August 3, 2015

Pendekatan Kitab Tafsir: Secara Ringkas Dalam Bahasa Arab


BBB,  17 Syawal 1436 = 02 Ogos 2015 (Ahad):
Berbagai pendekatan dari segi tafsiran terhadap kandungan Al-Qur`an baik di dalam bahasa Arab (38 buah disebutkan) dan juga di dalam bahasa Melayu (16 buah). Al-Qur`an sebagai Kitab Suci, setiap pentafsir begitu hati-hati di dalam pentafsiran agar tidak berlaku kesalahan atau menyimpang jauh dari yang dimksudkan bagi setiap ayat-ayat Al-Qur`an. Bagi mengukuhkan huraian ada pendekatan yang merujuk – huraian ayat Al-Qur`an dengan ayat Al-Qur`an yang lain yang berkenaan, juga dengan Hadith yang berhubungan dengan persoalan. Ada yang memetik pendapat tokoh-tokoh tafsir terawal dari kalangan sahabat, tabi`in dan atba` al-tabi`in. Ada yang melengkapkan dengan `Asbab al-Nuzul` dan persoalan nasikh-mansukh dan elemen-elemen keilmuan di dalam Al-Qur`an. Ada juga yang melengkapkan dengan elemen-elemen sejarah dari Al-Qur`an dan dari luar yang releven – termasuk fahaman dan peristiwa-peristiwa yang dialami oleh pentafsir dalam kehidupan yang dijadikan bahan tafsiran, bahkan ada yang turut sama membicarakan dari sudut nahu-saraf, balaghah dan estetika Al-Qur`an. Dengan huraian-huraian yang dibuat yang dianggap releven, maka menjadikan sesebuah kitab tafsir berkenaan agak panjang.


Disebalik dari tafsir yang panjang, terdapat tafsir yang agak ringkas yang memberi makna dan huraian tambahan sekadar menjelaskan kefahaman. Tafsir ringkas dilakukan mungkin untuk mengelak dari huraian yang tidak berkenan bagi menjaga keaslian maksud bagi ayat-ayat Al-Qur`an. Sebagai contoh bagi tafsiran ringkas di dalam bahasa Arab diambil dua kitab tafsir: Pertama,
Tafsir Al-Qur`an Al-`Azim li al-Imam al-Jalalayn – Al-`Allamah Jalaluddin Muhammad bin Ahmad al-Mahalli dan Al-Shaykh al-Tabahhur Jalaluddin Abdul Rahman bin Abi Bakar al-Suyuti (boleh dibaca Al-Sayuti). Kedua:
Al-Tafsir al-Wajiz `ala Hamish al-Qur`an al-`Azim oleh Al-Ustaz al-Doktor Wahbah al-Zuhaily.
1)      Tafsir Al-Jalalayn
Dikenali dengan nama ringkas `Tafsir Jalalayn` lantaran kitab tafsir ini dihasilkan oleh dua orang pentafsir secara bersama (gabungan – Pengarang tidak sezaman) yang setiap orang berpangkal nama Jalaluddin. Jadi maksudnya. Kitab Tafsir Al-Qur`an al-`Azim ini digabung dari dua orang Jalaluddin , iaitu Jalaluddin Muhammad bin Ahmad (m. 864H.) dinisbahkan kepada al-Mahalli dan seorang lagi Jalaluddin Abdul Rahman bin Abu Bakar yang dinisbahkan kepada al-Suyuti (m. 911H.). Kedua-duanya adalah pengikut Mazhab Shafie, lantaran itu tafsir ini begitu terkenal dipelajari bersama-sama keilmuan yang mendukung mazhab Shafie tersebut, khususnya di alam Malayu.  Tafsir ini mengandungi dua juz`, juz` pertama dari Surah al-Baqarah hingga akhir Surah l-Isra` oleh Jalaluddin Muhammad al-Mahalli (238 hlm.). Manakala juz` kedua digabungkan bermula dari Surah al-Kahfi hingga akhir (Surah al-Nas)  oleh Jalaluddin Abdul Rahman al-Suyuti (256 hlm.). Kitab Tafsir al-Jalalayn ini dicetak dan diterbitkan oleh percetak dan penerbit Sulaiman Mar`i, Singapura yang sebagaimana biasa penerbitan kitab-kitabnya tidak disertai dengan tarikh penerbitan.
Konsep `Tafsiran Ringkas` dapat difahami dari kata-kata pendahuluan sebelum tafsir Surah Al-Baqarah (tidak dibicarakan Surah al-Fatihah sebelum Surah al-Baqarah). Antara kata pendahuluan itu bermaksud:
``Pengarangan kitab tafsir ini menurut garis kefahaman yang dikurniai Allah dan bergantung pada pendapat yang terkukuh, i`rab dari segi nahu sekadar yang perlu dan mengingatkan tentang berbagai kelainan bacaan (qira`at) secara halus, penyusunan secara ringkas dan meninggalkan menyebut secara panjang kata-kata yang tidak disenangi dan keasingan-keasingan tempat daripada menyebutnya kitab-kitab di dalam bahasa Arab.`` (Al-Jalalayn, hlm: 2).
Dapat dikatakan maksud tafsir di dalam kitab Tafsir Jalalayn ialah memberi makna kepada teks ayat Qur`an dan menambah sedikit penerangan sekadar mencukupi, sebagai contoh tafsir bagi awal  Surah Al-Baqarah yang tafsirannya sebagaimana berikut:
( Alif lam mim) Allah lebih mengetahui dengan kehendak kata itu (itu) yakni ini (al-Kitab) yang membacanya oleh Muhammad (tidak ragu lagi) syak (padanya) bahawasanya ia daripada Allah. Jumlah nafi ialah khabar bagi mubtadanya `dhalika – itu` dan isyarat dengannya bagi membesarkan (pertunjukan), khabar kedua, yakni hudan – pertunjuk (Bagi mereka yang bertaqwa) mereka menjadi orang bertaqwa dengan mematuhi segala perintah dan menjauhi segala larangan bagi menyelamat yang demikian daripada api neraka. (Dan mereka itu mendirikan solat), iaitu melakukan menurut hak-haknya (Dan dari apa yang kami rezekikan kepada mereka)  kami berikan mereka  (mereka menefakahkan) mentaati perintah Allah (Dan mereka itu beriman dengan apa yang diturunkan kepada engkau), iaitu Al-Qur`an (Dan apa yang diturunkan sebelum itu ) iaitu Taurat, Injil dan lain dari keduanya (Dan dengan akhirat mereka itu yakin) mereka tahu (mereka itu) mereka yang disifatkan dengan apa yang disebutkan (di atas pertunjukan dari Tuhan mereka dan mereka itulah mereka yang berjaya) yang berjaya dengan syurga dan selamat dari neraka.`` (Al-Jalalayn : 2-3).
Jelaslah dari apa yang diberi contoh di atas – Dalam kandungan maksud dari teks Al-Qur`an dan yang di luar adalah makna dan huraian menunjukkan bahawa tafsir Jalalayn adalah merupkan tafsir ringkas bagi menerangkan teks Al-Qur`an secara ringkas dan memada, bahkan ada yang diberi makna lebih ringkas dari teks. Misalnga (Tidak ragu lagi) syak. Penerangan diberi sepadat yang dapat misalnya bila menerangkan: Bagi mereka yang bertaqwa, mereka menjadi orang bertaqwa dengan mematuhi segala perintah dan menjauhi segala larangan bagi menyelamat yang demikian  daripada api neraka – huraian yang agak lengkap dan sedikit panjang.


Selain dari memberi makna dan huraian yang agak padat, pentafsir begitu memberi perhatian terhadap nahu dan bahasa Arab. Contoh (Tidak ragu lagi) merupakan jumlah nafi ialah khabar bagi mubtadanya  `dhalika` - itu dan isyarat dengnnya bagi membesarkan (pertunjukan) khabar kedua, yakni hudan – pertunjuk. Jadi selain dari memberi makna dan huraian ringkas yang melayakkannya dikategorikan sebagai tafsir, maka pentafsir memberi perhatian terhadap aspek nahu dan bahasa, kerana dengan kefahaman terhadap aspek nahu dan bahasa menjelaskan dari segi makna dan kedudukan kata-kata di dalam susunan bahasa secara tepat. Ini membuktikan bahawa pengajian tafsir adalah pengajian peringkat tinggi yang memerlukan kepada mereka yang mau mempelajarinya mengetahui dan mahir  ilmu nahu dan bahasa.
Menyedari keringkasan tafsiran dan perlu kepada penerangan-penerangan tambahan di samping kitab Tafsir Jalalayn ini penerbit kitab menyertakan bersama kitab ini pada bahagian hamish (tepi) beberapa karangan ringkas iaitu:
1)      Lubab al-Nuqul fi Asbab al-Nuzul oleh Jalaluddin l-Suyuti
(Intisari petikan tentang Sebab-Sebab Nuzul oleh Jalaluddin al-Suyuti).
2)      Fi Ma`rifat al-Nasikh wa al-Mansukh li al-Imam Abi Abdillah Muhammad bin Hazm
(Maklumat Tentang Nasakh dan Mansukh  oleh Imam Abu Abdullah Muhammad bin Hazm).
3)      Al-Fiyah li Abi Zar`ah al-`Iraqi fi  Tafsir Gharib  al-Faz al-Qur`an
(Al-Fiyah oleh Abu Zar`ah dari Iraq Pada Mentafsirkan Lafaz-Lafaz yang Asing Dalam al-Qur`an).
4)      Risalah Jalilah Tatadammanu ma Warada fi al-Qur`an al-Karim min Lughat al-Qaba`il li al-Imam Abi al-Qasim bin Salam
(Risalah Ringkas Mengandungi Apa Yang Terdapat Di Dalam Al-Qur`an Al-Karim dari Bahasa-Bahasa  Qabilah oleh Abu al-Qasim bin Salam).
Dengan maklumat-maklumat tambahan daripada keempat-empat karangan ringkas disertakan terutama tentang Asbab al-Nuzul dan Nasakh dan Mansukh melengkapkan maklumat berhubung dengan keilmuan tafsir.
Pola memberi makna dan tafsiran di awal Surah al-Baqarah adalah berlaku kepada ayat-ayat dan surah-surah yang lain. Dengan ciri tafsir sedemikian dan yang lain juga, maka pengajian tidak menjadi jelas dengan cara berucap dan ceramah, sebaliknya guru dan pengaji-pengaji seharusnya menggunakan kitab yang memberi makna dan huraian terhadap ayat-ayat Al-Qur`an. Huraian dapat ditambah dengan kitab-kitab tafsir yang lain bagi menambahkan kefahaman. Apa yang dapat dimengerti bahawa pengarang tafsir amat berhati-hati di dalam  memberi makna dan huraian terhadap kandungan ayat Al-Qur`an dan berusaha mengelak dari kesilapan yang mungkin dianggap, makin panjang huraian makin terdedah kepada kesilapan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment