BBB, 18 Syawal 1436 = 03 Ogos 2015 (Isnin):
Selepas mengambil contoh Tafsir Al-Jalalayn
sebagai tafsir ringkas pada zaman klasik, kini diambil Tafsir Al-Wajiz sebagai
tafsir ringkas yang dihasilkan pada peringkat mutakhir terkini. Tafsir Al-Wajiz
adalah dihasilkan oleh Profesor Dr. Wahbah Mustaffa al-Zuhaily merupakan
seorang ulama, ahli akademik dan tokoh ilmuan tersohor. Dr. Wahbah berasal dari
Damshik, Syria. Beliau terkenal di dalam bidang tafsir dan fiqh. Kitab tafsir
terkenalnya ialah Tasir al-Munir setebal 16 jilid (10,151 hlm.) yang sedang
diusahakan oleh Persatuan Ulama Malaysia (PUM) menterjemah dan menerbitkannya
ke dalam bahasa Melayu (sebahagian sudah diterbitkan). Beliau juga terkenal di
dalam bidang fiqh. Kitab fiqh beliau yang terkenal dan menjadi rujukan berjudul
Al-Fqh al-Islami (11 jilid) dan telah diulang cetek sebanyak 23 kali dan sebuah
lagi kitab fiqh beliau berjudul Al-Fiqh al-Islami wa `Adilatuhu dan kitab-kitab
yang lain. (Al-Zuhaily, Wahbah, Tafsir Al-Munir, Juz` 27 (Terjemahan ke Bahasa
Melayu), Persatuan `Ulama` Malaysia & Intel Multimedia And Publication,
Petaling Jaya, Selangor, 2002: XVI).
Kitab Tafsir Al-Wajiz dapatlah dikatakan
sebagai rumusan ringkas dari kitab Tafsir al-Munir Dr. Wahbah al-Zuhaily. Kitab
ini baru diterbitkan dengan cetakan pertamanya ialah pada tahun 1431H. Penulis
berpeluang memeilikinya pada 22 Jamadil Akhir 1436 bersamaan 12 April 2015 di
Madinah seharga RM100 = Riyal Su`udi 100 dalam rangka menunaikan umrah. Kini
kitab ini adalah menjadi rujukan utama bagi Penulis di samping kitab-kitab
tafsir yang lain dibaca selang sepagi waktu subuh dengan kitab Hadith di Surau
Al-Umm, Bandar Baru Bangi.
Dari segi bentuk fizikal Tafsir Al-Wajiz
adalah kelihatan sebagai sebuah kitab Al-Qur`an biasa berukuran l9.6 inci x 6.9 inci setebal 640 halaman, bahkan
dari segi formatnya teks Al-Qur`an berada dari atas pada bahagian tengah bersambung
sebagai kandungan Al-Qur`n biasa dan tafsir sebagai huraian bagi teks Al-Qur`an
adalah berada pada bahagian hamish (tepi) dari bahagian tepi kanan dari atas ke
bawah dan demikianlah bagi halaman-halaman seterusnya. Jadi bagi pembaca boleh
saja membaca teks Al-Qur`an secara terus sambung bersambung sebagaimana
Al-Qur`an biasa dan boleh pula menatap tafsir bagi ayat-ayat yang dibaca, jika
mahu atau sebaliknya. Jadi tafsir yang diberi dengan tulisan yang lebih kecil
cukup bagi ruang teks bagi ayat Al-Qur`an.
Dari segi pendekatan tafsiran diberi mengikut
nombor ayat di dalam sesebuah surah dengan huraian yang padat. Iaitu sepadat
minimum kurang dari satu baris kepada kebiasaannya di bawah sepuluh baris. Yang
diberi keutamaan ialah huraian terhadap ayat secara padat. Tidak banyak dibuat
rujukan pendapat, kecuali sedikit kepada pendapat pendapat tokoh-tokoh
mufassirin awal seperti Ibn Abbas, Mujahid,
Ibn Ishak dan Al-Tabari dan rujukan Hadith beserta perawi-perawi
Hadith-Hadith dari kitab-kitab Hadith terkenal seperti Bukhari, Muslim, Abu
Daud, Ibn Majah, Ibn Hibban, al-Hakim dan sebagainya. Penekanan yang diberi
juga bagi huraian teks-teks ayat-ayat Al-Qur`an ialah ``Sebab-Sebab Nuzul ( dibeza
Asbab al-Nuzul dengan ayat berlainan warna – hijau lembut) dan Kaedah-Kaedah
Bacaan` dan ini menjadi sebahagian daripada judul:
``Al-Tafsir al-Wajiz `ala Hamish Al-Qur`an
al`Azim wa ma`ahu Asbab al-Nuzul wa Qawa`id al-Tartil``
Sebagai contoh turunnya ayat Al-Baqarah (114)
yang bermaksud:
Dan siapakah yang lebih zalim daripada
orang-orang yang menyekat dan menghalangi dari menggunakan masjid-masjid Allah
untuk (solat) dan menyebut nama Allah di dalamnya dan ia berusaha pula untuk
merobohkan masjid-masjid itu ? Orang-orang sedemikian tidak sepatutnya masuk ke
dalam masjid-masjid itu melainkan dengan rasa penuh hormat dan takut kepada
Allah (bukan secara yang mereka lakukan itu), mereka (dengan perbuatan yang
demikian) akan beroleh kehinaan di dunia, dan di akhirat kelak mereka mendapat
siksa yang amat besar (Al-Baqarh: 114).
Di dalam menafsirkan ayat ini kata penafsir (Al-Zuhaily)
bermaksud:
``Tidak ada seorang yang lebih zalim dripada
orang yang menegah beribadat kepada Allah di masjid-masjid dan dia berusaha
untuk meruntuhkannya, mereka adalah
orang-orang yang berdosa yang tidak selayaknya bagi mereka memasuki
masjid-masjid, melainkan mereka yang takut daripada azab Allah. Mereka di dunia
dalam keadaan hina dan di akhirat mendapat azab yang pedih di neraka.
Berkata Ibn Abbas diturunkan (ayat ini) kepada
musyrikin Makkah yang menegah orang-orang muslimin berzikir kepada Allah Ta`ala
di Masjid al-Haram. Mereka menegah Nabi Muhammad s. a.w. daripada bersolat di
sisi Ka`bah di Masjid al-Haram.
(Ini membuktikan penekanan Al-Zuhaily terhadap
`Sebab Nuzul`
Contoh bagi ayat seterusnya bermaksud:
``Dan Allah jualah yang memiliki timur dan
barat, maka ke mana sahaja kamu arahkan diri (ke Qiblat untuk mengadap Allah)
maka di situlah arah diredai Allah. Sesungguhnya Allah amat luas (rahmatNya dan
limpah kurniaNya), lagi senentiasa mengetahui (Al-Baqarah: 115).
Bagi ayat ini Al-Zuhaily menafsirkan
bermaksud:
``Bagi Allahlah Pemilik timur dan barat dan
apa yang ada antara keduanya, maka ke mana arah kamu menghalakan padanya di
dalam solat kamu, maka di sana arah atau Qiblat yang diridai Allah dengannya,.
Sesungguhnya rahmt Allah sangat luas dengan hamba-hambanya, Amat Mengetahui dengan
kebaikan bagi mereka.
Kata Al-Zuhaily, diturunkan menurut Al-Tabari
sebelum arahan mengarah bersolat kepada Qiblat. Dengannya membatalkan apa yang
dipegang oleh kalangan agamawan sebelumnya dari kalangan Yahudi dan Nasrani yang menganggap bahawa ibadat solat tidak sah
melainkan di haikal-haikal (rumah-rumah ibadat) dan tempat-tempat ibadat khas
(ma`abid).
Demikianlah contoh pentafsiran yang diberi
oleh Al-Zuhaily secara ringkas dan padat serta memadai. Beliau memberi
penekanan terhadap `Asbab al-Nuzul` bagi kebanyakan ayat (tidak setiap ayat).
Walaupun disebut tentang `Kaedah Tartil`, pada judul kitab tafsirnya, tidak
banyak dibicarakan. Dengan pemberian maklumat `Asbab al-Nuzul` sebenarnya lebih
menjelaskan kepada pembaca-pembaca
sebab-sebab sesuatu ayat diturunkan. Elemen ini antaranya, adalah
merupakan aspek sejarah yang menjelaskan sesuatu peristiwa yang sebenarnya
bukan saja menjelaskan sebab-sebab diturun, tetapi menjelaskan juga secara
tidak langsung tentang situasi, tempat, suasana, peristiwa dan sikap watak,
kelompok dan masyarakat – Al-Zuhaily tidak memberi perhatian kepada aspek
nahu-saraf, bahkan tidak dari segi balaghah dan estetika. Pendek kata dengan
menyertakan `Asbab al-Nuzul` banyak aspek yang dapat dihuraikan secara fakta
dan ilmiah yang menjelaskan kandungan sesebuah ayat dan meluaskan kefahaman.
Pola tafsiran secara ringkas dan padat serta tidak
banyak dengan rujukan, kecuali yang releven dan penting dan menyertakan `Asbab
al-Nuzul, tetapi tidak semua adalah menjadi ciri-ciri dan identiti bagi Tafsir
Al-Wajiz Wahbah Al-Zuhaily.
Sekian.
No comments:
Post a Comment