Melihat kepada persediaan dan laporan memperlihatkan surau Apartment Nuri di Seksyen 4, Bukit Mahkota ini, meskipun berada di bahagian bawah bangunan dan sederhana dari segi ruang adalah antara surau yang diimarahkan dengan kegiatan-kegiatan. Kesungguhan dengan persediaan mesyuarat juga ada hubungan dengan arahan JAIS (36) dlm. JAI SEL.BPM/01/006/2 bertarikh 1 Mac 2010 supaya semua surau-surau mengadakan mesyuarat agung, selepas masjid-masjid selesai mengadakan mesyuarat agung pada Jun 2009 lepas. Surau ini selama ini (sebelum mesyuarat agung) dipimpin oleh Pengerusinya saudara Hasrul Effandi Bin Abd. Manaf dengan Setiausaha saudara Nizar Bin Abd. Manan, Bendahari sdr. Adnan Bin Muhammad, manakala imam saudara Mohd Hasbullah Othman, Bilal Mohd Nawawi Bin Abdullah dan siak, saudara Baharom Bin Abu. Untuk setahun yang lepas pihak AJK telah menjalankan berbagai-bagai kegiatan seperti Kuliah Agama, Kelas al-Qur`an, Liqa`al-Ilm, manakala sambutan-sambutan dilakukan seperti Nuzulul Qur`an (2009), Ceramah Idul Adhha (2009), Ceramah Ma`al Hijrah (2009), Ceramah Maulid ar-Rasul (2010), Ziarah, Gotong Royong dan Bancian Penduduk dan Pendaftaran Anak-Anak Kariah. Manakala kegiatan bersifat kebajikan seperti, Penyampaian Bantuan Ramadhan,, Penyampaian beg Sekolah, berbagai kegiatan Ramadhan dan Kutipan Zakat. Pada malam ini juga diberi penerangan dari segi kegiatan melalui pertunjukan multi-media. Jelaslah dari apa yang dipaparkan membuktikan bahawa surau ini begitu aktif.
Di dalam ucapannya Ahli Dewan Negeri Selangor (ADNS) Bangi, beliau memuji di atas kegiatan-kegiatan JK Surau yang telah mengadakan berbagai kegiatan sepanjang setahun (2009-2010) mereka diamanahkan mengendalikan surau. Beliau berharap kegiatan sedemikian akan terus dilakukan sama ada oleh pemimpin yang lama terus dilantik atau berlaku sebarang perubahan. Mesyuarat dan perlantikan sebenarnya untuk bermuhasabah dan menilai prestasi surau setahun yang lalu, jika baik hendaklah diteruskan dan jika ada kekurangan hendaklah diperbaiki. Memimpin surau adalah satu amanah dari masyarakat dan berkhidmat kerana Allah merupakan satu kebajikan. Kita menmgucapkan tahniah dan terima kasih kepada mereka yang sanggup menawarkan tenaga, masa dan kewangan kerana berkhidmat kepada surau secara sukarela. Insya Allah, Allah tidak akan mensia-siakan segala amalan kebajikan yang disumbangkan oleh siapa jua kerana Allah. Sebelum dari itu saudara Hasrul Effendi Bin Abd Manaf selaku Pengerusi Surau menyampaiakan ucapan terima kasih dan alu-aluan kepada semua hadirin dan menerangkan tentang majlis yang diadakan dan juga menerangkan tentang latar penubuhan surau dan kegiatan-kegiatan yang dilakukan.
Sempena kehadiran ADNS merasmikan Mesyuarat Agung pada malam ini ADNS juga menyampaikan cek peruntukan bagi membeli permaidani bagi kegunaan surau. Kita mengharapkan surau Apartmen Nuri terus maju dan menjadi pusat kegiatan masyarakat di sini.
Sekian. Terima kasih.
No comments:
Post a Comment