NEGARA BAIK AMAN SEJAHTERA
(Fikrah Bangi: 70):
BBB, 20 Rabi`ul-Awwal 1440H. = 28 November
2018M. (Rabu):
Melihat dan mendapat maklumat sesetengah negara sering mengalami kegempaan
yang memusnahkan banyak harta benda danm penduduk di dalam kesusahan, setengah pula terdedah
kepada laut luas dan sering kali dirosakkan oleh ribut taufan, setengah pula
sepanjang masa kekeringan dan kepanasan dan setengah pula sejuk berpenjangan.
Negara dan tempat demikian tidak baik dari segi fizikal, lebih tidak baik jika
kekurangan dari segi hasil mahsul yang menyukarkan kehidupan. Negara yang
terhindar dari malapetaka dan kerosakan alam, buminya subur dengan
tumbuh-tumbuhan dan cukup dengan sumber kehidupan adalah negara yang elok dari
segi geografi dan fizikal.
Tetapi negara yang elok dari segi geografi dan
fizikal, tidak semestinya menjamin aman sejahtera kepada penghuni atau dikenali
sebagai rakyat, jika tiada di dalamnya pemimpin yang baik yang disukai rakyat.
Pemimpin yang diadu-domba dan
menghuruharakan negara, pemimpin dan kelompok yang mengutamakan kepentingan
diri sehingga berleluasanya rasuah di dalam berbagai-bagai lapisan pimpinan.
Tidak mengutamakan pelajaran bagi
kesemua lapisan masyarakat. Mereka tidak mempunyai keadilan dari segi peluang pelajaran dan peluang mendapat pekerjaan. Mereka tidak
berpeluang memiliki perumahan yang
sederhana yang dapat melindungi keluarga dan kehidupan. Jika ekonomi dan kekayaan dikuasai oleh kelompok kecil dan
rakyat di dalam kesempitan oleh kerana meningkatnya kos kehidupan dan
menyukarkan, jika demikian, maka ianya adalah bukan negara yang baik.
Adalah juga negara yang tidak baik jika
pemimpin bersifat diktator, mengenakan aturan secara paksaan dan zalim agar
mulut rakyat tertutup dan tidak berhak bersuara dan rakyat berada di dalam
ketakutan dan kebimbangan berterusan lantaran aturan dan hukuman terus mengikat
mereka. Tiada kebebasan bersuara. Maka ianya bukan negarabaik dan sejahtera.
Adalah juga negara yan tidak baik, jika amanah
diberikan, tidak berlaku amanah di dalam amalan. Pimpinan berbagai bidang jatuh
kepada mereka yang tidak berkelayakan. Tindakan-tindakan yang dibuat banyak
dipersoalkan. Segalanya diubah, walaupun asalnya baik dan berfaedah. Oleh
kerana salah urusan, rasuah berleluas. Tindakan undang-undang dilakukan. Imej
buruk tersebar luas dan menjengkelkan. Ia menjadi beban bagi memulihkan
kepercayaan dan keyakinan. Bagaimanakah watak sedemikian dapat berdiri dan
tegak bersama dengan jiran-jiran yang mencurigai dan meragukan mereka ?
Tak kurang juga zalim jika ada pimpinan yang
mau terus berkuasa sengaja mengatur
perancangan menjadikan rakyat dalam kelalaian dengan membesar dan
menyanjung dan membanyakkan hiburan.
Watak-watak di dalam bidang berkenaan disanjung dan diwirakan, tiada pentingkan
ilmu pengetahuan dan nilai keakhlakan. Penggunaan dadah berleluasa dan
sebahagian golongan rakyat terutama di kalangan golongan muda rosak binasa.
Tiada generasi masa hadapan yang dapat diharapkan. Negara terancam.
Banyak lagi contoh negara yang tidak baik yang
tidak mengutamakan kesejahteraan rakyat.
Sebuah negara yang menjadi dambaan ialah negara yang baik dan aman sejahtera yang
dapat ditafsirkan secara luas. Negara yang muka buminya subur dan berkedudukan
strategik. Selamat dari ancaman kerosakan dan bencana alam. Negara berada di
bawah pimpinan yang berwibawa dan kasih terhadap warga sebagaimana ibu bapa yang kasih terhadap keluarganya dan berusaha
membahagiakan mereka di tengah masyarakat
yang mementingkan kesejahteraan. Negara yang mempunyai pimpinan yang mementingkan ilmu
pengetahuan dan memberi peluang menguasai ilmu pengetahuan, bahkan menjadikan
pengajian berterusan sebagai komponan kehidupan yang mementingkan ilmu, berilmu
dan berbakti. Negara yang baik ialah negara yang berusaha mensejahterakan
rakyatnya dengan peluang pekerjaan dan hasil ekonomi bagi masyarakat. Tidak berlaku penyelewengan dan
rasuah. Negara yang baik dan sejahtera negara yang mementing dan mengutamakan kesejahteraan rakyat. Mereka lebih
mementingkan kesederhanaan di dalam kehidupan dan tidak tertekan.
Banyak lagi contoh Negara Baik Dan
Sejahtera dapat diluaskan skop danbicara.
Sekian.
No comments:
Post a Comment