BBB, 11 Rajab 1435 = 11 Mei 2014 (Ahad):
Mengapa tidak ? Bukankah Al-Qur`an diturunkan, antaranya
mencabar kewibawaan masyarakat Arab Jahiliyyah yang bermegah-megah dengan
ketinggian mutu sastera mereka ? (l-Baqarah: 23). Bukankah dua pertiga dari
kandungan Al-Qur`an bersifat cerita ? Bukankah Al-Qur`an begitu indah dan
bukankah di dalam kandungannya dapat dikaji elemen-elemen dari segi seni dan
estetika ? Dan bukankah Al-Qur`an menjadi induk piawan bagi bahasa Arab dan
Sastera Islam ?
Sesungguhnya 15 abad Islam berkembang. Di dalam masa tersebut
telah lahir berbagai-bagai keilmuan di dalam Islam. Antaranya aqidah, syariah,
tasawuf, hadith, tafsir, sirah, Ilmu Alam, perubatan, geometri, al-Gibra,
falak, perubatan, seni, muzik dan berbagai-bagai lagi. Dengan kelahiran
keilmuan berkenaan lahir berbagai-bagai kitab karangan dihasilkan oleh
tokoh-tokoh yang pakar di dalam bidang-bidang berkenaan. Adalah mustahil dalam
tempoh 15 abad tiada jiwa muslim yang tidak tersentuh dengan elemen-elemen yang
mencetuskan ilham mereka menggubah hasil-hasil sastera.
Sebenarnya amat banyak hasil sastera dan begitu ramai pula
tokoh-tokoh sasterawan muslim yang lahir, bukan saja dari kalangan mereka yang
berbangsa Arab, tetapi dari berbagai Negara umat dan di luar dari negera umat.
Antara sasterawan muslim terkenal ialah Sayyiduna Ali ibn Abi Talib k.w. yang
kalam dan ungkapannya terhimpun di dalam buku berjudul Nahj al-Balaghah yang
menurut Shaykh Muhammad Abduh Mufti Mesir pada zamannya yang memberi syarah
terhadap kalam dan ungkapan Sayyiduna Ali k.w. yang antaranya mempunyai elemen
puisi (Sayyiduna Ali sendiri mempunyai kumpulan puisi Dewan al-Imam `Ali k.w.)
bahawa:
``Bahawasanya kalam Al-Imam Ali bin Abi Talib adalah
semulia-mulia kalam yang mendalam dari segi balaghah selepas Kalam Allah Ta`ala
dan Kalam Nabinya s.a.w. sebaik bahan dan setinggi-tinggi susunan bahasa.``
(Nahj al Balaghah – Kalam Sayyidina Amir al-Mu`minin Ali bin
Abi Talib, dihimpun oleh Al-Sharif al-Rida dan di Syarah oleh Shaykh Muhammad
Abduh, Dar al-Kutub al-Ilmiyah, Beirut, Lubnan, 1410H./1990M.: 6).
Bahawa sayyiduna Ali adalah penyusun ilmu nahu dan balaghah
pada peringkat awal dan dimantap oleh Abu Aswad al-Da`uli. Keilmuan ini diguna
bagi menjaga keaslian al-Qur`an dan mengelak daripada kesilapan.
(Cantarino, Vicente, Arabic Poetics In The Golden Age, E.J.
Brill, Leiden, 1975: 12). Ungkapan dan khutbah-khutbah juga terdapat diabadikan
dari seperti Sayyiduna Abu Bakar dan khalifah-khalifah al-Rasyidin yang lain.
Dari awal lagi tradisi sastera yang wujud sebelum Islam,
bermula dan berterusan dengan sastera, khususnya puisi bersifat Islam. Antara
tokoh penyair terkenal ialah Hassan bin Thabit dari kabilah Khazraj berasal
dari Yaman. Hassan lahir di Madinah 8 tahun lebih awal dari kelahiran Nabi.
Apabila berlaku Hijrah Hassan dan kaumnya turut menerima Islam. Sebagai penyair
terkenal beliau mempertahan dan membela Nabi dengan puisi-puisinya.
(Yusof `Aid, Diwan Hassan Bin Thabit al-Ansari, Dar al-Jayl,
Beirut ,
1412H./1992M.: 5-6).
Sebagaimana disebut orang-orang Arab Jahiliyah amat
berbangga dengan ketinggian mutu sastera mereka, jika bersengkita di dalam
kalangan mereka, maka turut digunakan penyair-penyair dari kalangan mereka untuk
menyerang musuhnya. Sebagaimana maklum juga orang-orang Qurasy menentang Islam
di Madinah selama lapan tahun. Penentangan dan peperangan tidak terhad kepada
bersifat senjata, tetapi juga melalui perang puisi. Penyair Jahiliyyah
menyerang Nabi dan orang Islam dengan puisi. Bagi membalas serangan puisi mereka
Nabi juga memilih tiga penyair Islam terkenal pada masa itu bagi menyerang kaum
kuffar Jahiliyah, terutama di Makkah. Mereka ialah:
Hassan bin Thabit, Ka`b bin Malik dan Abdullah bi Rawahah.
Pada masa itu berkembang puisi, lantaran berlaku berbalas-balas serangan
menggunakan puisi. Daripada kalangan penyair Qurasy yang menyerang nabi dengan
puisi dan penyair-penyair Nabi empat orang.
Mereka ialah Abdullah al-Zuba`ri, Abu Sufyan bin al-Harith bin
Abdulmuttalib, Amru ibn al-`As dan Dirar bin al-Khattab. Menurut pengkaji,
tidak diwarisi puisi-puisi mereka, melainkan sedikit sahaja, oleh kerana
puisi-puisi berkenaan sengaja dihapuskan, lantaran mereka kemudian masuk Islam
dan tidak manis puisi-puisi penentangan ini dikekalkan sesudah mereka Islam.
(Butrus al-Bustani, Udaba` al-Arab fi al-Jahiliyyah wa Sadr
al-Islam, Dar Nazir `Abud, Beirut, 1989: 266).
Ayat al-Qur`an menggambarkan alam kepuisian yang berunsur
Jahiliyyah dan mengecualikan yang membawa tema-tema yang mengukuhkan Islam
bermaksud:
``Dan ahli-ahli syair itu, diturut oleh golongan yang sesat
– Tidak berketentuan hala. Tidakkah engkau melihat bahawa mereka merayau-rayau
dengan tidak berketentuan hala dalam tiap-tiap jurang lembah (khayal dengan
angan-angan kosong).
Dan bahawa mereka memperkatakan apa yang mereka tidak
melakukannya.
Kecuali orang-orang beriman dan beramal salih (dari kalangan
ahli-ahli syair itu), dan mereka pula mengingati Allah banyak-banyak, serta
mereka membela diri sesudah mereka dianiaya. Dan ingatlah orang-orang yang
melakukan sebarang kezaliman, akan mengetahui kelak, ke tempat mana, mereka
akan kembali. (Al-Shu`ara` 224-227).
Contoh puisi Hassan bin Thabit memuji Nabi Muhammad s.a.w.
Rasul Dicipta Tanpa Cela
Keelokan pada baginda tidak melihat mata
Lebih elok dari Baginda dilahir wanita
Baginda dicipta Allah tanpa cela
Baginda dijadikan dengan ketentuan-Nya.
(Yusof `Eid, Diwan Hassan bin Thabit al-Ansari, Dar al-Jayl,
Beirut, 1412H./1992M: 19).
Hassan juga memuji Khalifah Umar Ibn al-Khattab yang
dikatakan suka kepada bersegera membuat kebajikan (hlm. 43) dan beberapa
sahabat yang lain sebagaimana juga beliau mencela dan mengecam musuh-musuh
Islam dan menyeterui Nabi s.a.w.
Jelas dari apa yang diperkatakan di atas, bahawa suasana
sebelum Islam adalah suasana yang mementingkan sastera dan suasana ini
berterusan di dalam Islam. Sastera diperkukuhkan oleh Islam dan sastera juga
menjadi alat mempertahankan Islam dari serangan musuh.
Sekian.
No comments:
Post a Comment