BBB, 24 Jamadil Akhir 1434 = 05 Mei 2013 (Ahad):
Hri ini rakyat Malaysia daripada 13.3 juta yang layak
mengundi keluar mengundi bagi pilihanraya bagi kali ke 13. Diharap pilihanraya
kali ini adalah pilihanraya bersih. Walaupun pilihanraya kali ini disifatkan
Ibu dari segala pilihanraya dan berlakunya pertandingan sengit kedua belah pihak
menjangkakan dapat menguasai atau mempertahankan Putrajaya. Namun diharap semua
pihak bersifat professional dan sedia menerima keputusan samada menang atau
kalah.
Mantan Adun Bangi dan isteri sebagaimana biasa mengundi di
saluran satu Sekolah Menengah Bandar Baru Bangi, di Seksyen Satu di sini. Bagi
pengundian bagi pilihanraya kali ini ada kelainan ketara bagi Mantan Adun
Bangi. Bagi tiga pilihanraya berturut yang lepas (1999, 2004 & 2008) Mantan
Adun menghadapi tension yang tinggi, kerana bagi ketiga-tiga pilihanraya itu
Mantan Adun sendiri menjadi calon bagi Dun Kajang dan dua kali berikutnya bagi
Dun Bangi. Tension bukan setakat bertanding tetapi sepanjang masa, lebih-lebih
lagi bila dekat pilihanraya memastikan pentadbiran perfect, perjalanan parti
sempurna, hubungan dengan rakyat baik dan tugas di Dewan Negeri juga
dilaksanakan sebaik mungkin. Dan tugas dan harapan menghadapi pilihanraya ialah
mencapai kemenangan dengan majoriti tinggi. Pendek kata bekerja berjadual dan
tidak berjadual sepanjang tahun.
Berlainan dengan pilihanraya ke 13 Mantan Adun Bangi menerima
kehadiran Pilihanraya bagi kali ke 13 dengan rasa tenang dan lapang. Mantan
Adun tidak bertanding kali ini. Mantan Adun Bangi dan Isteri datang ke tempat
mengundi berjalan kaki sebagai orang biasa dan beratur dalam barisan menurut Saluran 1 dan menunggu giliran yang
memakan masa lebih kurang satu jam, kerana ramai yang datang. Kelainan bagi
pilihanraya pada kali ini, sebelum mengundi dicalit jari telunjuk sebelah kiri
dengan dakwat biru tua kehitam-hitaman. Selepas itu Mantan Adun Bangi pulang ke
Pejabat bertugas dan Isteri pulang ke rumah menunggu anak menantu datang singgah
di rumah kerana mengundi. Jam 12.30 tengahari Mantan Adun Bangi pulang ke rumah
bersama keluarga anak menantu dan cucu yang datang. Semasa tiba di rumah isteri
Mantan Adun menunjukkan jarinya yang dicalit dakwat sudah bersih. Beliau
sebenarnya amat concern terhadap jari berdakwatnya untuk mengambil wudhu`,
walaupun sudah difatwakan tidak bermasalah bagi menunaikan solat. Bagaimana
isteri Mantan Adun membersihkan jari telunjuk kirinya hingga tiada langsung
kesan ``DAKWAT KEKAL`` itu ?
Dia menuangkan klorok ke dalam tudung botol klorok dan
mencelup jari telunjuk kirinya ke dalam tudung klorok yang dengan amat mudah
menanggalkan semua kesan dakwat !
Semasa Mantan Adun mengikuti Berita jam 1.00 tengahari TV
Malaysia saluran satu, Mantan Adun melihat Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof
bercakap berkenaan perjalanan pilihanraya, antaranya yang disaksikan di Shah
Alam. Tan Sri mengundi di sana sambil menunjukkan jari telunjuknya yang dicalit
dakwat dan menurutnya beliau membasuhnya dan tidak tanggal. Pada masa itu juga
Mantan Adun Bangi, bangun dan pergi mencelup jari telunjuk kiri Mantan Adun ke
dalam klorok dalam tudung bekasnya yang diisi dengan klorok. Ternyata amat
mudah tanggalnya. Dengan sekali celup dan gosok semua dakwat tanggal ! Mantan
Adun tersenyum sinis. Anak-anak Mantan Adun juga turut membersihkan jari mereka
dengan klorok.
Nampaknya apa yang dituntut dan diheboh bertahun dan gembar
gembur kononnya dakwat kekal, tidak kekal, bahkan tidak ada beza sangat dari
dakwat biasa ! Adakah pihak SPR mau mempertahankan lagi ?
Nampaknya seorang pegawai menjadi mangsa `Dakwat Kekal`
apabila mengundi awal dan dapati tidak kekal, lantas membuat laporan Polis,
beliau ditukar dan diturunkan pangkat ! Adilkah tindakan yang dilakukan
terhadap pegawai berkenaan ?
Bagi Mantan Adun soal dakwat kekal, tidak kekal bukan isu
besar. Kalau tak dicalit dakwat pun tidak ada hasrat untuk mengundi dua kali.
Bukankah telah digaris nama bagi kali pertama sebagai pengundi yang sudah
mengundi ?
Bagi Mantan Adun berbagai kejutan akan berlaku selepas jam
7.00 malam nanti. Sama-samalah kita tunggu keputusan. Namun kita berharap sama
ada kejutan besar atau kecil tidak menjadi pihak-pihak berkenaan dan rakyat
keseluruhan hilang peduman. Kita berharap perjalanan pilihanraya berjalan
secara teratur dan adil dan semua pihak menerima keputusan secara terbuka.
Sekian.
No comments:
Post a Comment