April 14, 2012

Ke Sekolah Agama Bandar Baru Bangi (LEPAI) Menyampaikan Beg Sekolah

Seksyen 4, BBB, 21 Jamadil Akhir 1433 = 13 April 2012 (Jumaat):

Seawal jam 9.00 pagi Adun bersama pegawai-pegawai dari Pejabat Adun Bangi – Puan Nabilah Ahmad dan Cik Aisyah Zainuddin tiba di pekarangan Sekolah Agama Bandar Baru Bangi yang selama ini dikenali sebagai Sekolah Lepai bagi tujuan menyampaikan beg sekolah dari Kerajaan Negeri Selangor. Sekolah Agama Bandar Baru Bangi ini berpindah ke Balai Komuniti Sekseyn 4 berhampiran dengan Surau Al-Kauthar adalah bersifat sementara. Ini ialah kerana tapak awal (Sekolah lama) mengalami perubahan yang besar. Sekolah yang asalnya satu lapis (berbentuk U) sedang dibangunkan menjadi tiga tingkat yang memakan perbelanjaan RM3 juta ringgit.

Hadir ke Majlis Ringkas penyampaian beg Sekolah sebanyak 100 buah ini ialah Dr. Tajul Ariffin Noordin Pengerusi Sekolah yang juga YDP Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi, Tuan Haji Ghazali Abbas Timbalan YDP Persatuan Penduduk yang juga Bendahari Sekolah Agama Bandar Baru Bangi, Tuan Haji Sufi Munassir AJK,, Ustaz Zul Nurain Guru Besar Sekolah, Guru- guru dan murid-murid.

Dalam ucapan alu-aluan Dr. Tajul Ariffin mengucap terima kasih kepada Kerajaan Negeri Selangor yang banyak membantu Sekolah Agama Bandar Baru Bangi. Terbaru Kerajaan Negeri melalui Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Modal Insan meluluskan tambahan peruntukan sebanyak RM60 ribu ringgit yang boleh menyegerakan bangunan disiapkan. Pihak Pentadbir Sekolah berusaha bagi mendapat dana bagi menyiapkan Sekolah yang kini tahap kemajuan pembinaan adalah 80%. Bangunan ini bila siap akan dikenali sebagai Kompleks Islam yang paling utama digunakan untuk persekolahan, tetapi juga akan digunakan bagi berbagai kegiatan.

Adun Bangi di dalam ucapan ringkas memaklumkan kehadiran pada kali ini ialah untuk menyampaikan 100 buah beg Sekolah yang diperuntukkan kepada murid-murid di Sekolah ini. Adun Bangi menerima hantaran dari kerajaan Negeri Selangor 1,000 buah beg untuk diagih-agihkan kepada murid-murid dari berbagai Sekolah. Sekolah ini termasuk di dalam senarai diberi bantuan. Ini merupakan kali kedua pihak kerajaan mengeluarkan beg Sekolah, tetapi untuk kali kedua ini beg lebih menarik berlambangkan crest negeri dan adalah lebih kukuh. Adun berharap murid-murid mesra menggunakannya.

Berhubung dengan Sekolah sementara yang asalnya Dewan Komiti Masyarakat di sini.Adun sukacita melihat kepada bangunan yang didirikan pada tahun 2007 iti dapat dijaga dengan baik. Sebelum daripada penggunaan untuk Sekolah, bangunan ini telah dirosakkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan terbiar. Oleh kerana bangunan ini diguna dan dijaga dengan baik, Adun berpendapat bangunan ini wajar digunakan terus sebagai cawangan bagi Sekolah agama Bandar Baru Bangi yang induknya di bangunan baru yang sedang pada peringkat penyempurnaan binaan. Dengan demikian bangunan dapat dijaga dengan baik. Banguna ini dibolehkan masyarakat setempat menggunakannya bila perlu.

Pada akhir Majlis Adun menyampaikan beg-beg kepada murid-murid bersama Dr. Tajul Ariffin, Tuan Haji Ghazali Abbas dan Tuan Haji Sufi Munassir. Kemudian kami bergambar beramai-ramai.

Sekian.

No comments:

Post a Comment