July 6, 2016

ADA GARIS PILU PADA PENGHUJUNG RAMADHAN INI



Dengan witir terakhir
Mengakhiri  tarawih  ini
Lengkap sebulan bersolat sunat Ramadhan
Kesempurnaan pada Tuhan menentukan
Tapi walau apapun  syukur  terluah
Di atas kurniaan  berterusan
Tatkala usia tujuh setengah dekad
Masih diberi kesihatan
Mampu berdiri rukuk sujud
Mengikut  Imam  Hafiz al-Qur`an
Khatam bersama imam
Masih mampu mengecapi nikmat makanan
-          Tanpa  pantang
Bersama keluarga berbuka nikmat berpuasa.

Namun bersama syukur itu
Tergaris pilu di kalbu
Inilah terakhir Ramadhan
-  Jika tiada masalah berterusan
Khidmat Surau Tua  kami
Lebih tiga setengah dekad
Tempat kami beribadat
Seusia Bandar Baru Bangi
Seusia kami menghuni di sini
Dari sini setiap waktu
Bilal setia kami mengalun azan
Suaranya makin garau  meningkat usia
Tetapi khidmat  setianya berterusan
Hingga status surau hilang
Diganti masjid baru berdekatan.

Di akhir Ramadhan
Berbaur pertanyaan dan mohonan
Berkesempatankah kembali bersama Ramadhan ?
Ketika mana  usia di lembayung senja
Jatuhnya bila-bila
Namun kerja-kerja perlu diselesaikan
Tak terkejar masa dan tenaga
Biarpun sehari-hari  di pejabat menyepi
Menyelesaikan kerja-kerja ini.

Menyedari,
Terlalu banyak kurnia diterima
Tetapi  ihsan terus dipohon
Menyelesaikan tugasan
Menambahkan kepatuhan.

Semoga pada tahun depan
Ramadhan  bakal menjelang
Diri masih berkesempatan
Menumpahkan kesetiaan.

Bandar Baru Bangi,
30 Ramadhan 1437

05  Julai 2016.


No comments:

Post a Comment