February 16, 2015

Menuju Persuratan Ilmu


BBB, 22 Rabiul Akhir 1436 = 12 Februari 2015 (Khamis):
Al-Qur`an sebagai kitab panduan lengkap dengan segala keperluan dan cara hidup umat. Al-Qur`an juga menampilkan ciri-ciri adabiyyah.  Ayat-ayatnya membawa aspek-aspek balaghah yang tinggi sama ada dari segi majaz, itnab dan kekuatan ta`bir ayat-ayatnya, kesesuaian lafaz dan sulaman makna. Istimewa dari segi kelembutan dan mudah bahasanya, jauh dari menggunakan istilah-istilah yang gharib, tetapi indah didengar. Apa yang dituju Al-Qur`an tepat dengan tujuan makna juga dari segi keras dan lembutnya, janji baik dan buruk. Di samping ayat-ayatnya yang lurus dan langsung, tetapi bagi  surah-surah pendek yang diturunkan di Makkah banyak menggunakan elemen bunyi akhir ayat yang sama – bersajak. (Shafie Abu Bakar, Estetika Dan Takmilah, dlm. Pembangunan Seni & Sastera, Jabatan Persuratan Melayu, FSKK, UKM Dan Akademi Seni Kebangsaan Malaysia, Kuala Lumpur: 1997: 105 – 147).


 Pada permulaan kalangan penyair Jahiliyyah menyangka Al-Qur`an sebagai berbahasa puisi, tetapi ini dinafikan oleh Al-Qur`an. Bahawa ia bukan syair, dan nabi tidak layak sebagai penyair (Yasin: 69). Berdepan dengan keunggulan Al-Qur`an melemahkan para penyair. Sebaliknya mereka mengkaguminya. Lantaran itu dapat dikatakan selepas turunnya Al- Qur`an, maka perhatian beralih dari syair kepada Al-Qur`an. Kelihatan pengaruh puisi menurun.

(Butrus Al-Bustani. Udaba` al-`Arab fi al-Jahiliyyah wa Sadr al-Slam, Dar Nazir `Abud, 1989: 383).
Al-Qur`an membawa fokus utama ialah memberkembangkan ilmu bertolak dari pengkajian terhadap Al-Qur`an. Adapun Al-Qur`an sebagai sumber ilmu, kata Al-Imam Jalaluddin Abdul Rahman bin Abu Bakar al-Sayuti al-Shafi`i (m.911H.) bermaksud:
``Bahawa kitab  Al-Qur`an adalah sumbir bagi pancutan ilmu dan tempat mata airnya, dairah matahari dan tempat naiknya. Allah menjanjikan di dalamnya terdapat semua jenis ilmu. Darinya pertunjukan dan peringatan, maka engkau lihat semua jenis ilmu terdapat dan berpegang padanya. Para faqih mengistinbatkan hukum hakam daripadanya, misalnya tentang halal dan haram, para ahli nahu (bahasa) membina daripadanya kaedah-kaedah bahasa dan merujuk kepadanya dari segi betul atau salah, bagi ahli ilmu bayan mendapat panduan cara susunan terbaik ungkapan. Ahli balaghah juga mengambil kaedah-kaedah balaghah dan fasahah daripadanya. Padanya ada kisah-kisah yang boleh dijadikan iktibar, nasihat, contoh tauladan dan panduan dan darinya  dijana berbagai bidang ilmu yang dapat diterokai.
(Jalaluddin al-Sayuti, Al-Itqan fi `Ulum al-Qur`an, Jil. I, Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut, 1434/2003: 9-10).

Dapatlah dikatakan tumpuan awal ialah terhadap pembacaan Al-Qur`an, panduan-panduan hukum hakam. Juga persoalan yang berhubung keilmuan akidah yang pada zaman Rasulullah dibimbing oleh Baginda sendiri, turut dibincang ialah aspek-aspek Hadith yang secara langsung dari Rasulullah, walaupun pada peringkat awal tidak diberi tumpuan dari segi riwayat dan tulisan, tetapi para rawi dari kalangan sahabat Nabi sepert Abdullah bin `Umar, `Abdullah bin `Abbas, Abu Hurairah, Anas bin Malik dan berbagai tokoh membincangkan kandungan sabda Nabi (Hadith) yang langsung sampai kepada penduduk seperti melalui masjid-masjid, tempat perhimpunan ilmu dan sebagainya. Kaedah keilmuan Hadith berkembang menjadi keilmuan tersendiri yang mengukuhkan keilmuan Al-Qur`an. Gaya Hadith ini juga menjadi kaedah mengarang pada peringkat awal perkembangan penulisan di dalam Islam contoh seperti Kitab Sirah Ibn Ishak mengenai Sejarah Rasulullah s.a.w.  (85-151H.). Sesungguhnya kandungan keilmuan sangat luas dan terus berkembang dan hingga kini ianya masih terus diteroka. Banyak bidang yang dulunya tidak diketahui, kini rahsia keilmuan-keilmuan terserlah.


Satu bidang keilmuan yang ada kaitan dengan bahasa yang berkembang sejak Islam (Ada sebelumnya tidak berkembang), ialah bidang khutbah. Bidang ini diamalkan oleh Nabi s.a.w. Antara khutbah Nabi terkenal ialah seperti Khutbah Hajjatul Wada`. Kalangan khalifah juga terkenal sebagai khatib-khatib. Antaranya khutbah-khutbah menerima perlantikan sebagai khalifah dan juga khutbah-khutbah di dalam menjalankan pentadbiran. Juga khutbah-khutbah para sahabat. Khutbah menjadi aspek ibadat seperti khutbah Juma`at dan juga bagi menyampaikan pengajaran Islam. Khutbah sebenarnya penyusunan percakapan secara teratur dan menarik dan ada kaedah-kaedah di dalam khutbah. Khutbah juga sebagai satu kaedah berbahasa dan kemudian diperturunkan ke dalam karangan dan menghasilkan karangan-karangan yang dikenal dengan kitab. Kita dapati ramai dari kalangan penceramah adalah khatib-khatib terkenal atau sebaliknya.  Di dalam penulisan kitab juga ada aspek-aspek khutbah. Ini memperluaskan tradisi mengarang dan menghasilkan karangan-karangan ilmu seperti yang dihasilkan oleh Imam Malik dengan karangan Al-Muwatta`nya dan ulama-ulama yang lain.
(Ahmad Hassan al-Zayyat, Tarikh al-Adab al-Arabiyy, Hukumah Wizarat al-Tarbiyyah, Arab Saudi, tt: 176-188).
Menyebut bahawa kehadiran Al-Qur`an memalapkan perkembangan perpuisian Arab, sebenarnya kehadiran Islam merupakan zaman baru di dalam persuratan Islam. Pada zaman ini mulai berkembang persuratan yang bersifat kitab yang menghasilkan berbagai-bagai bidang ilmu pengetahuan seperti tafsir, Hadith, perundangan dan hukum hakam (fiqh), akidah, khutbah, w`az, sirah, bahasa (Nahu dan saraf) dan adabiyyah. Adapun bidang puisi pada zaman permulaan Islam agak terhenti dan berkembang kepada ciri-ciri baru. Yang ketara bahawa puisi digunakan sebagai mekanisme bagi perkembangan ilmu. Misalnya di dalam perkembangan keilmuan Islam hampir tidak ada bidang ilmu yang tidak dirumuskan di dalam bidang puisi syair sebagai contoh  Matan Jauharat al-Tauhid bagi ilmu tauhid, Jauhar al-Maknun bagi Ilmu Balaghah, Matan Al-Fiyah bagi ilmu nahu dan sebagainya. Contoh (Shafie Abu Bakar, Syair Matan Jawharat al-Tawhid (MTJ) dan Syair Ghafilah (SG): Kajian Bandingan, dlm. Seminar Kesusasteraan Bandingan, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1995: 64-65).
Di samping bidang perpuisian antaranya menulis puisi bertemakan Islam, di samping ada yang meneruskan dengan tema-tema yang tidak Islamik, tetapi lebih kepada kearaban terutama bermula dengan kenaikan pemerintah-pemerintah kerajaan Umawiyyah. Walau bagaimana dilihat kepada perkembangan ilmu, bagi penulisan bidang keilmuan jauh mengatasi perpuisian. Al-Qur`an adalah menjadi induk bagi perkembangan keilmuan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment