KONSEP PERPERADABAN
(Fikrah Bangi: 276),
BBB:
02 Zulkaedah 1440H. = 05 Julai 2019M. (Juma`at).
Berperadaban adalah berasal kata dasar
ialah `Adab`. Adab berdekatan dengan kata `Akhlak` yang juga mempunyai nilai,
tetapi adab adalah lebih halus dari akhlak.
Adab selaian dari mempunyai maksud akhlak, juga bermaksud, adat, sopan,
santun, norma, tatasusila, aturan dan
berpelakuan baik. Dapat dikatakan jika akhlak melambangkan nilai perlakuan, maka dengan adab, ianya
dilihat lebih indah dari akhlak dengan adanya misalnya kesopanan dan
kesantunan.
Peradaban yang asalnya dinisbahkan kepada
watak seseorang berkembang maksudnya bukan lagi terhad kepada individu
perseorangan, sebaliknya menjadi identiti kepada perseorangan, keluarga,
kelompok, masyarakat, bahkan hingga
kepada bangsa dan negara.
Berperadaban adalah rumusan hasil nilai
baik bagi sesuatu kelompok, kaum, masyarakat dan bangsa yang dilihat baik,
cantik, berfaedah dan menjadi identiti bagi yang berkenaan.
Bagaimana timbulnya Adab dan Peradaban.
Bermula dari aturan cara hidup. Misalnya
dalam sebuah keluarga, dari pergaulan hidup dididik anak-anak supaya
menghormati terhadap ibu bapa. Penghormatan yang diberi adalah wajar, kerana
ibu bapalah yang melahirkan anak, mendidik dan membekalkan dengan ilmu
pengetahuan yang akhirnya anak berkenaan menjadi anak yang berakhlak, beradab
dan menghormati orang tua dan anak menjadi anak yang baik dan berguna.
Ia adalah hasil dari ilmu dan pengalaman
yang dilalui kelompok masyarakat yang melakukan sesuatu yang didapati berfaedah
dan akhirnya menjadi `norma perlakuan`. Berakhlak dan beradab terhadap ibu bapa
adalah menjadi nilai unggul bagi
keluarga dan masyarakat.
Di dalam kehidupan masyarakat, misalnya
kaum tani yang menanam padi. Ada masanya mereka perlu tolong menolong, misalnya
waktu menuai padi yang perlu kepada tindakan segera, supaya tidak rosak, maka
mereka memberi pertolongan yang dikenali dengan `gotong royong`. Elemen gotong
royong dilihat sebagai satu yang baik dan menjadi adat, aturan dan norma hidup
dalam masyarakat tani dikampung.. Ia sudah menjadi nilai peradaban bagi kaum
tani mengadakan gotong royong. Ianya dilihat sebagai adab dan aturan yang baik
dan melambangkan kemuafakatan dan kemajuan.
Adab berkembang dari maksud asal aturan, adat, norma dan sebagainya kepada
maksud yang lebih besar. Misalnya bagi
masyarakat yang berkembang kepada kelompok yang lebih besar yang kediaman
mereka dikenali dengan bandar. Maka kehidupan di dalam masyarakat yang asalnya
memerlukan kepada aturan dan nilai yang diikuti, maka keperluan kehidupan di
bandar ialah kepada ilmu bagi mengatur kehidupan yang lebih besar. Perlu kepada
pengalaman bagi mengatur susun atur bangunan agar kelihatan tersusun dan indah.
Kemajuan yang bersifat fizikal sedemikian mencerminkan bahawa lahir konsep
tamadun yang melahirkan `madinah` atau bandar yang teratur bagi kehidupan.
Namum kepertingan untuk hidup teratur tidak boleh bergantung kepada bangunan
fizikal semata-mata. Kehidupan memerlukan aturan, nilai, undang-undang yang
mencerminkan masyarakat tamadun, tetapi lebih daripada itu, masyarakat
berperadaban.
Kehidupan di dalam masyarakat berkenaan
perlukan, ilmu yang dipelajari. Perlu kepada aturan yang perlu dipatuhi,
bangunan perlu kepada teratur dan indah tersusun. Ada dalam masyarakat tempat
belajar, guru dan pemikir Ada perusahaan yang menampung keperluan masyarakat,
misalnya dari segi makanan, pakaian dan kenderaan. Ada tempat untuk merawat
pesakit, ada pihak keselamatan yang mengawal ketenteraman dan sebagainya. Semua
aturan dan keperluan yang diwujudkan dengan teratur dan diselaraskan adalah memberi kebaikan dan meningkat mutu dan
cara hidup. Masyarakat sedemikian adalah dilihat bertamadun dan berperadaban.
Tamadun adalah lebih kepada kemajuan tampak
seperti bangunan dan perbandaran itu sendiri, manakala perperadaban lebih
kepada nilai seperti berperatiuran, berpelajaran, berseni, berbudaya dan
mencerminkan nilai kemanusiaan, keindahan dan estetika yang mencerminkan
berperadaban.
Sebuah negara mesti membangun dari segi tamadun
dan berperadaban.
Sekian.
No comments:
Post a Comment