BBB, 21 Rabiul Akhir 1435 = 23 Mac 2014 (Ahad):
Hari ini pengundi Kajang akan keluar mengundi memilih Wakil
Rakyat mereka bagi mengisi kekosongan setelah Mantan Adun Kajang Lee Chin Cheh
meletakkan jawatan pada Isnin 27 Januari 2014 lalu. Perletakan jawatan dan
mengosongkan kerusi bukan satu yang luar biasa. Tan Sri Taib Mahmud Bekas Ketua
Menteri Sarawak juga meletakkan jawatan pada 28 Februari bagi kerusi Balingian dan
pertandingan bagi merebutkan kerusi Balingian akan dilakukan pada 29 Mac ini
antara calon BN – Yossibnosh dan calon PKR Abdul Jalil Bujang. Walaupun
pertandingan dikedua-dua kerusi sama antara BN & PKR dan tidak tergugat
dari segi pemerintah negeri, biar apa jua keputusan, tapi mengundi bagi
memenuhi kekosongan kerusi Dun Kajang berbeza dari segi tumpuan dan jangkaan
kesan. Kerusi Balingian adalah kerusi bagi memenuhi kekosongan, tetapi kerusi
Kajang lebih dari hanya semata-mata memenuhi kekosongan.
Kerusi Kajang membawa bersamanya wawasan `Langkah Kajang`, dan
berkait dengan Kerusi Menteri Besar dan Pimpinan dalam PKR. Isu ini membuak,
bahkan sengaja dispekulasi dan dieksploitasi sebaik kekosongan kerusi Dun
Kajang berlaku dan pengumuman Dato` Seri Anwar Ibrahim menjadi calon bagi mengisikan
kekosongan Dun Kajang. Bagi PR &PKR ini merupakan strategi dan perang
psikologi serta gerakgempur permulaan ke arah mara ke Putrajaya yang nampaknya
memberi kesan psikologi yang membimbangkan BN. Namun Hasrat Dato` Seri Anwar
Ibrahim mau bertanding tersekat dengan keputusan rayuan terhadap kesnya di
Mahkamah Rayuan ditolak dua hari sebelum hari penamaan calon dan tempatnya
digantikan oleh Datin Seri Wan Azizah sebagai calon PKR pada 11 Mac 2014
menentang Datin Paduka Chew Mei Fun dari BN (MCA).
Dari satu segi bahawa tersekatnya Dato` Seri Anwar dari
menjadi calon bagi Dun Kajang pada hari ini mengeciwakan Dato` Seri Anwar dan
PKR yang mengatur strategi, tetapi ironinya BN sebenarnya mengharapkan agar isu
Menteri Besar dan kepimpinan PKR di negeri Selangor yang sengaja dispekulasikan
terus dihangat agar menjadi senjata yang boleh memecahbelah dan melemahkan PKR
di Selangor dan di Malaysia, namun dengan penggantian Datin Seri Wan Azizah
bertanding di Dun Kajang mematikan isu siapa bakal Menteri Besar Selangor,
bermaksud kedudukan Y.A.B. Dato` Menteri Besar Selangor sebagai Menteri Besar
Selangor kukuh dan tidak tergugat dan persoalan perebutan pimpinan PKR Selangor
terhenti dengan sendirinya. Ada
usaha media tertentu menjelang pilihanraya ini menghidupkan isu kemungkinan Datin
Seri Wan Azizah menjadi Menteri Besar Selangor, tapi kita menganggap isu ini
sebagai disengaja menghidupkan isu dan tidak releven !
Apa yang hendak ditekankan bahawa PR & PKR mempunyai
strategi dan wawasan dalam pertandingan di Dun Kajang. Kajang dipilih bukan
saja kerana dekat dengan Putrajaya, tetapi Dun Kajang adalah Dun dan kerusi
pertama yang bersifat multirasial dimenangi – pada masa itu dikenali sebagai
Barisan Alternatif, dipilih oleh pengundi Kajang (1999) yang disifatkan
bersifat bijaksana dan berwawasan. Pemilihan sedemikian terus dipertahankan
pada pilihanraya ke 12 (2008) dan ketiga belas (2013). Kajang boleh disifatkan
sebagai pemimpin perubahan dan kita berkeyakinan kebijaksanaan ini diteruskan
oleh pengundi Kajang pada hari ini. Soal strategi dan wawasan adalah menjadi
keutamaan dan calon adalah mekanisme bagi melaksanakannya, lantaran itu bila
Dato` Seri Anwar tidak dapat bertanding, maka yang lebih releven bertanding
ialah Darin Seri Wan Azizah, di samping wujudnya calon pelapis yang sedia
memenuhi tempat.
Apa yang hendak ditekankan di sini, bahawa PR & PKR
mempunyai strategi dan wawasan di dalam memilih dan menghadapi PRK Kajang.
Berlainan dengan calon dari BN-MCA Datin Paduka Chew Mei Fun adalah sebagai
menurut perintah semata-mata tanpa mempunyai atau digerakkan oleh wawasan
tertentu. Sebenarnya jika Mei Fun menang dan berada di Dun Negeri Selangor , ia
tidak dapat berbuat apa-apa sebagai pembangkang di Dewan Negeri Selangor. Dia
tidak mempunyai peruntukan Dewan Negeri untuk ianya bergerak di Dun Kajang,
tidak mempunyai ahli di Mesyuarat MPKj untuk menyuarakan pendapat dan
permohonan dan tidak mempunyai suara di Mesyuarat Majlis Daerah Hulu Langat.
Pendek kata banyak kemudahan yang tidak dapat dinikmati oleh Mei Fun sebagai
pembangkang yang mengakibatkan penduduk di Dun Kajang juga tidak mendapat peruntukan
dan kemudahan sebagai Adun di bawah PR.
Pengundi dan Rakyat Kajang sebagai pengundi bijaksana tentu
dapat menilai tentang kecemerlangan pemerintahan sejak PR memerintah di
Selangor sebagai Negeri Maju dengan mempunyai reserve yang besar berbanding
dengan negeri-negeri yang lain. Kita menjangka pengundi Kajang pada hari ini
akan meneruskan pemilihan secara bijaksana sebagaimana mereka telah lakukan
selama ini.
Selamat Mengundi secara bijaksana dan berwawasan !
Sekian.
No comments:
Post a Comment