September 12, 2014

Menunggu Masjid Al-Umm Siap Bangunan Membincangkan Pengisian


BBB, 16 Zulkaedah 1435 = 11 September (Khamis):
Sesuatu gagasan yang hendak dilaksanakan perlu mempunyai perancangan yang darinya menjadi panduan bagi menjayakan perancangan tersebut. Telah disebutkan bahawa rancangan mendirikan Masjid Al-Umm merupakan salah satu projek bagi  menjayakan gagasan yang dicetuskan pada tahun 2007 yang diungkapkan sebagai `Bangi Bandar Ilmu`. Al-hamdulillah rancangan ini menjadi reality, selepas projek ini benar-benar bergerak mulai 2012.


Dalam perancangan pembinaan Masjid Al-Umm, kami mempunyai  dua tahap perancangan, iaitu Pembinaan Fizikal Masjid Al-Umm dan Perancangan Pengisian. Semalam Khamis (10 September) separuh dari tempoh pembinaan yang bermula pada 10 Disember 2013 telah berlalu. Didapati progress pembinaan berjalan lancar dan separuh dari projek pembinaan telah dilaksanakan. Rangka binaan Masjid Al-Umm telah disiapkan. Dalam masa AJK sama ada AKK Tapak, Teknikal dan Induk terus memonitor, mengikuti perkembangan, menilai dan membuat cadangan dan mempastikan keputusan yang diambil di dalam mesyuarat diikuti dan dilaksanakan, AJK-AJK mulai  menghalakan kepada perancangan tahap kedua, iaitu `Pengisian Masjid`. Maksud Pengisian Masjid, ialah merangka  program-program yang akan dilaksanakan. Pembinaan fizikal ada tempoh dan hadnya, bila siap ianya boleh digunakan, adapun program Pengisian walaupun ada permulaan, tetapi relatifnya tiada pengakhiran. Ini merupakan sesuatu yang mencabar kami. Pengisian bukan setakat pengisian masjid sebagai tempat ibadah, khususnya bagi solat, tetapi bermatlamat lebih besar dan lebih jauh dari itu. Kami berhasrat mengisi ideal bagi Masjid Al-Umm dari segi:
1)      Konsep al-Umm bukan saja dari segi ianya berasal dari sebuah tempat ibadat (Al-Umm) terawal di Bandar Baru Bangi, tetapi Al-Umm adalah induk, ibu dan sumber bagi pengibadatan dan keilmuan
2)      Progrem yang bakal dijalankan dengan harapan dapat memenuhi aspirasi dan inspirasi `Bangi Bandar Ilmu`. Kami mengharap Masjid Al-Umm sebagai penggerak bagi Bangi Bandar Ilmu atau sekurang-kurang ianya sebagai projek mikro yang akan diperluaskan secara bertahap  kepada peringkat Makro di Bandar Baru Bangi
Kami berpendapat ianya tidak lari dari konsep masjid sebagai tempat ibadat, konsep memakmurkannya dengan ilmu, pengkuhan iman, taqwa, tazkirah dan ingat beringat. Dalam kata lain masjid sebagai tempat ibadat, kegiatan keilmuan, pembinaan keluarga dan masyarakat.
Kami berpendapat gagasan yang kami rangkakan dan perlaksanaannya lebih mudah diterapkan kepada masyarakat di Bandar Baru Bangi sebagai masyarakat yang disifatkan sebagai masyarakat intelektual, masyarakat yang dikelilingi berbagai-bagai institusi keilmuan, masyarakat yang sedar dan peka dengan perkembangan ilmu pengetahuan dan mencintainya. Dengan keadaan  masyarakat seperti ini persediaan masjid haruslah bersesuaian dengan ekpekstasi masyarakat, jika tidak masjid tidak menjadi daya tarikan kepada mereka. Tanpa persediaan yang sesuai dan releven, masyarakat tidak tertarik kepada masjid.  Menyedari bahawa, walaupun pada umumnya masyarakat di Bangi adalah masyarakat intelektual, tapi perlu diingat ada sebahagian dari kita yang masih pada tahap memerlukan pendidikan pada tahap fardu, perlu juga diingat, intelektual seseorang mungkin di dalam bidang kepakaran  khusus, mungkin mereka masih memerlukan pendidikan pada tahap fardu. Ada golongan yang sudah berada pada tahap cukup dari segi kefarduan tapi perlu kepada peningkatan dan sudah tentu sebahagian sudah ada pada tahap tinggi, dari mereka  kita mengharapkan sumbangan..


Di dalam hal ini kita tidak menganggap masyarakat sebagai tidak tahu dan hanya berperanan sebagai penerima, tetapi  menggerkkan konsep ``Persyarikatan dan Penyuburan Ilmu`. Ada beberapa tahap dan fungsi di dalam melaksanakan konsep `Persyarikatan dan Peyuburan Ilmu`  di Bangi Bandar Ilmu:
1)       Memberi penekanan terhadap pengajian fardu kepada mereka yang masih kekurangan di dalam bidang-bidang  berkenaan.
2)      Mempertingkatkan keilmuan di dalam bidang-bidang keilmuan Islam di tengah masyarakat dengan menggunakan kepakaran mereka yang terlibat di dalam bidang-bidang keilmuan Islam.
3)      Mendapat kerjasama dari kalangan professional di dalam bidang professional bercakap di dalam bidang-bidang mereka dari perspektif Islam. Contoh ekonomi ada ekonomi Islam begitulah diharap dalam bidang sains, teknologi, perusahaan, perubatan dan sebagainya.
4)      Membawa  tokoh-tokoh keilmuan dari luar menyampaikan keilmuan dan kepakaran mereka kepada masyarakat di Bangi
5)      Menghantar pakar dan tokoh keilmuan dari Bangi keluar menyampaikankeilmuan dan kepakaran serta berinteraksi dengan tokoh ilmuan dan pakar dari luar untuk dibawa kembali keilmuan kepada masyarakat di Bangi dan dapat menikmati bersama hasil dari interaksi mereka dari luar.
Untuk tujuan di atas, kami sedang berusaha menyediakan ruang dan peluang di Masjid Al-Umm dan dalam usaha merangka pendekatan dan pengisian  bersesuaian.

Sekian.

No comments:

Post a Comment