BBB, 09 Zulhijah 1436 = 23 September 2015
(Rabu):
Kisah Nabi Yusuf sebagai `Seindah Kisah` mempunyai jalan cerita yang menarik. Cerita berlatarbelakang sebuah keluarga agung – yang ketua keluarga ialah Ya`kub bin Ishak bin Ibrahim. Keluarga ini tinggal di satu daerah dari negeri Kan`an yang rajanya bernama `Saljam`. Ya`kub mempunyai ramai anak – lebih dari satu ibu dan 12 orang daripada mereka adalah lelaki. Dua dari anaknya yang dari satu ibu (Rahil) melahirkan Yusuf dan Bunyamin. Kedua-dua anak ini amat dikasihi oleh Ya`kub, Yusuf anak yang tampan dan berwajah menarik, sedang Bunyamin sebagai anak bungsu. Ya`kub berdakwah kepada raja dan penduduk Kan`an. Keengganan mereka menyebabkan berlaku peperangan dan mereka dikalahkan. Nabi Ya`kub mendakwah penduduk kepada agama Allah dan berusaha membentuk keluarganya sebagai keluarga yang salih. Namun tidak semua yang diharap mencapai tujuan murni. Konflik timbul sebagai cetusan awal yang menimbulkan rangkaian episod-episod yang terbina sebagai cerita. (Kisah Nabi Yusuf dan keluarganya lengkap dan layak bertaraf novel yang berasaskan `Kisah Benar` dan bukan cereka semata-mata). Cetusan konflik berlaku oleh kerana:
Anak-anak Nabi Ya`kub, selain dari Yusuf dan
Bunyamin menyimpan prasangka buruk terhadap bapa mereka – Ya`kub membezakan
kasih. Mereka cemburu terhadap Yusuf yang dianggap mereka anak yang paling
dikasihi oleh Ya`kub. Nabi Ya`kub menyedari sikap anak-anaknya. Ayat Al-Qur`an
merakamkan cetusan yang bersifat dialog antara Yusuf dengan bapanya Ya`kub bermaksud:
``Bila Yusuf berkata kepada bapanya, ``Wahai
bapaku, sesungguhnya aku bermimpi melihat sebelas bintang dan matahari serta
bulan semuanya tunduk memberi hormat kepadaku.`` Berkata Ya`kub, ``Wahai
anakku, janganlah engkau ceritakan mimpimu itu kepada saudara-saudarmu, kerana
aku bimbang mereka akan menjalankan suatu rancangan jahat terhadapmu. Sesungguhnya
syaitan adalah musuh yang nyata bagi manusia.`` (12. 4 -5).
Elemen konflik adalah penting di dalam
sesebuah cerita, bahkan tanpa konflik bukan merupakan cerita, bahkan ianya
sebagai `berita` atau `makluman`. Dengan konflik menjadikan cerita berkembang,
bahkan memancing rasa ingin tahu khalayak. Dengan konflik bagi sebuah cerita
dapat dilihat kebijaksanaan pengarang bagaimana dia menampilkan konflik dan
mengolah perkembangan dengan unsur-unsur misteri, meningkatkan rasa ingin tahu
khalayak, mencetuskan elemen kejutan luar dugaan, mencerakinkan episod dan plot
dalam penceritaan secara kreatif dan inovatif, bahkan menyelesaikan cerita
secara dramatis atau sebarang teknik yang memberi kelegaan emosi (katarsis).
Selepas intro yang bersifat dialog antara anak
dan bapa (Yusuf dan Ya`kub) bunga konflik berlaku sesuai dengan ta`bir mimpi
Yusuf oleh bapanya Ya`kub sebagai ayat Al-Qur`n mencatat:
(Kisah itu bermula), tatkala saudara-saudara
Yusuf yang irihati, bahkan dengki berkata (sesama sendiri),``Sesungguhnya Yusuf
dan adiknya lebih disayangi oleh bapa kita daripada kita, pada hal kita ini
satu kumpulan (yang ramai dan berguna). Sesungguhnya bapa kita adalah dalam
keadaan tidak adil yang nyata. (12.8).
Hasil dari rundingan adik beradik Yusuf sesama
mereka, timbul beberapa cadangan antara mereka. Kata ayat Al-Qur`an bermaksud:
(Ramai antara mereka berkata), ``Bunuhlah
Yusuf atau buanglah dia ke suatu tempat yang jauh, supaya perhatian dan kasih
sayang bapa kamu tertumpu kepada kamu semata-mata, dan supaya kamu sesudah itu
menjadi golongan orang yang salih (12. 9). Walau bagaimana pendapat di atas
tidak diterima semua, sebaliknya ada cadangan alternatif, sebagaimana maksud
ayat Al-Qur`an:
``Salah seorang daripada mereka berkata,
``Janganlah kamu membunuh Yusuf, tetapi buanglah dia ke dasar perigi, supaya
dia dipungut oleh sebahagian dari orang-orang musafir (yang lalu di situ),
kalaulah kamu tetap hendak menjalankan rancangan kamu itu.`` (12.10).
Demikianlah, adik beradik Yusuf lebih didorong
oleh sifat irihati dn hasad dengki itu mengatasi kewajaran dan rasional. Mereka
digoda syaitan yang membangkit nafsu ammarah yang mendorong kepada
perbuatan-perbuatan keji.
Begitulah cetusan awal telah berkembang yang pada asal
bersifat dalaman telah mencurah keluar. Ianya menyuburkan elemen konflik yang
mengocakkan suasana yang normal dan tenteram kepada gejolak marah yang dari
segi cerita menajamkan konflik yang pada sebelah pihak tidak menyedari yang
sebelah pihak lagi membuak dengan rasa tidak puas hati. Dari segi cerita menghidupkan
jalan cerita.
Kalau kita lihat pada cerita `Kisah Yusuf` ini
ada dua lapisan cerita yang ditampilkan.
Pertama: pertentangan lahir di antara adik
beradik Yusuf dengan Yusuf sendiri dan termasuklah ayah mereka – Ya`kob yang
membawa kepada tindakan terbuka yang diambil oleh anak-anak Nabi Ya`kub.
Kedua: Mesej tersirat yang disampaikan oleh
Al-Qur`an yang sepatutnya menjadi pengajaran bagi khalayak, ialah pertentangan
antara lelemen baik dan jahat. Elemen ini berada di dalam diri setiap diri
manusia yang sepatutnya disedari. Fungsi pendidikan ialah bagi mendidik dengan
nilai-nilai murni dengan menyedari saifat keji yang ada di dalam diri. Melalui
tarbiah dan pendidikan berusaha bagi menentang, mengekang bahkan mengalahkan
sifat-sifat keji yang `ammarah bi al-sau` - cenderung kepada perkara-perkara
keji dan kejahatan ini tidak tumbuh dan berkembang di dalam diri, manakala satu
aspek lagi dalam berusaha membasmi sifat keji, ialah berusaha pula menghiasi
diri dengan sifat-sifat terpuji, iaitu melalui tarbiah pendidikan dan amalan.
Secara garis kasar Kisah Yusuf, bahawa dalam
suasana kasih sayang keluarga, tumbuh dan berkembang dua unsur bertentangan,
iaitu kasih sayang itu sendiri – kasih sayang Ya`kub terhadap anak-anak, kasih
sayang anak-anak terhadap orang tu – Ya`kub, dan kasih sayang sesama anak-anak.
Tetapi dari satu pihak tumbuh rasa tidak senang hati di kalangan sebahagian
anak-anak terhadap orang tua mereka – Ya`kub, rasa tidak senang hati terhadap
saudara mereka – Yusuf. Elemen negatif ini tidak berjaya di kawal oleh
sebahagian dari anak-anak Ya`kub, sehingga mencetuskan usaha untuk memusnahkan
Yusuf. Elemen ini menjadi faktor penting di dalam perkembangan cerita yang
mencetuskan episod-episod lanjut. Namun pada sebelah pihak lagi elemen kasih
sayang berdiri bertarung menentang elemen kebencian di dalam perkembangan
cerita di dalam episod-episod yang berkembang.
Sekian.
No comments:
Post a Comment