July 3, 2019

MENGHARGAI BUDAYA DAN MEMBINA KECEMERLANGAN NEGARA BANGSA


MENGHARGAI BUDAYA DAN MEMBINA KECEMERLANGAN NEGARA-BANGSA
(Fikrah Namgi: 274),
BBB: 29 Syawal 1440H. = 03 Julai 2019M. (Rabu).
Budaya bermaksud sesuatu nilai yang terhasil dalam masyarakat dan diterima baik, dipakai dan seterusnya diamal,  diwarisi dan diperturunkan ke dalam masyarakat dari generasi ke generasi. Misalnya budaya gotong royong di dalam masyarakat Melayu, menghomati ilmuan yang lahir di tengah masyarakat dan mengenang budi dan jasa tokoh yang banyak menyumbang bakti kepada masyarakat. Elemen ini menjadi bahan ilmu dan  dan budaya bagi masyarakat.
Sesuatu bangsa yang berjiwa besar adalah menghargai apa yang dihasil dan disumbang oleh generasi dahulu, dikenang dan diteruskan. Kemegahan dan keyakinan masyarakat antaranya kerana adanya sejarah dan budaya yang diwarisi dari zaman yang lalu disanjung dan dikembangkan bagi kepentingan generasi kini dan mendatang. Kita mempunyai ilmuan seperti Abdul Rauf Singkel, Abdul Malik bin Abdullah, Tun Seri Lanang, Raja Ali Haji, Daud bin Abdullah al-Fatani, Abdullah Munsyi, Za`ba   dan ramai lagi.  Kita bermegah dengan wujudnya kerajaan Melaka  sejak dari abad ke 13 dan kegemilangan yang dicapai. Kita merujuk segala kegemilangannya sebagai pengukuh bagi kita membina masa hadapan. Mutakhir kita merasa bangga dengan tokoh seperti Abu Bakar al-Baqir, Dato` Onn, Tunku Abdul Rahman, Burhanuddin Hilmu, Zulkifli Muhammad dan Tun Razak. Mereka adalah tonggak kepimpinan, ilmuan dan wajah budaya kita yang kukuh di dalam sejarah negara, bangsa dan tanahair kita. Mereka menjadi contoh dan inspirasi kini dan masa hadapan. Sesungguhnya bangsa berjiwa besar dan dihormati menghargai budaya, sejarah dan warisan yang diterima dan menjadi ubur masa hadapan.
Walau  bagaimana kita agak terkilan dan keciwa melihat adanya watak `Sitenggang` moden, yang konon mau menegak sesuatu yang baru dan mau memutuskan kesilaman dengan menghitamkan yang lepas dan menghadkan pengiktirafan terhadap watak tertentu dalam masa dekat. Sikap sedemikian adalah derhaka terhadap budaya dan sejarah. Sikap seperti ini  adalah mencerminkan kemiskinan intelektual dan buta budaya. Jangan jadi generasi  `Sitenggang` tanpa warisan, kita akan hanyut tanpa pedoman. Walau bagaimana sikap derhaka terhadap budaya dan warisan terbukti tidak ke mana. Apa yang mau dibawa di dalam kantung baharu tiada terlaksana. Mereka kembali mengikut apa yang telah digarisi sebelumnya dan wajah baharu adalah kabur.
Kita sebenarnya sebagai satu bangsa Melayu, Malaysia dan Nusantara mempunyai warisan budaya, intelektual dan sejarah yang besar. Kita mempunyai budaya lebih besar dari negara Barat, bahkan Jepun dan Korea. Kita masih benar-benar belum menyerlahkan sejarah dan budaya kita dari zaman Funan, Seriwijata, Langkasuka, Campa, Majapahit, Melaka, Aceh, Johor-Riau seterusnya mewariskan Melayu moden membawa kepada Malaysia. Mereka yang faham terhadap tradisi Melayu yang kini rapat dengan Islam tidak memperkecilkan diri dan tidak membiarkan diperkecilkan diri oleh `anak-anak` yang tidak memahami asal usul, budaya dan tradisi.
Kita mempunyai tradisi dan budaya yang besar. Persoalannya, warisan yang kita terima tidak difahami. Bukan sahaja terhadap yang silam, bahkan terhadap sejarah, warisan dan budaya yang tidak jauh dari kita.
Peranan kita terutama bagi kalangan intelektual dan ilmuan terutama dari universiti-universiti menggali tradisi dan mengenengahkannya ke tengah masyarakat. Selain dari menggali yang silam perlu rangka pendekatan teratur sebagai `Kurikulum Negara`  bagi membangun wawasan keilmuan negara bagi meningkatkan tahap keilmuan warga, khususnya bersifat Malaysia bagi meningkatkan martabat Malaysia sebagai bangsa berilmu, bersifat kreatif dan inovatif. Kalau mau dicari yang baharu, inilah wawasan baharu yang sebenarnya patut diketengahkan.
Kita telah lama memandang ke timur dari jendela diri  misalnya kepada Jepun, Korea dan kini Cina. Hingga kini kita masih memandang. Mereka semua makin maju dan kita masih memandang dan tak ke mana. Apa yang kita mau ialah watak, daya intelektual, kreativiti dan inovasi Malaysia dan berjati diri Negara Bangsa Malaysia.
Sekian.

No comments:

Post a Comment