June 9, 2010

Tiada Visi & Misi 'Bangi Bandar Ilmu' Dari PKNS

PKNS, BBB, 20 Jamadil Akhir = 03 Jun (Khamis):


Jam 10.00 pagi ADNS Bangi bersama Dr. Tajul Ariffin Noordin YDP Persatuan Penduduk BBB dan Tuan Haji Hussein Yunus Setiausaha Pembangunan Masjid al-Umm berada ditingkat 5 PKNS BBB. Kami membuat appointment dengan Puan Siti Zubaidah Binti Abdul Jabar Kontroler Pembangunan, Jabatan Kemajuan Bangi, PKNS, Bandar Baru Bangi bagi membincangkan beberapa perkara:

1) Mengenai status tanah kosong lebihkurang setengah ekar berhadapan dengan Bangunan Dewan Orang Ramai, Seksyen dua, Bandar Baru Bangi.
2) Bangunan PKNS Bandar Baru Bangi yang dijangka akan dikomersilkan sesudah PKNS berpindah ke Cyber Jaya.
3) Perlunya 'Convention Centre' bagi Bandar Baru Bangi sebagai pusat kegiatan ilmu, kebudayaan dan kemasyarakatan di BBB dan menjadi 'landmark' yang memancarkan imej 'Bangi Bandar Ilmu'.


Perkara Satu (Tanah Kosong Setengah Ekar)

Oleh kerana bersebelahan dengan tanah tersebut adalah tapak masjid dan kini usaha bagi mendirikan masjid pada tapak ini sedang giat dilakukan, tanah kosong di atas dijangka akan terus jadi tanah lapang atau tanah bagi parking kenderaan bagi mereka yang datang ke Dewan Orang Ramai (Dewan ini sedang dinaiktaraf kepada Dewan Serbaguna) atau juga ke Masjid bakal didirikan. Tiba-tiba ada iklan di atas tanah berkenaan akan dirikan 6 unit rumah berkembar. Cadangan mendirikan rumah di sini amat tidak sesuai, kerana rumah-rumah akan memasalahkan dari segi parking dan merosakkan landscape dan pandangan. Surat bantahan telah dihantarkan kepada PKNS pada 7 Mei 2010, meminta agar ruang tersebut tidak didirikan sebarang bangunan (Hingga kini tiada jawapan bagi surat ini). Salinan surat ini dihantar ke Pejabat Tanah dan MPKj pada tarikh yang sama. Persatuan Penduduk diwakili Dr. Tajul Ariffin Noordin dan pihak Masjid diwakili Tuan Haji Hussein selaku Setiausaha Pembangunan Masjid dan ADNS Bangi tidak setuju tanah kosong tersebut didirikan bangunan.

Menurut Puan Siti Zubaidah kelulusan mendirikan bangunan diberi kepada anak syarikat PKNS, tetapi permintaan kami akan dibawa ke peringkat atas.


Apabila dihujahkan PKNS seharusnya tidak memikirkan keuntungan semata-mata, tetapi seharusnya sama memberi perhatian kepada yang bersifat kebajikan dan kemasyarakatan penduduk, beliau mengakui kepimpinan sekarang lebih mementingkan keuntungan dari komitmen terhadap masyarakat dan kebajikan. Lagi pula Bandar Baru Bangi sudah kehabisan tanah-tanah perumahan. Yang tinggal lebih kurang 3%. Kini pembangunan menggunakan tanah-tanah berbaki dan kadang-kadang lebihan-lebihan dari tanah yang pernah digunakan dahulu. Walau apapun kami meminta pihak PKNS, tidak menggunakan ruang tanah terhad setengah ekar itu untuk perumahan, tetapi untuk parking bagi pengunjung-pengunjung ke Dewan Orang Ramai dan Masjid.

Perkara Dua (Bangunan PKNS BBB Akan Dikomersilkan?)

Kami mendapat maklumat, oleh kerana tanah di BBB telah digunakan secara maksimum dan tidak banyak lagi yang tinggal dan dapat didirikan bangunan (3% berbaki), maka menurut maklumat itu pihak PKNS akan berpindah ke Cyber Jaya bagi menumpukan pembangunan di sana. Maka bangunan PKNS di BBB akan dikomersilkan. Oleh kerana ADNS Bangi dan Persatuan Penduduk telah memperjuangkan perlu wujudnya 'Convention Centre' di BBB bagi kegiatan persidangan ilmiah, kegiatan seni dan kebudayaan dan berbagai lagi dan selama ini pihak PKNS, kurang memberi komitmen dan memberi alasan ketiadaan tapak dan peruntukan, maka kami memohon agar bangunan PKNS ini ditukar kepada `Convention Centre` yang akan diubah suai dengan diwujudkan juga ruangan pameran,kegiatan kebudayaan dan kemasyarakatan. manakala bahagian bawah dikekalkan sebagai pusat perniagaan yang lebih berfokuskan ilmu. Pihak Persatuan Penduduk, menurut Dr. Tajul telah menulis surat memohon agar bangunan ini diurus oleh Persatuan Penduduk, tetapi pihak PKNS telah menolak permohonan ini. Melalui perbincangan hari ini, menurut Puan Siti Zubaidah, walaupun PKNS akan berpindah ke Cyberjaya, tetapi pentadbiran PKNS di BBB akan terus beroperasi dan kekal di sini. Ertinya tidak berlaku perpindahan.

Perkara Tiga (Perlunya Convention Centre)

PKNS adalah anak syarikat Kerajaan Negeri yang maju dari segi pembangunan perumahan, termasuklah pembangunan BBB diurus oleh PKNS. Namun adalah diperhatiakan sejak dari UKM ditubuhkan dan Bangi menjadi kampus tetap UKM mulai 1977 dan PKNS menjadi syarikat membina perumahan bagi kakitangan dan pekerja-pekerja UKM, namun dari awal PKNS membina rumah hanya bagi kediaman biasa sahaja, tidak ada visi dan misi khusus bagi memprojekkan BBB sebagai Bandar Universiti atau Bandar Ilmu. Sebaliknya ianya adalah Bandar biasa. Nampaknya tidak ada sentuhan intelek, seni dan architecture bagi menjadikan Bangi Bandar yang unik dan berorientasikan ilmu, apalagi mewujudkan landmark keilmuan yang mengistimewakan BBB sebagai Bandar Ilmu. Sepatutnya selepas UKM dan terdirinya berbagai-bagai universiti di BBB dan sekitarnya menyedarkan PKNS yang sebelum ini tidak sedar bagi mengambil tindakan, sebelum ketinggalan bagi memprojekkan BBB sebagai Bandar Ilmu dengan menyediakan berbagai-bagai kemudahan keilmuan seperti Convention Centre, Galeri dan kedai-kedai buku, Perpustakaan yang bersesuaian, Bangunan Pameran, tempat kegiatan seni dan budaya. Semuanya ini adalah aspek-aspek peradaban dan tamadun yang tidak boleh dinilai dengan jumlah wang dan ringgit. Tapi tidak ada kesedaran seperti ini.

Bahkan pada dekad terakhir, yang masih dikira belum terlambat ADNS Bangi, Persatuan Penduduk dan NGO-NGO di BBB menyuarakan pendapat akan perlunya diadakan 'Convention Centre' yang menjadi pusat kegiatan ilmu, intelektual, seni dan budaya, tetapi agensi seperti PKNS masih lagi berretorik, tiada tapak yang sesuai dan tiada peruntukan. Kami sebenarnya mencadang agar tapak 'Convention Centre' ini didirikan dipinggir Tasik Cempaka yang merupakan pusat Bandar, tempat strategik dan menjadi kawasan kunjungan orang ramai.

Dalam masa kami sedang mendesak pihak PKNS memberi perhatian kepada yang bersifat intelektual dan budaya. Tiba-tiba pada hari ini kami dimaklumkan bahawa pihak PKNS bercadang mendirikan sebuah hotel di atas tapak seluas 4 ekar bersebelahan Mac Donald yang ada kini. Ballroom akan didirikan dahulu yang boleh memuatkan 1,500 orang dan boleh diperbesarkan untuk memuatkan 2,000 orang. Kemudian diikuti dengan pembangunan hotel.

Kami bukan saja terkejut, tetapi merasa kecewa dan sekaligus mengesahkan bahawa pihak pentadbir PKNS tidak memberi perhatian apa lagi penghargaan terhadap budaya ilmu dan intelektual yang selama ini kami suarakan. Yang dipentingkan ialah yang bersifat komersil dan keuntungan. Mereka tidak melihat 'landmark Keilmuan' yang sepatutnya diwujudkan di BBB ini sebagai satu yang akan menjadi monument pada masa hadapan yang tidak boleh dinilai dengan wang ringgit. Cadangan untuk membina Ballroom dan Hotel adalah kontras dan bercanggah sama sekali dengan jawapan selama ini tidak ada tanah untuk didirikan 'Convention Centre'.

Dalam nada yang kecewa, kami masih merayu, kalau mau dirikan bangunan di tepi Tasik Cempaka, BBB, imejnya jangan sebagai bangunan hotel, kerana telah banyak hotel di BBB dan yang berhampiran yang barangkali PKNS tidak mampu menandingi imej Hotel Equatorial yang betul-betul di tengah BBB dan mengambil tanah yang terbaik, berbukit dan berpadang golf. Hotel yang hendak didirikan oleh PKNS tak tertanding dengan Hotel 101 atau Palm Garden Hotel di pinggir BBB di jalan masuk ke Putra Jaya. Hotel-hotel kecil juga sedang tumbuh di BBB.

Kita memohon agar bangunan dibangunkan atas imej keilmuan, intelektual, peradaban dan bukan komersil. Bangunan ini boleh saja dinamakan 'Bangi Convention Centre',
"Perdana Bestari Bangi", "Peradaban Unggul Bangi", "Citra Bangi", "Puriwacana", "Iqra' Centre" dan sebagainya yang tidak menghalang kewujudan hotel bagi keperluan konvensyen dan komersil, tapi imej paling menonjul ialah ciri ilmu, intelektual dan peradaban. Semoga ada kesedaran dan ada keinsafan. Insya Allah.

Sekian.

No comments:

Post a Comment