November 17, 2013

Mobiliti Sosial


BBB, 12 Muharram 1435 = 16 November 2013 (Sabtu):

Tulisan Penulis kelima diberi tempat Dalam Dian ialah `Mobiliti Sosial`, iaitu terbit dalam Dian Bil. 63, Tahun Ke XII, 1973, hlm. 34 – 41.

Istilah di atas ialah istilah sosiologi yang dikagumi Penulis pada masa itu (1970) yang mana pada tahun Satu Penulis perlu mengambil tiga jabatan teras. Penulis mengambil Jabatan  Bahasa, Kesusasteran dan Kebudyaan Melayu, Sejarah dan Sosiologi & Antropologi. Mobiliti Sosial pada masa itu merupakan istilah baru yang sampai ke pengetahun Penulis melalui pengambilan kursus bagi kertas Antropologi Asas dan Sosiologi Asas. Bagi Antropologi Asas, ialah mempelajari sejarah perkembangan ilmu Antropologi, bidang dan tokoh, Antropologi sebagai  sains masyarakat dan pertumbuhannya. Pengertian mengenai kebudayaan dan masyarakat. Nilai dalam masyarakat. Teknologi dan ilmu pengetahuan sebagai aspek-aspek kebudayaan. Perubahan-perubahan dalam kebudayaan purba. Antropologi Fizikal, Konsep ras. Perkembangan baru dalam antropologi. Individu dan kebudayaan. Aplikasi ilmu itu dalam cara hidup moden.

Manakala Sosiologi Asas memperkenalkan ilmu sosiologi dan hubungannya dengan disiplin-disiplin lain. Analisa erti dan unsur-unsur masyarakat dan kebudayaan. Struktur dan fungsi masyarakat, stratifikasi, teori-teori umum dan analisa konsep-konsep status, kelas, kasta dan estet. Teori-teori evolusi. Jenis-jenis masyarakat, kehidupan memburu kepada kehidupan masyarakat industri. Mengulas mengenai struktur, organisasi dan sistem, sistem ekonomi dan politik.

Juga perbincangan mengenai sistem sosial, institusi sosial, fungsi sosial, sistem kekeluargaan termasuk, soal perkahwinan, famili, keturunan dan sebagainya.
Tanggapan mudah Penulis Antropologi mempelajari tentang kehidupan manusia purba yang buktinya terdapat pada artifek-artifek lama, cara hidup dan perkembangan budaya mereka. Manakala sosiologi membicarakan kehidupan dan budaya masyarakat moden - termasuklah stratifikasi masyarakat, status sosial dan mobiliti sosial.

Oleh kerana keilmuan-keilmuan berkenaan adalah baharu dan dikaji oleh pengkaji-pengkaji keilmuan Barat, maka cara pendekatan adalah Barat. Bahan rujukan hampir keseluruhannya dari sumber antropologi dan sosiologi Barat, kecuali beberapa dari Indonesia seperti yang dihasilkan oleh Kucaraningrat. Kursus ini cuma setahun Penulis ikuti. Antara pensyarah-pensyarah pada permulaan itu ialah, Mohd Aris bin Haji Othman,  Abdul Maulud Mohd. Yusof . Manakala yang masih bertaraf penolong pensyarah pada masa itu seperti Dahlan Haji Aman, Abdul Halim Ali, Abdul Halim Othman, Abdul Rahman Embong, Abu Hassan Othman, Hairi Abdullah, Rajmah bt. Abdul Samad, Sanusi bin Osman dan Wan Muhammad Rafaei bin Hj. Wan Abdul Rahman. Manakala yang bertaraf pengajar, Hood bin Mohd Salleh, Mohd. Dahlan bin Hj. Aman, Mustapha bin Hj. Mohd Jar dan Ting Chew Peh. Tidak semua Penulis dapat ikuti pengajaran mereka, tapi dapat mengikuti pengucapan dan pemikiran dan kecenderungan mereka.
Tulisan Penulis berhubung dengan Mobiliti Sosial ini adalah merupakan satu-satunya makalah yang ditulis Penulis dalam bidang sosiologi. Penulisan ini pun bukanlah direct berhubung dengan keilmuan berkenaan, Tetapi aplikasinya di dalam bidang pendidikan. Pada masa ini Penulis belum mengambil diploma Pendidikan (Tahun 4 - 1974).
Penulis bergiat di dalam PMUKM.

Semasa cutu universiti dan berada di Kuala Terengganu, pada 27.4.1972 Penulis menerima arahan dari Presiden PMUKM untuk sama AJK yang lain hadir ke Seminar Keciciran di Kota Bharu Kelantan. Penulis dengan seorang lagi AJK saudara Zahid Awang bertolak dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu tiba pada petang 27 April. Beberapa orang AJK datang terus dari Kuala Lumpur. Seminar dari 28-29 April 1972 bertempat di Sekolah Islah, Kota Bharu, Kelantan. Seminar dirasmikan oleh En. Ghafar Baba Menteri Pembangunan Luar Bandar pada masa itu. Antara pembentang ialah Profesor Taib Osman dari Universiti Malaya dan penutup oleh Penolong Ketua Pelajaran Kelantan. Selain seminar  diadakan bengkel dan sidang pleno. Maklumat tentang keciciran banyak Penulis dapat dari seminar ini. Majlis ditutup oleh Menteri Besar

Salah satu faktor utama berlakunya mobiliti sosial ialah melalui pelajaran. Misalnya kalau dulu kedudukan lebih ditentukan oleh keturunan, tetapi kini kejayaan  dan peningkatan adalah ditingkatkan melalui pendidikan. Anak seorang miskin, tapi jika rajin dan pandai dan mendapat keputusan yang baik dalam pelajaran, boleh mengubah nasibnya melalui kejayaan dalam pelajaran dan kerjaya yang dilibatkan. Kejayaan boleh dicapai melalui kerajinan, inovasi, minat dan tumpuan.

Pada tahun 1967 jumlah murid-murid yang belajar di Sekolah rendah hampir 1.5 juta orang jumlahnya. Dilihat pada beberapa peringkat keciciran adalah sebagaimana berikut:

Peringkat Sekolah rendah    15%
Peringkat peralihan ke Sekolah menengah 25%
Peringkat Sekolah menengah rendah   10%
Peringkat menengah atas   40%

Keciciran diakibatkan oleh pelbagai faktor antaranya kemiskinan, masalah keluarga, kurang motivasi dan kesedaran. Peluang bagi mendapat pengajian tinggi pada masa itu amat rendah tidak sampai 1%. Bilangan mahasiswa dari pelbagai fakulti pada  tahun 1970/71 adalah sebagaimana berikut:

Jurusan Ekonomi dan Pentadbiran   1,360
Engineering                                          392
Pendidikan                                            442
Pertanian                                               324
Perubatan                                              631
Sains                                                   1,363
Sastera                                                3,265
Jumlah                                                7,777

(Malaysia Year Book 1971)
.
UKM yang baru dibuka pada masa itu (1970) adalah seramai 197 orang pelajar. USM juga baru dibuka).

Ketara pada masa itu antara peluang pengajian antara Bandar dengan luar Bandar, antara bumiputera dan bukan bumiputera dan antara pengajian sains dan bukan sains.

Kesedaran tentang keciciran pelajar-pelajar pada semua peringkat menjadi isu utama yang menjadi topik perbincangan di akhbar-akhbar. Seminar yang diadakan menghasilkan berbagai resolusi antaranya. Menyeru pihak kerajaan memperbaiki kemudahan persekolahan di luar Bandar, memperbanyakkan Sekolah-sekolah berasrama yang diberi peluang kepada anak-anak miskin dan berkelayakan mendapat tempat di Sekolah-sekolah berkenaan. Menggalakkan pelajar-pelajar memilih pengajian sains berbanding dengan sastera. Membanyak dan mempertingkatkan kualiti guru dan membanyakkan peluang bagi pelajar-pelajar menyambung pengajian pada peringkat pengajian tinggi.

Mobiliti sosial, tidak saja hanya bergantung pada kelulusan pengajian, tetapi tidak dapat dinafikan, pelajaran adalah faktor utama yang boleh menggerakkan mobiliti sosial. Kemajuan yang dicapai kini adalah hasil dari peningkatan pengajian yang dicapai oleh masyarakat.

Sekian.

No comments:

Post a Comment