Terlalu banyak pendapat dan perbezaan pendapat
tentang nama dan asal usul Nabi Khidhir sehingga mengelirukan. Sebaiknya
kembali kepada maklumat yang terdapat di dalam Al-Qur`an untuk mengelak dari
kekeliruan dan percanggahan pendapat. Yang jelas bagi pegangan kita, bahawa
Nabi Khidhir adalah berada pada zaman Nabi Musa a.s. Beliau adalah seorang yang
dikurniai hikmah Ilahi dan mendalam dari
segi keilmuan Ladunni, yang langsung mendapat hidayah dan kasyaf dari Ilahi.
Tema bagi kisah Nabi Khidhir adalah mengenai
Ilmu Ladunni dan mesej juga jelas, iaitu tiada seorang yang boleh mendakwa yang
dirinya `lebih alim` dari orang lain. Teguran Allah Subhanahu wa Ta`ala
terhadap Nabi Musa yang menjawab pertanyaan khalayak pengikutnya, bahawa tidak
ada makhluk yang lain yang lebih alim darinya (tidak wajar) adalah selari
dengan ayat-ayat Al-Qur`an yang menjelaskan tentang keilmuan dan status
kealiman seseorang. Firman Allah Subhanahu wa Ta`ala yang antaranya bermaksud:
``Katakanlah (wahai Muhammad), ``Adakah sama
antara orang berilmu dengan yang tidak berilmu ?`` (A-Zumar: 9).
Firman Allah lagi bermaksud:
`Allah mengangkat mereka yang beriman dari
kalangan kamu dan mereka yang dikurnia ilmu kepada ketinggian darajat``.
(Al-Mujadalah: 11).
Namun Allah berfirman juga mengingatkan
bermaksud:
``Kami mengangkat kepada ketinggian darajat
sesiapa yang kami kehendaki. Dan di atas setiap yang mempunyai ilmu ada yang
lebih berilmu``. ( Yusuf: 76).
Konsep berilmu pengetahuan, ialah ilmu
kurniaan Allah kepada yang bersungguh mencari ilmu berkenaan dan layak
menerimanya, tetapi di sana ada lagi konsep keilmuan yang bersifat rohani yang
tidak sahaja bergantung kepada pencarian, tetapi melibatkan amalan yang bersifat
kerohanian yang pencapaian bukan boleh dicari-cari sebagaimana `ilmu biasa`
tetapi rohani yang bersifat barakah, kasyaf dan ladunni yang dikurnia Allah dan
bukan semuanya layak menerimanya. Inilah taraf beradanya Nabi Khidhir yang
tidak dicapai, walaupun oleh Nabi Musa.
Nabi Khidhir sebenarnya dapat membaca
perwatakan Nabi Musa, tatkala pada awal pertemuan dengan Nabi Musa yang
menandakan ketinggian ilmu kerohanian dan ladunni Nabi Khidhir ketika menjawab
permintaan Nabi Musa memohon untuk mengikutinya bagi mempelajari ilmu yang
dikurniai Allah kepada Nabi Khidhir. Nabi Khidhir tidak loket dari mengajarnya,
tetapi diperlihatkan kekurangan dan keperluan yang seharus ada bagi seseorang
pelajar. Belajar apa jua ilmu perlu
kesungguhan dan biasanya tidak dapat dicapai dalam waktu segera dan memerlukan
kesungguhan, kelamaan dan kesabaran. Demikianlah dipertunjukkan oleh Nabi
Khidhir yang secara tidak langsung menunjukkan kelemahan yang tidak disedari
oleh Nabi Musa yang ada pada dirinya sebagaimana firman Allah yang bermaksud:
``Ia (Khidhir menjawab), ``Sesungguhnya engkau
(wahai Musa) tidak sekali-kali akan dapat bersabar bersamaku``. (18. 67).
Nabi Musa sebenarnya menunjukkan
ketidakmampuan menilai dirinya sebagaimana ia dinilai oleh Nabi Khidhir yang
mempersoalkan dirinya dan menyifatkan Nabi Musa tidak mengetahui persoalan secara menyeluruh``. (18.68).
Bagi menguji kesabaran Nabi Musa, agar dia
sendiri menyedari nanti tentang kelemahan dirinya, Nabi Khidhir menambahkan
syarat bagi Nabi Musa mengikutinya dan memperlihatkan sama ada Nabi Musa
bersabar dan mematuhi syarat yang membuktikan kemampuannya bersabar atau tidak,
sebagaimana syarat yang disebutkan di dalam ayat Al-Qur`an bermaksud:
``Ia (Nabi Khidhir) menjawab, ``Sekiranya
engkau mengikutiku, maka janganlah engkau bertanya kepadaku akan sesuatu pun
sehingga aku ceritakan halnya kepadamu``. (18. 70).
Mampukah Nabi Musa menghadapi ujian dan
menahankan diri dengan kesabaran bila melihat apa yang dilakukan oleh Nabi Khidhir yang mengundang
ketidaksabarannya, bahkan protes terhadap perlakuan Nabi Khidhir ? Nabi Musa
sebenarnya tidak mampu menghadapi ujian kesabaran dan melahirkan protesnya
apabila ia mempersoalkan tindakan Nabi Khidhir:
1) Membucurkan kapal yang ditumpangi agar kapal yang sempurna itu rosak (18.
71)
2) Membunuh seorang pemuda yang pada kenyataan bersih dari kesalahan
(18.74)
Kedua-dua tindakan oleh Nabi Khidhir ini
dipersoalakan oleh Nabi Musa, tetapi Nabi Musa meminta maaf di atas kelupaannya
apabila Nabi Khidhir memperlihatkan sifat tidak sabarnya dan mengingatkan Nabi
Musa, kiranya perbuatannya kali ketiga terus dipersoalkkan oleh Nabi Musa, maka
ianya merupakan perpisahan akan berlaku. Sememang apabila mereka sampai ke
sebuah perkampungan yang penduduknya enggan menjamu mereka dan Nabi Khidhir
mengangkat dan membina dinding tembok bangunan yang hampir runtuh, lantas Nabi
Musa bertanya kepada Nabi Khidhir, kiranya dengan kerjanya itu ia mau
mendapatkan bayaran. Teguran kali ketiga ini diperingatkan oleh Nabi Khidhir
kepada Nabi Musa, bahawa dengan itu berakhirnya kebersamaan mereka dengan perpisahan (18.77-78).
Namun sebelum mereka berpisah Nabi Musa
didedahkan hikmat dan pengajaran dari perbuatan Nabi Khidhir yang maklumat dan
hikmat yang diketahui Nabi Khidhir mendahului maklumat dari Nabi Musa bahawa:
1) Kapal cantik dirosakkan, kerana ada pihak penguasa yang bercadang
merompak perahu yang menjadi sumber rezeki penambang miskin itu. Dengan
kerosakan yang dilakukan menghilang minat sang penguasa untuk mengambiil perahu
berkenaan. (18.79)
2) Adapun pembunuhan yang dilakukan terhadap pemuda itu, kerana kalau tidak
dia akan melakukan penderhakaan yang menjadikannya derhaka, kufur dan
memasalahkan keamanan. Dengan demikian pemuda dan orang tuanya bersih dan
mendapat rahmat (18.80).
3) Adapun dinding (tembok) diperbetulkan adalah milik dua orang anak yatim
di bandar itu dan dibawahnya ada harta terpendam milik mereka. Arwah bapa
mereka adalah kalangan orang salih. Allah memelihara harta berkenaan dan
apabila mereka cukup umur, mereka dapat mengeluarkan harta terpendam berkenaan
sebagai rahmat dari Tuhan dan (ingatlah) kata Nabi Khidhir, `Aku tidak
melakukannya menurut fikiranku` . Demikianlah ta`wilan sebagai jawaban kepada
sikap tidak sabarnya Nabi Musa mengenai perkara-perkara berkenaan. (18.82).
Demikianlah secebis dari
keilmuan ladunni Nabi Khidhir yang terpancar dari peristiwa beliau dalam
hubungannya dengan Nabi Musa. Sudah tentulah amat banyak lagi hikmat Ilahi dan
Ilmu Ladunni yang ada pada diri Nabi Khidhir yang mencerminkan taraf keilmuan
dan kerohanian yang ada pada diri Nabi Khidhir yang tentulah Nabi Khidhir
sendiri tidak berhajat untuk memaklumkan tanpa sebab dan keperluan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment