BBB, 12
Jamadil Akhir 1436 = 02 April 2015 (Khamis):
Bahasa yang maju adalah bahasa yang luas
penggunaannya dan mempunyai kaedah nahu dan bahasa yang mantap. Sebagai contoh
ialah bahasa Arab yang maju di dalam bidang keislaman dan luas penggunaan,
demikian bahasa Inggeris maju di dalam bidang keilmuan moden dan luas
penggunaannya. Di dalam bidang kemajuan bahasa ini apakah kaedah dan keilmuan
bahasa mendahului kemajuan penggunaan bahasa itu sendiri ?
Melihat kepada bahasa Arab, bahawa kesedaran
menyusun kaedah bahasa hanya selepas kedatangan Islam yang dikatakan sayyiduna
Ali k.w. yang memulainya, tetapi puncaknya berkembang pada zaman kerajaan
Abbasiyyah yang melahirkan aliran bahasa yang disebut aliran `Kufiyyun` (Aliran
bahasa Kufah) dan Basariyyun (Aliran bahasa Basrah). Antara tokoh bahasa yang
terkenal Muhammad bin Abdul Malik (600 -672H.) pengarang Matan Al-Fiyah, Ibn
`Aqil (698 -769H.) yang mensyarah Matan Al-Fiyah dan Ibn Hisham (m. 761H.) yang
terkenal dengan gelaran Sibawayh.
(Abdullah bin `Aqil, Sharh Ibn `Aqil, Juz`
al-Awwal, Al-Maktabat al-Tijariyyah al-Kubra, Misr, 1381/1961: 3 & 6).
Keadaan yang sama berlaku di dalam bahasa
Melayu dan bahasa-bahasa yang lain, bahawa kesedaran menyusun kaedah bahasa
adalah datang lebih kemudian dari perkembangan bahasa apabila ada kesedaran
dari tokoh yang prehatin terhadap sesuatu bahasa, termasuklah bahasa Melayu. Di
dalam hal perkembangan bahasa Melayu dinyatakan bahawa perkembangan bahasa
Melayu ialah selepas kedatangan agama Islam dan didukung perkembangannya oleh
agama Islam. Namun dalam proses perkembangan bahasa Melayu, kita tidak dapati
dan mewarisi tentang catatan perkaedahan bahasa Melayu sama ada pada zaman
kerajaan Pasai, Melaka – tidak disebut oleh Tun Seri Lanang di dalam Sulalat
al-Salatin atau pada zaman kerajaan Aceh. Adalah dipercayai ulama-ulama yang
mengarang kitab-kitab berbahasa Melayu adalah secara tidak langsung menggunakan
kaedah nahu berbahasa Arab, lantaran apa bahasa sekalipun struktur asas bagi
bahasa tidak lari dari nama, perbuatan, nama terbitan, mubtada`, khabar,
pembuat, yang kena buat dan kata-kata yang lain dari nama dan perbuatan. Dengan
kaedah ini diterjemah atau dikarang-karangan menurut struktur susunan yang
diterjemahkan. Bermaksud terjemahan bahasa Melayu adalah menurut struktur
bahasa Arab dan bila mengarang di dalam bahasa Melayu adalah menurut struktur
nahu dan penyusunan menurut bahasa Arab.
Di dalam perkembangan bahasa Melayu ini kita
dapat bahagikan perkembangan bahasa kepada dua tahap:
1) Tahap pembinaan bahasa secara tidak langsung
2) Tahap pembinaan kaedah bahasa secara langsung.
Tahap pertama adalah tahap dalam mana
pengarang menggunakan bahasa tanpa nerujuk kepada keilmuan bahasa atau nahu
secara langsung, lantaran pada masa itu belum ada lagi karangan yang berhubung
dengan kaedah nahu Melayu. Pengarang mengarang menurut kelancaran bahasa lisan
yang digunakan dan diangkat kepada bahasa tulisan dan bagi pengarang ulama,
mereka adalah terpengaruh dengan gaya bahasa Arab yang mereka kuasai dan
terbawa-bawa kaedah bahasa Arab ini ke dalam tulisan mereka.
Di dalam kategori pertama ini kita menghargai
terhadap tokoh-tokoh penulis peringkat awal seperti Bukhari al-Jauhari, Hamzah
Fansuri, Shamsuddin al-Sumatrani, Nuruddin al-Raniri, Shaykh Abdul Rauf
Singkel, Shaykh Abdul Malik bin Abdullah (Tuk Pulau Manis), Shaykh Daud bin
Abdullah al-Fatani, Shaykh Zainal Abidin al-Fatani, Shaykh Muhammad Arshad
al-Banjari, Shaykh Muhammad bin Ismail
Daud al-Fatani, Syed Muhammad bin Zainal
Abidin Terengganu, Syed Abdul Rahman bin Syed Muhammad Terengganu (Tuan Paluh),
Raja Ali Haji Riau, Abdullah bin Abdul Kadir Munshi dan ramai lagi.
Sebagaimana dikatakan, bahawa pada peringkat
selepas menerima Islam dan karya-karya dihasilkan oleh ulama-ulama, maka
karya-karya mereka adalah dipengaruhi gaya bahasa Arab. Sebagai contoh dipetik
karangan Shaykh Nuruddin al-Raniri yang dianggap pemula yang mengarang kitab
fiqh di dalam bahasa Melayu yang berjudul Sirat al-Mustaqim:
``(Fasal) pada menyatakan air yang najis
apabila jatuh suatu najis ke dalam air yang kurang daripada dua kolah maka air itu najislah sama ada berubah air
itu atau tiada dan apabila ada air itu dua kolah maka jatuh ke dalamnya najis
tiada jadi najis air itu melainkan jika berubah rasanya atau warnanya atau baunya
jika sedikit sekalipun maka air itu najislah.``
(Nuruddin al-Raniri, Sirat al-Mustaqim, dlm.
Muhammad Arshad al-Banjari, Sabil al-Muhtadin, Juz` I, Maktabat Nur al-Thaqafah
al-Islamiyyah, Jakarta, tt: 13).
Bahasa di atas selain dari bersifat
undang-undang (syariah) adalah menurut struktur bahasa Arab., baik dari segi
susunan mubtada` dan khabar, syarat dan jawab syarat dan fi`il dan fail.
Contoh lagi dipetik dari kitab Matla`
al-Badrayn wa Majma` al-Bahrayn karangan Shaykh Muhammad bin Ismail Daud
al-Fatani:
``Dan wajib atasnya pula bahawa ia mengetahui
akan aqa`id al-iman dan iaitu segala sifat yang wajib bagi Allah Ta`ala dan
yang mustahil atas Nya dan yang harus pada hak Nya dan segala sifat yang wajib
bagi segala Rasul `alayhim al-salat wa al-salam dan yang mustahil atas mereka
itu dan yang harus pada hak mereka itu.``
(Muhammad bin Ismail Daud al-Fatani, Matla`
al-Badrayn wa Majma` al-Bahrayn, Matba`ah Dar al-Tiba`ah al-Misriyyah al-Kubra,
Singapura, tt: 5).
Perhatikan istilah teknikal dalam bahasa Arab
bagi ilmu aqidah seperti `wajib bagi
Allah`, `mustahil atas Nya` dan `harus pada hak` - demikian juga digunakan bagi
Rasul-Rasul`.
Walau bagaimana keterikatan kepada gaya bahasa
Arab makin berkurang dengan perluasan dan perkembangan bahasa Melayu, khususnya
bagi pengarang-pengarang yang bukan ulama atau topik pembicaraan yang tidak
berkait dengan Islam. Lebih-lebih lagi apabila disusun kaedah dan nahu Melayu.
Sekian.
No comments:
Post a Comment