October 31, 2019

DERITA ADAM


DERITA ADAM
(Fikrah Bangi: 388),
BBB: 03 Rabi`ul-Awwal 1441H. = 30 Oktober 2019M. (Khamis).
Banyak episod  yang dialami Adam merupakan tamsil ibarat dan tauladan bagi  panduan keturunanya. Pada awal kehidupan Adam dengan Hawa mereka didedahkan dengan pengalaman hidup nikmat kesyurgaan.  Tetapi nikmat dan rahmat tidak semudah didapat tanpa melalui  ujian dan amalan. Nikmat dan rahmat adalah balasan bagi amalan baik yang telah dilakukan. Dalam kata lain nikmat dan rahmat tidak datang bergolek tanpa usaha dan amalan. Bahkan adalah bersifat kurniaan  dari Yang Tertinggi.
Adam dan Hawa diuji dengan musuh Adam dan keturunannya dengan  tipu daya iblis-syaitan yang tidak senang dengan kenikmatan yang bakal didapati manusia sebagai balasan bagi amalan. Iblis telah  memperdayakan Adam dan Hawa dengan memakan buah larangan yang bermaksud simbolik sifatnya. Adam dan Hawa terpedaya dan terjebak oleh tipu daya iblis. Dengan memakan buah larangan (khuldi), maka Adam dan Hawa tersingkir keluar dari kehidupan kesyurgaan dan  jatuh menjalani ujian kehidupan keduniaan.
Adam dan Hawa mengalami siri ujian sebagai episod duka yang terpaksa ditanggung.
Adam menderita dengan perubahan suasana kehidupan kesyurgaan kepada kehidupan dunia. Kalau di dalam syurga segala keperluan semuanya didapati dengan mudah, maka berlainan dengan kehidupan di dunia, Adam mesti bekerja dengan daya tenaga menjalankan pekerjaan bagi mendapat keperluan bagi melangsungkan hayat kehidupan.
Sebelum daripada itu Adam menghadapi derita ujian terpisah. Selepas diturunkan ke dunia Adam terpisah dari Hawa yang juga diturunkan berlainan tempat. Kerinduan Adam terhadao Hawa menambahkan kerisauan dirinya. Adam terpaksa bergerak mencari Hawa. Berbagai andaian di mana Adam dan Hawa diturunkan. Ada yang mengatakan Adam diturunkan di tanah Arafah dan Hawa di Jeddah. Mereka bertemu di `Arafah. Lantaran itu tempat pertemuan mereka dinamakan `Arafah.
Bagi peringkat permulaan kehidupan di dunia, bayangkan betapa ujian yang dihadapi Adam dan Hawa bagi memulakan penghidupan. Mereka perlu kepada tempat lindungan yang bernama rumah sebagai tempat berteduh dari panas dan hujan. Juga bagi menjamin keselamatan dari ancaman keliling seperti binatang buas dan sebagainya. Mereka perlu menjalankan pekerjaan sama ada memungut bahan-bahan buah-buahan dan tumbuh-tumbuhan bagi dijadikan bahan makanan. Mereka perlu tahu bagi menangkap binatang-binatang yang dapat dimakan.
Selain daripada itu mereka memerlukan kepada pakaian bagi melindungi tubuh mereka dari sejuk dan panas dan juga bagi menutup aurat mereka.
Satu hikmat yang besar diturunkan Adam dan Hawa ke dunia, ialah bagi membolehkan  Adam dan Hawa melahirkan zuriat mereka bagi memakmurkan muka bumi ini.  Pada peringkat permulaan ini sebelum melahirkan zuriat, tiada tugas dakwah kepada yang lain. Adam memulakan model kehidupan suami isteri bagi contoh kepada keturunan merekla. Mereka hidup secara kasih sayang yang  seharusnya menjadi contoh berterusan kepada keturunan mereka akan datang.
Asam dan Hawa benar-benar menjalani ujian dalam kerinduan mereka terhadap hidup kesturgaan yang telah pernah mereka alami. Pengajaran yang dilalui bahawa, nikmat dan rahmat tidak dapat dicapai begitu sahaja, tanpa lulus ujian di dalam kehidupan, iaitu dengan menjalani hidup yang baik sebagaimana diatur dalam syari`at.. Tanpa melalui ujian dan kejayaan, maka apa yang dinamai nikmat dan rahmat tidak dapat dicapai. Adam dan Hawa melalui proses ujian bagi kembali mendapat nikmat dan rahmat yang pada hakikatnya kurniaan Allah kepada hamba yang dikehendakinya.
Sekian.

No comments:

Post a Comment