May 2, 2012

Bengkel Jahitan Kebaya Selangor

Shah Alam, 02 Jamadil Akhir 1433 = 24 April 2012 (Selasa):

Bengkel ini diadakan antaranya bagi memenuhi resolusi Konvensyen Identiti Negeri Selangor yang telah diadakan pada 11 & 12 Oktober 2011. Antara aspek yang perlu dikenalpasti ialah makanan, kediaman dan Pakaian. Bengkel hari ini ialah tentang `Jahitan Kebaya Negeri Selangor`. Bengkel ini diadakan di Dewan Raja Lumu, Muzium Sultan Alam Shah. Antara Pembimbing Utama bagi bengkel ini ialah Puan Zubaidah Sual beliau merupakan Aktivis Budaya dan Pembentang Ucaptama pada hari ini. Y.B. Dr. Ahmad Yunus Hairi Exco Belia, Sukan & Adat Resam Melayu adalah Perasmi bagi Bengkel hari ini. Turut hadir pada Majlis Perasmian ialah Y.B.Dr. Shafie Abu Bakar Pengerusi PADAT, Ybhg. Puan Azlinda Azman Ketua Pegawai Eksekutif PADAT, Pegawai-Pegawai Kanan, Pegawai-Pegawai dan Staf PADAT.

Dalam ucapannya Y.B. Dr. Ahmad Yunus berkataka, ``Semua negeri di Malaysia mempunyai perbezaan budaya, termasuklah pakaian. Misalnya Perlis mempunyai identiti dari segi baju kebaya yang dikenali dengan `Kebaya Perlis`. Wanita Selangor juga memakai kebaya, tapi tidak pasti dari segi identiti. Beliau berharap melalui bengkel ini dapat dikenalpasti tentang `Kebaya Selangor`. Beliau menyebut, Selangor Negeri Maju di dalam berbagai bidang, beliau berharap Selangor tidak ketinggalan, bahkan turut maju dalam bidang kebudayaan – termasuk mengenalpasti tentang pakaian yang kebaya adalah sebahagian daripadanya.


Dr. Ahmad Yunus menyebut, ``Selangor mempunyai suku kaum yang mempunyai berbagai budaya.`` Menurutnya, ``Ini adalah satu asset yang penting yang dapat menyumbang berbagai ciri budaya bagi Selangor termasuk inovasi dan kreativiti baju kebaya yang turut menjadi pakaian terutama bagi orang Cina.`` Beliau berharap dengan hadirnya 15 tukang jahit ke dalam bengkel pada hari ini dapat membantu mengenal pasti atau menambah kreativiti Kebaya di Selangor. Jika identiti dapat dikenalpasti, beliau bersedia mengangkat penemuan berkenaan kepada pihak Exco dan juga ke Dewan Negeri Selangor. Beliau berharap publisiti berkenaan Budaya Selangor, bukan saja Kebaya, tetapi aspek-aspek yang lain dapat dilakukan melalui berbagai media dan penerbitan termasuk TV8 Selangor, Selangor Kini  dan sebagainya. Y.B.Dr. Ahmad Yunus mencadangkan, ``Jika batik menjadi pakaian kerja pada hari Khamis, mengapa tidak Kebaya menjadi pakaian bagi wanita pada hari berkenaan ?``


Sebelum daripada itu Y.B. Dr. Shafie Abu Bakar dalam ucapan alu-aluannya selaku pengerusi PADAT berterima kasih kepada Y.B. Dr. Ahmad Yunus Hairi yang dapat melapangkan masa bagi merasmikan  Bengkel Jahitan Kebaya Selangor. Walau bagaimana menurut Dr. Shafie untuk mempastikan kewujudan dan kebenaran `Kebaya Selangor` hendaklah dilakukan penyelidikan dan dibuktikan dengan hujah-hujah yang kukuh. Menurut Pengerusi Padat itu, ``Keperluan kepada penyelidikan secara ilmiah bukan saja untuk Kebaya Selangor, tetapi juga bagi aspek-aspek yang lain, agar apa yang diketengahkan tidak dipersoalkan. Kehadiran pakar-pakar yang berhubung dengan jahitan diharap dapat membantu mengukuhkan sesuatu dapatan yang diambil. Bengkel seperti ini atau seminar, forum, ceramah, kolokium bagi aspek yang lain wajar terus diadakan, terutama bagi bidang yang perlu kepada pendapat dan penyelidikan yang akhir dapat membawa kepada rumusan bersifat ilmiah, padat dan jitu. Akhirnya Y.B. Dr. Shafie mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan bengkel yang diadakan selama dua hari ini.

Untuk menjelaskan tentang Jahitan Kebaya Selangor seramai 8 orang menggayakan baju kebaya, iaitu:


  1. Kebaya Bersulam Kelinkang, tak menampakkan susuk tubuh, bersifat longgar (bertudung) sesuai dipakai di majlis-majlis rasmi
  2. Kebaya Kain Bugis berselindang dari sulaman kelingkan
  3. Kebaya Songkit Melayu Klasik, bunga bertabur
  4. Kebaya Berkain Beroket dipadan dengan kain sarong tapak catur berselindang panjang
  5. Kebaya Kelingkang Berantai sesuai dipakai anak dara
  6. Kebaya Songkit Bugis disertai kain poros dari Jepun (bertudung) sesuai dipakai dalam majlis-majlis rasmi
  7. Kebaya Bersongkit dengan bunga bertaburan, kain dari Japannes cotton dengan leher dikelepekkan sedikit disemat kerongsang tiga
  8. Kebaya Kain Sutera hijau Muda  (bertudung), sesuai dipakai untuk ke pejabat.

Ada beberapa dari kebaya di atas memenuhi cirri menutup aurat dan bersifat longgar serta sesuai dipakai dalam pergaulan budaya timur dan sopan. Namun kebaya-kebaya di atas tidak dihalang dari penyubahsuaian menurut keperluan.

Sekian.

1 comment:

  1. If some one wants to be updated with newest technologies
    after that he must be pay a visit this web page and be up to date all the time.
    my page: usahawan sulaman

    ReplyDelete