May 7, 2012

Lima Keindahan Amal Islami Dapat Dihayati Dari Program Di Masjid Haji Mat Saman Malam Ini

Sungai Ramal Luar, 14 Jamadil Akhir 1433 = 06 Mei 2012 (Ahad):

Petang ini sejak sebelum Maghrib, Adun Bangi tiba di Masjid Tuan Haji Mat Saman dan berjamaah Maghrib di sini. Selepas solat Maghrib, majlis dijalankan bagi beberapa acara disatukan. Lima acara dapat dilihat sebagai keindahan budaya dan kesenian Islam:

Pertama: Majlis Aqiqah bagi lima orang anak. Pada permulaan Tuan Haji Yahya bin Kasim seorang veteran di Kampong Sungai Ramal Luar membawa Marhaban & Membaca Rawi dengan kumpulannya dengan lagu menarik dan kemudian semua jamaah bangkit berdiri bersalawat ke atas Rasulullah s,aw. Dalam bulatan, kemudian kelima-lima anak dibawa keliling dalam bulatan oleh bapa mereka bagai memperkenalkan anak-anak kepada para jamaah yang berdiri. Kemudian jamaah duduk dan diakhiri dengan doa keselamatan, khususnya bagi anak-anak.

Kedua: Majlis diteruskan dengan penyampaian anugerah `Pemuda Rakan Masjid`. Penilaian diberi kepada pemuda yang sering datang berjamaah ke masjid. Ini adalah bagi menggalakkan pemuda-pemuda datang berjamaah ke masjid. Dua pemuda dipilih, iaitu:

1) Anuar Zaki bin Mohd. Shamlan


2) Mustaqim bin Haji Shafie

Ketiga: Penghargaan dan penggalakan kepada pelajar-pelajar cemerlang SPM 2011 di Sungai Ramal Luar. Seramai 19 orang pelajar telah dipilih. Mereka mencapai kelulusan 11A hingga 7A.

2 orang mencapai 11 A, iaitu Siti Fatimah binti Husaini dan Nurul Hidayah binti Zainal Abidin, manakala 2 orang pula mencapai 10A dan 1B, iaitu Nor Shazira binti Mohd dan Faisal Shafiq bin Mohd. Razak. Yang lain-lain mencapai 9 hingga 7A. Tahniah !

Keempat: Penyampaian bantuan kepada mangsa ribut yang rumah mereka rosak. Ribut berlaku pada petang 01 Mei 2012. . Sebanyak 19 buah rumah rosak (bumbung dan atap). Adun telah turun melawat bersama Tuan Haji Mohd. Yusof Ketua Kampong Sungai Ramal Luar pada 02 Mei. Penyampaian bantuan sempat dilakukan kepada 7 ketua keluarga. Pada malam ini disampaikan bantuan kepada 12 lagi ketua keluarga yang belum sempat disampaikan pada 02 Mei lepas.

Kelima: Bagi mengadakan majlis penghargaan dan sumbangan pada malam ini penduduk bergotong royong dari pagi melapah seekor lembu aqiqah dan memasak untuk jamuan malam ini. Gotong royong berterusan pada malam ini dalam mana selepas majlis, semua jamaah yang datang diminta semua makan secara beramai-ramai.

Dalam ucapan ringkas, sebelum majlis penghargaan dan sumbangan bermula, Adun menyatakan. ``Saya amat teroja dan tertarik dengan majlis yang diadakan pada malam ini. Semua lima perkara yang disusun mencerminkan keindahan amal Islami. Tiap-tiap satu merupakan amalan yang dituntut Islam. Amalan yang merupakan budaya dan kesenian Islam ini patut dihidupkan. Saya juga bercadang meniru dan mempraktikkan dalam kegiatan kemasyarakatan kami,``

Sebelum dari itu Tuan Haji Mohd Yusof berucap mengalu-ngalukan hadirin dan memaklumkan tujuan diadakan majlis pada malam ini.

Penghargaan dan sumbangan disampaikan oleh Adun bersama Tuan Haji Mohd. Yusof Ketua Kampong dan Tuan Haji Nik Pa Nik Leh selaku Nazir Masjid. Majlis dipengerusikan oleh Ustaz Fakhri Penolong Nazir.

Sekian.

No comments:

Post a Comment