BBB, 21 Syawal 1436 = 06 Ogos 2015 (Khamis):
Pendekatan yang dianggap baik bagi membantu
pembaca-pembaca memahami kandungan Al-Qur`an, bahawa bagi setiap awal surah,
walaupun surah pendek diberi muqaddimah terlebih dahulu sebanyak satu halaman.
Di dalam muqaddimah diterangkan kedudukan bilangan surah ke berapa dari
keseluruhan 114 surah dan jumlah ayat di dalam sesebuah surah dari segi
mengenai kedudukan dan kepentingan surah, kandungan di dalam satu-satu surah
dan kepentingan surah tersebut. Setiap surah juga dimaklumkan sama ada
diturunkan di Makkah atau Madinah. Tidak seperti Tafsir Al-Wajiz oleh Wahbah
al-Zuhaily yang mementingkan tentang `Asbab al-Nuzul` bagi hampir semua ayat
yang diturunkan (tidak semua ayat, terutama yang bersambungan), maka di dalam
Tafsir al-Rahman ini tidak diberi penekanan terhadap Asbab al-Nuzul. Namum bagi
tafsiran yang diberi, jika ada keperluan diberi penerangan, maka diberi catatan
kaki di bawah secara seturut bilangan dari awal surah.
Sebagai contoh bagi muqaddimah Surah
Al-Fatihah pentafsir memberi maklumat di dalam `Muqaddimah` bahawa surah
Al-Fatihah juga dikenali sebagai, Ummu al-Qur`an, Ummu al-Kitab, dan juga `Al-Sab` al-Mathani`, bermaksud `Tujuh Ayat
Yang Diulang-Ulang`.
Dari segi kandungan Surah Al-Fatihah
mengandungi, menurut pentafsir 7 persoalan, sesuai dengan 7 ayat, iaitu:
1) Menetapkan wujudnya Allah s.n.w. yang mencipta seluruh alam
2) Menyebutkan Allah bersifat Jalal dan Kamal
3) Menyebut tentang Hari Balasan kiamah dalam mana manusia menerima balasan
di atas amalan mereka.
4) Menyebut tentang kewajipan manusia menyembah Allah
5) Menyebut bahawa manusia tidak dapat melakukan sesuatu melainkan dengan
pertolongan dan keizinan Allah
6) Memohon dari Allah pertunjuk ke jalan yang benar dan lurus
7) Memohon jalan sebagaimana mereka yang menerima nikmat dan bukan
sebaliknya.
Sebagai huraian lanjut pentafsir mengukuhkan
pendapat tentang kepentingan Surah Al-Fatihah dengan memetik Sabda Rasulullah
s.a.w. bermaksud:
``Tidak ada di dalam kitab-kitab yang telah
diturunkan oleh Allah satu surah yang sama kelebihannya seperti Umm al-Qur`an
(hlm. 1).
Sebagai contoh kedua diambil contoh Muqaddimah
bagi surah Al-Baqarah. Pentafsir menyebutkan bahawa surah Al-Baqarah adalah
surah terpanjang di dalam Al-Qur`an, mengandungi 286 ayat yang melibatkan juz`
pertama, kedua dan sebahagian daripada juz` ketiga (3/8).
Surah Al-Baqarah diturunkan di Madinah, iaitu
sebaik berlaku Hijrah al-Rasul s.a.w. berhijrah ke Madinah. Dengan Hijrah
terbentuk sebuah negara Islam pertama yang merdeka yang masyarakatnya terdiri
dari orang-orang Islam, Yahudi dan sebahagian kecil penduduk dari keturunan
yang lain.
Turunnya ayat-ayat antaranya di dalam Surah
Al-Baqarah bagi memenuhi keperluan panduan dari segi hukum hakam, pengibdatan,
pentadbiran, kehidupan sosial dan kemasyarakatan.
Pentafsir membahagiakan kandungan Surah
Al-Baqarah kepada dua:
1) Menegaskan kebenaran Al-Qur`an, menerangkan sifat-sifat orang beriman,
sifat orang kafir dan munafik. Seruan kepada keseluruhan supaya menyembah Allah
dan tidak menyengutukan Allah. Penerangan tentang kejadian alam dari langit dan
bumi. Kejadianb dan kedudukan manusia dari segi amalan baik dan buruk dan
balasan syuga dan neraka. Cerita tentang Nabi Adam dan tipu daya Iblis yang
membawa kepada perseteruan berterusan antara manusia dengan Iblis dan dakwah
terhadap kaum Yahudi dan Arab Musyrik agar menerima Islam.
2) Menerangkan tentang hukum-hukum syarak bagi mengatur kehidupan
masyarakat umat Islam seperti ibadat solat, zakat, puasa, haji dan yang berkait
dengan muamalat, seperti berjual beli, hutang piutang, wasiat, menjadi saksi
dan sebagainya. Demikian dengan persoalan yang berhubung dengan munakahat
seperti perkahwinan, perceraian, nafqah dan sebagainya. Demikian juga berhubung
dengan jinayah sepert mencuri, berjudi, minum arak dan sebagainya.
Sebagaimana bagi Surah Al-Fatihah
diperkukuhkan dengan Hadith demikian juga dengan Surah Al-Baqarah pentafsir
menyebut Hadith dari Sahih Muslim tentang Surah Al-Baqarah bahawa Rasulullah s.a.w.bersabda bermaksud:
``Bacalah kamu Surah Al-Baqarah, kerana
sesungguhnya mengamalkan ajarannya mendatangkan barakah (kebaikan yang banyak)
dan mencuaikannya menyebabkan timbulnya perasaan kesal dan keciwa. Dan
orang-orang yang menceburkan diri ke dalam keadaan yang batil (yang salah)
tidak akan dapat mencapai sesuatu faedah daripadanya.`` (hlm. 5).
Konsep tafsir bagi pentafsir adalah terdiri
dari terjemahan secara langsung terhadap teks Al-Qur`an. Sebarang tambahan bagi
terjemahan diletak di dalam kurungan. Contoh terjemahan bagi awal Surah
al-Kahfi selepas basmalah:
1) Segala puji tertentu bagi Allah yang telah menurunkan kepada hambanya
(Muhammad), kitab suci Al-Qur`an, dan tidak menjadikan padanya sesuatu yang
bengkok (terpesong).
2) (Bahkan keadaannya) tetap benar lagi menjadi pengawas. Turunnya
Al-Qur`an untuk memberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar) dengan azab
yang sekerasnya dari sisi Allah, dan memberi berita gembira kepada orang-orang
yang beriman yang mengerjakan amal-amal salih, bahawa mereka beroleh balasan
yang baik.
Demikianlah terjemahan dan tambahan penerangan
di dalam kurungan. Namun terdapat terjemahan lebih panjang dari teks bagi
menyampaikan maksud yang tepat sebagaimana di dalam terjemahan ayat (2) di
atas.
Pengukuhan dari segi tafsiran ialah huraian
secara catatan kaki yang diberi kepada istilah atau perkara-perkara yang
berhubung dengan kandungan teks yang lain dari terjemahan., Misalnya bagi ayat
satu diberi penerangan tentang Kitab Al-Qur`an yang tidak terpesong. Seterusnya
berbagai catatan kaki yang diberi berhubung dengan kandungan dan
perkara-perkara yang perlu diberi penerangan bagi Surah al-Kahfi (Surah 18).
Catatan kaki sebagai penerangan ini kadang-kadang lebih panjang dan mengambil
ruang lebih banyak dari teks dan terjemahan. Di dalam rujukan antaranya dibuat
rujukan terhadap Hadith-Hadith, tetapi pentafsir tidak membuat rujukan terhadap
pendapat pentafsir-pentafsir yang lain secara catatan (walaupuan ada disenarai
judul-judul kitab tafsir pada halaman XIII, juga Kitab-Kitab Hadith turut
disenarai yang dibuat rujukan) atau tokoh-tokoh seperti yang banyak dibuat oleh
Ibn Kathir di dalam tafsirnya.Ciri-ciri huraian dalam kandungan dan huraian
pada catatan kaki inilah mengukuhkan Tafsir Al-Rahman sebagai sebuah kitab
tafsir.
Kitab Tafsir Pimpinan Al-Rahman Kepada
Pengertian Al-Qur`an adalah kitab tafsir penting dalam bahasa Melayu dan
menjadi rujukan utama, terutama bagi mendapat kepastian dari segi terjemahan
terhadap ayat-ayat Al-Qur`an.
Sekian.
No comments:
Post a Comment