November 13, 2014

Mohon Penjelasan Dari Pembentang


BBB, 19 Muharram 1436 = 12 November 2014 (Rabu):
Pembentang Kertaskerja Yang Mulia Tuan Haji Mohammad Yusree bin Haji Junaidi tidak mempunyai masa yang panjang bagi membentangkan kertaskerjanya yang berjudul Kanun Hukum Jenayah Syariah: Perlaksanaan Dan Cabaran``. Lantaran itu beliau mengemukakan intisari dari kertaskerjanya, namun ada padanya tambahan atau maklumat luar dari kertaskerjanya.
Sepintas lalu beliau mengemukakan  Sistem Keadilan Jenayah Sivil  dan Syariah yang sebelum dari mendengar dan memutuskan kes-kes yang didakwa perlukan penyiasatan dan tertuduh mempunyai hak untuk dibela oleh peguam yang berdaftar sebagai peguambela dan peguamcara di bawah Akta Ikhtisas Peguam bagi mahkamah sivil dan sebagai peguam syarie bagi mahkamah syariah di bawah Akta Mahkamah-Mahkamah Syariah.  Tujuannya tidak lain dari menegakkan keadilan.
Di dalam hubungan kes di bawah Kanun Jenayah Syariah dan Kanun Jenayah Sivil, beliau membawa contoh kes pembunuhan, pencurian dan perogolan `bi l jabar  (secara kekerasan) yang kes perogolan  sukar dibuktikan kerana ketatnya syarat di dalam Kanun Jenayah Syariah (kecuali adanya iqrar tertuduh) yang turut digunakan Kanun Jenayah Sivil. Beliau juga membicarakan tentang syarat-syarat saksi, tentang had dan qisas, hak mangsa dan waris mangsa, maaf dan gantirugi dan perbezaan sebat bagi jenayah sivil dan syariah. Beliau juga membicarakan tentang  cabaran yang dihadapi Brunei berikut dengan penggunaan Kanun Jenayah Syariah (Mempunyai 254 bab, dibahagi kepada 5 bahagian) sebagaimana telah diperkatakan.


Ketika peluang soal jawab cuma tiga orang berkesempatan bertanya:
1)      Soalan dari En. Kamal – Pengamal Undang-Undang

a)      Setakat mana perlaksanaan Kanun Jenayah Syariah dijalankan
b)      Bagaimanakah kaedah penyiasatan terhadap tertuduh. Adakah penyiasatan semasa di dalam penjara atau di luar penjara.
c)       Apakah kekangan yang dihadapi dengan perlaksanaan Kanun Jenayah Syariah di Brunei
Jawapan yang diberi bagi (a) Perlaksaan  Kanun Jenayah  adalah berjalan fasa demi fasa dan terus berkembang.
`Jawapan bagi (b) penyiasatan yang dilakukan menurut procedure bagi menjaga keadilan bagi semua pihak. Tidak timbul soal  di dalam dan di luar penjara. Jika di dalam penjara bererti pesalah telah dijatuhkan hukuman.
Manakala bagi © kekangan dalam Negara ialah masalah ketidak fahaman penduduk, sebab itu usaha memberi  kefahaman kepada penduduk yang berjumlah 400,000 yang 10% daripada mereka bukan beragama Islam dilakukan. Manakala kekangan luar Negara menghadapi tekanan dari segi diplomatic dan sekatan dari pihak tertentu dan penarikan balik pengiktirafan yang semuanya tidak menjejaskan  sikap dan pendirian Negara.
2)  Soalan dari Tuan Haji (Tidak dimaklumkan nama penuh) – Soalan
a)      Kanun Jenayah Syariah berjalan beriringan dengan Kanun Jenayah Sivil. Tidakkah ini memberi makna Kanun Jenayah Syariah seolah-olah tidak lengkap ?
b)      Bagaimanakah perlaksanaan hudud  jenayah Syariah
Jawapan bagi (a) Setelah dibuat penyiasatan dan didapati cukup bukti dan syahadah  atau ada iqrar, maka kes dibawa ke Mahkamah Syariah, kalau tidak cukup bukti dipindah ke Mahkamah Sivil yang juga bergantung kepada cukup bukti.


Bagi (b) berjalan sebagaimana menurut peruntukan, namun kes seperti zina belum menjadi kes. Undang-undang masih lagi digubal. Menurut pembentang, ``Tahun ini dijangka siap``.
 3)    Soalan dari OKU (Mazhar – Perempuan)
Soalan dengan cara isyarat dan dihuraikan oleh sahabatnya.
Apa yang dikatakan soalan sebenarnya lebih bersifat permohonan
``Bila seorang OKU dirompak dan dirogol diharap beri keadilan bagi OKU``
Soalan ini tidak diberi jawapan oleh pembentang. Mungkin dimaksudkan bagaimana OKU yang kekurangan (Penanya Pekak) yang sukar memberi  penerangan dan sukar difahami oleh pihak penyiasat dapat dipastikan penyiasatan dapat berjalan dengan betul dan keadilan dapat ditegakkan.

Dari segi ini kita melihat, pihak berkuasa mempunyai pakar dari segi isyarat dan kaedah  pembuktian secarai forensic  dan berbagai kaedah lagi dapat dijalankan berdasarkan pengalaman , maka keadilan dijangka terlaksana. Dalam erti kata lain, tidak ada halangan bagi penyiasatan dan usaha menegakkan keadilan.
Majlis berhenti rihat untuk makan tengahari dan solat dan  disambung kembali jam 2.30 petang.


Sekian.

No comments:

Post a Comment