September 18, 2015

Perang Untuk Keselamatan Dan Perdamaian


BBB,  03 Zulhijjah 1436 = 17 September 2015 (Khamis):



Perang secara tidak diisytiharkan antara penganut agama Islam yang diketuai oleh Rasulullah s.a.w. dengan golongan kuffar Quraisy berlaku sejak dakwah Uslamiyyah bermula di Makkah. Peningkatan berlaku dalam bentuk sekatan, larangan beribadat di masjid, sekatan Hijrah peringkat awal seperti ke Habsyah dan puncak adalah usaha membunuh Nabi menjelang Baginda dan sahabatnya Sayyiduna Abu Bakar berhijrah ke Madinah. Pada masa itu orang Islam berada dipihak lemah dan tertindas.
Usaha kaum Quraisy tidak terhenti selepas Hijrah al-Rasul ke Madinah, mereka terus menggugat kedudukan orang Islam di Madinah. Dalam usaha Rasulullah s.a.w. mendirikan negara Madinah, maka soal keselamatan negara tidak boleh diabaikan. Selari dengan usaha mendirikan negara Islam, maka soal pertahanan diberi perhatian. Bagi mempertahankan diri, keizinan perang dibenarkan sebagaimana Firman Allah bermaksud:
``Diizinkan perang bagi orang-orang (Islam) diperangi, lantaran mereka dizalimi. Sesungguhnya Allah berkuasa menolong mereka itu. Mereka itu diusir dari kampung halaman mereka secara tidak haq ( Al-Hijr: 39-40). Dan pada ayat yang lain Allah berfirman bermaksud:
``Berperanglah pada jalan Allah terhadap orang yang memerangi kamu dan jangan melampau. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang bersifat melampau.`` (Al-Baqarah: 190).
Sejak dari tahun pertama Hijrah beberapa insiden sekatan berlaku sebagai strategi melemahkan ekonomi  kalangan-kalangan saudagar Makkah yang melalui Madinah, bagi mengendurkan tekanan terhadap umat Islam di Madinah.  Antara peperangan yang penting pada peringkat awal Islam pada Ramadhan tahun kedua Hijrah adalah peperangan Badar (al-Kubra) yang berkesudahan peperangan yang disertai 313 tentera Islam melawan tentera Quraisy seramai 1,000 orang dimenangi tentera Islam.
(Johari Yaman, Mengenal Rasulullah S.A.W., Nadi Minda Resources, Rawang, Selangor, 2009: 267-268).
Dari peperangan itu berlaku penawanan terhadap musuh dan  harta rampasan perang.
Menurut Syed Qutb penurunan Surah Al-Anfal (Madaniyyah 75 ayat) adalah pada Peperangan Badar al-Kubra pada bulan Ramadhan Tahun Kedua Hijrah, iaitu selepas 19 bulan berlakunya Hijrah. Ini adalah pendapat yang kukuh menurut Syed Qutb. Dan antara aspek yang menjadi topik bagi surah `Al-Anfal` ialah mengenai `Harta Rampasan Perang` berkenaan. Namun soal `Harta Rampasan Perang` hanya sebahagian kecil dari persoalan yang dibicarakan. Iaitu pada bahagian awal surah ini.
(Syed Qutb, Fi Zilal Al-Qur`an, Jil. 3, 1400/1980: 1429).
Persoalan perang bagi mempertahankan maruah negara dan umat, tetapi sebelum masuk perang hendak bersiap sedia, termasuklah menyediakan peralatan dan kelengkapan senjata secukupnya. Firman Allah:
``Hendaklah kamu bersiapsiaga semampu kamu dengan kekuatan (termasuk senjata) (8. 60).
Bila masuk berperang tidak boleh menarik diri atau berundur dari medan perang, kecuali berundur bertujuan strategi. Firman Allah bermaksud:
``Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu bertemu dengan orang-orang kafir yang sedang mara menyerang, maka janganlah kamu berpaling undur (dari menentang mereka).
Dan sesiapa berpaling undur (dari menentang) mereka pada ketika itu -  kecuali ia bergerak ke arah lain (untuk menjalankan tipu muslihat) peperangan atau hendak menyatukan diri dengan pasukan yang lain, maka sesungguhnya tetaplah ia mendapat kemerkaan dari Allah, dan tempatnya ialah neraka Jahannam, sedang neraka jahannam ialah seburuk-buruk tempat kembali.`` (8. 15-16).
Orang Islam hendaklah taat kepada perintah Allah dan Rasul. Firman Allah bermaksud:
``Wahai orang-orang beriman taatlah kepada Allah dan Rasulnya, dan janganlah kamu berpaling daripadanya, sedang kamu mendengar (Al-Qur`an yang mewajibkan taatnya) (8.20).
Orang Islam, khusus yang berjihad di dalam berperang diingatkan jangan bersifat munafik. Firman Allah bermaksud:
``Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (kafir dan munafik) yang berkata `Kami dengar`, pada hal mereka tidak mendengar (tidak mahu menerima dan mematuhinya). (8.21)..
Orang-orang Islam, khususnya para mujahid hendaklah menyahut seruan Nabi. Ayat Al-Qur`an bermaksud:
``Wahai orang-orang beriman, sahut dan sambutlah (seruan) Allah dan (seruan) Rasul apabila ia menyeru kamu kepada perkara-perkara yang menjadikan kamu hidup sempurna.`` (8.24)
Orang Islam juga dingatkan menjauhi dari melibatkan diri dalam soal fitnah (8.25) yang boleh melemah dan menghancurkan perpaduan dan boleh membawa kepada kekalahan. Mereka juga diingatkan agar tidak melakukan khianat (8.27) seperti berpaling tadah dan jangan melakukan pemberian bantuan kepada musuh baik secara langsung atau tidak langsung di dalam peperangan.
Para mujahid diingat hendaklah berperang sehingga mencapai kemenangan dan dapat menutup mulut seteru dari fitnah (8.39). Dalam menentang musuh hendaklah teguh menghadapi mereka (8.45).
Islam mencintai damai dan jika pihak musuh berkehendakkan damai yang sebenar (bukan tujuan muslihat), maka rundingan untuk perdamaian boleh dilakukan. Firman Allah bermaksud:
``Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya, serta bertawakkallah kepada Allah, sesungguhnya ia Amat Mendengar, lagi Amat Mengetahui (8. 61). Sebaliknya jika mereka bertujuan untuk khianat. Firman Allah bermaksud:
``Dan jika mereka bertujuan untuk menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjaga dan memberi perlindungan) kepadamu. Dialah Yang Menguatkanmu dengan pertolonganNya dan dengan (sokongan) orang-orang yang beriman (8.62).
Tentera dan mujahid Islam semestinya berperang kerana Allah sehingga mencapai kemenangan. Selepas mencapai kemenangan Allah menentukan pembahagian harta rampasan perang sebagaimana firmanNya, bermaksud:
``Dan ketahuilah apa saja yang kamu dapati sebagai hasil rampasan perang, maka sesungguhnya seperlimanya (dibahagikan) untuk (Jabatan)  Allah dan untuk RasulNya dan untuk kerabat (Rasulullah) dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin serta ibn al-sabil (orang musafir yang keputusan), jika kamu beriman kepada Allah dan kepada apa yang diturunkan oleh Kami kepada Hamba  Kami (Muhammad) pada hari `Al-Furqan`. Iaitu hari bertemunya dua angkatan tentera (Islam dan kafir dalam Peperangan Badar) dan (ingatlah) Allah Amat Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu (8. 41).
Namun harta rampasan bukan menjadi motif dan tujuan peperangan, tetapi mendirikan Kalimah Allah dan kekuatan Islam adalah menjadi tujuan – agar dengannya dapat dicapai keselamatan dan perdamaian.

Sekian.

No comments:

Post a Comment