BBB, 18 Muharram 1438H. =
19 Oktober 20`6 (Rabu):
Benarlah dengan sabda Rasulullah s.a.w.
yang memaksudkan bahawa sebaik-baik mereka adalah yang berada pada kurunnya dan
diikuti dengan kurun-kurun berikut dan seterusnya (Maksud Hadith riwayat `Imran
bin Al-Hus*ayn – Jawahir al-Bukhari, tt. 357). Kita mengkagumi sahabat-sahabat
yang bersama Rasulullah s.a.w. menegakkan Islam. Mereka benar-benar adalah generasi
pilihan, tetapi jangan pula lupa ada yang malang, mereka yang tergolong sebagai
penentang seperti Abu Jahal, Abu Lahab dan sebagainya.
Antara yang tergolong sebagai kalangan
terawal menerima Islam yang dicatat oleh Al-Sarraj sebagai contoh kesufian
ialah Abu `Ubaidah Ibn al-Jarrah. Beliau adalah dari kalangan keturunan Quraisy
Makkah. Sedang kaum Quraisy yang bermegah dengan kabilah dan keturunan mereka
yang mulia mempertahankan status kedududukan, pegangan tradisi dan budaya
mereka dan menentang habis-habisan terhadap dakwah Rasulullah s.a.w. maka Abu
`Ubaidah Ibn al-Jarrah adalah salah seorang penerima Islam pada peringkat
awal. Beliau menerima Islam melalui
Sayyiduna Abu Bakar al-Siddiq. Nama penuhnya ialah Abu `Ubaidah Amir bin
`Abdullah Ibn al-Jarrah yang mempunyai tubuh badan yang tinggi, tetapi kurus
berjanggut nipis dengan dua batang gigi hadapannya tercabut yang berkait dengan
peristiwa kudus dalam perjuangannya. Dengan perwatakannya yang meyakinkan dan
kejujurannya , Rasulullah menggelarkannya sebagai `Amin al-Ummah` (Kepercayaan
Ummah). Gelaran ini tidak setakat gelaran semata-mata, tetapi terbukti dengan rentetan perjuangannya.
Tatkala pengikut Nabi pada peringkat
permulaan menghadapi tekanan kafir Quraisy, Abu `Ubaidah menyertai kumpulan
kali kedua berhijrah ke Habasyah. Tetapi beliau tidak tenteram tidak bersama
Rasulullah di dalam perjuangan menegakkan Islam. Lantaran itu beliau pulang dan
bersama-sama dalam membantu perjuangan Rasulkullah s.a.w. Beliau menyertai
Rasulullah dalam peperangan Badar dan turut sama di dalam peperangan Uhud. Di
dalam peperangan ini (Uhud) yang
diketahui tujuan kafir Quraisy ialah untuk menghapuskan Rasulullah, sebab itu
beliau terus melindungi Rasulullah. Beliau menengkis panah dari musuh terhadap
Rasulullah. Pada peringkat yang lebih sengit apabila dua gigi rantai baju perang Rasulullah melekat
pada pipi Rasulullah, Abu `Ubaidah yang
sebelumnya secepat kilat menyerbu musuh dan mengkucarkacirkan mereka, beliau menggunakan giginya mencabut satu mata
rantai dari pipi Rasulullah sehingga satu batang giginya tercabut dan
seterusnya mencabut satu lagi mata rantai pada pipi Rasulullah s.a.w. sehingga gigi
keduanya tecabut, sebagaimana digambarkan sebelumnya perwatakannya yang tidak
mempunyai dua gigi utamanya.
Apabila rombongan dari Najran dan Yaman
datang menemui Rasulullah dan menerima Islam. Pihak rombongan memohon dari
Rasulullah menyertai mereka pulang dengan seorang guru yang akan mengajar dan
membimbing mereka di dalam hal ehwal keislaman, maka orang yang dipilih oleh
Rasulullah tidak lain dari Abu `Ubaidah Ibn al-Jarrah.
Kepahlawanan `Ubaidah Ibn al-Jarrah
diiktiraf dalam mana beliau telah dihantar membantu kepimpinan `Umar bin al-`As
dalam peperangan `Dzat al-Salasil` yang mana dalam
ketumbukan tentera tersebut bersama ialah Abu Bakar dan `Umar Ibn al-Khattab.
Selepas kewafatan Rasulullah s.a.w.
kesetiaan terus diberikan oleh Abu `Ubaidah terhadap khalifah-khalifah yang
dilantik . Beliau memilih kehidupan
secara zuhud, taqwa, amanah dan teguh hati dan tidak terlintas dihatinya
untuk mendapat habuan harta benda dan kedudukan. Beliau terus diberi
kepercayaan memimpin pasukan ketenteraan. Misalnya satu kisah terkenal bahawa
beliau telah dihantar bagi memimpin expedisi yang dikenali dengan `Expedisi
al-Khabath` - bermaksud `Daun`. Beliau
memimpin 300 orang dengan bekalan hanya sebakul kurma. Dalam expedisi
berkenaan, walaupun mereka berjimat, tetapi bekalan tidak kecukupan. Bagi
mengatasi kelaparan mereka telah menumbuk daun-daun menjadi serbuk dan di makan
dan daun berkenaan menjadi bekas minuman. Ia merupakan ujian bagi pasukan yang
dapat mengatasi kegawatan yang dihadapi.
Pada zaman Khalifah `Umar Ibn al-Khattab
setelah Khalifah menghantar Khalid bin
al-Walid ke medan tempur di kawasan pemerintahan Rum dan Parsi di kawasan
Syria,, maka Sayyiduna `Umar kemudiannya membuat keputusan menggantikannya mengambil tempat Khalid Ibn al-Walid, tetapi surat yang
tiba kepada Abu `Ubaidah dalam masa perang sedang berlaku, maka atas
kepentingan strategik peperangan Abu `Ubaidah Ibn al-Jarrah sengaja merahsiakan
surat sehinggalah peperangan selesai dan dimenangi oleh pihak Islam, maka maklumat
itu baru disampaikan. Ini mencerminkan kemuliaan hati Abu `Ubaidah yang beliau
tidak tamak kepada pangkat dan pimpinan. Pengambilan alih kepimpinan tentera
adalah atas kepatuhan kepada arahan khalifah.
Berikut daripada itu Khalifah `Umar ibn
al-Khattab pergi ke Syria, dan dari pemergiannya beliau turut membuat penilaian
terhadap kepimpinan Abu `Ubaidah dan dari tinjauan berbagai pendapat, penduduk
adalah berpuashati di atas kepimpinan Abu `Ubaidah. Semasa kunjungan Khalifah `Umar
ibn al-Khattab dia sempat ke rumah Abu `Ubaidah dan didapati tiada apa perabut
dan perhiasan di dalam rumahnya kecuali
pedang, perisai dan pelana kenderaan berkudanya. Abu `Ubaidah meneruskan
hidupnya secara zuhud, taqwa dan kepercayaan yang teguh.
Semasa betugas di Syria inilah Abu`Ubaidah
Ibn al-Jarrah meninggal dunia, iaitu di kawasan yang pernah menjadi sebahagian
dari empayar Rum dan Parsi. Adalah Khalifah `Umar al-Khattab menyebut-nyebut
bahawa Abu `Ubaidah adalah merupakan salah seorang calon yang kemungkinan akan
menggantikannya, tetapi Abu `Ubaidah terlebih dahulu berpulang ke rahmatullah.
Jika diperhatikan bahawa konsep sufi
berdasarkan contoh yang dipilih oleh Al-Sarraj , walaupun zuhud, wara` dan
taqwa sifat sufi bukan bererti mengasingkan diri dan tidak terlibat dengan perjuangan
sebaliknya mereka adalah pejuang-pejuang yang berjuang di medan peperangan dan
pada masa yang sama kuat beribadat, bersifat zuhud, wara`, mempunyai akhlak
yang mulia dan mempunyai komitmen yang tinggi terhadap masyarakat dan umat.
Mereka sepert Mu`adz bin Jabal, Imran bin al-Hus*ayn, Salman al-Farisi, Abu
al-Darda`, Abu Dzar al-Ghifari, Abu `Ubaidah Ibn al-Jarrah sebagaimana telah
dibincangkan dan ramai lagi yang bakal dibincangkan. Keutamaan dari segi
kesufian ialah mereka yang jujur, patuh kepada perintah Allah dan menjauhi
larangaNya , zuhud, wara`, amanah dan
berakhlak dengan nilai-nilai akhlak yang baik. Jika nilai-nilai berkenaan
ada pada individu, masyarakat lebih-lebih lagi pada pimpinan maka ianya dapat
memberi sumbangan kepada kesejahteraan
dan keamanan masyarakat dan negara.
Sekian.
No comments:
Post a Comment