June 26, 2012

Ke Taman Pinggiran Putra, Seri Kembangan: Masalah Obesiti & Masjid Terbengkalai

Seri Kembangan, 27 Rejab 1433 = 17 Jun 2012 (Ahad):

Begitu kontradiknya tajuk di atas. Apa hubungannya masalah obesiti (gemuk) dengan Masjid Terbengkalai? Tapi itulah realitinya. Penduduk Rimbawan, Seksyen 2, Taman Pinggiran Putra, Seri Kembangan mendapat geran RM50,000 daripada pihak Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia (My Sihat) bagi menjalankan berbagai-bagai aktiviti yang berhubung dengan kesihatan. Program berlangsung dari 3 Disember 2011 hingga 10 Jun 2012. Sebanyak 54 aktiviti telah dijalankan pada setiap hujung minggu selama 6 bulan. Program sebagai kajian berfokus kepada 170 orang dari segi menurunkan berat badan sekurang-kurangnya 15%. Program ini disokong oleh urusetia yang terdiri dari 20 tenaga.

Pada hari ini adalah Hari Penutup. Persatuan Penduduk Taman Pinggiran Putra mengharapkan YAB Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim dapat turun bersama YB Tuan YB Dr. Xavier Jayakumar Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prehatin. Namun YAB Dato` Menteri Besar tidak dapat hadir, lantas mewakilinya kepada YB Dr. Abd. Rani bin Osman Selaku Pesuruhjaya Pas Negeri Selangor. Namun beliau juga tidak dapat hadir dan mewakili kepada Adun Bangi, selaku Pembantu Exco Hal Ehwal Islam.

Adun Bangi setelah mencari-cari tempat bersama saudara Azizi, masih dapat sampai tepat pada waktu jemputan jam 3.00 petang. Berturut di belakang tiba juga YB. Dr. Xavier. Jadi kami terus diiring ke pentas yang terletak di tepi sebuah padang dan di tepi padang terdapat khemah-khemah agensi-agensi yang mengambil bahagian seperti Jabatan Kesihatan, pihak Polis, Bank, Takaful, Bomba dan beberapa yang lain. Hadir bersama di dalam majlis selain dari kami berdua ialah En. Abdul Rauf Pengerusi Persatuan Penduduk Villa Rimbawan, Seksyen Dua, Taman Pinggiran Putra, En. Arman Shah bin Abdul Manan Setiausaha Persatuan Penduduk, Puan Suzana bt. Isa Ahli Majlis setempat.

Bercakap mengalu-ngalukan kehadiran kami En. Abdul Rauf memaklumkan bahawa selama enam bulan tempoh kajian yang dialami penduduk berbagai-bagai kegiatan yang telah dilakukan. Kegiatan terbaru bagi Majlis Penutup diadakan pertandingan futsal, trek jogging, pertandingan mewarna, kerja tangan wanita. Beliau juga memaklumkan. Persatuan Penduduk yang mengendalikan program didaftarkan pada 28 Ogos 2008 yang keahliannya kini berjumlah 125 orang daripada 198 rumah di kawasan Rimbawan. Majoriti penduduk adalah Melayu. Kediaman di sini diwujudkan untuk kakitangan dan pesara Jabatan Perhutanan Negeri Selangor. En. Abdul Rauf meluahkan perasaan bahawa, ``Penduduk tidak mempunyai sebarang tempat bertemu, kecuali di tanah lapang dan padang permainan. Pihak persatuan dengan kerjasama penduduk telah bersama membina sebuah dewan komuniti di atas tapak masjid untuk aktiviti riadah.

Adun Bangi selaku Pembantu Exco Agama, berterima kasih di atas jemputan hadir dan dapat berkenalan dengan penduduk setempat dan memahami masalah yang dihadapi penduduk yang memerlukan tempat kegiatan bagi masyarakat setempat. Sebuah masjid yang diidamkan oleh penduduk wajar segera disiapkan. Kepentingan masjid amat dirasakan, khususnya apabila tiba bulan Ramadhan nanti. Saya difahamkan kata Adun, ``Ada sedikit masalah yang dihadapi penduduk. Adalah difahamkan pembangunan masjid sudah dilakukan sebagai projek usahasama antara Persatuan Pesara dan Kakitangan Jabatan Perhutanan Selangor dan Pelangi Home di atas tanah berkeluasan 1.255 ekar beralamat Plot B, Jalan PP 19, Seksyen 2, Taman Pinggiran Putra, Seri Kembangan dan mendapat kelulusan Pejabat Tanah dan JAIS.

Perjanjian telah ditandatangani antara pihak Pemaju serta PPKJPS dengan pihak Pemaju bersetuju menyumbang kos pembinaan masjid RM1,200,000.00, sebuah surau RM100,000.00 dan sebuah Dewan Orang Ramai RM300,000.00. Sejak Mac 2008 tender pembinaan masjid dikeluarkan. Pada Jun 2008 pihak kontrektor memberhentikan kerja-kerja disebabkan lambat mendapat tuntutan bayaran dari pihak PPKJPS. Kos sebanyak RM341,285.00 telah dibayar untuk kerja-kerja awal dan kerja pembinaan terbengkalai.

Perbincangan pernah diadakan antara Persatuan Penduduk, PPKJPS dan Pelangi Home SB. Pihak Pemaju setuju memasukkan baki sumbangan sebanyak RM1,158,715.50 kepada pihak PPKJPS dengan bayaran berkala RM200,000.00 sebulan mulai Januari 2011 dan dimasukkan terus ke dalam akaun Tabung JK Pembinaan Masjid, Taman Pinggiran Putra dan membuat permohonan pungutan derma dari JAIS dan mendapat kelulusan. Namun menurut Persatuan Penduduk pungutan derma berkenaan tidak pernah dimaklumkan kepada umum. Pihak Persatuan mengharapkan mereka diberi ruang untuk sama berusaha menyiapkan masjid. Namun Adun difahamkan tidak ada sekata antara Persatuan Pesara, AJK Pembinaan Masjid (juga Ahli dari Persatuan Pesara) dan Persatuan Penduduk.

Adun berpendapat ketiga-tiga pihak perlu duduk berunding dengan ikhlas hati bagi tujuan membina masjid yang tapaknya sudah dibina. Duit yang ada hendaklah digunakan bagi pembinaan. Jika ada kesepakatan, kita percaya penduduk dan orang ramai tentulah berminat untuk menambahkan derma, tetapi dalam keadaan sekarang menimbulkan keraguan bukan saja di kalangan penduduk, tetapi juga pihak pentadbir dan pemerintah.

Majlis seterusnya ialah ucapan dari YB Dr. Xavier yang memfokuskan tentang kesihatan yang menyatakan biaya kos kesihatan 70% ditanggung kerajaan, 30% swasta. Dapatkan perkhidmatan percuma kerajaan. Beliau melahirkan kebimbangan ramai dari kalangan penduduk mengalami obesiti yang mengganggu kesihatan. Ini menurut YB Dr. Xavier, bukan saja kurang exercise, tetapi juga disebabkan oleh tabiat permakanan. Sebab itu selalulah exercise dan jaga dari segi permakanan. Berhubung dengan denggi di MPSJ, menurut YB Dr. Xavier statistic minggu lepas terdapat 6 kes. Tempat membiak aedis rumah terbengkalai, kilang dan rumah kediaman. Keseluruhan terdapat 4,908 kes denggi dengan 12 kematian. Di Selangor kes denggi: Kelang 1,445, Petaling 1,364, Hulu Langat 1092, Sepang 67 dan Sabak Bernam 66. Beliau menyeru semua pihak menjaga kesihatan.

Selepas Majlis Perasmian Penutup, lawatan ke gerai-gerai dilakukan dan sidang akhbar juga dilakukan. Adun menerima taklimat lanjut dari Persatuan Penduduk mengenai masjid, tapi tidak dibawa melawat ke tapak. Tetapi atas inisiatif sendiri Adun bersama saudara Azizi singgah mengambil gambar tapak dan binaan yang telah mula didirikan. Sayang masjid yang telah dibina terbengkalai, bukan kerana ketiadaan wang, tetapi oleh ketiadaan kesepakatan penduduk!

Sekian.

No comments:

Post a Comment