BBB, 02 Sha`ban 1438H. = 29 April 2017M.
(Sabtu):
Tiga istilah yang menurut Al-Qushairy
hampir berdekatan dari segi maknanya, tapi tidak diberi makna sebenarnya.
Ketiga-tiganya dikatakan adalah pengalaman intuisi kalbu (gerak dan sentuhan
kalbu) yang dialami oleh mereka yang pada tahap permulaan di dalam menjalani
perjalanan kualiti rohani ke peringkat sejauh ma`rifat.
Al-Lawa`ih antara makna yang dapat diberi
ialah isyarat cahaya) yang terpantul dari jauh.
Pentahapan bagi ketiga-ketiga istilah di
atas dapat dibaratkan kepada konsep
mencari ilham yang mungkin dianggap mudah, tetapi adalah payah. Bagi
mereka yang tidak berkenaan dengan keperluan tidak mempedulikan persoalan
berkenaan, tetapi bagi mereka yang terlibat dengan kreativiti dan inovasi ianya
adalah elemen penting bagi mencetuskan ilmu yang kemudian diolah kepada
kreativiti dan penghasilan.
Dalam bidang kreativiti – cetusan awal yang
diistlahkan sebagai `al-lawa`ih*` di atas amat penting ke arah pengolahan.
Namun untuk membawa ke arah cetusan perlukan suasana keliling yang sesuai dan
persoalan bagi cetusan awal yang merupakan lintasan atau sentuhan, idea kecil. Suasana yang dimaksudkan, katakan dia seorang
penulis, maka dia sendiri sebagai penulis sudah sedia dengan keperluan sebagai penulis dan sudah ada ilmu berhubung dengan
penulisan, cuma memerlukan sentuhan alamiah misalnya untuk suatu suasan yang
ceria dan indah, yang mungkin dia berada di dalam hutan rekreasi yang mempunyai
hutan yang menghijau rimbun dan mempunyai anak sungai yang berlari. Dengan
melihat keindahan alam yang menghijau damai, ikan-ikan yang berenang tenang dapat
mencetuskan mood dan ilham baginya
menggubah sebuah puisi yang menggambarkan keindaha alam yang diasosiakan dengan
kebesaran Tuhan.
Keadaan sedemikian juga dapat dibandingkan
dengan seorang yang mula tertarik kepada bidang kerohanian. Dia seharusnya
berada dalam suasana yang menyediakan jiwanya tertarik kepada alam kerohanian sedemikian. Ianya mungkin
berlaku peristiwa yang memberi kesan kerohanian kepada dirinya. Sebagai contoh
berlaku kematian orang yang dikasihinya, membawa keinsafan kepada dirinya yang selama ini tidak memberi perhatian kepada
agama. Dengan peristiwa yang dialami membawanya mendekati masjid dan
berjinak-jinak, bukan sahaja menghadiri ke masjid untuk menunaikan solat
berjamaah, tetapi juga mengikuti kuliah-kuliah keagamaan dan kerohanian yang
diajar di masjid dan dia tertarik dan terdorong bagi mendalaminya lebih
mendalam. Permulaan ke arah keinsafan ini dapat dinisbahkan sebagai lawa`ih
sebagaimana yang diistilah oleh Al-Qushairy.
Al-Qushairy membuat bandingan kepada
perubahan yang berlaku dari peringkat permulaan dengan membandingkan kepada
permulaan cahaya, sebagai hidayah permulaan seperti puisi yang dipetiknya bermaksud:
Dia adalah cetusan cahaya menjelma
Dari kolum langit muncul tiba-tiba
Diibaratkan ilham yang menjelma bagi
seorang penulis, maka ilham ini dilayan dan digarap dan dia mulai mencari
kata-kata sesuai bagi meluahkan apa yang dialaminya. Peringkat ini dapat dibandingkan
sebagai peringkat al-t*awali` dalam mana ia memberi perhatian terhadap lintasan
dan cetusan awal dan memberi perhatian, bahkan sudah dapat ditanggap persoalan
utama, katakan persoalan atau judul utamanya ialah `Rimba Mesra`. Dari
pengolahan idea ini dia dapat mengolah tentang apa yang dilihat dari rimba,
keajaiban daripadanya, ketenangan yang dapat dihayati, kepentingan dari
eko-sistem dan bagi kehidupan.
Demikian juga bagi bidang kerohanian,
misalnya seorang yang mulai patuh
beribadat dan berminat kepada bidang kerohanian, di samping dia berguru, dia
mulai mencari sendiri bahan-bahan bagi meluaskan bidang kerohanian yang mulai
dimasukinya, misalnya dengan membeli buku-buku yang berhubung dengannya dari
penulis yang terkenal di dalam bidang berkenaan. Pengajian dan pencariaan,
seterusnya penerokaan kepada khazanah
keilmuan berkenaan dan mulai menbentuk jiwanya dengan kelembutan dan kehalusan
rasa, maka dia sebenarnya telah melangkah ke ruang yang lebih luas yang
disifatkan dengan istilah al-t*awali` oleh Al-Qushairi.
T*ala` bererti naik, meningkat, mendalam,
begitu juga tawali` banyak memberi perhatian, memutala`ah dan mendalam.
Perbandingan kepada cahaya yang memancar
yang diibaratkan oleh Al-Qushairy itu, dapatlah dibandingkan sebagai cahaya
awal, ialah sebagai cahaya di waktu subuh
pagi, bila matahari menjelang, maka pagi mulai cemerlang dengan cahaya,
maka ianya bukan saja memulakan penebaran cahaya, tetapi mulai menampakkan
ruang dan kawasan yang sebelum ini di
dalam gelap malam, tiada kepastian. Kini ruang mulai kelihatan dan apa yang
terkandung di dalamnya mulai kelihatan.
Peringkat akhir bagi kesedaran awal yang
disusun oleh Al-Qushairy ialah al-lawami` yang dari segi makna dari segi bahasa
ialah:
Al-lami` dan al-lawami` ialah cahaya,
banyak cahaya atau kilauan.
Ibarat kepada cahaya matahari yang naik,
maka ianya pada peringkat jelas, ketara nampak, bahkan dikatakan bercahaya,
gemilang cahaya.
Diibaratkan kepada ilham yang dibicarakan,
maka ianya bukan lagi pada peringkat cetusan dan idea kasar, tapi sudah mantap
dengan persoalan dan tiba pada peringkat pengolahan. Pada peringkat ini perlu
kepada penyusunan idea, pemilihan kata dan menzahirkannya secara estetika.
Peringkat yang memerlukan pendalaman idea dan persoalan, kreativiti dan
kemampuan pemilihan kata, bukan saja yang sesuai, tetapi dapat memenuhi ciri
estetika bagi sebuah karya kreatif.
Demikianlah juga bandingan dengan pengajian
kerohanian, bukan saja pada peringkat pengisian, tetapi memerlukan peringkat
pendalaman dan penghalusan. Ianya merupakan perjalanan yang panjang yang harus
dilalui pencinta rohani kepada peringkat ma`rifat yang tidak bertepi.
Sekian.