February 20, 2018

TAKMILAH FIZIKAL MASJID AL-UMM BERORIENTASIKAN ILMU : TAMBAHAN DAN IMPLIKASI



BBB, 03 Jamadil Akhir 1439H. = 19 Februari 2018M. (Isnin):
Tiap bangunan yang dibina ada fungsinya. Rumah misalnya untuk kediaman, kedai untuk perniagaan dan masjid adalah untuk ibadat bagi umat Islam. Demikianlah plan arkitek bagi Masjid Al-Umm adalah untuk uamat Islam di BBB atau dari mana jua datang untuk beribadat. Demikian fungsi Masjid Al-Umm yang asasi.
Mungkin tidak boleh dipersalahkan kepada arkitek Urusbina yang jelas meyediakan plan asasi bagi Masjid Al-Umm seperti adanya pada peringkat permulaan, tapi  tiada perbincangan detail sejak   peringkat permulaan yang sepatutnya dijelaskan kehendak dengan fungsi dan misinya. Sejak dari awal kebanyakan ahli jawatankuasa Pembangunan Masjid Al-Umm bukanlah mereka yang mengetahui tentang arkitektur. Namun ada kesedaran dari awal antara misi dan fungsi mendirikan Masjid Al-Umm selain dari menjadi tempat ibadat (solat),  juga sebagai pemangkin bagi Bangi Bandar Ilmu. Sesungguhnya harapan begitu tinggi, bahawa bersama dengan Masjid Al-Umm itu kelak akan dipohon tanah pada kawasan Medan Selera (Usahawan) yang lebih kurang seluas dua ekar itu akan didirikan bangunan belasan tingkat sebagai bangunan pentadbiran, ruang-ruang kuliah, perpustakaan, kedai buku, asrama dan ruang-ruang kegiatan mahasiswa. Dalam kata lain, masjid menjadi induk bagi `Jami`ah (universiti) Al-Umm`. Keinginan ini bukan bersifat angan-angan, bahkan plan bagi pembangunan premis keilmuan bagi masjid Al-Umm telah dihasilkan oleh  Al-Marhum Tuan Haji Ghazali Husein salah seorang ahli jawatankuasa yang dilantik menganggotai jawatankuasa baru bagi Jawatankuasa Pembangunan Masjid Al-Umm (Ogos 2012). Bukan setakat melibatkan Medan Selera (Usahawan), tetapi kawasan padang awam yang berdekatan dengan Masjid Al-Umm adalah termasuk di dalam `Greater Area` bagi Masjid Al-Umm yang dapat dikatakan sebagai ruangan `Kampus bagi Jami`ah Al-Umm.`
Pandangan Konsep  `Jami`ah Al-Umm` di atas, lebih khusus sebelum lahirnya konsep `Greater Area Jami`ah Al-Umm` , maka idea mau melihat  Masjid Al-Umm sebagai Pusat Ibadat dan Pengajian bertaraf Jami`ah mau diaplikasikan kepada Masjid Al-Umm. Lantaran itu tempoh antara Ogos 2012 hingga keakhir 2013 mesyuarat-mesyuarat banyak berhubung dengan plan arkitek dan masalah mencari dana bagi Masjid Al-Umm. Digerak oleh misi dan visi Masjid Al-Umm sebagai pusat Ibadat, keilmuan dan kemasyarakatan, maka ianya  menjadi topik perbincangan berterusan. Jika dilihat kepada aras-aras  dan ruang-ruang yang disediakan di Masjid Al-Umm adalah berorientasikan keilmuan bagi mendekati konsep `Al-Jami`ah`.
Pada aras utama yang mempunyai ruang terluas adalah tempat solat, tetapi ruang solat utama ini juga menjadi ruang pengajian. Di sini guru-guru mengajar kitab, khususnya selepas solat  maghrib hingga Isya`, demikian juga selepas solat subuh. Pada bahagian serambi kanan dan kiri, wujud kelompok-kelompok pengajian yang dibimbing oleh guru-guru khusus, termasuk pengajian yang berhubung dengan Al-Qur`an yang ramai guru mengajar keilmuan-keilmuan yang berhubung dengan Al-Qur`an.
Perlu diingat bahawa ruang solat utama ini dapat dijadikan ruang pengajaran secara terbuka terutama pada hari Sabtu dan Ahad pada semua kawasan ruang utama ini boleh memuatkan pengaji-pengaji sehingga jumlah 3,000 orang. Perlu disebut bahawa pada aras utama berdepan ruang pejabat (kini bilik VVIP)  terdapat ruang tarbiah bagi anak-anak. Bermaksud pementingan dari segi pengajian dan pendidikan. Kewujudan ini adalah hasil dari permesyuaratan yang diadakan.
Pada aras satu di atas bagi  aras utama terdapat ruang solat bagi muslimat yang boleh memuatkan jamaah muslimat seramai 500 orang. Ruang ini juga digunakan bagi pengajian bagi muslimat. Manakala pada sebelah kiri bagi ruang muslimat terdapat dua bilik bagi seminar. Dua bilik boleh disatukan dengan menolak pemisah tengahnya menjadikannya sebagai Dewan Seminar, manakala pada sebelah kanan pula terdapat bilik mesyuarat. Pada bahagain belakang pula terdapat 2 bilik kuliah bagi sebarang pengajaran ilmu. Dan terdapat pula bilik bagi perpustakaan bersama IT, dan bilik  tahfiz.
Pada aras bawah tanah terdapat Dewan Besar yang boleh digunakan bagi konvensyen yang jumlah kehadiran lebih  ramai , jika menggunakan kerusi saja boleh memuatkan seramai 1,000 orang. Dewan ini juga boleh digunakan sebagai tempat persidangan. Ianya juga boleh digunakan bagi  majlis  perkahwinan, sambutan hariraya dan berbagai sambutan dan perayaan. Di sebelah kanan bagi dewan ini terdapat bilik untuk akad nikah dan boleh juga digunakan untuk pengajian, mesyuarat dan sebarang majlis yang lebih kecil muatannya (100 orang). Demikianlah ruang-ruang yang disediakan selain dari untuk solat, banyak daripadanya untuk kegiatan keilmuan – berorientasikan ilmu.
Dari segi plan arkitektur, pertambahan-pertambahan yang berlaku menyebabkan berlakunya perubahan pada plan arkitek awal dan banyak berlaku penambahan dan perubahan. Dari satu segi melambatkan usaha bagi mengangkatkannya kepada MPKj dan jabatan-jabatan yang lain (One stop centre di MPKj), dengan kelambatan pengangkatan plan oleh arkitek ke MPKj ini melambatkan urusan mendapat kelulusan plan dan melambatkan pula rancangan pembinaan fizikal bagi Masjid Al-Umm.
Implikasi yang lain dari perubahan dan penambahan plan, ianya menambahkan kos bagi penyiapan plan. Dengan penambahan yang baru, maka kos tambahan akan dikenakan bagi tambahan-tambahan yang dilakukan- Ini mengakibatkan bertambahnya kos pembinaan Masjid Al-Umm. Ini tidak berlaku jika semuanya disiapkan dalam plan asal bagi Masjid Al-Umm.
Keadaan ini berlaku oleh kerana kebanyakan ahli jawatankuasa bukan dari kalangan yang mengetahui soal plan arkitek bagi pembangunan. Mereka boleh disifatkan campurtangan menambah  di sana sini mengikut apa yang difikirkan bersesuaian. Mungkin apa yang ditambah dan diubah menambahbaiki dan menjadi lebih elok, tetapi mempunyai implkasi dari segi penambahan kos, keseluruhannya dilihat sebagai hasil dari yang tidak professional dan bila siap dilihat di sana sini kekurangan. Misalnya ruang terbuka untuk kemasukan angin terpaksa ditutup kerana kononnya tempias, bahagian anjung terpaksa ditambah juga kononnya kerana tempias, sedang ianya menjelikkan pandangan dan menyempitkan ruang dan banyak lagi memperlihatkan tindakan-tindakan yang tidak professional. Perkara ini tidak boleh dipersalahkan arkitek, kerana dia dipaksa oleh juru-juru tambah yang bukan ahli dalam bidang pembinaan. Akhirnya sebagaimana  antara falsafah Takmilah, masjid sempurna dalam ketidaksempurnaan.
Sekian.

No comments:

Post a Comment