Program berkenaan adalah semacam Kursus Bimbingan yang kandungannya (silibus) disusun oleh pihak JAIS dan digunakan oleh pihak sekolah-sekolah agama, masjid dan surau di dalam menjalankan aktiviti-aktiviti bimbingan dan motivasi. Program Daurah Remaja telah bermula sejak tiga tahun yang lalu dan mendapat sambutan yang baik dan berkembang hingga kini ‘ terutama masjid dan surau. Sasarannya ialah remaja dalam cuti persekolahan.
Demikianlah antara yang turut menjalankan Daurah Remaja ialah Masjid Ar-Rahman, Pulau Meranti, Mukim Dengkel. Program telah berjalan sejak sepuluh hari yang lepas dan hari ini ialah Program Penutup. Adun Bangi dijemput untuk menutup Program Daurah berkenaan. Turut hadir bersama ialah Tuan Haji Zulhasri Ketua JKKK (Ketua Kampung), Ustaz Shuhadah dari Pejabat Agama Sepang, Tuan Haji Isa bin Pijoo Nazir Masjid Ar-Rahman, Ustazah Normala bt. Mohd Sharif, ibu bapa dan anak-anak.
Dalam ucapan alu-aluannya Tuan Haji Zulhasri menyatakan, ``Ini adalah pertama kali Program Daurah Remaja diadakan di Masjid Ar-Rahman.`` Menurutnya Program ini mendapat peruntukan dari JAIS dengan dikenakan bayaran minimum bagi penyertaan. Seramai 116 orang pelajar bawah 17 tahun hingga 10 tahun mengambil bahagian (72 lelaki & 44 perempuan). Antara pengisian di dalam Daurah ialah bimbingan membaca al-Qur`an, tajwid, bimbingan ibadat, qiyamullail, akhlak, akidah, riadah, bernasyid, berpidato, berlakun dan sebagainya. 8 orang guru khas terlibat di dalam membimbing pelajar-pelajar berkenaan. Pada majlis antara program diselang seli dengan bacaan al-Qur`an dari pelajar yang boleh disifatkan sebagai baik dan menarik, ucapan wakil pelajar yang berpotensi menjadi pemimpin. Dua babak lakonan satu oleh pelajar-pelajar lelaki yang bertemakan keinsafan dan satu oleh pelajar-pelajar perempuan yang bertemakan bahawa kehidupan sering diganggu oleh syaitan – contohnya di dalam menjalankan ibadat. Mereka juga mempersembahkan nasyid-nasyid. Jelas dari tarbiah dan latihan yang dilalui oleh pelajar-pelajar sedikit sebanyak dapat mencungkil bakat mereka yang dapat dikembangkan. Majlis berjalan dalam keadaan ceria lancar dan menarik.
Adun yang dijemput merasmikan Majlis Penutup bagi Daurah Remaja Islam mengucapkan terima kasih di atas jemputan. Adun memuji pihak JAIS, Paid Sepang dan Masjid Ar-Rahman yang berjaya mengadakan Majlis Daurah. Dengan mengadakan Program Daurah Remaja ini, menurut Adun, bukan sekadar menutup, tetapi mengharapkan kesan positif yang diterima pelajar-pelajar bagi panduan masa depan mereka. Adun Bangi melihat tentang bakat-bakat yang dapat dicungkil dalam Daurah pada hari ini seperti Membaca al-Qur`an, berpidato, berlakun dan bernasyid sebagaimana disebutkan di atas. Adun difahamkan pelajar-pelajar tidak tinggal di asrama, tetapi berulang dari rumah dari jam 8.00 pagi hingga 4.30 petang. Dengan pertandingan-pertandingan diadakan, maka pada akhir penutup Adun menyampaikan warqah dan hadiah kepada kumpulan terbaik, kepimpinan lelaki dan perempuan terbaik dan sebagainya. Sijil penyertaan juga disampaikan kepada wakil-wakil pasukan. Penghargaan juga disampaikan kepada guru-guru pembimbing.
Menurut Tuan Nazir Tuan Haji Isa dengan berlangsungnya Daurah Remaja di sini pada kali ini, memungkinkan kami akan terus mengadakan program seperti ini mungkin tanpa memerlukan tajaan dan tunjangan, kerana pengalaman ini cukup menjadi contoh bagi menjejakinya sebagai tauladan. Tuan Nazir memohon kemaafan, walaupun masjid Ar-Rahman agak besar dibuka 2007, tetapi tidak mempunyai bilik seminar, sebab itu segala program dijalankan di dalam masjid. Dia adalah merupakan salah satu aktiviti masjid yang mana fungsi masjid, bukan semata-mata tempat ibadat khusus, tetapi juga tempat berlangsungnya kegiatan pendidikan dan kemasyarakatan bagi kawasan penduduk yang mempunyai lebih kurang 1,000 penghuni itu.
Majlis diakhiri dengan bergambar beramai-ramai dan jamuan sertai bersurai jam 1200 tengahari.
Sekian.
No comments:
Post a Comment