October 7, 2017

MUHASIBIYYAH DOKTRIN KUKUH


BBB, 16 MUHARRAM 1439h. = 06 Oktober  2017M. (Juma`at):
1.       Muhasibiyyah
Doktrin Muhasibiyyah atau sebagai `Faham` dapat disebut sebagai `Muhasibisme` adalah faham yang kukuh berteraskan keislaman. Doktrin atau faham ini antara faham yang awal kemunculan. Pemberian doktrin atau faham biasa dan kebanyakannya dinisbahkan kepada tokoh atau kepada ciri kefahaman atau aliran berkenaan. Muhasibiyyah adalah nisbah atau sifat bagi doktrin  atau faham yang dibawa.
Muhasibiyyah adalah nisbah kepada ciri fahaman yang dibawa oleh tokoh yang digelar  `Al-Muhasibi`. Nama bagi pembawa doktrin  Muhasibiyyah ialah Al-Harith bin Asad al-Muhasibi yang kunyahnya ialah Abu `Abdullah (m. 243H.), dibesarkan di Basrah kemudian berpindah ke Baghdad. Beliau mendalam dalam keilmuan tiga serangkai, iaitu akidah, fiqh dan tasawuf. Beliau terkenal sebagai seorang yang zuhud.
Menurut `Abdul Qadir Ahmad `At*a yang menulis muqaddimah bagi kitab Al-Masa`il fi A`mal al-Qulub wa al-Jawarih oleh al-Muhasibi, bahawa dinisbahkan Al-Harith sebagai Al-Muhasibi, lantara  beliau amat prihatin dan waspada (muhasabah) terhadap dirinya  mempastikan  berada di atas asas akidah, syariat dan kerohanian yang betul menurut Al-Qur`an  dan Al-Sunnah.
Pada zamannya berlaku polimik yang sengit di Baghdad antara faham Qadariyyah, Jabariyyah dan Al-Sunnah.
Menurut Dr. `Abdul Halim Mahmud yang menulis muqaddimah bagi buku Al-Muhasibi yang lain berjudul `Al-Ri`ayah li Huquq Allah, bahawa Al-Muhasibi adalah diasuh keluarganya di dalam keadaan mewah. Tatkala bapanya meninggal dia mewariskan anaknya Al-Muhasibi sejumlah wang banyak, iaitu sebanyak tujuh puluh ribu dirham. Al-Muhasibi yang mendapat didikan murni menurut Al-Qur`an dan  Al-Sunnah` amat prihatin terhadap persoalan shubhah. Oleh kerana arwah bapanya pada masa hidupnya berpegang  tentang `qadar` menurut madzhab Mu`tazilah – Antaranya faham mu`tazilah tentang `qadar`, bahawa manusia mencipta perbuatannya. Dengan akidah yang dipegang bapanya itu, Al-Harith tidak mau mewarisi harta yang ditinggalkan bapanya.. Ini merupakan antara faktor yang mengukuhkan gelarannya  sebagai `Al-Muhasibi.``
Selain dari mempertahankan kebersihan dari segi halal dan haram sesuai dirinya sebagai sufi yang mendalam dalam bidang akidah dan syara`, Al-Muhasibi memperkukuhkan faham `Al-Muhasibi`nya dengan ciri akhlak murni yang menjadi permata akhlak Rasulullah s.aw. sebagaimana firman Allah  bermaksud:
``Sesungguhnya engkan mempunyai akhlak yang unggul, ``(Al-Qalam: 4)
 Dan firman Allah lagi bermaksud:
``Sesungguhnya bagi kamu pada diri Rasulullah itu uswah yang indah.` (Al-Ahzab: 21).
Sebagai seorang yang kuat mendukung pengajaran dan nilai Islam, Al-Muhasibi amat menyanjung dan mengkagumi ketinggian akhlak Rasulullah. Menurut Dr `Abdul Halim, Mahmud di dalam muqaddimahnya bagi kitab al-Muhasibi yang berjudul `Al-Ri`ayat li Huquq Allah` bahawa Al-Muhasibi  amat teroja, bahawa berada pada sanad Hadith Rasulullah s.a.w. yang matannya sebagaimana disabdakan oleh Rasulullah s.a.w:
``Athqalu ma yudha`u fi al-mizan husn al-khuluq.``
Bermaksud: Paling berat apa yang diletakkan dalam timbangan ialah elok akhlak.``
Kata Dr. `Abdul Halim, ``Al-Muhasibi telah menjadikan  matlamat hidupnya `elok akhlak` dan mentahqiq dan mempraktikkannya, bahkan menjadikan ciri tasawufnya bersifat akhlak yang di dasarkan pada Al-Qur`an dan Al-Hadith.``
Bagi mencapai misinya, Al-Muhasibi mendasarkan tasawufnya kepada al-Qur`an dan Al-Hadith. Tasawufnya juga berasaskan taqwa kepada Allah, menunaikan segala yang fardhu, wara` pada yang halal dan jauhkan diri dari yang haram, ikhlas kepada Allah dari segi ketaatan. Dan inti tasawufnya adalah berasaskan akhlak. Ini maksud Al-Ri`ayah li Huquq Allah.
Al-Harith al-Muhasibi mengambil pendekatan muhasabah  ialah dengan kaedah yang disebutkan sebagai `Al-hadzr`, yang boleh kita ertikan sebagai berjaga-jaga diri, misalnya memperbaiki diri dengan ilmu dan ma`rifat, menjaga tindak tanduk diri sebagaimana dihuraikan di dalam bukunya,  A`mal al-Qulub wa al-Jawarih, iaitu memperbetulkan hati dari sifat-sifat yang keji yang tentulah bagi membersihkannya adalah melalui praktik tasawuf, misalnya mengenal kekejian nafsu, sifat-sifat keji yang boleh bertapak di dalam hati seperti hasad dengki,takabbur, dusta, menipu dan sebagainya, seterusnya mengenali dan mengamal dengan sifat-sifat yang baik seperti, kasihan belas, tolong menolong, sabar, syukur dan redha, maka dengan pengenalan diri dan mempraktikkan kebaikan, maka kebaikan ini terjelma pada zahir diri, misalnya pada tindakan anggota diri `al-jawarih` sebagaimana yang dibicarakan oleh al-Muhasibi. Tindakan ini lahir sebagai nilai akhlak yang baik.
Sesungguhnya Al-Harith al-Muhasibi mengambil pendekatan tasawuf secara sepadu yang mengintegrasi dan mengukuhkan pegangan akidah berfalsafah tauhid dan kepatuhan terhadap suruhan Allah dan menjauhi segala larangannya. Dia amat prihatin terhadap perkara yang halal dan haram dan memberi tumpuan pada pembinaan akhlak yang baik. Pendekatan Al-Harith al-Muhasibi pendekatan yang praktical yang menjadi panduan hidup bagi diri dan juga kehidupan di tengah masyarakat. Tasawuf baginya bukan pengasingan dari masyarakat. Beliau tidak memberi  perhatian kepada perlunya dalam tasawuf berlaku sesuatu yang anih dan pelik yang disifatkan oleh Al-Hujwiri sebagai `karamah dan wali` itu.
Tasawuf bagi Al-Harith al-Muhasibi ialah pendekatan praktikal iaitu dengan memperbaiki diri dalaman  dan luaran dengan akhlak terpuji yang dengannya dia berada di tengah masyarakat secara baik dan  menyenangkan semua pihak.
Akhlak dan tasawuf bagi Al-Harith al-Muhasibi adalah kesatuan yang mengukuhkan. Dengan terus bermuhasabah menjaga diri dari penyelewengan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment