BBB, 24
Rajab 1439H. = 11 April 2018M. (Rabu):
Usaha mau gunakan Masjid Al-Umm pada Ramadhan
1437H. tidak berjaya. Mekanisme untuk memaklumkan kepada orang ramai `Tidak
Jadi` penggunaan Masjid yang didesak mereka
itu adalah melalui pemberitahuan kepada pengerusi-pengerusi
surau-surau yang penduduknya bakal
menjadi jama`ah di Masjid Al-Umm.
Pertemuan dengan pengerusi-pengerusi surau ini
adalah bukan kali pertama. Sekurang-kurangnya sudah ada tiga pertemuan utama.
1) Pengerusi-pengerusi surau atau wakil-wakil
dijemput ke Surau Al-Umm, pada peringkat permulaan mengambil keputusan bagi
membina Masjid Al-Umm, iaitu pada 4 Februari 2010. Sesungguhnya
pengerusi-pengerusi dan wakil-wakil surau berjumlah 30 orang yang hadir inilah
yang membuat keputusan untuk membina Masjid Al-Umm yang kini telah terbina.
2) Pertemuan yang diadakan pada 17 November 2015 bertempat di Bilik Mesyuarat
sementara Masjid Al-Umm dengan 50 orang
pengerusi-pengerusi dan wakil-wakil surau-surau keliling Masjid Al-Umm
hadir. Pada peringkat ini bangunan fizikal Masjid Al-Umm sudah hampir siap,
bahkan antara bilik-biliknya sudah dapat digunakan bagi mesyuarat (tingkat satu) dengan cara menggunakan split
air-cond. Pada masa ini masjid kekurangan dana bagi meneruskan pembangunan.
Antara tujuan pertemuan ialah untuk mendapat bantuan derma yang dapat
disalurkan melalui surau-suirau dan masjid, di samping memberi taklimat tentang perkembangan pembinaan Masjid Al-Umm. Sesungguhnya
sumbangan melalui surau-surau seperti Surau Al-Nur, Damai, Al-Ihsan – menyebut
beberapa contoh dan Masjid Al-Hasanah banyak membantu menambahkan dana masjid
Al-Umm. Pada hari itu pengerusi-pengerusi dan wakil-wakil dibawa melawat ke
berbagai-bagai bahagian Masjid Al-Umm.
3) Jemputan hari ini, iaitu pada 24 Mei 2016 (sebelum
Ramadhan) ialah bagi menerangkan mengapa hasrat mau gunakan Masjid Al-Umm
Ramadhan 1437H/Mei 2016 tidak dapat dilaksanakan.
Di dalam penerangan pengerusi-pengerusi surau
dimaklumkan bahawa pihak ahli jawatankuasa telah melantik pegawai-pegawai
masjid bagi menggunakan masjid dan penggunaan hanya melibatkan ruang solat
utama sahaja. Peralatan-peralatan yang perlu juga telah disediakan, bahkan
tarikh gotong royong bagi membersihkan
masjid telah ditentukan, iaitu pada 14 Mei 2016.
Mereka juga dimaklumkan bahawa pihak
Jawatankuasa telah memaklum dan memohon kelulusan dari pihak kontrektor (Tuan
Haji Marzuki) dan pihak Arkitek (Ar. Haji Raja Fuaddin bin Raja Ahmad) untuk
menggunakan Masjid Al-Umm secara terhad. Namun pihak kontrektor dan arkitek
memberi jawapan rasmi `Tidak boleh
digunakan` melalui mesyuarat Teknikal
pada 10 Mei 2015 dan juga melalui Mesyuarat
Jawatankuasa Pembangunan Masjid Al-Umm (Induk) pada 17 Mei 2016.
Tiada izin menggunakan Masjid pada tarikh yang
dimohonkan, ialah kerana pembinaan Masjid Al-Umm adalah belum siap (96% siap).
Pengerusi-Pengerusi Surau dan wakil-wakil
diberitahu, tidak siapnya pembinaan oleh kerana kekurangan kewangan. Antara
kerja-kerja yang siap dilakuklan tidak dapat dilunaskan pembayaran, Pihak
surau-surau diharap dapat membantu menyalurkan bantuan kepada Masjid Al-Umm.
Mereka diberitahu anggaran kos pembinaan Masjid Al-Umm pada masa itu ialah RM18 juta.
Pengerusi-pengerusi surau atau wakil-wakil
diberitahu bahawa:
Kutipan hingga April 2016 adalah sebanyak RM14,684,781.43
Perbelanjaan hingga akhir April sebanyak
RM14,389,922.54
Baki dalam bank adalah RM 294,858.89
Manakala hutang yang belum berbayar ialah
RM2juta. Satu juta merupakan pinjaman dari Tabung Birr al-Walidayn – keluarga Dato`
Dr. Haron Din dan Satu Juta hutang
pembangunan. Mereka diberitahu bahawa Ahli Jawatankuasa masih mengharapkan
kepada janji kerajaan Negeri Selangor dapat menunaikan RM6 juta ringgit yang
telah dijanjikan.
Dalam keadaan sekarang, masjid akan meneruskan
pungutan derma dan mengharapkan pengerusi-pengerusi dapat memaklumkan kepada
jamaah dan ahli kariah dapat sama menderma bagi meringankan beban kewangan yang
ditanggung.
(Catatan keesokannya – 25.5.2016 pihak JAIS
diketuai sdr. Azam bin Azmi turun ke Masjid Al-Umm membincangkan peruntukan Kerajaan Negeri yang dikurangkan
kepada RM4 juta. Tetapi tiada penyelesaian.
Jumlah RM4 juta ini kemudiannya diserahkan oleh Dato` Seri Azmin Ali
Dato` Menteri Besar Selangor kepada Masjid Al-Umm melalui Dato` Dr. Haron Din
di Masjid Al-Hasanah pada 9.9.2016).
Sekian.
No comments:
Post a Comment