September 23, 2017

ABU `ALI HASAN AL-DAQQAQ: TOKOH MUTAAKHIR


BBB, 02 Muharram 1439H. = 22 September   2017M. (Juma`at):
Sebagaimana  disenaraikan oleh Al-Hujwiri, bahawa Abu `Ali Hasan bin Muhammad al-Daqqaq adalah sebagai salah seorang tokoh sufi terkemuka pada peringkat mutaakhir. Maka sebagai tokoh pertama, iaitu Abu al-`Abbas  Ahmad bin Muhammad al-Qassab tidak tersenarai di dalam kitab-kitab Tabaqat, atau kitab-kitab tasawuf yang membicarakan tentang tokoh-tokoh, maka demikianlah dengan Abu `Ali Hasan bin Muhammad al-Daqqaq, walaupun nama kedua ini memang tersua di dalam pembicaraan tasawuf, tetapi tidak menjadi senarai pembicaraan tokoh sufi, sebagaimana dilakukan oleh Al-Hujwiri.
Menurut Al-Hujwiri Abu `Ali Hasan al-Daqqaq ialah seorang tokoh di dalam ilmu pengetahuan dan tiada setanding dengannya pada zamannya. Dia dikatakan fasih berbicara tentang jalan meningkat diri kepada Tuhan.
Dia mengenal  ramai shaykh-shaykh pada zamannya dan bergabung dengan mereka.
Dia adalah murid kepada  Nas*r Abadzi.
Lantaran beliau mendalam di dalam bidang berhubung dengan Tuhan, beliau dikatakan berkata,
``Barangsiapa yang memberi tumpuan selain dari Tuhan,  maka katanya, ``Lemah Keadaan Rohaninya.`` Tambahnya,
``Barangsiapa membicarakan tentang sesuatu lain dari Tuhan,  lantaran tidak mengenal Tuhan secara memadai dan kedekatan dengannya, maka  dia ibarat tidak mempunyai persahabatan, bagaimana seorang mau bercakap tentang sahabat, sedang dia tidak bersahabat dan tidak mengenalinya.``
Dalam erti kata yang lain, seseorang yang mesra dan bercakap tentang apa yang dia mesra dengannya, lantaran ia mengenali, bahkan mengasihinya, lantaran itu ia lebih mesra membicarakannya.``
Sebagaimana tokoh-tokoh sufi lain, untuk mengistimewakannya, sering diceritakan tentang keanihan-keanihannya, sebagai membuktikan keistimewqaannya, lebih daripada itu disifatkan sebagai keramatnya yang sebenarnya tidak semestinya ada pada seseorang, tapi Al-Hujwiri memperlihatkan sebagai anekdot kecil kepada  Abu `Ali Hasan al-Daqqaq, bahawa pada satu hari ia didatangi seorang tua ke majlis pertemuannya, sedang dia memakai serban nipis buatan T*abaristan. Orang tua yang datang itu ingin memiliki serban yang baginya amat menarik. Pencerita mau menunjukkan bahawa seolah-olah shaykh mengetahui apa yang diingini oleh orang tua yang datang itu, maka dalam majlis itu Abu `Ali Hasan al-Daqqaq mencampakkan serbannya kepada orang tua itu.
Sebenarnya apa yang mengistimewakan seorang tokoh sufi, bukan anekdot-anekdot yang diceritakan tentang seorang tokoh sufi yang tidak semestinya berlaku, tetapi jika ada menambahkan daya tariakan. Yang mengistimewakan sufi seharusnya keilmuan yang ada padanya sama ada ilmu zahir, lebih-lebih lagi ilmu yang berkait dengan kerohanian yang dapat diikuti pengikut, lebih-lebih lagi jika ianya dikukuhkan dengan amalan,  pandangan, doktrin  atau falsafah yang dipegang. Misalnya berhubung dengan ketentuan Allah dan kehendak dan ikhtiar manusia. Berhubung dengan niat dan ikhlas dan sebagainya. Lebih menarik jika perkra ini dibuktikan dengan praktik  dan amalan sufi itu sendiri yang menyerlahkan ketokohannya seperti yang berlaku misalnya pada Al-Junayd yang menyerlahkan antara kata dan perbuatannya.
Keistimewaan dan penyerlahan tentang  tokoh-tokoh ini hendaklah bukan dibuat-buat – disengajakan, tetapi adalah secara spontan yang menunjukkan keistimewaannya. Ini antara yang mau dikemukakan oleh Al-Hujwiri tentang  Abu `Ali Hasan al-Daqqaq. Namun dapatlah dibuat penilaian terhadap tokoh yang dikatakan sufi terkemuka pada peringkat mutaakhir itu berdasarkan maklumat yang ditampilkan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment