June 30, 2017

MAHABBAH = CINTA - BERBAGAI PENDAPAT


BBB, 05 Syawal 1438H. = 29 Jun 2017M. (Khamis):
Makin  peringkat akhir bagi mengakhii karangan Al-Risalat al-Qushairiyyahnya, Al-Qushairy menyusun bab-bab bagi pembicaraannya kepada topik yang makin penting. Kalau sebelum ini topik yang dibicarakan mengenai ma`rifat yang topik ini lebih melibatkan akal dan rasional yang antaranya mirip kepada pembicaraan pendekatan akidah, di samping hati rohani, maka topik kini ialah mengenai mahabbah = Cinta. Topik ini adalah merupakan puncak perjalanan kualiti hati-rohani melalui intuisi dan wajdan.
Membicarakan topik ini Al-Qushairy bertolak bagi membicarakan persoalan Mahabbah=Cinta ini dengan memetik ayat Al-Qur`an yang bermaksud:
``Wahai orang-orang yang beriman, siapa yang murtad dari kalangan kamu dari agamanya, maka akan didatangkan oleh Allah dengan satu kaum yang Dia mencintai mereka itu dan mereka itu mencintaiNya.`` (Al-Ma`idah: 54).
Dan dari segi Hadith:
Mengkhabarkan kami Abu Nu`aim  `Abdul Malik bin al-Husain berkata, bercakap kepada kami Abu `Awwanah Ya`qub bin Ishaq berkata, bercakap kepada kami al-Sulami berkata, bercakap kepada kami `Abdul Razzak daripada  Mu`ammar daripada Hammam bin Munabbih daripada Abi Hurairah berkata, bersabda Rasulullah s.a.w. :
``Man ah*abba liqa` Allah ahabba Allah liqa`ahu wa man lam yuh*ibb liqa` Allah lam yuhibb Allahu Ta`ala liqa`ahu.`` Bermaksud:
``Siapa yang cinta menemui Allah,  Allah mencintai untuk menemuinya, siapa yang tidak suka menemui Allah, tidaklah Allah suka untuk menemuinya.``(Riwayat Al-Bukhari).
Sebuah lagi Hadith:
Mengkhabarkan kami oleh Abu al-Husain `Ali bin Ahmad bin `Abdan berkata, bercakap kepada kami oleh Ahmad al-S*affar al-Bas*ri berkata, bercakap kepada kami `Abdullah bin Ayyub berkata, bercakap kepada kami Al-Hakam bin Musa berkata, bercakap kepada kami al-Haitham bin Kharijah berkata, bercakap kepada kami al-Hasan bin Yahya daripada S*adaqah al-Dimashqi daripada Hisham al-Kattani daripada Anas bin Malik daripada Nabi s.a.w. daripada Jibril  a.s. daripada Tuhannya Subhanahu wa Ta`ala bersabda Nabi (bermaksud):
``Siapa yang menyakiti bagiKu wali, maka dia secara terang menyatakan peperangan dan aku tidaklah merasa ragu-ragu tentang sesuatu seperti raguku untuk mencabut nyawa seorang hambaku mu`min yang membenci maut dan aku benci dan aku tidak suka menyakitinya dan tidak dapat tidak aku mematikannya. Dan tidaklah menghampiriku hambaku dengan sesuatu yang aku lebih suka kepadaku daripada apa yang aku fardhukan ke atasnya dan sentiasalah hambaKu menghampiriKu dengan amalan-amalan sunat sehingga aku mengasihinya, dan siapa yang Aku kasihkannya, maka adalah aku baginya pendengaran dan penglihatan dan tangan dan bantuan. (Dikeluarkan oleh Ibn Ahmad Dunya, Al-Hakim, Ibn Mardawayh, Abu Nu`aim dan Ibn `Asakir).
Berkata Al-Ustadz, Al-Mahabbah ialah hal yang mulia yang menyaksikan haqq Subhanahu wa Ta`ala dengannya kepada hamba dan mengkhabarkan tentang mahabbah kepada hamba. Allah Subhanahu wa Ta`ala  mensifatkan yang Dia mengasihi hamba dan hamba mensifatkan yang dia mencintai Allah Subhanahu wa Ta`ala.
Disoal Al-Junayd daripada al-mahabbah, maka katanya, ``Masuk sifat-sifat orang yang dikasihi sebagai ganti daripada sifat orang yang mencintai. Dan berkata Abu `Abdullah al-Qurashiyy, hakikat mahabbah bahawa engkau memberi keseluruhan engkau kepada orang yang engkau cinta hingga tidak ada yang tersisa bagi engkau.``
Dan berkata Al-Shibli dinamakan al-mahabbah sebagai mahabbah, kerana engkau tidak mempercayai selain dari yang dicintai dan kata Ibn `Ata` ialah  ingatan yang berterusan terhadap yang dicintai.
Berbagai pendapat tentang al-Mahabbah:
Al-Ustadz Abu `Ali  al-Daqqaq, Mahabbah adalah kelazatan dan tempat membicarakan hakikat secara dahsyat..
Al-Shibli berkata,, Mahabbah ialah cinta terhadap yang dicintai dan engkau maunya seperti engkau.
Ibn `At*a`, Mahabbah, ``Dahan-dahan yang tumbuh dari hati yang berbunga dan berbuah
Al-Nas*r Abadzi, Mempertahankan mahabbah sanggup bertumpah darah – berkorban.
Yahya bin Mu`adz, Al-Mahabbah, Hakikat al-Mahabbah tidak berkurang oleh panas dan tidak oleh hujan.
Abu `Ali al-Daqqaq, Mahabbah pengikat kasih sayang. Dia berpuisi:
Apabila bersih antara kaum bermawaddah
Berterusan hubungan memuji dan bermadah.
Berkata Al-Junayd, Al-Mahabbah ialah melampaui kecenderungan yang tidak kesampaian.
Berkata Al-Harth al-Muhasibi, Al-Mahabbah kecenderungan engkau terhadap sesuatu dengan keseluruhan diri engkau.``
Dan seterusnya berpuluh, bahkan beratus lagi pendapat tentang al-Mahabbah` atau cinta. Topik ini begitu mesra dibicaraka. Berbagai pendapat diluahkan, tiap orang berlainan  ungkapan, tetapi bersatu tujuan bagi melahirkan erti al-mahabbah dan cinta itu yang bagai aliran sungai mesra yang hulunya tidak kering-kering mengalirkan   rasa cinta dan ianya tidak kering-kering ditimba, Ia memberi erti perasaan cinta adalah perasaan dialami semua. Cinta mungkin padam sesama manusia, tetapi tidak bersama yang Esa, bahkan makin bersemarak jika makin mendekatiNya.

Sekian.

No comments:

Post a Comment