Kajang, 12 Safar 1435 = 15 Disember 2013 (Ahad):
Surau Saujana Impian, Kajang dapat dikatakan antara surau
yang aktif dan mempunyai sejarah perkembangan yang menarik. Surau bermula pada
tahun 1995 dari sebuah rumah teres di Jalan Impian Jaya 4. Untuk mendapat
bangunan surau lebih sempurna sebuah tapak seluas 1.045 hektar diusahakan pada tahun 1997 dari pihak Pemaju
di tapak sekarang. Surau dibangunkan dengan menggunakan bahan-bahan terpakai
dari sisa pembangunan oleh pihak Pemaju (Pejabat Jualan). Surau mendapat
sambutan jamaah dan bangunan surau berkali-kali dibesarkan yang kapasiti
maksimum seramai 400 jamaah. Lepas itu surau tak dapat diperbesarkan lagi. Pada
masa Penulis menjadi Adun Kajang (1999-2004), kawasan ini termasuk di bawah Dun
Kajang dan selaku Adun Penulis sering datang ke surau ini, terutama bila ada
function dan kegiatan-kegiatan. Penulis selaku Adun turut diberitahu
perancangan untuk mendirikan surau baru. Jawatankuasa pembinaan bagi binaan
baru di lantik pada 2005 dan mencari dana. Kos
pada masa itu yang diperlukan ialah RM1.2 juta. Setelah mendapat kelulusan JAIS
dan MPKJ kerja membina dimulakan pada
Ogos 2005 dengan kewangan yang ada pada masa itu hanya RM250,000. Bangunan siap
pada Disember 2006 dan mula digunakan pada Januari 2007.
Adapun bangunan lama dikekalkan dan dijadikan Sekolah Rendah
Agama di bawah tadbiran surau yang dapat menampung 150 pelajar. Namun bangunan
lama yang agak uzur yang digunakan sejak 2007 terpaksa dirobohkan pada April 2013
untuk elak dari kemalangan dan digantikan dengan bangunan baru yang mula digunakan
2007 berikut dari perobohan bangunan lama. Jadi dibawah pimpinan dinamik Tuan
Haji Ibrahim dan AJK Surau Saujana Impian lengkap dengan Surau dan Sekolah.
Pihak surau selain dari menjalankan kegiatan ibadat, mengadakan Pengajian Ala
Pondok sejak awal Januari 2011 dan pihak surau juga mengendalikan Sekolah.
Pada pertengahan Disember 2013 pihak AJK mengadakan kegiatan
secara berturut, iaitu Karnival Surau Saujana Impian mulai dari 13 – 15
Disember 2013 dan diikuti dengan Majlis Graduasi Pertama Pengajian Ala Pondok
Surau Saujana Impian pada 16 Disember sebagaimana telah diperkatakan. Karnival
melibatkan pelajar Sekolah dan masyarakat. Gerai-gerai perniagaan disediakan
bagi mereka yang berminat berniaga dan berbagai kegiatan di adakan. Menurut
maklumat bahawa tujuan mengadakan Karnival Surau ialah:
Bagi merapatkan silaturrahim di antara penduduk-penduduk
ahli kariah Surau Saujana Impian.
Menawarkan program pengisian untuk anak-anak remaja kariah
dan kawasan berdekatan.
Menarik minat anak-anak remaja kariah untuk lebih aktif
dalam setiap program Surau Saujana Impian. Antara program diadakan selama tiga
hari ialah:
Pembukaan gerai jualan, pertandingan azan dan khutbah, forum
perdana, kuliah subuh dan doha, motivasi pelajar, pertandingan mewarna, sukan
street soccer, pingpong, pemeriksaan
kesihatan dan darah percuma, menunggang kuda, main belon air, permainan karem dan
congkok, persembahan nasyid dan qiyamullail.
Pada masa kehadiran Penulis untuk Majlis Graduasi Pertama Pengajian Ala Pondok
pada 16 Disember 2013 dalam mana Penulis tiba sedikit awal. Penulis
berkesempatan hadir majlis penyampaian hadiah dan perasmian penutup karnival yang
dilakukan oleh Y.B. Ustaz Solehen Muhyi Exco Hal Ehwal Islam Dan Pembangunan
Desa yang turut dihadiri sama oleh Y.B. Tuan Haji Razali Hassan Adun Dusun Tua.
Penulis sempat mengikuti ucapan Y.B. Ustaz Solehen yang
memaklumkan kepada hadirin termasuk ibu bapa, bahawa bajet bagi negeri Selangor
bagi tahun 2014 adalah tertinggi, iaitu sebanyak RM2.3 bilion. Daripadanya
portfolio yang beliau menerima peruntukan tertinggi, iaitu untuk Hal Ehwal
Agama Islam ialah sebanyak RM400 juta dan Pembangunan Desa RM300 juta.
Jumlahnya lebih satu perempat dari bajet tahun tersebut.
Y.B. Ustaz Sallehen menyebut rancangan membina tiga kompleks
Islam di Selangor. Kerajaan juga akan mengadakan Ma`had Tahfiz Sains sebuah
bagi setiap daerah. Menurutnya, Selangor kini adalah negeri paling banyak
dengan ma`had tahfiz swasta yang jumlahnya kini lebih 100 buah. Projek bagi
mendirikan Ma`had Tahfiz Sains Kerajaan memerlukan tanah antara 8 hingga 15
ekar. Tempat dan tapak sesuai sedang dikenalpasti. Pelajar-pelajar dari Ma`had
Tahfiz akan diusahakan bagi mereka menyambung pengajian di dalam dan luar
Negara.
Y.B. Ustaz Sallehen menyampaikan hadiah dan cenderamata bagi
yang berjaya.
Dengan berbagai kegiatan yang dijalankan di surau Saujana
Impian, jelaslah bahawa ianya surau yang aktif yang dipimpin oleh pemimpin yang
dinamik. Kita berharap Surau Saujana Impian terus maju dan menjadi surau contoh
bagi surau-surau yang lain sebagai surau yang aktif dan dinamik.
Sekian.
No comments:
Post a Comment