December 19, 2015

Tujuan Konvensyen - Kertas-Kertaskerja Dihasilkan: Panduan


BBB, 06 Rabiul Awwal 1437 = 18 Disember 2015 (Jumaat):


Sebagaimana telah dibincangkan, bahawa tujuan utama diadakan konvensyen, dicadangkan pada 22 Jun 2016 (Sempena Hari Ilmu Bangi diisytiharkan pada 22 Jun 2008 oleh Dato` Menteri Besar Selangor) adalah bagi  membincangkan Masjid Al-Umm menjadi Pusat Pengajian Tinggi Islam sebagaimana masjid juga mempunyai cadangan perancangan pengajian pada peringkat rendah, pengajian di masjid, tahfiz dan pengajian ala pondok. Sebagaimana telah disebutkan, bahawa Masjid Al-Umm seharusnya bukan bersifat masjid biasa sebagai tempat solat dan adanya sedikit pengajian. Adalah dihasratkan Masjid Al-Umm menjadi Pusat Kecemerlangan Ilmu, khususnya keilmuan Islam. Konvensyen membincangkan tentang kewajaran lokasi dan infra-struktur yang ada padanya dengan tambahan-tambahan yang diperlukan. Memanfaatkan tenaga-tenaga akademik dan ulama` yang ada di Bandar Baru Bangi memberi sumbangan keilmuan di Masjid Al-Umm yang mungkin dinamakan `Jami`ah Al-Umm` (Al-Umm University), selain dari tenaga pengajar ialah membincangkan bidang-bidang keilmuan yang menjadi keutamaan dalam pengajian, tahap-tahap pengajian yang mungkin bermula dari diploma, ijazah pertama, sarjana dan doktor falsafah, juga mengenai pengambilan pelajar dan terpenting bagaimana mendapat dana bagi menggerakkan pengajian  di Jami`ah Al-Umm tersebut.
Gagasan bagi mendirikan Jami`ah Al-Umm adalah perkara besar dan memerlukan perbincangan berperingkat-peringkat dan memakan masa yang panjang sebelum ianya dapat dimulakan. Adalah dihasratkan bahawa Jami`ah Al-Umm yang berorientasikan masjid berkembang sebagaimana berkembangnya Masjid Qayrawan dan Masjid Al-Azhar kepada tahap Jami`ah - universiti. Tetapi pengajian di Jami`ah Al-Umm hendaklah mempunyai ciri-ciri dan identiti tersendiri.
Adalah dicadangkan perbincangan pada peringkat permulaan diadakan dua peringkat, iaitu peringkat dalaman dan diikuti pada peringkat terbuka.
Konvensyen (Pertama) yang bersifat dalaman ini hendaklah dengan kertas-kertaskerja yang dibentangkan oleh kalangan AJK Pembinaan Dan Pengimarahan Masjid Al-Umm yang mereka sebenarnya terdiri dari profesor, profesor madya, engineer, ahli akademik, arkitek, para profesional dan tokoh-tokoh berpengalaman. Walau bagaimana peserta-peserta luar terdiri dari kalangan akademik, professional dan berbagai bidang dijemput sama hadir untuk mendapat input, pandangan dan saranan daripada mereka. Hasil dari Konvensyen peringkat pertama dirumus dan dibawa kepada Konvensyen Peringkat kedua yang mungkin diadakan pada akhir tahun 2016. Di dalam konvensyen kedua ini tenaga akademik dan pakar-pakar luar dijemput membentang kertaskerja bersama tokoh-tokoh dalaman. Di dalam konvensyen ini dibincangkan tentang perkara-perkara lebih detail. Misalnya penentuan bidang tenaga akademik menurut kepakaran dan cadangan kursus-kursus yang releven sebagai pengajian di Jami`ah Al-Umm dan perkara-perkara yang lain yang ada hubungannya dengan sebuah pengajian tinggi. Peserta-peserta akademik dan professional juga dijemput menyertai sidang. Adalah dijangka dengan dua konvensyen ini pihak penganjur, iaitu Masjid Al-Umm mendapat pandangan, cadangan dan saranan yang memungkinkan pihak Jami`ah Al-Umm bergerak memulakan pengajian pada tahap tinggi berindukkan Masjid Al-Umm.
Konvensyen pertama dicadangkan penyediaan kertaskerja dari kalangan AJK Pembinaan dan Pengimarahan Masjid Al-Umm, ialah kerana kertas-kertaskerja melibatkan pengalaman yang dilalui oleh AJK di dalam membina dan mengimarahkan Masjid tersebut. Kertas-kertaskerja ini akan dihimpun dan diterbitkan dalam penerbitan dalam bentuk buku yang secara langsung merakamkan maklumat dan sejarah yang berhubung dengan pembinaan dan pengimarahan Masjis Al-Umm di samping mendapat pandangan dan visi mereka terhadap masa depan Masjid Al-Umm yang dihasratkan menjadi Pengajian Tinggi yang membawa kecemerlangan ilmu.
Adalah kertas-kertas kerja bagi Konvensyen Pengajian di Masjid Al-Umm ialah:
Ucapan Dasar (bertulis) oleh Penaung dan Penasihat Masjid al-Umm yang juga merasamikan pembukaan konvensyen.
Kertas Utama:    Ke Arah Meningkatkan_Masjid Al-Umm Ke Tahap Pengajian Tinggi – Pengerusi AJK
Kertas Dua:       Fokus Pengajian Tinggi di Masjid Al-Umm  Oleh Dr. Sabri
Kertas Tiga:   Kerjasama Jami`ah Al-Umm dengan Pengajian Luar – Dr. Tajul
Kertas Empat:   Pentadbiran Jami`ah Al-Umm – Tuan Haji Suib
Kertas Lima:   Menjana Modal Insan dan Pekerja di Jami`ah Al-Umm (Hj. Mohd Kalok)
Kertaskerja Enam: Pembangunan Fizikal Jami`ah Al-Umm ( Ir. Tuan Haji Ishak)
Kertaskerja Tujuh:  Menjana Dana Bagi Jami`ah Al-Umm (Tuan Haji Mohd Nor)
Kertaskerja Lapan : Projek Mendirikan Kompleks Ilmu: Cabaran (Ir. Tuan Haji Ghazali Husin)
Kertaskerja Sembilan: Menyediakan Penginapan dan Asrama (Hj. Abdul Rahma)
Kertaskerja Sepuluh: Tenaga Muslimat Dalam Pengajian di Jami`ah Al-Umm (Dr. Saudah).
Kertaskerja Sebelas: Melengkapkan Perpustakaan di Jami`ah Al-Umm (Hj. Ghazali Abbas)
Kertaskerja Duabelas:  Aspek Kebajikan di Jami`ah Al-Umm (Hj. Husin Yunos).
Kertas Tiga Belas: Meningkatkan Status Surau-Surau Dalam Kampus Terbuka Jami`ah Al-Umm (Ustaz Ahmad)
Dengan penghasilan kertaskerja berkenaan secara meluas dan menyeluruh dapat merakamkan pengalaman yang dilalui oleh AJK dalam kerja-kerja yang mereka laksanakan selama ini dan visi dan misi mereka bagi Jami`ah  Al-Umm.
Apa yang disusun di atas adalah merupakan cadangan dan terbuka bagi pembaikan.
Dengan gagasan Masjid Al-Umm sebagai pengajian di kampus terbuka, melengkapkan cadangan-cadangan yang dirangka bagi Masjid Al-Umm yang bukan saja sebagai tempat ibadat, tetapi sebagai pusat pengajian tinggi – Jami`ah Al-Umm yang mendukung aspirasi Islam, khususnya di dalam bidang keilmuan dan pendidikan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment