BBB, 20
Zulkaedah 1436 = 04 September 2015 (Jumaa).
Sebagai penutup bagi Surah Al-Baqarah setelah menghayati aspek-aspek keimanan dan kerohanian, penegakan aspek syari`at dan undang-undang, mewujudkan institusi yang dapat menyatukan ummah, mengukuhkan pemerintahan negara, memastikan ancaman musuh di dalam kawalan dan berusaha ummah dijaga dari segi kebajikan, maka terserlah bagi ummah kemakmuran dan keamanan, mereka dapat menjalankan ibadah dengan khusyuk, manis dengan ketaatan dan reda dengan ketentuan.
Elemen-elemen di atas terdapat di dalam tiga
ayat terakhir di dalam Surah Al-Baqarah (2. 284 – 286). Penerimaan Islam adalah
bukan setakat penerimaan ibadat dalam erti kata yang terhad, tetapi penerimaan
kesegalaan dari kewujudan dan melihat kesegalaan berkenaan dari perspektif
keimanan dan keislaman. Melihat segala kewujudan sama ada di langit dan di bumi
tidak terkeluar dari milik Allah, bahkan bukan yang bersifat jisim yang besar
sahaja, tetapi pada diri lahir dan batin milik dan dalam maklumat Allah, bahkan
dalam penilaian-Nya dari segi baik dan buruk, pahala dan dosa. Penyaksian
adalah lebih dari itu, bahawa segala ciptaan Allah patuh dan taat kepada
aturannya. Semua kejadian menyerah diri dan selamat menurut fitrah yang diatur-Nya.
Demikian penyaksian dan pengakuan yang bersifat alamiah dan akliah (2. 254).
Segala perintah dan suruhan bukan diterima
dalam rangka fitrah dan tabi`i semata-mata, tetapi ditegaskan oleh Allah bahawa
peraturan dan suruhan bukan setakat diterima, tetapi diimani dan dipercayai
oleh Rasul dengan apa yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, bahkan orang
mukmin semuanya beriman dengan Allah, malaikat, kitab-kitab yang diturunkan dan
rasul-rasul yang diutuskan tanpa membezakan antara satu rasul dengan yang lain.
Penegasan dan kepercayaan ini terbukti, bahawa
keempat-empat perkara yang diimani ini adalah merupakan empat dari enam
rukun iman yang dipegang oleh setiap orang Islam. Bagi setiap orang Islam, ia
adalah merupakan pengakuan dengan keimanan yang diyakini di dalam jiwa dan
termanifestasi dalam tindakan dan amalan.
Pun begitu dalam kapasiti sebagai hamba,
tentulah ada had dari segi kemampuan, dari segi penghayatan, pengakuan dan
amalan, lantaran itu selaku hamba maka terbetik rasa penyerahan dan permohonan
sebagaimana terungkap di dalam ayat (2.286):
``Allah tidak memberati seseorang, melainkan
apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan
ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya, (Mereka berdo`a dengan
berkata:
``Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau
mengirakan salah jika kami lupa atau kami bersalah.
Wahai Tuhan Kami ! Janganlah Engkau bebankan
kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang Engkau telah bebankan kepada
orang-orang terdahulu daripada kami.
Wahai Tuhan Kami ! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa
yang kami tidak berdaya memikulnya, dan maafkanlah kesalahan kami, serta
ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami,
oleh itu tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang
kafir.``
(Tafsir Pimpinan Al-Rahman Kepada Pengertian
Al-Qur`an, Diusahakan oleh Shaykh Abdullah bin Muhammad Basmih, Jabatan Perdana
Menteri, Bahagian Hal Ehwal Agama, Kuala Lumpur, 1985: 93).
Ayat-ayat di atas yang merupakan pengluahan
rasa, penyerahan dan permohonan menjadi ayat-ayat wirid, zikir, tabhil, tahlil
dan doa yang membawa mood khuduk, khusyuk dan dekat dengan Ilahi dan manis
mesra dengan Nya.
Abdullah Yusuf Ali menanggapi ayat-ayat di
atas adalah sebagaimana berikut:
K 53 (2. 284 – 286)
Sifat benar dan akhlak mulia kita
Bukan hanya merupakan aturan atau kaedah yang
diikuti
Atau sesuatu nan senang menguntungkan: seluruh hayat kita
di dunia ini
Hendaklah dihayati sebagai seolah-olah di
hadapan Hadrat Ilahi
Teladan termulia bagi Keimanan kita dapati
Dalam hayat Rasul Ilahi: penuh keimanan,
Mari kita serahkan ketaatan pilihan kita
Terhadap Iradat Tuhan kita. Tugas kita
Walaupun besar: bukan beban membebankan
Lebih dari keupayaan kita: mari kita berdoa
Bagi mendapat pertolongan Tuhan kita dan Ia
akan menolong
kita.
(Al-Qur`anu`l Karim, Terjemahan Dan Huraian
Maksud, Jil 1: 211).
Dengan petikan ini bererti sempurna petikan bersifat puisi bagi Surah Al-Baqarah
– Surah 2.
Kita dapat memahami format yang didekati oleh
Abdullah Yusuf Ali, iaitu meletakkan teks Al-Qur`an pada sebelah kanan dan
terjemahan pada sebelah kiri dengan huraian maksud pada bahagian bawah sebagai
catatan kaki. Abdullah Yusuf Ali juga membuat pecahan persoalan utama di dalam
sesuatu surah. Misalnya bagi Surah Al-Baqarah dipecah kepada 40 persoalan.
Sayangnya tidak diberi tajuk bagi setiap pecahan. Pembaca terpaksa meneliti
sendiri persoalan di dalam kandungan
Satu pecahan lagi lebih banyak ayat bagi satu kelompok, ialah pecahan
yang diberi rumusan persoalan secara intisari bersifat puisi. Hingga akhir
Surah Al-Baqarah jumlah couplet (kaplet) ialah sebanyak (K. 53). Bagi couplet
terakhir ini ialah rumusan bagi
tiga ayat sahaja iaitu (2. 284 – 286).
Secara ringkas, bahawa rumusan kandungan Surah
Al-Baqarah ialah mengenai akidah, kekhalifahan, sikap Bani Israil terhadap
Rasulnya –Nabi Musa, kewajipan syari`at, Nabi Ibrahim membina Ka`bah bersama
anaknya Ismail, pemalingan Kiblat, arahan berjihad, fardu haji, makan makanan
yang halal, kewajipan berpuasa, hukum qisas, larangan memakan harta anak yatim,
galakan menafkah dan membuat kebajikan, larangan minum arak dan berjudi, soal
perkahwinan dan rumah tangga serta talaq, hutang piutang dan aspek kerohanian.
Apa yang terkandung di dalam Surah al-Baqarah
merupakan antara keperluan bagi membina umat dan negara dari keperluan lahir
dari bernegara dan peraturan-peraturan dan membina jiwa dalam hubungan dengan
Allah dan masyarakat bagi membentuk umat sejahtera di dalam negera yang aman –
Baldah Tayyibah wa Rabbun ghafur.
Sekian.
No comments:
Post a Comment