Showing posts with label ANUGERAH. Show all posts
Showing posts with label ANUGERAH. Show all posts

November 28, 2013

Tokoh Persuratan NUMERA 2013: Dr. Shafie Abu Bakar Dari Malaysia

BBB, 23 Muharram 1435 = 27 November 2013 (Rabu):


Seorang pengkarya dan tokoh persuratan yang lahir pada 27 Mei 1942 di Paka, Dungun Terengganu Darul Iman. Belajar di Sekolah Melayu Kampung Nyiur, Paka dan Sekolah Agama Menengah Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu. Pernah menjadi guru di Sekolah Menengah Agama di Terengganu (1963-1970), sebelum menyambung pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia sebagai pelajar dan graduan sulung (1974) di universiti itu.

Sungguhpun Shafie menulis sejak 1960an, tetapi mendapat tempat dan prolific semasa belajar dan mengajar di UKM selepas mendapat Ijazah Sarjana bidang bahasa Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu di IBKKM (1977) dan Ph. D. (1991). Dalam masa belajar pada peringkat ijazah pertama (1974) beliau mengikuti beberapa kursus penulisan, iaitu:

  • Mengikuti Kursus Penulisan anjuran Persatuan Penulis Muda Terengganu (PELITA), 3 Mac – 7 April 1972. di Dewan Serbaguna, Gong Kapas, Kuala Terengganu.
  • Mengikuti Kursus Kewartawanan Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya dengan kerjasama NST & Bernama dari 9 April 1972 hingga 17 April 1972. bertempat di Kolej Pertama Universiti Malaya.
  • Mengikuti Bengkel Penulisan Kreatif Anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka dari 10 hingga 23 November 1974 bertempat di Teluk Kemang, Port Dickson.


Oleh kerana Shafie menulis dalam masa beliau menjadi mahasiswa UKM, maka beliau banyak menulis terutama puisi berkenaan alam kemahasiswaan  di UKM dan makalah-makalah berkenaan keilmuan yang dipelajari. Penulisan beliau pada peringkat mahasiswa terbit di dalam Dewan Masyarakat, Dewan Bahasa, Dewan Sastera, Mastika, Dian, Sarina, Kiblat dan Al-Islam. Puisi dan tulisannya juga terbit di dalam Utusan zaman, Utusan Melayu, Mingguan Malaysia, Utusan Malaysia dan Berita Minggu.

Oleh kerana Shafie berlatarbelakang pendidikan agama, mengambil kursus dan mengajar bidang-bidang falsafah dan pemikiran Islam juga sastera dan penulisan kreatif, maka tulisan-tulisan beliau berorientasikan keislaman. Di UKM beliau mengajar kursus;
Peringkat Sarjana Muda:
Falsafah Islam dan Hubungannya Dengan Pemikiran Melayu.
Kesusasteraan Islam
Puisi Melayu Tradisional
Penulisan Kreatif (Puisi)
Peringkat Pasca Siswazah:
Kesusasteraan Sufi (Prosa dan Puisi)
Puisi Melayu Baru.
Bidang-bidang pengajian dan pengajarannya tercermin di dalam tulisan-tulisannya.

Tulisan-Tulisan Shafie:
Buku

Puisi

-          Shafie Abu Bakar, Puncak Rindu, 2013, Galeri Bangi Bandar Ilmu, Bandar Baru Bangi.
-          Shafie Abu Bakar, Madu Ilmu, 2009, Jabatan Persuratan Melayu, UKM, Bangi.
-          Shafie Abu Bakar, Wajah Diri, 1995, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur

Ilmiah
-          Shafie Abu Bakar, Bangi Bandar Ilmu, 2012, Sekretariat Bangi Bandar Ilmu, Bandar Baru Bangi.
-          Shafie Abu Bakar (Penyelenggara), Gagasan Bangi, 2012, Sekretariat Bangi Bandar Ilmu, Bandar Baru Bangi.
-          Shafie Abu Bakar dan Mohamed Anwar Omar Din, Peradaban Melayu, 1997, Jabatan Persuratan Melayu, UKM.
-          (Shafie Abu Bakar, Siti Hawa Haji Salleh, Halimah Hasssan, Warna Sari: Sastera Melayu Tradisional, 1996, Dewan Bahasa dan Pustaka & Fajar Bakti Sdn. Bhd.Kuala Lumpur.

Monograf & Compile:

Shafie Abu Bakar, Takmilah Himpunan Makalah, 2013: Galeri Bangi Bandar Ilmu, Bangi
Shafie Abu Bakar, Sastera Islam: Gagasan, Teori & Praktik, 2013, Galeri Bangi Bandar Ilmu, Bangi.
Shafie Abu Bakar, Dimensi Tasawuf, 1995, Jabatan Persuratan Melayu, UKM
Shafie Abu Bakar, Persuratan Sufi, 1994, Monograf 9, Jabatan Persuratan Melayu, UKM.

Tesis:

Shafie Abu Bakar, Hikam Melayu: Kajian Falsafah Dan Etika, 1991, IBKKM, Universiti Kebangsaan Malaysia. (Tesis Ph. D.).
Shafie Abu Bakar, Institusi Shaykh Abdul Malik bin Abdullah: Kitab-Kitab Padanya, 1977, IBKKM, UKM. (Tesis Sarjana).

Penyeliaan:
Peringkat Ph. D. (Lulus 5 orang)
Peringkat Sarjana (Lulus 7 orang).
Pembaca Luar (Ph. D. 2 & Sarjana 3).

Bab Di Dalam Buku:


·         Gagasan Pesurat Pelengkap Takmilah: Bangi Makmal Menyerlah. 2011. Dlm.
        Sastera Membina Peradaban Bangsa. Editor A. Halim Ali, Mana Sikana & Mohd
        Rosli Saludin. Prosiding Konferensi Himpunan Ilmuan Sastera Malaysia Kali
        Pertama 2 -3 Disember 2011, Persatuan Penulis Budiman Malaysia, UPSI, Perak.
        Hlm. 116-127.
  • Estetika Dan Takmilah, 1997. Dlm. Pembangunan Seni & Sastera, Diselenggarakan oleh Mana Sikana, Jabatan Persuratan Melayu, UKM, hlm. 105 – 147.
  • Seni Dan Sastera dari Perspektif Islam. Dlm. Prosiding Seminar Tasawwur Islam Peringkat Kebangsaan, Anjuran Pusat Pendidikan Islam ITM, Shah Alam, berlangsung di ITM dari 3 – 4 September 1996. Diterbitkan 1997, hlm. 101 – 124.
  • Sastera Islam Dalam Peradaban Ummah, 1996. Dlm. Simposium Serantau Sastera Islam, Brunei, Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei. Hlm. 118 -151.
  • Teori Sastera Islam (Takmilah, Teori, Falsafah dan Prinsip). 1997. Dlm. Teori Sastera Dan Budaya Dalam Kajian Akademik. Diselenggarakan oleh Mana Sikana, Bangi, Jabatan Persuratan Melayu, UKM. Hlm. 125 – 145.
  • Masalah Pengkategorian dan Peristilahan Sastera Tradisional, 1997. Dlm. Wacana Melayu. Diselenggarakan oleh Hanafi Dollah. Jabatan Persuratan Melayu, UKM. Hlm. 17 -43.
  • Sastera Sufi Pancaran Dari Seni Rohani. 1996. Dlm.Intisari. Diselenggarakan oleh Hasni Abas, Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm. 135 – 170.
  • Sastera Sebagai Media Dakwah, 1995. Dlm. Kebudayaan Melayu Diambang Abad Baru: Satu Himpunan Makalah. Diselenggarakan oleh Hanafi Dollah dan Lokman Mohd. Zen, Bangi, Jabatan Persuratan Melayu, UKM. Hlm. 131 – 147.
  • Jabatan Persuratan Melayu, Imbasan Silam, Realiti Kini Dan Masa Depan, Seminar Meninjau Kembali Pencapaian FSKK, Editor Syed Arabi Aidid & Rahimah Hashim, Bangi, Fakulti Sains Kemasyarakatan Dan Kemanusiaan, UKM. Hlm. 92 – 106.
  • Syair Nazam Jawahir al-Tawhid (MJT) dan Syair Ghafilah (SG): Kajian Perbandingan. 1995. Dlm. Seminar Kesusasteraan Bandingan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm. 306 – 321.
  • Takmilah Teori Sastera Islam. Dlm. Nadwah Ketakwaan Melalui Kreativiti. Penyelenggara S. Jaafar Husin, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm. 46 – 89.
  • Sastera Islam Teori Pengindahan dan Penyempurnaan Dalam Rangka Tauhid. 1995. Dlm. Penelitian Sastera. Penyelenggara S. Jaafar Husin. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm. 132 – 149.
  • Keilmuan Islam Dan Tradisi Pondok Pengajian. 1994. Dlm. Budi Kencana. Editor Nik Safiah Karim, Siti Hawa Haji Salleh, Mohd. Yusof Hasan. Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Melayu. Hlm. 93 – 119.
  • Antara Sastera Dan Tasawuf. 1994. Dlm. Kesusasteraan Bandingan Sebagai Satu Disiplin. Diselenggarakan oleh Abdul Ahmad. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm. 118 -126.
  • Teks Hadiqat al-Azhar wa al-Rayahin Sebagai Model Sastera Islam. 1994. Dlm. Teks Cerminan Nilai Budaya Bangsa. Diselenggarakan oleh Othman Puteh. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm. 136 – 159.
  • Syed Muhammad bin Zainal Abidin: Pengarang dan Penyair Moden dari Terengganu. 1994. Dlm. Pengarang dan Kepengarangan Melayu. Diselenggarakan oleh Sahlan Mohd. Saman. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm. 77 -107
  • Wacana Proses Kreativiti Zurinah Hassan oleh Shafie Abu Bakar. 1993. Dlm. Jambak II. Diselenggarakan oleh Ahmad Kamal Abdullah. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm. 227 – 249.
  • Tuk Pulau Manis dan Pengasas Pendidikan Islam. 1991. Dlm. Ulama Terengganu. Susunan Muhammad Abu Bakar. Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributers Sdn. Bhd. Hlm. 53 -62.
  • Faqih Abdullah Dan Pondok Pengajiannya di Kuala Berang. 1991.Dlm. Ulama Terengganu. Susunan Muhammad Abu Bakar. Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributors. Hlm. 98- 109 .
  • Peranan Ulama dan Kesannya Terhadap Sikap Anti Penjajahan Dengan Rujukan  Pada Pengajaran Tasawuf Sayid Abdul Rahman bin Muhammad (Tuk Ku Paluh) Berasaskan karangan `Ma`arij al-Lahfan. 1991. Dlm. Masyarakat Melayu Abad Ke 19. Disusun oleh AJK Kolokium, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, Hlm. 185 – 211.
  • Keindahan Dalam Kesenian Islam. 1990. Dlm. Kesenian Islam. Diselenggarakan oleh Ahmad Kamal Abdullah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm. 89 – 106.

Makalah:

  • Sastera Islam, Dewan Sastera, Disember , 1997, hlm. 8 – 15.
  • Unsur-Unsur Insaniah Dalam Sastera, Dewan Sastera, November, 1997, hlm. 51-60.
  • Skop Novel Islam Dan Bahan, Jurnal Sastera, Bangi, Jabatan Persuratan Melayu, UKM, 1997, hlm. 8 – 23.
  • Takmilah: Teori, Falsafah Dan Prinsip, Dewan Sastera, November, 1996, hlm. 25 – 33.
  • Gurindan Citra Kepenyairan Raja Ali Haji, Dewan Sastera, Julai 1976, hlm. 86 – 91.
  • Unsur-Unsur Balaghah Dalam Puisi Melayu Moden, Jurnal Dewan Bahasa, Februari, 1996, hlm. 44 – 52.
  • Puisi Kemanusiaan Dan Kerohanian, Dewan Sastera, Februari, 1996, hlm. 44 – 52.
  • Sastera Islam Dalam Peradaban Ummah. Jurnal Persuratan Melayu, Jil.1 Bil. 1, 1995, JPM, UKM, hlm. 45 – 80.
  • Kau Dan Aku: Analisis Takmilah, Dewan Sastera Januari, 1995, hlm. 37 – 42.
  • Takmilah: Teori Sastera Islam (Bahagian Akhir), Dewan Sastera, September, 1994, hlm. 57 – 84.
  • Takmilah: Teori Sastera Islam (Bahagian 1), Dewan Sastera Ogos, 1994, hl. 38 – 44.
  • Islam Dan Puisi, Dewan Sastera, Mei, 1994, hlm. 15 – 20.
  • Antara Sastera Dan Tasawuf, Dewan Sastera, Disember, 1993, hlm. 14 – 18.
  • Sastera Islam Di Malaysia: Antara, Tradisi, Moden Dan Harapan, Dewan Sastera, Ogos, 1993, hlm. 14 - 18.
  • Haji Abdul Malik Bin Isa (Cicit Tok Pulau Manis), Pesaka VII, Kuala Terengganu, Lembaga Muzium Negeri Terengganu, 1992 hlm. 27 – 47.
  • Falsafah Dan Fungsi Puisi Klasik Dalam Pendidikan, Dewan Sastera, April 1992, hlm. 16 -19.
  • Bahasa Dan Persuratan Melayu, Pertumbuhan Dan Perkembangan Dari Perspektif Islam, Dewan Bahasa, Januari, 1992, hlm. 4 – 15.
  • Pemurnian Aqidah Di Dalam Persuratan Tasawuf dan Usuluddin Abad ke 18 dan Kaitan Dengan Persuratan Di Terengganu, Pesaka VI, Kuala Terengganu, Lembaga Muzium Negeri Terengganu, 1990, hlm. 5 – 6)
  • Dan tulisan-tulisan lain dari 1971- 1989.

Terjemahan:

* Takmilah: Theory, Philosophy and Principle, In Malay Literature, Vol. 14, Number 2, 2001, pp. 37-53.

 Puisi-Puisi Dalam 47 buah Antologi: Antaranya

  • Satu Pengertian, Di Perpustakaan (dua sajak) dlm. Suara Rasa, Kuala Lumpur: Maybank, 1993, hlm. 157-158.
  • Suara Kemanusiaan Pecah Dari Himpitan Kekuasaan, dlm. Takhta Dan Rakyat: Suatu Manifestasi, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1993, hlm, 53 – 54.
  • Akhlak dlm. Lukisan Zaman, Susunan Sdr. Rahman Shaari, Kuala Lumpur: Marwilis Publisher & Distributors Sdn. Bhd., 1991, hlm. 120.
  • Kesepian, Pencari, Kekosongan Itu Hanya Kejemuan dan Lebih dari Ketepatan (4 puisi) dlm. Permatang Budi, diselenggarakan oleh Rahman Shaari dan T. Alias Taib, Petaling Jaya, Fajar Bakti, 1991, hlm. 95 – 98.
  • Asas Peribadi, Pencari, Misi Hidup, Penyairku II, Akhirnya Terhenti, Nisbi, Akhlak, Insan itu Tiada Lain Dari Kelalaian, Beriku Kelazatan Untukku Terus Bertilawat al-Qur`an, Di Baitullah dan Sai` (11 buah puisi), dlm. Mengenang-Mu: Puisi-Puisi Melayu Berunsur Islam, 1993 – 1986, diselenggarakan oleh Ahmad Kamal Abdullah dan Mohd Hanafi Ibrahim, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1989, hlm. 421 – 445.

Dan lain-lain antologi.

Puisi Dalam Berbagai Majalah:

Dari 1971 - Kini. Terbit dalam 127 penerbitan (tidak diperturunkan, ruang terhad).
Ribuan artikal dan ratusan puisi dalam blog http://drshafie.blogspot.com.my

Puisi-Puisi Yang Diterjemahkan:

  • An Understanding, LifeThat`s Pursued, Modern Malaysian Poetry, Translayed by, Dr. Barclay M. Newman, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1980, pp. 117-118.
  • Acceptance, In The Library, In Malaysian Poetry 1975-1985, Compiler Ahmad Kamal Abdullah and Translator Harry Aveling,  Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1988, pp. 142-145.
  • Prayer Time, Without Mindfulness We Are Mere Bubbles Of Pride, An Old Man At The Window Of Age, Waves Chanting Praises, Choosing Poetry Is Choosing Loneliness, Longing, Truth, Beauty, Justice, Mortals Cannot Be Detached From Negligence, My Flute, He, At The Ka`aba, Extolling God, Malay Literature, Vol. 9, Number 2, 1996, pp. 134 – 155.
  • The Real Self, Being and Non Being, In Burnished Gold, Edited by Muhammad Haji Salleh, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka, 2004: pp. 188-189.
  • Prayer Time, Without Mindfulness We Are Mere Bubbles Of Pride, Wave Chanting Praises, In Voices Of Malaysian Ports, Introduction By Azizah Hamzah, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka, 2009, pp. 165-168.

Pengalaman:

  • 1963-1970 Guru Sekolah Agama Menengah Terengganu
  • 1974-1976 Pengajar di IBKKM, UKM
  • 1977-1993 Pensyarah di UKM
  • 1994-1999 Profesor Madya, UKM.

Sumbangan:

Sama membincang dan menulis tentang Sastera Islam sejak pertengahan 1970an.
Membina Teori Takmilah mulai 1992. Digunakan oleh pelajar di UKM, UPM, UPSI, UM dan UIA di dalam menulis Latihan Ilmiah dan Tesis.
Melengkapkan Takmilah di dalam Gagasan Pesurat di dalam membina tamadun dan peradaban yang melibatkan penulis, karya, masyarakat, umat dan Negara –Berfungsi membina Baldah Tayyibah wa Rabbun Ghafur (Saba`: 15)

Khidmat Masyarakat:

  • Pengerusi Perbadanan Adat Melayu Dan Warisan Negeri Selangor Januari 2012 – Januari 2013.
  • ADUN Bangi, 2008 – 2012.
  • Adun Kajang  1999 – 2004.
  • Ahli Majlis Kusza, Terengganu 2001 – 2004.
  • Ahli Lembaga Muzium Negeri Terengganu 1993 – 2004.
  • Panel Hadiah Sastera Malaysia 1986/87 – 1988/89, 1990/91, 1992/93, 1994/95, 1996/97 & 1998/99.
  • Penyelaras Projek Penerbitan Jabatan Persuratan Melayu & Fakulti FSKK, UKM 1997-1998.
  • AJK Sukatan Pelajaran STPM 1995 – 1996.
  • AJK Nadwah Persuratan Islam (NAFIS) 1995 – 1999.
  • Panel Hadiah Sastera Berunsur Islam anjuran Yayasan Pelajaran Islam dan Dewan Bahasa dan Pustaka bagi 1988/89. 1990/91, , 1992/93.
  • AJK Persatuan Pengkritik Malaysia  19.12.1993 – 1995.
  • AJK Persatuan Pengajian Melayu 1992/93.
  • AJK Istilah Kesusasteraan, Jawatankuasa Tetap Bahasa Malaysia MABBIM (1992).
  • Panel Peraduan Novel Darul Iman, anjuran Kerajaan Negeri Terengganu 1990-91.
  • AJK  `Knows Our Neighbours` Toyota Foundation 7.8.1980 – 31.3. 1983.
  • Hakim Peraduan Cerpen Berunsur Islam Ke V, VI, & VII anjuran Jabatan Perdana Menteri, Bahagian Hal Ehwal Agama Islam 15.9.1982 – 1986.
  • AJK Gabungan Penulis Islam Malaysia (GAPIM) 1979 – 1980.

Anugerah

  • Memenangi Hadiah Sastera Malaysia, bahagian Puisi bagi tahun 1975 (Suatu Pengertian), 1976 (Hidup Yang Di Buru) & 1984/85 (Istana Deli).
  • Tokoh Penulis Terengganu anugerah Persatuan Sasterawan Muda Terengganu (PELITA).
  • (Terbaru Tokoh Persuratan NUMERA (Nusantara Melayu Raya 2013).

Sekian.

November 23, 2013

Pidato Kebudayaan

Oleh: Profesor Dr. Abdul Hadi W.M. Selaku Tokoh Penerima
Penobatan Tokoh Persuratan Dunia Numera 2013


Setiap kesusasteraan memiliki estetika. Tetapi hubungannya dengan sastera Melayu hal ini jarang diperkatakan. Pada hal relavansi sebuah tradisi sastera terutama terletak pada keragaman estetika yang dijadikan acuan pengarang atau penyair. Khazanah sastera Melayu yang kaya memperlihatkan hal tersebut. Tetapi sebelum berbicara lebih jauh, lebih dahulu akan jelaskan apa yang dimaksud estetika di sini. Dalam pembicaraan umum estetika sering dipandang sebagai filsafat keindahan. Namun di sini saya melihatnya sebagai falsafah seni yang tujuannya menerangkan apa hakikat dan tugas seni puisi dalam kehidupan. Estetika bisa juga diertikan sebagai teori seni yang memperkatakan asas-asas dan tujuan penciptaan seni.

Sepanjang mempelajari dan meneliti kesusasteraan Melayu, saya selalu merasa diingatkan oleh teks-teks yang saya baca tentang adanya beberapa pandangan yang berbeda tentang sastera dan fungsinya dalam kehidupan. Pandangan atau teori yang berbeda-beda itu lahir dari pandangan hidup yang sama tentang pentingnya menghiasi kehidupan ini dengan tutur kata yang indah dan kearifan-kearifan yang membuat jiwa kita kaya dengan hikmah. Sepanjang pengetahuan saya jika diteliti dengan saksama setidak-tidaknya ada empat pandangan tentang sastera yang menyebabkan sastera itu penting dalam kehidupan manusia.

Pandangan pertama yang mengatakan bahawa sastera yang baik adalah karangan-karangan yang mengandung pengajaran.
Pandangan kedua mengatakan bahawa sesuatu karangan disebut sastera kerana menggunakan bahasa yang indah-indah. Pandangan ini tidak melihat pentingnya isi, amanat atau pesan yang disampaikan dengan sastera.
Ketiga adalah pandangan yang mengatakan bahawa pada hakikatnya sastera adalah ungkapan (ekspresi) pengalaman dan perasaan individual penulisnya.
Keempat adalah pandangan yang mengatakan bahawa sastera adalah lebih sastera sekadar ekpressi dan permainan kata-kata indah. Sastera adalah hasil dari renungan pengarang/penyair terhadap pengalaman batin dan sosialnya.

Adapun pandangan yang berbeda-beda ini yang menyebabkan lahirnya berbagai jenis ragam dan corak karangan dalam suatu kesusasteraan – dalam hal ini kesusasteraan Melayu – sehingga kesusasteraan tersebut kaya khazanahnya. Tak perlu saya kemukakan  di sini secara ini keanikaragaman jenis dan corak yang ada di dalam kesusasteraan Melayu. Di sana terdapat karangan-karangan yang termasuk di dalam kelompok hikayat para nabi, sahabat dan pahlawan-pahlawan Islam, serta karangan bercorak sejarah, undang-undang, kisah petualangan, syair-syair tasawuf dan keagamaan serta pantun-pantun nasihat dan kisah jenaka. Akan terlalu panjang jika didedahkan di sini semua, sedangkan di sini hanya ingin membatasi pada persoalan estetikanya.

Estetika sastera Melayu adalah turunan dari estetika Islam yang asas-asasnya diletakkan oleh para filosof abad ke 10 M, 11 M seperti Al-Farabi, Ibn Sina dan Imam al-Ghazali. Ibn Sina membicarakan hakikat puisi atau sastera dalam bukunya Ktab al-Shi`r. Dua konsep kunci yang dia bahas adalah mimesis (tiruan) dan creation (ciptaan). Dalam sejarah filsafat Yunani perdebatan mengenai dua konsep ini telah terjadi antara Plato dan Aristoteles. Menurut Plato, seni yang baik dicipta berdasar prinsip creation, iaitu dengan menekankan penggambaran idea-idea, bukan sekadar peniruan (Mimesis) terhadap kenyataan/alam. Seni yang dicipta berdasar prinsip perubahan mengandalkan  semata-mata kepada persepsi indera dan kerana itu nilainya rendah. Dalam seni mimesis, seniman/penyair tidak memberikan tambahan apa-apa terhadap yang digambarkan dan dengan itu tidak mampu memperkaya batin penikmat/pembaca.

Aristoteles menentang pandangan Plato. Menurut Aristoteles karya seniman yang dihasilkan melalui proses peniruan tidaklah rendah, sebab peniruan itu dilakukan melalui proses intelektual tertentu. Dikotomi mimesis dan creation sebagai asas penciptaan seni itu terus diperdebatkan hingga kini. Sedangkan dalam tradisi Islam telah dapat dipecahkan dan karenanya tidak dipersoalkan lagi. Yang berjasa memecahkan persoalan ini ialah Al-Farabi dan Ibn Sina. Dengan menggabungkan pandangan Plato dan Aristoteles, dan menambahkan gagasan baru ke dalamnya Ibn Sina mengatakan bahawa seni adalah persembahan estetis berdasarkan mimesis (mutabaqah) dengan menyertakan ke dalamnya (creation) prinsip penciptan. Tujuan penciptaan puisi melampaui tujuan penuturan non-puitik. Dalam melahirkan puisinya pula seorang penyair mencipta selain menggunakan akan rasionalnya juga menggunakan imaginasi (takhyil). Mengikuti pendahuluannya, iaitu Al-Farabi, Ibn Sina mengganti kata mimesis  dengan kata tahyil sebagai prinsip penciptaan karya seni.

Dalam kitab Ihsa` al-`Ulum Al-Farabi memberi erti terhadap kata tahyil sebagai `proses kejiwaan yang menyebabkan seni menjadi imaginative, evokatif dan kreatif. Dalam kata-kata imaginative dan imaginasi, menurut Al-Farabi sudah terkandung pengertian yang merujuk kepada meniru, menyalin atau menggubah berdasarkan sesuatu yang dijadikan gubahan. Penyalinan menggunakan imaginasi yang dilakukan penyair/seniman berbeda dari penyalinan yang dilakukan ilmuan dalam melahirkan wacana ilmiah. Yang terakhir ini mendasarkan daripada objektivitas dan penalaran rasional logic, sedangkan imaginasi bersifat subjektif dan peribadi, dan tidak memerlukan pembuktian rasional objektif atau logis untuk meyakinkan penikmatnya yang hendak disajikan penyair bukanlah kebenaran ilmiah, melainkan bentuk-bentuk pengalaman spiritual yang disebut iltizat (pengalaman estetik).

Berdasarkan pandangan ini Ibn Sina mengatakan bahawa hubungan antara objek-objek  estetis dalam karya seni dan realitas/alam dapat dirumuskan sebagai berikut:
1)      Tahsin, erti harfiahnya stilisasi atau upaya membuat sesuatu lebih indah dan teratur, jadi kenyataan sudah dirubah menjadi ungkapan estetis,
2)      Taqbih, erti harfiyahnya deformasi,
3)      Mutabaqah, iaitu pemberian keseimbangan antara dimensi lahiriah dan rohaniah objek/kenyataan. Di sini sesuatu tidak hanya ditonjolkan sosok lahiriyahnya  melainkan disingkap juga keadaan rohaniyahnya. Dari sini lahir konsep tentang bentuk (surah) dan isi (ma`na). Prinsip ini ditegaskan dalam bentuk puisi Melayu yang popular, iaitu pantun yang terdiri dari sampiran dan isi.

Gagasan bahawa seni/puisi merupakan salinan dari pengalaman estetik, melahirkan pandangan bahawa tidak ada hubungan langsung antara kenyataan dalam karya seni/sastera dan kenyataan dalam kehidupan sehari-hari. Penyair menulis puisi bukan untuk menyajikan kenyataan sebagaimana adanya, tetapi kenyataan yang telah diresapi dengan perasaan, fikiran atau gagasan yang ada dalam jiwanya. Dengan perkataan lain, kenyataan yang disajikan dalam puisi adalah kenyataan yang telah dibentuk oleh pengalaman batin dan pandangan hidupnya sendiri, serta diberi nilai secara peribadi oleh sang penyair.

Berdasarkan pemikiran ini penulis-penulis sufi kemudian mengembangkan teori representasi atau penggambaran. Seni tidak lain ialah penggambaran gagasan dan pengalaman batin srcara simbolik. Penggambaran itu sendiri dilakukan melalui suatu perenungan yang mendalam, sehingga timbul pendirian, bahawa sastera adalah hasil perenungan terhadap penekanan pada masalah keruhanian ini ada kaitannya dengan pandangan hidup (way of life) Melayu tentang keindahan dan dapat dirujuk pasa sumber Islam.

Telah dikemukakan bahawa pandangan penulis Melayu tentang pentingnya keindahan ruhaniah dibanding keindahan lahiriah, sangat dipengaruhi oleh pandangan Islam. Hadith Nabi misalnya mengatakan bahawa keindahan ruhaniah (jamal) merupakan keindahan mutlak yang mengandung hikmah, sedangkan keindahan lahiriah (husn) sifatnya memukau (sihr). Pandangan ini lebih jauh dapat dirujuk pada Imam Al-Ghazali, yang kitabnya Ihya` Ulum al-Din menjadi bacaan luas para ulama` dan cendekiawan Melayu termasuk para penulisnya. Dalam kitabnya itu Imam al-Ghazali mengatakan lebih kurang, ``ketahui olehmu bahawa orang yang terkungkung oleh imaginsai dan pancaindera mungkin menganggap keindahan dan kenikmatan ialah tidak lain dari keselarasan bentuk dan keindahan warna. Memang keindahan sering disangka manusia sebagai sesuatu yang menarik pandangan dan paling sering manusia melihat kecantikan (rupa) manusia lain. Oleh kerana itu dia mungkin berfikir mustahil membayangkan keindahan sesuatu yang tidak dilihat mata yang tidak terjangkau oleh imaginasi yang tidak mempunyai rupa dan warna. Lebih jauh Imam Al-Ghazali mengatakan bahawa,

`Keindahan tidak terbatas dalam rangka benda-benda yang dilihat dan tidak pula merupakan sekadar keselarasan bentuk dan rupa yang penuh harmoni. Setelah keindahan
yang dapat cerap oleh pancaindera  dan terjangkau imaginasi ada keindahan yang hanya bisa dicerap oleh akal budi dan intuisi seperti akhlak mulia, pengetahuan tentang hakikat segala sesuatu, kecerdasan budi bahasa, keberanian iman yang teguh, kemurahan jati dan lain-lain.

Kemudahan ruhaniah seperti inilah yang terutama harus ditekankan dalam sebuah karangan sastera sehingga dengan demikian karya sastera mengandung pengajaran yang bermanfaat. Pandangan seperti ini tentu saja tidak akan dapat ditampung balik oleh teori bentuk signifikan maupun oleh teori ekspresi. Mengenai alasan yang kedua, sumber rujukannya bisa ditemui dalam al-Qur`an. Misalnya ayat yang mengatakan bahawa, ``Ayat-ayat-Nya terbentang di dalam semesta dan dalam diri manusia``. Bahkan menurut al-Qur`an, ``Kapal-kapal yang berlayar di lautan dan tegak bagaikan gunung-gunung adalah juga ayat-ayat-Nya, iaitu tanda-tanda keberadaan-Nya yang menakjubkan.`` Dipengaruhi oleh gambaran al-Qur`an tentang alam atau dunia inilah penulis-penulis Melayu memandang alam semesta sebagai sebuah kitab agung yang indah, sebuah karya sastera.

Sang Pencipta menjelmakan dunia dari perbendaharaan-Nya (kanz makhfiy). Ia dunia, ditulis dengan Kalam Tuhan pada lembaran yang sangat terpelihara (lawhul mahfudz) (Braginssky, 1993: 11). Peribadi manusia, dengan wujud zahir dan batinnya, juga merupakan sebuah kitab, sebuah karya sastera. Keseluruhan hikmah alam semesta dirakamkan  ke dalam diri atau peribadi manusia setelah diringkas dan dipadatkan. Hikmah-hikmah tersebut hadir sebagai ayat-ayat-Nya yang penuh rahsia dan patut direnungkan oleh mereka yang berkeinginan mengenal hakikat dirinya dan Tuhannya sebagaimana dinyatakan oleh Imam al-Ghazali (Ihya` Ulumuddin dan Kimya-l-Saadah).

Sekarang marilah saya tutup pembahasan ini dengan memaparkan konsep penulis sufi yang memandang sastera/seni sebagai suluk atau jalan keruhanian. Saya akan mengambil contoh Syair Perahu:

Inilah gerangan satu madah
Mengarangkan syair terlalu indah
Membetul jalan tempat berpindah
Di sana i`tiqad diperbaiki sudah
Wahai muda kenali dirimu
Tiada berapa lama hidupmu
Ke akhirat jua kekal dirimu.

Hai muda kenal dirimu
Hasilkan kemudi dengan pedoman
Alat perahumu jua kerjakan
Itulah jalan membetul insan
Perteguh jua alat perahumu
Hasilkan bekal air dan kayu
Dayung pengayuh taruh di situ
Supaya laju perahumu itu

Lailaha illa Allah terlalu nyata
Tauhid makrifat semata-mata
Memandang yang ghaib semuanya nyata
Lenyapkan ke sana sekalian kita

Lailaha illa Allah tempat mengintai
Medan yang qadim tempat berdamai
Wujud Allah terlalu bitai
Siang malam jangan bercerai
Lailaha illa Allah tempat musyahadah
Menyatakan tauhid jangan berubah
Sempurnakan jalan iman yang mudah
Pertemuan (dengan) Tuhan terlalu susah
                            (Doorenbos, 1933-35)

Dari syair ini dapat dicatat setidak-tidaknya.

Pertama puisi merupakan jalan berpindah ke alam ketuhanan atau trasendental. Tujuan penyair ialah memandang yang ghaib (musyahadah) mlalui jalan tauhid dan makrifat. Dengan demikian puisi dapat dikatakan sebagai sarana transendensi atau pembebasan jiwa dari kongkongan alam kebendaan (tajarrud).

Kedua puisi yang indah ditulis setelah penyair melakukan penyucian diri, iaitu membetulkan iktikad.

Ketiga puisi juga merupakan perluasan zikir terhadap Allah (zikir Allah) yang dengan cara demikian seseorang mencapai musyahadah, Makrifat dan pencerahan kalbu adalah bentuk pengalaman estetis yang tinggi yang hanya dapat dicapai melalui jalan zikir Allah.

Keempat penyair juga menyatakan bahawa keindahan wajah Tuhan dan hakikat Tauhid hanya bisa diaksikan  di `medan yang qadim`, iaitu di alam metafizik atau ketuhanan. Medan yang qadim dalam jiwa manusia mengambil tempat dalam kalbu. Para sufi menyatakan bahawa kalbu merupakan rahsia Tuhan (sirr Allah) dalam erti dalam kalbulah manusia bisa berdialog dengan Yang Maha Ghaib. Itulah sebabnya dalam proses penyucian diri kalbu mesti dikosongkan dari yang selain Tuhan.

Kelima penyair mengharap pembaca menjadikan puisi sebagai tangga naik menuju hakikat dirinya  yang sejati. Perjalanan ruhani seorang ahli suluk di sini ditamsilkan sebagai pelayaran perahu dan perlengkapannya, sedangkan perahu alam tamsil tubuh manusia yang dibekali perlengkapan rohani. 

Wassalam. Sekian.

November 22, 2013

Pidato Terima Kasih Di Atas Penobatan Tokoh Persuratan Numera (Nusantara - Melayu Raya) 2013

Bismillahi`r-Rahmani `r-Rahim

Assalamu `alaikum wmt. wbt.
Al-Hamdulillahi Rabbi`l-Alamin wa`s-Salatu wa`s-Salam `Ala Ashrafi`l-Anbiya` wa`l-Mursalin wa `Ala `Alihi wa Sahbihi Ajama`in.  Amma Ba`d:


Saudara Pengerusi Majlis,
Yang Berbahagia Profesor Dato` Seri Dr. Md. Salleh Yaafar Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka,
Yang Berbahagia Dato` Dr. Awang Sariyan, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka.
Sasterwana Negara Dato` Dr. Ahmad Khamal Abdullah Presiden Sasterawan  Numera Malaysia,
Tokoh-tokoh Persuratan Numera yang dinobatkan –
Prof. Dr. Abdul Hadi WM. dari Indonesia.
Prof. Madya Dr. Victor Pagadaev dari Rusia.
(Dr. Haji Shafie Abu Bakar dari Malaysia).
Senator Dato` Dr. Firdaus Abdullah
Dato` Wira Dr. Abdul Latif bin Abu Bakar Ketua Satu Gaprna
Tuan-tuan dan puan-puan para tetamu yang dihormati sekalian.

Pertama sekali Penulis mengucapkan terima kasih di atas pemilihan buat pertama kali sebagai salah seorang `Tokoh Persuratan Dunia Numera 2013`. Sesuatu yang Penulis tidak terfikir, bahkan di luar jangkaan.

Keterlibatan Penulis dalam Alam Persuratan lebih setengah abad (1960an- kini 2013) dan penampilan Teori Takmilah sejak dua dekad (1993-2013) adalah lebih didorong minat terhadap Alam Persuratan yang melibatkan – Ilmu, puisi dan Teori Persuratan.

Menulis pada hakikatnya adalah nikmat sekaligus derita yang menyala dan membakarkan `Lilin Diri` sebagaimana Penulis ungkapkan pada Januari 1988:

Lilin Diri

Keterlibatan ini
Mungkin tidak bererti
Barangkali yang ditinggalkan
Kesan terbakar sebuah kehadiran
Fana menghilang
Dan kita tidak lebih dari
Lilin bergantian
Nyala dan padam
Dalam penerusan.
                     (Lilin Diri, Madu Ilmu, 1999: 43).

Keterlibatan dalam bidang penulisan juga lebih bertemankan kesepian (Tiada Tahu, Madu Ilmu, 1999: 130).  Sebagai `Petugas Seni` secara khusus pula:

Petugas Seni

Hari-hari
Dialog dalam diri.
…..
Petugas seni
Kadangkali
Mencatat rasa
Dengan airmata
Dalam membara
Darahnya bertinta.

Yang Lahir
Dirinyalah yang cair.

                  (Petugas Seni, Madu Ilmu, 1999: 131).

Penulis tidaklah minta dihargai. Pun begitu penghargaan diberi amatlah disanjungi.
Namun sama ada dihargai atau tidak, selagi diri menapak di permukaan bumi, berjalan di tengah kepanasan siang atau sejuk di bawah rintik hujan malam. Selagi masih melihat kehijauan pohon, kebiruan laut, kejauhan gunung  dan ketinggian langit, selagi minda, hati dan inderawi masih menanggapi selagi itulah jari masih menyurat – ilmu, puisi dan teori. Insya Allah ke akhir hayat.


Namun Penulis berpendapat, janganlah sangat diberi perhatian pada diri perseorangan yang betapa banyak pun dia berkarya tidak sebanding setitis dari lautan ilmu atau sepercik madu seni segara dihayati.

Penulis berpendapat di sebalik Penobatan Tokoh Persuratan Numera, di sana ada terserlah permukaan tujuan dan tentu ada yang lebih mendalam, iaitu sebagai usaha menyalakan `Kandil Bahasa Serumpun` agar tidak padam, mengungkapkan ilmu dan menyerlahkan daya intelektual dan mengunggulkan keindahan bahasa dan daya estetika, sehingga menjadikan bahasa Numera – Bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa terpenting di dunia. Tentu pula Numera berhasrat mau melihat pertambahan pustaka persuratan yang bakal diwarisi generasi dan juga sebagai warisan peradaban dunia.

Penulis melihat Numera mengambil peranan besar dengan cita-cita unggul bersama dengan daya dan usaha seperti yang sedang dilakukan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, pusat-pusat pengajian tinggi dan institusi-institusi berkaitan di Negara ini dan kita berharap dan seharusnya berusaha agar kesedaran dan usaha seumpama ini juga berlaku di Negara-negara Numera yang lain.

Kita sesungguhnya bertuah menerima dan menyambung rantai sejarah tamadun dan peradaban yang telah dibina oleh nenek moyang kita. Mereka secara bijaksana dan kreatif membina perbendaharaan bahasa, keilmuan, peradaban dan budaya Numera. Mereka seperti Tun Seri Lanang, Hamzah Fansuri, Nuruddin al-Raniri, Shaykh Abdul Rauf Singkel, Shaykh Abdul Malik bin Abdullah (Tuk Pulau Manis), Raja Ali Haji, Abdullah bin Abdul Kadir Munshi, Syed Muhammad bin Zainal Abidin, Syed Abdul Rahman bin Syed Muhammad (Tukku Paluh), Hamka, Amir Hamzah, Za`ba, Usman Awang dan sebagainya.

Moyang kita mewariskan unggul keilmuan
Moyang kita mewariskan tradisi persuratan
Moyang kita telah berjasa
Mewariskan seni-nilai budaya

Mereka sesungguhnya menyerlah
Kepada kita peranan Khalifah.

Bagi Penulis, menyurat bukan setakat mengasah bakat, tetapi menulis ilmu untuk dipelajari, menulis puisi untuk dinikmati dan menulis teori kaedah bagi memahami dan mengkaji. Di dalam hal ini – berhubung dengan Persuratan Adab dan Tamadun Penulis menyurat:

``Fungsi Takmilah dan Pesurat adalah bagi penyempurnaan manusia. Jika diibaratkan Takmilah sebagai bunga bagi `Shajarah Tayyibah`, maka Pesurat adalah keseluruhan Shajarah yang menghasilkan bunga dan juga buah, tetapi Takmilah tidak akan terhasil melainkan melalui didikan ilmu.

Pada hakikatnya segala bidang ilmu yang berkembang adalah dalam ruang lingkup Pesurat bagi menghasilkan tamadun. Seorang Pesurat mestilah menguasai ilmu. Takmilah datang selepas kewujudan infra-struktur ilmu di atas. Ibarat `Pokok Tayyibnah` tidak menghasilkan bunga dan buah tanpa kewujudan pokok secara sempurna dan sihat.

Penggarapan di dalam bidang-bidang yang terangkum di bawah Takmilah menyempurnakan keinsanan. Seterusnya pemupukan budaya murni di tengah kelompok melahirkan masyarakat yang beradab dan tamadun. Kewujudan masyarakat sedemikian oleh hasil manusianya menjunjung wadah Khalifah yang manusianya insan Rabbani lagi Kamil, insan-insan sedemikian (sepatutnya) mengisi Negara atau area yang disifatkan di dalam al-Qur`an `Baldah Tayyibah wa Rabbun Ghafur` (Saba`: 15).
(Bangi Bandar Ilmu, 2012: 407-409).

Baik Pesurat dan Takmilah adalah pendekatan yang merupakan sumbangan kecil di dalam persuratan. Ianya tidak mungkin tegak tanpa berdiri bersama. Samalah dengan hasrat Numera tidak terserlah peranan tanpa pendukung dan penggiat. Lebih besar dari itu menggembeling dan menaikkan mutu Pesuratan di Nusantara Melayu Raya adalah wilayah yang luas memerlukan tenaga bersama bagi mencapai hasrat murni Numera.
Kita menyokong kuat dan sukacita sama-sama terlibat bagi menjayakan hasrat.

Ilmu meningkat minda
Puisi mengindah kata
Takmilah kaedah mendekat
Pesurat rangkum segala tersurat
Baldah Tayyibah rangka Negara
Rabbun Ghafur keredaan Yang Esa
Visi dan misi Kesempurnaan segala.

Wa bil`Llahi`t-taufiq wa al-hidayah..
Wassalamu alaikum wmt. wbt.

Sekian.

Shafie Abu Bakar,
Galeri Bandar Baru Bangi.

16 Muharram 1435
20 November 2013.

November 21, 2013

Penobatan Tokoh Persuratan Nusantara Melayu Raya

Dewan Bahasa dan Pustaka, 16 Muharram 1435 = 20 November 2013 (Rabu):


Tiga orang telah dinobatkan pada malam ini sebagai Tokoh Persuratan Nusantara Melayu Raya (NUMERA), iaitu:

1)      Profesor Dr. Abdul Hadi W.M.  dari Indonesia


2)      Profesor Madya Dr. Victor Pagadaiv  dari Rusia


3)      Dr. Haji Shafie bin Abu Bakar  dari Malaysia.


Penobatan penokohan dilakukan oleh Profesor Dato` Seri Dr. Md. Salleh Yaafar Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka dengan diiringi sama oleh Yang Berbahagia Dato` Dr. Awang Sariyan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka dan Sasterawan Negara Dato` Dr. Ahmad Khamal Abdullah yang juga dikenali sebagai Kemala Presiden Sasterawan Numera Malaysia.

Setiap tokoh dianugerahkan Warkah Penghargaan, Wang tunai sebanyak Rm5,000.00 sepersalinan pakaian baju Melayu tenunan Terengganu selengkap dan plag penghormatan. Majlis Penobatan Numera adalah dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka, PNB dan UPM.

Dalam ucapan penganugerahan Profesor Dato` Seri Dr. Md. Salleh Yaafar mengucapkan tahniah kepada ketiga-tiga tokoh yang dinobatkan dan mengucap syabas kepada Numera yang sejak ditubuhkan pada Mac 2012 yang lepas telah banyak menjalankan kegiatan seperti Jelajah Numera di Malaysia & Indonesia dengan berbagai kegiatan dan pengisian.
Penokohan menurut Profesor Dato` Seri kerana mengiktiraf jasa Profesor Dr, Abdul Hadi yang menyerlah di dalam mengungkapkan puisi-puisi Islami dan membongkar tentang tamadun Melayu dan peradabanya yang bangkit dan menyerlah bersama Islam, manakala  Dr. Pagadaev berdekad menampil dan memperkenalkan  bahasa, sastera dan budaya Melayu kepada masyarakat di Rusia. Banyak kerja-kerja terjemahan dan penyusunan kamus Malaysia- Rusia dilakukan selama bermukim di Universiti Malaya sebagai tenaga pengajar di universiti tersebut. Penghormatan yang diberi kepada Dr. Shafie Abu Bakar kerana kegigihannya membina Teori Takmilah yang kini banyak diguna dan diaplikasikan oleh pelajar-pelajar di universiti-universiti. Beliau juga terkenal sebagai tokoh yang membina sastera Islam dan mengungkapkan puisi-puisi Islam.

Profesor Dato` Seri Dr. Md. Salleh Yaapar  mendambakan agar hasrat menyatukan Nusantara Melayu Raya sebagaimana diungkapkan oleh Sasterawan Pramodya Anantatur lewat novel-novelnya seperti Anak Bumi Manusia, Rumah Kaca, Arus Balik dan lain-lain menjadi kenyataan.

Mengakhiri ucapannya beliau telah memalukan gong sebanyak 3 kali menandakan sebagai perasmian.

Sebelum daripada itu Sasterawan Negara Dato` Dr. Ahmad Khamal Abdullah sebagai Presiden Numera dalam ucapannya menyatakan hasrat Numera mau menyatukan Negara-negara di dalam Numera, iaitu Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura, Patani dan Filipina melalui bahasa dan budaya. Numera mengambil langkah bagi merealisasikan hasrat ini dengan menjelajah Malaysia dan Indonesia dan akan dilanjutkan ke Negara-negara Numera yang lain. Selain dari lawatan pertandingan penulisan yang terbuka kepada penulis-penulis di Negara-negara Numera telah diadakan dan kini dalam proses penilaian. Penokohan Tokoh Persuratan Numera malam ini adalah merupakan kegiatan puncak setakat ini diadakan dan diharapkan ianya menjadi salah satu mekanisme memertabatkan bahasa, sastera dan budaya Nusantara, di samping mempopular dan memperkasakan Numera.

Hadir pada malam ini tokoh-tokoh seperti Yang Berhormat Senator Dato` Dr. Firdaus Abdullah, Sasterawan Negara Dato` Dr. Anwar Ridhuan, Dato` Wira Dr. Abdullatif Bakar Ketua Satu Gapena, para penulis dan sasterawan yang memenuhi Dewan Bankuet, Dewan Bahasa dan Pustaka. Majlis pada malam ini dikendalikan oleh Juruacara Dr. Ibrahim Ghafar bersama pasangannya.

Selepas penobatan dan jamuan, para hadirin dipersembahkan dengan Konsert Seni Tradisi Melayu, iaitu Konsert Dewangga Sakti – bermaksud Permaidani Ajaib di bawah pimpinan Umar Uzair, Dewangga Sakti ditubuhkan sejak tahun 2000, manakala persembahan yang didatangkan dari Indonesia ialah Kumpulan Sobokartti yang bergiat sejak 1926 lagi dan pada malam ini pasukan ini mempersembahkan Teater Tari Ibu Pertiwi.

Selain dari Majlis Penobatan yang diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka Majlis Sambutan Seni sempena Penobatan juga diadakan di Universiti Putera Malaysia  bertempat di Muzium Warisan Melayu di Fakulti Bahasa dan Komunikasi Moden, UPM pada Khamis 21 November 2013, mulai jam 9.00 pagi.

Sekian.