BBB, 20 Ramadhan 1434 = 29 Julai 2013 (Isnin):
Pada setiap tahun pada tanggal 18 Mei adalah Hari Muzium
Antarabangsa (Museum In A Changing World, 2012: 7). Maka pada setiap tahun
Negara kita – Muzium Negara dan juga muzium negeri-negeri menyambut Hari Muzium
Antarabangsa ini. Pada tahun hadapan 18 Mei 2014 negeri Selangor akan menjadi
Tuan Rumah bagi sambutan Hari Muzium Antarabangsa, selepas tahun ini 2013
disambut di Sarawak dan pada tahun lepas di Pahang.
Sempena Sambutan Hari Muzium Antarabangsa di Selangor oleh
Perbadanan Adat dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) yang Muzium Negeri Selangor
termasuk dibawahnya dijangka akan menyambut Jubli Perak Muzium Negeri Selangor.
Ada beberapa
persoalan mengenai, jika menyambut Jubli Perak Muzium Negeri Selangor ini mau
dilakukan.
Adakah tepat dikatakan Sambutan Jubli Perak bagi Muzium
Negeri Selangor pada tahun hadapan ?
Tarikh ini dikira dari tarikh perasmian bangunan Muzium
Sultan Alam Shah sekarang oleh Al-Marhum Duli yang Maha Mulia Sultan Salahuddin
Abdul Aziz Shah pada 2 September 1989. Dengan tarikh ini, maka pada tarikh
sambutan Hari Muzium Antarabangsa (18 Mei), usia bagi tarikh Muzium Sultan Alam Shah dibuka
adalah 24 tahun lapan bulan dan 16 hari, tetapi jika hendak menepati 25 tahun,
ialah pada 2 September 2014. Tetapi sambutan bagi 25 tahun (Jubli Perak) tidak
semestinya tepat pada 2 September 2014.
Tetapi dipersoalkan, benarkah usia permuziuman di negeri
Selangor begitu muda – lebih muda dari usia permuziuman negeri Terengganu
dikira dari 1 November 1977 (Perayaan Jubli Perak Muzium Negeri Terengganu,
2003: VIII). Adakah tarikh 25 tahun dikira dari tarikh perasmian bangunan (2
September 1989) atau seharusnya dikira dari tarikh penubuhan Lembaga Muzium
negeri Selangor (27 Disember 1975) sebagaimana tarikh dikira 25 tahun bagi
Muzium Negeri Terengganu selepas Penubuhan
Lembaga pada 1 November 1977. Jika dikira dari penubuhan Lembaga Muzium
(27 Disember 1975), maka usia permuziuman negeri Selangor tidaklah sebenarnya
25 tahun, tetapi melangkaui (berdasarkan 18 Mei), maka usia permuziuman negeri
Selangor adalah 36 tahun 4 bulan 21 hari. Ini bererti apa yang dimaksudkan
dengan Sambutan Jubli Perak itu tidaklah tepat ! Mengenai sambutan Jubli Perak ini seingat
Penulis masih tidak dibawa di dalam perbincangan Lembaga.
Hakikat sebenarnya permuziuman Negeri Selangor adalah salah
satu permuziuman tertua di Malaysia .
Muzium tertua di Malaysia
ialah Muzium Taiping Perak yang mula dibina pada bulan Januari 1883 dan mula
beroperasi sebagai muzium ialah pada tahun 1886. Bagi negeri Selangor, maka
pengasasan muziumnya adalah sebagaimana maklumat berikut:
``Pengasas penubuhan Muzium Selangor ialah H.C.Syers, dimana
pembinaan ini telah dimulakan pada tahun 1888 dan siap sepenuhnya pada tahun
1904. Usaha-usaha mengumpulkan artifek-artifek zaman pra-sejarah untuk
dipamerkan di muzium tersebut telah bermula sejak tahun 1894 lagi di mana
J.P.Rodger telah menghadiahkan beberapa kapak dan beliung yang dikenali sebagai
`Batu Lintar` pada masa itu kepada muzium tersebut.``
(Ahmad Kamal Muhamad & Mohd. Zainudin Haji Abdullah,
Sejarah Dan Perkembangan Muzium Selangor Sehingga Terbinanya Muzium Sultan Alam
Shah, Shah Alam (1887-2002), Seri Alam, Jurnal Lembaga Muzium Selangor Darul
Ehsan, Bil. 7, 2002/2003, hlm. 130).
Bagi penulis tarikh sejarah permuziuman negeri Selangor
sebagai negeri kedua tertua mewujudkan muzium di negeri Selangor hendaklah
dikira dari 1887 (persetujuan) sebelum memulakan pembinaan. Ini bererti usia
permuziuman negeri Selangor ialah sudah 127 tahun. Satu sejarah permuziuman
yang membanggakan. Adapun perubahan-perubahan pensejarahan yang berlaku tidak
menjejaskan hakikat usia tersebut. Ini seperti penyatuan dengan Muzium Perak (1910),
kemudian diasingkan (1932), kemudian disatukan kembali (1938), penutupan Muzium
Negeri Selangor bila Jepun memerintah (8 Disember 1941) dan British tinggalkan
Muzium Selangor pada 9 Januari 1942, 10 Mac 1945 Muzium Negeri Selangor musnah
kena bom tersasar oleh tentera Amerika dan pembinaan bangunan di atas tapak
Muzium Negara sekarang secara sementara siap dan dirasmikan pada 1953 dan
dibina secara kekal seperti sekarang ini dan dirasmikan pada 31 Ogos 1963.
Sehingga 1 Februari 1974 muzium di Kuala Lumpur itu kekal sebagai Muzium Negeri
Selangor sehingga pada tarikh tersebut dirasmikan termasuk di bawah Wilayah
Persekutuan.
Bagi Penulis, sejarah Permuziuman Negeri Selangor yang
berwarna warna dan berpelbagai dan menarik sejak 1887 adalah Sejarah sebenar
Permuziuman negeri Selangor dan tak dapat dipisahkan, bahkan segala warisan dan
artifak yang terhasilkan sejak zaman kerajaan negeri Selangor adalah tetap sejarah
permuziuman negeri Selangor sebagai contoh Bangunan Pentadbiran Kerajaan Negeri
Selangor – Bangunan Sultan Abdul Samad adalah warisan sejarah negeri Selangor.
Begitulah dengan berbagai-bagai warisan yang lain. Kerajaan Persekurtuan atau
Kementerian Wilayah boleh mendakwa sebagai sejarah dan permuziuman baginya
selepas bahan-bahan diwujudkan slepas 1
Februari 1974. Kedua belah pihak perlu bersefahaman dan bekerjasama.
Bagi Penulis ungkapan Sambutan Satu Suku Abad Muzium Negeri
Selangor sempena Sambutan Hari Muzium Antarabangsa 2014 lebih baik dan tepat
dari memperkecilkan diri dengan Sambutan Jubli Perak Muzium Negeri Selangor.
Sekian.
No comments:
Post a Comment