September 2, 2016

MEMASTIKAN REZEKI DAN PUNCA PENDAPATAN SECARA HALAL


BBB,  29 Zulkaedah 1437 =  01 September 20`16 (Khamis)
Al-Muhasibi menghasilkan turath penulisan seperti Al-Ri`ayat Li Huquq Allah Ta`ala dan Al-Masa`il  Fi A`mal al-Qulub wa al-Jawarih, sesungguhnya bagi panduan bagi menjaga kebersihan amalan  seperti  menjaga hak-hak Allah, begitu juga menjaga kebersihan hati yang juga di dalam hubungan dengan Allah dan juga yang lain. Namun kebersihan tidak sempurna, jika pada bahagian lain tidak turut bersih, termasuk dari segi usaha  mendapat rezeki dan rezeki itu sendiri  semestinya  didapati secara bersih..
Bagi membicarakan persoalan yang berhubung dengan Al-Makasib – Usaha mencari rezeki ini  Al-Muhasibi berbicara di dalam skop yang luas, bahawa Allah mencipta alam dan cakrawala termasuk semua kandungan, bumi dan manusia di dalamnya secara sempurna dan menyediakan segala keperluan termasuk keperluan  manusia sebagai penghuni di muka bumi ini.
Bagi manusia kata Al-Muhasibi, ``Allah menyediakan rezeki, baik dari segi makanan, pakaian, tempat tinggal, peralatan, tempat bercocok tanam, melakukan perusahaan dan berbagai keperluan yang lain. Firman Allah bermaksud:
``Kami telah membahagi di antara mereka itu keperluan kehidupan di dunia dan Kami mengangkat setengah mereka  di atas setengah yang lain dari segi darajat.`` (Al-Zukhruf: 32).
Dan firman Allah bermaksud:
``Dan tiadalah sesuatu pun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi, melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat dia di simpan .`` (Hud: 6).
Namun bagi menghasilkan rezeki yang di sediakan oleh Allah perlulah kepada usaha bagi mendapatkannya.
Bagi mendapatkannya juga perlu betul dan bersih caranya agar tidak termasuk di bawah kategori usaha yang tidak halal. Dari segi ini Al-Muhasibi amat prihatin terhadap hasil usaha dan rezeki-rezeki yang didapati. Contoh prihatin Al-Muhasibi, bahawa ayahnya seorang yang kaya, tetapi beliau tidak mau mewarisi harta yang patut diwarisi, oleh kerana bapanya adalah dari kalangan pengikut Mu`tazilah. Beliau mempercayai kelainan pegangan  yang dianggapnya tidak murni sebab itu beliau enggan mewarisinya.
Apa yang dibicarakan oleh Al-Muhasibi adalah melibatkan persoalan halal dan haram. Di bawah bahagian Al-Makasib beliau membicarakan persoalan yang berhubung dengan usaha dan fardhu  bertawakkal, gerakerja di dalam mencari rezeki  yang memerlukan interaksi di kalangan mereka seperti tukar menukar, jual beli dan sebagainya. Turut dibicarakan persoalan syubhah  yang patut dielakkan. Di dalam hal ini perlu dijaga dari segi halal dan haram. Antaranya melibatkan:
1)      Perusahaan atau pekerjaan dilakukan
2)      Cara melakukan pekerjaan
3)      Hasil pekerjaan
4)      Berbagai hasil pekerjaan
5)      Bahan-bahan yang menjadi rezeki
6)      Penggunaan rezeki yang didapati
7)      Halal dan haram bahan-bahan  - termasuk syubhah
8)      Kaedah  yang menghalal dan haram (contoh sembelih dan tidak sembelih)
9)      Pelaksana dan pengusaha
10)   Berbagai lagi.
Sesungguhnya persoalan halal dan haram amat penting dan amat ditekankan di dalam Islam bagi menjaminkan kebersihan bahan rezeki dan cara mendapatinya agar apa yang digunakan secara rezeki adalah halal dari  diri,  kediaman, pakaian, makanan,  minuman dan segala peralatan yang digunakan adalah halal, supaya diri adalah bersih
Tujuan menjaga dari  segi halal dan haram bukan sebagai sekatan, tetapi  bagi kebaikan. Dr. Yusof al-Qradhawi di dalam bukunya berjudul `Halal dan Haram Di Dalam Islam, bertolak membicarakan tentang Halal dan Haram dari `Dustur dan Prinsip dari segi Halal dan Haram Dalam Islam dengan bertolak dari firman Allah yang bermaksud:
``Katakanlah (hai Muhammad),   Siapakah yang melarang (memakai) perhiasan Allah dan (memakan) rezeki yang baik-baik yang diadakan Allah buat para hambanya ? Katakanlah semua itu (diadakannya) buat mereka yang beriman di kehidupan  dunia  ini. Dan khusus  buat mereka saja nanti di hari akhirat. Demikianlah kami jelaskan keterangan-keterangannya bagi kaum yang mengetahui.
Katakanlah, Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan-perbuatan keji yang terang baginya dan yang tersenbunyi dan berbuat dosa, melanggar kekuasaan di luar kebenaran menyengutukan Allah di mana Tuhan tiada menurunkan kekuasaan apa pun  tantang demikian itu dan kamu berani mengatakan sesuatu mengenai Allah apa yang kamu sendiri tiada mengetahui ! (Al-A`raf, 32 – 33)..
Dr. Yusof al-Qaradhawi menggariskan prinsip-prinsip Islam dari hal Halal dan Haram, iaitu:
·         Asal setiap perkara membolehkan
·         Menghalalkan dan mengharamkan adalah hak Allah saja.
·         Mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram sama sebanding dengan  syirik kepada Allah.
·         Pengharaman sesuai dengan segi keburukan dan bahaya
·         Menetap pada yang halal saja tidak perlu mencari pada yang haram lagi.
·         Apa yang menarik pada yang haram hukumnya haram
·         Membuat tipu helah pada yang haram adalah haram
·         Niat yang baik tidak boleh membersihkan yang haram
·         Menjaga diri dari yang syubhah, yakni yang samar-samar
·         Tidak berpura-pura dan membeza-beza dalam yang haram
·         Dharurat membolehkan yang haram.
Al-Muhasibi menampilkan persoalan  rezeki, mencari punca pendapatan dan kehidupan  serta mengingatkan kebersihan  pada punca pendapatan ada kaitan dengan kebersihan diri keseluruhan. Tidak sempurna  bersih diri dan jiwa dari segi akidah, amalan, nilai akhlak, kerohanian tanpa disertai kebersihan dari segi  sumber rezeki dan punca pendapatan. Persoalan halal dan haram penting dan menjadi bahagian dari kebersihan rohani dan lahiri.

Sekian.

No comments:

Post a Comment