istlah `Al-Ghalabah` ini kita lebih cenderung memilih istilah, `Tersilap` atau `Terlanjur`.
Dalam huraian awal Al-Kalabadzi menyebut `al-ghalabah` ialah hal yang ternyata bagi seorang hamba yang tidak menyedari secara teliti sebab  musabab, tanpa meraikan adab, sebaliknya mengambil tindakan spontan dengan apa yang mendepaninya yang mungkin membawanya bersikap menentang, lantaran tidak mengetahui akan halnya yang kemudian membawanya (kepada yang bertindak)  secara silap menyedari kesilapan dan berlaku penyesalan dan memohon keampunan kepada Allah. Nilai murni dan ketasawufan di sini ialah  `Menyedari`   kesilapan, kesal dan memohon taubat dan keampunan dari Allah.
Sebagai contoh yang dibawa oleh Al-Kalabadzi peristiwa yang berhubung dengan  Abi Lubabah ibn al-Mundzir, ketika Rasulullah s.a.w. bermesyuarat dengan Banu Quraiz*ah tentang hukum yang patut dikenakan terhadap Sa`ad bin Mu`adz di atas kesalahannya, maka diisyaratkan oleh Abu Lunanah dengan tangannya kepada halkumnya dengan maksud ia hendaklah disembelih. Perbuatan spontannya menyebabkan berlaku kekesalan kepada Abu Lubabah. Dia menyedari dengan perbuatannya, dia menganggap dirinya telah melakukan pengkhianatan terhadap Allah dan RasulNya. Dia berlalu dengan wajah yang kesal hingga dia menambat dirinya pada salah satu dari tiang-tiang masjid. Dia berkata, `Aku tidak melepaskan diriku dari tempat ini sehingga aku menerima taubat di atas kesilapan yang aku lakukan.``
Ini menunjukkan kekesalan Abu Lubabah terhadap perbuatannya dan memohon keampunan terhadap Allah dan Rasulnya. Peristiwa itu sampai kepada Rasulullah. Apabila diketahui Rasulullah akan benar-benar kesalnya, bahkan dia menemui Rasulullah, maka diampunkankan yang mana ayat yang berhubung dengan peristiwa berkenaan diturunkan bermaksud:
``Dan kalaulah mereka ketika menganyayai diri mereka sendiri datang kepadamu (wahai Muhammad), lalu memohon ampun kepada Allah, dan Rasulullah juga memohonkan ampun untuk mereka, tentulah mereka mendapati Allah Amat Menerima taubat, lagi Amat Mengasihani.`` (Al-Nisa`:  64).
Keadaan `Al-Ghalabah` juga berlaku kepada Sayyiduna `Umar Ibn al-Khattab melahirkan rasa tidak puas hatinya, apabila diketahui tentang kandungan Perjanjian al-Hudaybiah yang dianggapnya lebih memihak dan memberi  keuntungan kepada pihak kuffar Quraisy Makkah. Sikap `Umar ini  seolah-olah mencabar Rasulullah, sehingga dia diingatkan oleh Abu Bakar dan dia kembali sedar dan mengucap pengakuan kesilapan dan memohon keampunan  kepada Allah dan terhadap Rasulullah. Bagi menebus kesilapannya `Umar berkata, ``Aku melakukan puasa , bersedekah, memerdehekakan hamba, memperbanyakkan solat dengan harapan kesilapanku mendapat keampunan dari Allah.
Dari dua contoh di atas `Al-Ghalabah` atau kesilapan atau keterlanjuran mungkin berlaku kepada seseorang  secara spontan dan di luar dari pertimbangan, kerana apa yang berlaku di luar dari ukuran dan pertimbangan seseorang. Kemudian dia sedar, sama ada dia disedarkan oleh pihak yang lain yang bersamanya atau dia sendiri kemudian sedar dan menyedari kesilapannya  yang bukan dibuat-buat  dan dengan penuh kekesalan memohon keampunan dari Allah dan berusaha mengkaffarahkan diri dengan berbagai-bagai amalan kebaikan agar kesalahannya diampun oleh  Allah.
Pada hakikatnya apa yang disanggah  ialah menurut penilaian normal sebagaimana yang dilakukan oleh `Umar dan ianya dilakukan bagi mempertahankan hak orang Islam, tetapi Rasulullah lebih maklum akan natijah akhir yang di luar dari jangkaan dan penilaian biasa. Kerana melalui Perjanjian Hudaybiah itu, pihak kafir Quraisy tidak mampu memegang janji yang membuka ruang kepada orang Islam kemudiannya membuka Makkah dan penduduknya menerima Islam.
Sesunggunhnya bukan saja bagi kesilapan atau ketelanjuran yang di luar jangka  membolehkan seorang Islam yang tersilap memohon keampunan dari Allah, bahkan bagi segala dosa yang pernah dilakukan terbuka peluang untuk memohon ampun daripada Allah. Firman Allah antaranya bermaksud:
``Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa (syirik), mempersekutukanNya (dengan sesuatu apa jua) dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakinya.`` (Al-Nisa`: 48).
Firman Allah lagi bermaksud:
``Wahai orang-orang yang beriman bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuha.`` (Al-Tahrim: 8).
Apa yang hendak disampaikan, bahawa seseorang hamba tidak terlepas dari terjatuh pada kesalahan dan ketelanjuran – dengan tidak sengaja. Kesilapan dan ketelanjuran dengan tidak sengaja seharusnya memberi kesedaran seseorang agar sentiasa waspada supaya tidak terjatuh di dalam kesilapan. Dan bagi yang melakukan kesilapan hendaklah memperbaiki diri dengan bertaubat dan kesal dan membetulkan diri kembali  kepada landasan dan amalan yang betul.

Sekian.

December 20, 2016

AL-WAJD, CITRA HATI ROHANI - DAMBAAN SUFI


BBB,  19 Rabi`ul Awwal  1438H. =  2016M. (Isnin):
Persoalan `Al-Wajd` atau  ditambah dengan `Al-Dzauq  wa al- Wajd` - Rasa dan Wujdan   adalah istilah yang sering diketemui  bila membicarakan tentang intuisi  kalbu dan kerohanian dan menanggapi persoalan yang ghaib, khususnya Ketuhanan.  Persoalannya amat subjektif dan tiada definisi atau ta`rif yang dapat diberikan secara konkrit. Manakala pengalaman kalbu dan kerohanian antara seorang dengan yang lain adalah berbeza-berbeza yang boleh membawa kepada tanggapan berbeza-beza, dan huraian pula dari seorang dengan seorang pula berbeza-beza. Sebagai contoh ciri indah bagi seorang seniman dengan seorang seniman adalah berbeza-beza, demikian berbeza pula dari aspek `Al-Wajd atau wujdan`.
Di dalam hal ini Al-Sarraj menyatakan bahawa, ``Berlain dan berbagai pendapat dari kalangan  sufi tentang al-wajd.
Maka `Amru bin `Uthman al-Makki r.h.a. berkata, ``Tidak ada satu kayfiyat yang dapat diibaratkan tentang al-wajd,  kerana katanya, ianya adalah rahsia Allah pada orang mukminin yang muqinin.
Al-Wajd atau secara nama terbitan ialah wujdan, dari segi lughah ialah dapatan, tetapi ia bukan bermaksud dapatan secara nyata, ianya adalah suaan hasil dari pertembungan yang berlaku. Bermaksud dalam perjalanan dan peningkatan rohani seorang `salik`  tiba pada satu peringkat ia tersua, tertanggap, bahkan berlaku pendepanan suatu pengalaman rohani yang dihayati dan tidak dapat digambarkannya dengan ungkapan biasa bagi pengalaman yang tidak biasa itu.
Sebab itu kata Al-Sarraj yang memetik pendapat Al-Junayd berkata, ``Aku menyangka bahawa `al-Wajd` ialah `Pertembungan`, `pertemuan secara mengejut` `Al-Mus*adafah` bagi pejalan maqam dan peningkatan kepada satu peringkat yang membuka tabir sekatan bagi tanggapan hati-rohaninya selama ini. Namun pertembungan dan terpandang` ini, bukan bererti dapatan yang konkrit, sebaliknya  ianya citra yang tetap subjektif yang tidak kekal. Di dalam hal ini  Al-Junayd mengambil firman Allah yang merujuk kepada istilah  `wajad` dari ayat yang bermaksud:
``Dan mereka dapati apa yang mereka amalkan hadir.`` (Al-Kahfi: 49).
Ya`ni berdepan.
Sebagai bandingan seorang seniman kalbu-rohani yang mendambai sesuatu lintasan ilham, tidak mudah terbuka baginya ruang ilham ini, mungkin pencarian memakan masa, berhari,  berminggu, berbulan-bulan, bahkan lebih dari itu dan jika ia bersua, tidak dapat ditangkap, jika dapat ditangkap, mungkin terasa tidak lengkap dan mungkin hilang begitu sahaja. Demikian contoh pengalaman yang bersifat kalbu yang alamaiah sifatnya. Bandingkanlah dengan pengalaman yang bersifat rohniah yang suci dan bersih tentulah lebih tinggi kedudukannya.
Berdasarkan kepada apa yang disebut oleh Amru al-Makki, dan Al-Junayd, kita cenderung untuk memaknakan atau mengistilah `Al-Wajd`atau `Wujdan` ke dalam maksud di dalam bahasa Melayu ialah `Citra Hati-Rohani`. Bermaksud gambaran, imej atau sifat bagi sesuatu tanggapan, yang diharap dan diingini, yang mungkin dapat ditanggapi dan dihayati apa yang didamba sama ada secara kalbu, atau lebih tinggi daripada itu, iaitu bersifat rohani. Apa yang ditanggapi ini sebagaimana dikata boleh dicapai dan digapai secara maknawi, tetapi mungkin tidak dapat dicapai atau digapai secara maknawi, tetapi demikianlah sifatnya yang dialami oleh para ahli kalbu dan ahli rohani. Lantaran diungkapkan, nikmat yang dapat dihayati oleh para pencari baik pada peringkat kalbu atau rohani, bahkan akli ialah dalam perjalanan pencarian, dalam suasana ia di dalam ketidak pastian akan berketemuan atau kedapatan. Perjalanan penujuan dan pencarian itu adalah merupakan nikmat kalbu, rohani dan akli, dalam hal ini, perjalanan kalbu dan rohani yang subjektif sifat tiada penghujung, dia sama ada gagal atau terbakar dalam pencarian sebelum menemui pertemuan yang tidak mungkin bertemu antara yang baharu  dengan yang qadim dan antara abid dan ma`bud.
Bagi Al-Kalabadzi, bahawa al-wajd atau  `Citra Kalbu-Rohani`, ialah apa yang bertembung dengan hati sama ada  dari segi kegerunan, dukacita atau penglihatan makna daripada hal-hal akhirat atau kashaf  hal antara hamba dan Allah `Azza wa Jalla.
Berkata mereka itu kata Al-Kalabadzi, iaitu apa yang didengar hati yang di dalam dada. Sebagaimana firman Allah bermaksud:
``Dan apa yang sampai kepada pendengaran dan dia menyaksikan.`` (Qaf: 37).
Berkata Al-Nawawi, Al-Wajd (Citra Kalbu-Rohani) ialah nyalaan yang  terjadi dari asrar dan mencetuskan rasa shauq yang menggongcangkan anggota secara gembira atau dukacita bila dia didatangi suasana..
Berkata mereka itu, bahawa al-wajd sebagai citra kalbu-rohani berlaku dan menghilang, sedangkan ma`rifat adalah thabit dengan Allah dan tidak hilang.
Diungkapkan kepada Al-Junayd:
Al-Wajdu rentak gembira siapa yang didalam al-wajd merihatkannya
Dan Al-Wajd ketika hadir yang Haqq, maka Ia menghilangkannya
Sesungguhnya dia menggetarkan daku dan mendukakan daku
Dari melihat al-wajd, pada hal apa yang pada wajd tidak suatu.
Dan diungkap gubahan kepada Shibli:
Al-Wajd padaku adalah bertentang
Selama adalah tiada penyaksian
Yang menyaksi hak bagiku
Fananya shuhud al-wujud itu.
Al-Wajd atau `Wujdan`  adalah sesuatu yang didamba sufi di dalam perjalanan kualiti. Ia merupakan `Citra Kalbu-Rohani` yang mungkin  dapat ditanggapi dalam pencarian berkenaan atau mungkin tidak dapat ditanggapi dan seterusnya menjadi  dambaan dan pencarian. Dambaan terhadap `Citra Kalbu-Rohani` ini terungkap di dalam ungkapan-ungkapan sufi seperti oleh Al-Junayd dan Al-Shibli, bahkan di dalam puisi-puisi mereka. Contoh diungkap oleh Rabi`ah al-`Adawiyyah, Jalaluddin Rumi dan lain-lain lagi.

Sekian.

December 19, 2016

KONSEP TAJRID DAN TAFRID


BBB, 18  Rabi`ul Awwal  1438H. =  18 Disember 2016 (Ahad):
Sesungguhnya di dalam sesuatu bidang ilmu ada istilah-istilah khusus bagi keilmuan itu yang diketahui oleh mereka yang pakar di dalam bidang berkenaan. Bagi memahami keilmuan berkenaan dengan secara lebih tepat dan mendalam, maka perlulah dipelajari istilah-istilah dan keilmuan berkenaan. Bagi istilah-istilah tasawuf  ada istilah-istilah khusus bagi aspek-aspek khusus yang sebenarnya telah kita membicarakan istilah-istilah berkenaan baik secara langsung atau tidak langsung.
 Namun bagi kitab Al-Ta`arruf li Madzhab Ahli al-Tasawwuf, diberi ruang dan tumpuan bagi sebahagain daripada istilah-istilah yang difkirkan wajar diberi penerangan. Antara istilah yang dibicarakan di dalam bab lima puluh  dua ialah `Al-Tajrid dan Al-Tafrid` yang istilah-istilah seperti ini  tidak dibicarakan oleh kitab-kitab tasawuf lain sebelumnya , kecualki oleh  Abu  Nasr al-Sarraj al-Tusi di dalam kitab Al-Luma` yang  merupakan kitab penting di dalam pengolahan terhadap ilmu tasawuf pada peringkat awal. Al-Sarraj sebenarnya memberi ruang sebagai `Kitab al-Bayan min al-Mushkilat` - Kitab Keterangan Tentang Kemusykilan-kemusykilan yang di bawahnya diberi bab – berjudul, ``Bab fi Sharh al-alFaz* al-Jariah fi Kalam al-Sufiyah – iaitu Bab pada  mensharahkan Lafaz*-Lafaz* Yang Mengalir Di Dalam  Kesufian`. Terdapat dua halaman yang dimuatkan dengan berbagai-bagai istilah yang biasa dan tidak biasa kita ketemui sebagai istlah-istilah kesufian. Selepas itu diberi penerangan bagi satu persatu  istilah berkenaan yang memakan ruang sebanyak empat puluh satu halaman. Antara istilah-istilah berkenaan  ialah `Tajrid dan Tafrid` yang sukar didapati dari kitab-kitab yang lain. Bahkan  kitab Al-Luma` membantu kefahaman terhadap kedua istilah di atas.
Sebenarnya sebagaimana di dalam ilmu akidah terdapat istilah seperti `Tunggal. Esa dan Satu` yang dari segi lahirnya seperti satu dari segi makna, tetapi dari segi falsafah dan istilah keilmuan  akidah atau lebih khusus dilihat dari segi ilmu theosofik mempunyai perbedaan makna dan digunakan pada tempat dan maksud yang tepat berkenaan.
Menurut Al-Sarraj, istilah `Al-Tajrid, Al-Tafrid, bahkan Al-Tauhid` adalah lafaz*-lafaz*  yang berlainan bagi makna-makna yang bersepakatan, tetapi mempunyai tafsilan yang berlaian menurut tahap dhauq dan wujdan yang dialami oleh yang berintuisi rohani ketasawufan berkenaan.
Menurut Al-Sarraj, `Tajrid, ialah apa yang ditajarrad kepada hati daripada penyaksian ketuhanan apabila bersihnya jiwa dari keruh dan kotoran keinsanan. Adalah diungkapkan tentang tajrid ini:
Haqiqat al-haqq ialah haqq tidak mengetahuinya
Melainkan oleh yang mentajrid padanya benar-benar tajrid.
Adalah disoal kepada shaykh-shaykh tentang tajrid, maka katanya ialah, Ifrad (menunggalkan) yang Haqq daripada sesuatu yang berlaku dan menggugurkan hamba dari apa-apa yang ternyata.
Adapun maksud al-tauhid, iaitu mengesakan Allah dan salah satu daripada sifat yang menjelaskan tentang keesaan Allah ialah wahdaniyyah, ertinya esa dan maknanya tiada ia mendua ia akan Allah Ta`ala pada dzatNya dan tiada pada sifatNya dan tiada pada perbuatanNya, maka menafikan banyak pada dzatNya, melazimkan bahawa  bukan ia jisim yang menerima bahagi dan dinamai akan dia menafikan kam muttasil dan menafikan juga dari kam munfasil (seperti tersusun dari beberapa jauhar) dan sebagainya.
Menurut Al-Kalabadzi, makna tajrid baginya ialah mentajrid pada z*ahirnya dari a`radh dan batinnya daripada a`wadh, bermaksud Dia tidak mengambil sesuatu daripada sifat dunia dan tidak menuntut di atas apa yang ditinggal daripadanya sebagai ganti sama ada segera atau lambat, bahkan dia adalah kewajiban haqq Allah Ta`ala tidak dengan `illah yang lain dan tidak dengan sebab selainnya. Dia juga tajarrud dengan sirrNya daripada keperluan kepada maqamat bagi kedudukan dan daripada ahwal sebagai pencapaian, ya`ni tanpa berkait dengannya.
Manakala Al-tafrid bagi  Al-Kalabadzi bahawa Dia adalah infirad dari segala bentuk dan infirad dari segala ahwal dan Dia Esa pada af`al, bahawasanya perbuatanNya bagi Allah Yang Esa. Dan Dia infirad pada ahwal dari segala ahwal, bahkan tidak dilihat bagi dirinya  ahwal.
Dan adalah dikatakan secara ringkas dan padat sebagaimana diperturunkan  oleh Al-Kalabadzi, bahawa Al-Tajrid bahawa dia tidak memiliki dan al-Tafrid bahawa dia tidak  dimiliki.
Mengapa ditimbulkan persoalan tajrid dan tafrid ?
Sebagaimana di dalam bidang tauhid, dipelajari ilmu akidah, khususnya mengenai Ketuhanan, maka bagi ma`rifat dari segi akidah dipelajari konsep dzat, sifat  dan af`al. Maka dijelaskan apakah yang dimaksudkan dengan dzat yang tidak tersusun dari ajza` dan sebagainya dan keesaan dari segi sifat yang sifat-sifat tidak sama dengan sifat makhluk (sifat wajib, mustahil dan harus –pembahagian sifat dan sebagainya) .Dan juga perbuatan Allah tidak sama dengan perbuatan makhluk. Semuanya bagi menunjukkan bahawa Allah Subhanahu wa Ta`ala adalah Tuhan yang `Ahad` yang Sempurna, Kamal, Jamal-Qahhar, Jalal. Tuhan yang sama sekali tidak sama dengan makhluk.
Demikianlah mengapa Al-Kalabadzi, membawa persoalan  `Tajrid dan Tafrid, bahawa selepas membicarakan tentang ahwal seperti al-muraqabah, al-qurb, al-mahabbah, al-khauf, al-raja`, al-shauq, al-uns, al-tama`ninah, al-mahabbah dan al-yaqin dan juga membicarakan tentang al-maqam seperti al-taubah, al-wara`, al-zuhd, al-faqr, al-sabr, al-tawakkal dan al-redha. Sama ada ianya dibahagikan kepada dua sedemikian rupa (maqam dan hal), atau dilihat kedua-duanya sebagai ahwal sebagaimana dilihat oleh Al-Kalabadzi, tetapi menyebut juga tentang aspek-aspek maqam atau melihat kedua-duanya sebagai jalan dan tahap-tahap menuju kepada Allah, maka hendak diingatkan oleh Al-Kalabadzi, bahawa pergerakan maqam ke maqam dan pentahapan dengan ahwal, ialah hal-hal dan maqam-maqam dan jalan-jalan yang dilalui oleh hamba `abid sufi dan dia tidak sekali-kali mengubah atau menjadikan sebarang kelainan bagi Allah yang bersifat tauhid dan segala kesempurnaan. Sebagaimana kata Al-Kalabadzi di dalam bab berjudul: Al-Tajrid dan al-Tafriq:

``Allah adalah tajrid dengan sirrNya dari sebarang mulahaz*ah yang bersifat maqamat yang bagaikan tempat atau ahwal yang seolah-olah dicapai, sebagaimana dicapai hamba. Dia tidak cenderung dan berkait dengan kesemuanya.``
Dalam kata lain ia adalah bertujuan mentanzih, mentajrid dan mentafrid Allah Ta`ala dengan sebarang sifat, keadaan, maqam dan hal makhluk.

Sekian.