October 24, 2020

 

TAYYIBAH, KEINSANAN DAN KEIHSANAN

(Fikrah Bangi: 784).

BBB:  07 Rabi`ul-Awal 1442H. = 24 Oktober 2020M. (Sabtu).

Kita telah membincangkan tentang tapak dan lokasi bagi sebuah pengajian tinggi yang bersifat berotonomi dan berdikari. Tempat  adalah latar bergerak dan bergiat. Namun ianya tidak bergerak tanpa arah dan matlamat yang mau dituju bagi penghasilan. Pengajian yang dihasratkan seharusnya mempunyai identiti dan jatidiri tersendiri yang lain dari kebiasaan dan jika demikian – tiada perbedaan, ianya tidak ada beda dari yang sedia ada dan ianya tak ke mana dan akan tenggelam dalam kebiasaan.

Idealisme pengajian adalah ianya menjadi rumpun dan himpunan tayyibah yang  umbi dan tunjangnya terhunjam dari dasar tempatan dan bumi di sini dan bukan keawang-awangan. Dengan akar tunjangnya di sini pengajian berpaksikan tradisi dan akar tempatan yang menumbuh dan merimbunkan pohon tayyibah berkenaan. Tradisi di sini tidak miskin bagi membajai pohon tayyibah berkenaan. Tetapi pohon berkenaan tidak hidup dan subur tanpa iklim tempatan, udara dan cuaca  hasil dari kitaran global.

Dalam  Kalimah Tayyibah terhimpun di dalamnya segala yang bernilai dan bermutu. Misalnya di dalamnya adalah kebenaran yang terbuka dan tidak semestinya bersifat tempatan. Dalam kata lain kebenaran diterima dan diperjuangkan, tanpa melihat dari mana asalnya datang. Dalam tayyibah terdapat di dalamnya elemen kecendekiaan yang terdapat pada manusia yang tidak terdapat pada makhluk yang lain. Pengajian adalah memupuk elemen ini dengan berbagai-bagai ilmu sehingga dengan kepakaran yang didapati dia selayak dikenali sebagai allamah yang menguasai ilmu-ilmu lahir dan `arif rabbani  yang menguasai ilmu-ilmu rohani. Dapat juga dikatakan bahawa  insan yang tiba pada peringkat ini dikatakan sebagai `khalifah di bumi Allah`. Banyak lagi dapat disebut elemen di dalam tayyibah ini, tapi disini dihadkan kepada tiga. Satu lagi ialah kebijaksanaan. Bermaksud kebijaksanaan di sini, bagaimana dengan kecendekiaan yang digarap pada insan itu, ianya diguna secara bijaksana, bermanfaat dan bersifat sejagat.

 

Dari  tayyibah sebagaimana  diatur di atas, diikuti dengan keinsanan. Dalam maksud kesemua elemen di dalam kalimah tayyibah seperti kebenaran,kecendekiaan dan kebijaksanaan yang dicapai  hasil dan pendalaman pengajian, ianya diguna bagi kebaikan manusia. Iaitu manusia yang mempunyai potensi sempurna, tetapi tidak pernah sempurna diakibatkan oleh elemen-elemen negatif yang merupakan prosak manusia. Ianya adalah dua bidang perjuangan yang tak habis-habis dihadapi manusia. Pada satu pihak  dengan keilmuan digunakan bagi mengangkat dan menyelamatkan  manusia dari  lembah kehinaan dan negatif. Lihatlah, baca dan dengar apa yang berlaku setiap hari pada manusia. Sebahagian daripada mereka terkapai di dalam kehidupan yang perlu diselamatkan melalui penyedaran keilmuan.

Dilihat pada manusia keseluruhan di dunia kini, taraf dan kedudukan mereka adalah sama, jika ada yang diunggulkan sebenarnya publisiti semata, menayangkan kelebihan dengan apa yang dikatakan kekuatan atau kekayaan. Sebagai bukti  ujian Covid-19 yang diturunkan oleh Yang Berkuasa, mereka sama terpakai, tidak mampu menunjukkan kelebihan yang didakwa ada pada mereka, bahkan yang didakwa  lebih itu lebih teruk mengalami wabak berkenaan, tanpa dapat menunjukkan kelebihan bagi mengatasinya.

Dengan bukti kedudukan manusia setaraf dan tidak ada kelebihan antara satu sama lain, maka medan bagi kemajuan, kecendekiaan dan kebijaksanaan adalah terbuka bagi sesiapa sahaja. Medan ini terbuka bagi kita mengangkatkan taraf kita di dalam bidang keilmuan yang bagi kita bukan mau menunjukkan kekuatan dan kelebihan, tetapi adalah bagi kebaikan manusia sejagat.

Matlamat tertinggi dari pencarian keilmuan, ialah bagi memupuk dan menyuburkan nilai keihsanan di dalam jiwa dan masyarakat manusia. Pengajian termasuk pada peringkat pengajian tinggi lebih dilihat bagi mengangkat martabat manusia yang dengan keilmuan yang dicapai adalah bagi menyelamatkan manusia dari mangsa kebendaan. Misalnya selamat dari kemiskinan, maka dipelajarilah melalui keilmuan ekonomi agar manusia dapat menghasilkan barangan dan lain-lain keperluan supaya mereka tidak kelaparan dan tidak  miskin. Manusia belajar dan kaji penyakit manusia danberusaha melalui pengajian perubatan agar dapat menyelamatkan manusia dari serangan penyakit dan mungkin dapat sedikit menangguhkan kematian. Manusia lemah dari pergerakan dalam berurusan, maka melalui teknologi direkacipta kenderaan dan alat komunikasi  yang dapat mempercepatkan manusia dari segi pergerakan dan pengurusan menandakan manusia makin maju. Dan berbagai lagi melalui ilmu yang membebaskan sekatan minda  dan  memajukan manusia.

Semua diatas tidak dapat dinafikan faedah keilmuan yang diteroka dan terus diteroka, tetapi satu level yang lebih tinggi yang harus diteroka dan patut dihayati manusia, jika dari segi kebendaan diatasi dengan berbagai kemudahan, tetapi level tertinggi yang harus diterokai ialah pembebasan  jiwa dan rohani. Pada tahap ini dilihat pada segala ada hikmah, ada pada setiap benda roh seni yang mengindah dan membahagiakan. Melihat alam fenomena kekuasaan yang mengkagumkan, penuh dengan hikmah dan keluhuran. Penglihatan yang menitiskan keinsafan dan keluhuran. Melihat kesegalaan di dalam laut rahmat dan dengan penuh harap ianya seharusnya dinikmati semua manusia sejagat. Nikmat itu seharusnya dinikmati semua manusia sejagat.  tetapi apakah semua manusia ada persediaan bagi  menggapai dan mencapai nikmat dan kebahagiaan sejati. Ruang yang luas dan harus diterokai.

Sekian.

No comments:

Post a Comment