BBB,
13 Zulkaedah 1437 = 16
Ogos 2016 (Selasaa):
Satu konsep yang popular digunakan di dalam
tasawuf ialah istilah yang dinamakan
`Ma`rifat`. Ma`rifat dari segi bahasa adalah bermakna tahu (`alima), tetapi ada
perbezaan antara ``alima` yang memaksudkan kepada tahu yang melibatkan ilmu dan
tahu umum, tetapi tahu (ma`rifat) adalah berkait dengan keilmuan yang bersifat
rohani dan bersifat subjektif, ghaib dan juga intuitif.
Dari segi istilah `Ma`rifat` ialah puncak pencapaian bagi setengah pendekatan, terutama bagi
pendekatan tariqat, ianya puncak perjalanan kualiti rohani yang bermula dari
shari`at, tariqat, hakikat dan ma`rifat.
Banyak takrifan tentang ma`rifat ini.
Misalnya di dalam kitab Al-Luma` oleh
Abu Nasr al-Sarraj al-Tusi (m. 378H.) tercatat:
``Ditanya
Abu Sa`id al-Kharraz r.h.a tentang ma`rifat``, katanya,
``Ma`rifat datang atas dua wajah, satu
wajah adalah bersifat kurnia langsung dari Allah dan satu wajah lagi ialah dengan kesungguhan
usaha dari hamba.``
Dan disoal Abu Turab al-Nakhshabi r.h.a. tentang orang yang bersifat `arif,
maka katanya, ``Dia ialah yang tidak mengkeruhinya oleh sesuatu dan bersih dengannya tiap-tiap sesuatu.``
Manakala Ahmad bin `Ata`r.h.a. berkata, ``Ma`rifat ada dua, Ma`rifat Haqq
dan Ma`rifat Haqiqat.
Adapun
Ma`rifat Haqq, ialah ma`rifat tentang ketunggalan Allah yang nyata
dengan keagungan nama dan sifat. Dan Ma`rifat Haqiqat, bahawa tiada jalan
kepadaNya yang tertegah dengan sifat SamadaniyyahNya dan Tahqiq
RububiyyahNya, sebagaimana
firmanNya (wala yuhituna bihi `ilma ,
Taha: 110) bermaksud: `Tidak meliputinya keilmuan`.
Ditanya Shibli tentang permulaan ma`rifat dan pengakhiran serta
alamatnya.
Katanya, ``Permulaannya ma`rifat dan pengakhiran
ialah pentauhidan. Adapun alamatnya ialah melihat diri dalam genggaman Allah,
berlaku ke atas dirinya larian qudratNya. Dan tanda alamatnya juga ialah timbul
mahabbah, kerana siapa mengenaliNya mencintaiNya.``
Di bawah Kitab Al-Ri`ayah terdapat bab-bab
yang menggunakan istilah ma`rifat seperti:
1) Bab
Ma`rifat Zikir Dengan Ma`rifat ahwalnya
2) Bab Ma`rifat Bila Hamba Merasa Gerun Kepada
Allah Ta`ala dan Berhajat KepadaNya
3) Ma`rifat Perkembalian Kepada Allah Dan Tawakkal
KepadaNya
4) Ma`rifat Ingatan dan Kesedaran
5) Bab Perkara Yang Wajib dan Lazim bagi Hati
Ketika Mengenal Nafs
6) Bab
Ma`rifat Adakah Diberi Ingatan dan Kepentingan Masa Hadapan
7) Bab Penetapan Dan Bilakah Berlaku
8) Ma`rifat Hak-Hak Allah dan Sebab-Sebabnya
9) Bab Mengenal Tuntutan Nawafil
10) Bab Ma`rifat Apa Yang Mendedahkan Hamba Dengan Kekejian
11) Bab Ma`rifat membezakan Anatara Dua Kelebihan
12) Bab Apa Yang Menggoncangkan Oleh Ketakutan Pada
Maut dan Ujiannya
Dari pemerhatian yang dibuat bahawa
Al-Muhasibi dengan sedar menggunakan istilah `Ma`rifat` sebagai merujuk kepada
persoalan-persoalan yang berkait dengan kerohanian dan tidak menggunakan
istilah `Ilm`. Sebagai contoh:
·
Ma`rifat Bila Hamba Merasa Gerun Dengan Allah:
Kata Muhasibi, ``Apabila berazam hamba untuk
mendirikan kewajipan terhadap hak-hak Allah selepas ma`rifat dengaNya, maka dia menundukkan
seteru dan nafsunya. Dia menentang keduanya dengan akal dan kekuatannya dan dia
bertawakkal dengan azamnya.
·
Ma`rifat
Hak-Hak Allah dan Sebab-Sebabnya
Kata Al-Muhasibi, ``Dan tidak dapat tidak
bagi makhluk semuanya mengenali
(Ma`rifat) hak-hak Allah `Azza wa Jalla dengan sebab-sebabnya, waktu-waktu,
illah-`illah kehendakNya dan
kewajipannya.`` Sebagai contoh kewajipan menunaikan solat, sebab bagi
melahirkan kepatuhan dengan mengetahui waktu-waktu dan mengetahui semua perkara
yang berhubung dengan solat.
·
Mengenal Perkara-Perkara Mendedahkan Hamba
Dengan Kekejian
Berkata
Al-Muhasibi, ``Yang mendedahkan seorang hamba kepada kekejian ialah
kerana kejahilan. Dia perlu menunaikan perkara yang fadhu dan menjauhkan yang
haram. Dia perlu menjauhkan perkara yang tidak memberi faedah kepadanya bagi
kebaikan masa hadapannya. Dia perlu bersahabat dengan rakan-rakan yang
berpengetahuan dan sama ke masjid (menunaikan ibadah dan belajar)
Demikianlah tiga contoh penggunaan istilah
`Ma`rifat` bagi bab-bab menurut persoalan-persoalan yang
dibicarakan. Apa yang dapat difahami bahawa penggunaan istilah `ma`rifat`
adalah bagi maksud mengetahui, bukan bagi konsep yang mempunyai rangka
pendekatan kerohanian khusus sebagaimana dibicarakan pada peringkat permulaan.
Juga adalah didapati tujuan bagi
pembicaraan persoalan-persoalan yang dikaitkan dengan `ma`rifat` adalah
bersifat menyedarkan, terutama kewajipan-kewajipan yang berkait dengan `Ri`ayah
Li Huquq Allah`, namun dapat dirasakan
persoalan-persoalan tidaklah tersusun
dengan kemas. Perlu diingat apa yang dibicarakan merupakan catatan dan
sebahagiannya adalah merupakan pertanyaan yang dikemukakan kepada Al-Muhasibi
dan ianya merupakan jawapan yang antaranya mungkin bersifat spontan
Apa yang lebih penting bahawa dari
kandunmgan dapat dikenalpasti penggunaan istilah-istilah dan konsep-konsep yang
kelak digunakan oleh mereka yang datang kemnudian dan dapat membina pendekatan
yang lebih konkrit. Sebagai contoh jelas yang dikenalpasti Al-Muhasibi antara
pelopor menggunakan pendekatan akhlak di dalam membicarakan persoalan tasawuf,
khususnya Menjaga dan meraikan hak-hak Allah. Ianya adalah menjadi pendekatan
utama di dalam Al-Ri`ayah.
Sekian.
No comments:
Post a Comment