May 14, 2016

Buku `Aqidah Al-Muslim: Kelainan Pendekatan ?


BBB,  06  Sha`ban 1437 = 13 Mei 2016 (Juma`at):


Membaca  kulit luar pengenalan bagi buku ini mengundang kita untuk  mengetahui sejauh mana kandungan buku  ini berlainan dari segi pendekatan berbanding dengan buku-buku akidah yang lain. Kata kulit luar bagi buku ini:


``Buku ini adalah amat besar dalam memberi sumbangan  kepada pendidikan keinsanan, iaitu mengetahui tentang Allah Subhanahu wa Ta`ala dan tentang rasul-rasulNya yang mulia dan hari kiamat yang besar. Buku  yang dikenali sebagai Buku Ilmu Akidah ini adalah dimensi dilalui insan dan laluan yang menentukan kejayaan dan kebinasaan insan.``
Sesungguhnya sempurna Islam  yang dengan akidah menenangkan hati, mententeramkan akal yang membawa  insan kepada redha dan bahagia dan menyampaikan mereka ke pantai keselamatan. Buku ini begitu penting bagi pembaca tentang ilmu akidah pada zaman kini.``
Pengarang buku ini kata keterangan kulit itu (iaitu Muhammad Al-Ghazali – Bukan Imam Abu Hamid al-Ghazali), tidak perlu diperkenalkan lagi. Dia adalah salah seorang pengarang buku-buku Islam yang terkenal zaman sekarang. Dia menulis puluhan buku di dalam bidang akidah. Semoga Allah membalas di atas amal kebajikan dan mengambil mafaat oleh orang Islam dengan apa yang ditulis.``
Buku diterbit oleh Dar al-Qalam, Beirut cetakan pertama  (1403H./1983M.).
Melihat kepada kandungannya  didapati pendekatannya tidaklah membawa kelainan jauh dari pendekatan kitab-kitab akidah tradisional, tetapi tidaklah ia terikat dengan permulaan pembicaraan – maksud tidak ada pembicaraan tentang hukum akal, tentang jumlah sifat-sifat Allah yang pendekatan tradisional dikenali sebagai Sifat 20, dan tidak ada pembicaraan tentang pecahan sifat-sifat tersebut kepada pecahan taradisional iaitu nafsiyyah, salbiyyah, ma`ani dan ma`nawiyyah, bahkan pembicaraan seturut tidak mengikut seturut berhubung dengan rukun iman.
Persoalan utama yang menjadi `Sentrik Persoalan` atau topik ialah:
a)      `Allah` Tajuk Utama 
      Tajuk ini dan pecahan-pecahan menjadi tajuk dominan di dalam pembicaraan.
b)       Alam  (Dalam membicarakan tentang Allah)
c)       Insan
Insan  yang beri`tiqad (Tidak disebut secara langsung) yang kepadanya dituju pembicaraan . Di bawah insan dibicarakan perkara-perkara  sebagai  topik-topik berikut
1)      Qadha` dan qadar
2)      Amal Asas Iman
3)      Tarbiyyah
4)      Keimanan dan perlakuan kesalahan
5)      Taubah dan Keterpeliharaan
6)      Adakah ma`siat  itu penyakit ? 
Seterusnya kepada pecahan:  
d)      Kerasulan/ Kenabian
e)      Kembali Kepada Yang Abadi (Hari Akhirat)
Sebenarnya melihat kepada susunan persoalan, walaupun dimaksudkan sebagai pendekatan baru yang dikatakan menarik itu, tidaklah begitu menarik, lagi pula tidak merangkumi semua aspek akidah utama.
Sebagai contoh satu tajuk yang penting yang termasuk di bawah rukun iman yang enam ialah mengenai Al-Qu`an, (Percaya Kepada Kitab) . Walaupun di sana sini disertakan dengan hujah-hujah  ayat al-Qur`an, tetapi sebagai rukun iman yang penting dan persoalan akidah utama, bahkan menjadi sumber bagi keilmuan Islam dan  menjadi sumber bagi maklumat-maklumat ketuhanan patut diberi topik penting untuk pembicaraan, kalau pun tidak seluas dan sepanjang pembicaraan yang diberikan kepada tajuk `Allah`.
Didapati ruang dan pembicaraan juga tidak diberi terhadap malaikat. Sebagai salah satu rukun iman patut diberi pembicaraan dan huraian terhadap konsep kemalaikatan ini.
Walau bagaimana kita tidak boleh menilai pada susunan tajuk-trajuk kandungan, walaupun ianya satu cara menanggapi kandungan secara sepintas lalu. Kaistimewaan buku ini mungkin pada cara pembicaraan tentang tajuk-tajuk yang disenaraikan, khususnya bahagian Ketuhanan yang memakan ruang 94 daripada 235 halaman.,
Jelaslah tumpuan utama bagi pembicaraan di dalam buku `Aqidah al-Muslim ialah begi mengukuhkan keyakinan terhadap Allah yang bila kekukuhan kefahaman berhubung dengan Allah, maka bidang-bidang yang lain berhubung dengan keimanan turut sama mengukuh dalam keyakinan. Sebenarnya semua pendekatan di dalam kitab-kitab akidah adalah bermula dengan kepercayaan terhadap Allah (Selepas membicarakan rukun akal).  Demikian pendekatan pembicaraan  Muhammad Al-Ghazali tidak lari dari membicarakan pada bahagian permulaan terhadap Allah dan juga sifat-sifat, namun format pembicaraan dan pendekatan  berlainan dari kitab-kitab akidah tradisional.
Dapatlah difahamkan pengarang bukan bertujuan menulis bagi membicarakan rukun iman per se, tetapi memilih dimensi-dimensi yang penting yang dibawa di dalam pembicaraan
Pada  kata pengantar bagi buku Muhammad al-Ghazali, yang dibuat oleh Muhammad Hilmi al-Munawi menulisr pada bahagian permulaan buku,
``Bahawa ummah dahaga kepada keimanan dan kemajuan kini tidak mampu memberi kepada ummah harapan ini secara memuaskan.
Melalui buku ini kita dapat menghilangkan dahaga dengan huraian kewahyuan yang suci dan memuaskan. Di dalam buku ini ada bukti-bukti naqal, kaedah-kaedah dan fikiran-fikiran segar. Kita mengharap dengan pendekatan segar yang dikemukakan oleh pengarang akan membuka hati-hati menghayati dan memahami serta menebalkan keimanan terhadap Allah dan berkhidmat bagi agama.

Sekian.


No comments:

Post a Comment